Pendahuluan
Sejarah Islam menyaksikan kebangkitan Islam dan kekuatan ummah adalah
apabila barisan pemuda berada di hadapan. Golongan ini mempunyai kekuatan
fizikal dan mental, ketinggian semangat, dan mempunyai cita-cita dan idealisme.
Runtuhnya zaman jahiliyah pada zaman nabi saw adalah hasil sokongan padu
golongan pemuda yang menyahut seruan dakwah nabi saw. Kejayaan ini dapat
dilihat di awal kebangkitan Islam di Makkah.
Pemuda adalah kelompok
yang terbesar yang menerima dakwah nabi
saw dan amat disayangi Baginda. Nabi saw
dilantik menjadi Rasul dan nabi ketika berumur 40 tahun, iaitu puncak
kematangan umur seorang pemuda. Semasa di Makkah, Baginda dikelilingi oleh
orang-orang muda yang tidak berbelah bagi dalam memberi sokongan kepada
Baginda. Rakan terdekat dengan nabi saw, Abu Bakar berusia 38 tahun, Sayidina
Umar ketika memeluk Islam berumur 27 tahun, Talhah bin Ubaidillah berusia 16
tahun, Mus’ab bin Umair berusia seawal 20an. Manakala al-Arqam bin Abi Arqam
berumur 16 tahun. Begitulah juga sebahagian besar nama-nama besar sahabat yang
lain adalah pejuang-pejuang muda yang hidup dengan penuh suka dan duka bersama
nabi saw, seperti Ali Bin Abi Talib Ammar bin Yassir, Khabab al-Arrat dan
lain-lain.