Ads 468x60px

Labels

Selasa, 28 Februari 2012

Memahami Hakikat Wirid dan Warid


Dua perkara ini saling berkait antara satu sama lain di dalam perhubungan manusia dengan Allah. Bagi mencapai redha Allah dan SyurgaNya maka seseorang hamba itu perlu berwirid. Wirid ialah segala amal soleh yang dilakukan oleh seseorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Wirid ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan jika tertinggal maka segera ia diqada’kan. Hasil daripada usaha dan ketekunan wirid ini, maka Allah akan menganugerahkan warid. Warid ialah sesuatu yang dianugerahkan atau kemuliaan yang diberi Allah kepada seseorang hamba dengan berkat amal solehnya. Anugerah dan kemuliaan ini yang datang daripada Allah dalam bentuk nur yang tidak dapat dilihat dengan pancaindera mata, hati akan dilimpahi dengan ilmu tentang ketuhanan dan menjadikan imannya semakin bertambah. Ini bermakna Warid adalah kurniaan Allah SWT kepada hambaNya yang taat dan patuh serta tunduk kepadaNya. Manakala Wirid adalah kewajipan kita yang dituntut oleh Allah ke atas kita. Ibn ’Ataillah al-Askandari menyebutkan bahawa:


وُرُوْدُ الإِمْدَاد بَحَسَبِ الإسْتِعْدَاد

Ertinya: Datangnya bantuan Allah adalah berdasarkan kepada sejauhmana persiapan hambaNya

            Wirid adalah menjadi hak Allah untuk ditunaikan oleh manusia dengan mengerjakan segala yang wajib dan menampungnya dengan segala amalan yang sunat. Inilah akhlak orang yang beriman dan menjadi jalan ahli ibadat bagi menambah dan meningkatkan imannya kepada Allah SWT. Inilah yang dianjurkan oleh nabi saw di dalam sabdanya:


أحَبُّ الأعْمالِ إلى اللهِ تعالى أدْوَامُهَا وإنْ قَلَّ

Ertinya: Sebaik-baik amal kepada Allah ialah amal yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit
 

Apabila kita menginginkan diri ini menghampirkan diri kepada Allah, dengan dikurniakan kelebihan dan kemuliaanNya, maka hendaklah kita melihat kepada diri kita, sejauhmanakah wirid yang telah kita lakukan? Apakah kita telah melakukan dengan istiqamah, teratur dan berkualiti? Wirid ini akan datang daripada hati yang bersih, ikhlas, maka akan datangnya warid setimpal dengan usaha yang kita lakukan.

0 ulasan:

Catat Ulasan