Ads 468x60px

Labels

Khamis, 17 Februari 2011

Umur Manusia: Hijrah Ke Alam Barzakh


Pendahuluan

Mengingati umur amat penting dalam kehidupan manusia. Manusia sering lupa tentang umur mereka sehingga dirasakan ia masih muda, kuat dan jauh daripada kelemahan serta keuzuran. Maka manusia dilalai dan dilupakan oleh umur tanpa disedari ia dihabiskan begitu sahaja.  Kepentingan mengingati umur ini secara tidak langsung kita mengingati masa. Allah SWT berfirman dalam surah al-’Asr:

            ”Demi masa sesungguhnya manusia berada dalam kerugian”
           
Hakikat Umur Manusia
           
Imam Habib Abdullah Haddad di dalam Risalah Sabil al-Azkar wa al-I’tibar menjelaskan bahawa manusia mempunyai lima umur. Antaranya ialah umur sejak Allah mencipta Adam a.s. dan membekalkan zuriat di tulang punggungnya, kedua umur sejak manusia dilahirkan dari perut ibunya sehingga ia wafat meninggalkan dunia yang fana, ketiga umur ini bermula sejak manusia keluar dari dunia ini dengan menempuh mati sehingga dibangkitkan dari kubur, keempat umur yang bermula daripada kebangkitan daripada alam kubur untuk menerima panggilan tuhan sehingga memasuki sama ada ke syurga atau ke neraka, dan terakhir umur yang tidak ada pangkal dan hujungnya iaitu sejak kemasukan manusia ke syurga dan kekal di dalamnya.

            Ibn al-Jawzi mengatakan bahawa umur manusia dewasa ialah sejak berusia 35 sehingga 50. Maka apabila mencapai dewasa biasanya akan kelihatan pada diri manusia kebaikan dan keburukannya. Ada yang mengatakan bahawa apabila seseorang itu telah mencapai usia 40, sedang kebaikannya tidak melebihi kejahatan, maka syaitan akan menyapu mukanya seraya berkata: Demi ayahku, wajah ini tidak akan terlepas dariku.
            Imam Malik pula menjelaskan ”Kami dapati ramai orang yang mencari ilmu pengetahuan sehingga sampai usia 40. Apabila mereka sampai umur tersebut, mereka pun memalingkan perhatian kepada kepada memperbanyakkan amal soleh dan mengerjakan apa yang mereka pelajari. Waktu itu tidak ada masa lagi untuk menumpukan perhatian kepada dunia walau apa sekalipun”
Syeikh Arif Wali Abdul Wahhab bin Ahmad al-Sya’rani di dalam kitab al-Bahrul Maurud mengatakan: “Ikatlah janji dengan dirimu, apabila kamu mencapai umur 40, hendaklah kamu lipat tikar dan bantal serta merta dan ingatlah diri kamu bahawa setiap nafas yang kamu sedut itu tidak boleh lagi digunakan untuk kepentingan dunia sama sekali. Di samping itu hendaklah kamu mengira setiap detik dari umur kamu yang telah melepasi 40 tahun itu, menyamai 100 tahun dengan yang sebelumnya”.
            Di dalam suatu hadis sahabat bertanya kepada nabi saw: “Wahai Rasulullah saw siapakah yang paling baik? Baginda menjawab: “Orang yang panjang umurnya dan baik amalnya. Sahabat bertanya lagi: “Siapakah manusia yang paling buruk? Jawab Baginda: “Orang yang panjang umurnya dan buruk amalnya.

Hijrah ke Alam Barzakh

Rasulullah saw bersabda: “Jadikanlah diri kamu di dunia ini seperti orang asing atau bagaikan orang yang bermusafir”. Kehidupan ini pada hakikatnya terlalu singkat. Kata Auf bin Abdullah, umur manusia hanya satu hari, iaitu hari kematian. Isa ibn Maryam pula mengatakan umur manusia tiga hari, iaitu hari semalam, hari ini dan hari kematian. Manakala Abu Zar al-Ghifari mengatakan umur manusia hanya tiga Saat sahaja, iaitu saat yang lepas, saat ini dan saat kematian. Abu Bakar al-Warraq pula menjelaskan umur kita hanya tiga nafas, iaitu nafas yang lepas, nafas yang sedang kita bernafas dan nafas yang terakhir semasa kita akan berhijrah ke alam barzakh.
            Hijrah ke alam barzakh adalah sesuatu yang pasti. Alam kubur atau alam barzakh merupakan tempat tinggal antara dunia dan akhirat. Alam barzakh ertinya alam penantian dan ia adalah sebahagian daripada alam akhirat. Alam ini didiami oleh para arwah yang meninggal dunia. Uthman ibn Affan ketika berada di perkuburan beliau menangis sehingga membasahi janggutnya. Lalu sahabatnya bertanya: “Kenapakah ketika kamu mengingati syurga dan neraka, engkau tidak pernah menangis seperti ini? Apakah sebabnya?. Lalu Uthman menjawab:
     
      “kubur itu merupakan tempat pertama dari penempatan akhirat. Sesiapa yang terselamat di situ, maka sesudah itu semuanya akan menjadi mudah dan ringan. Namun sesiapa yang gagal, maka sesudah itu akan menjadi lebih berat dan dahsyat”

            Menurut Ibn Qayyim, roh manusia sesudah mati di alam barzakh itu berada pada tempat yang berbeza mengikut amalan dan perbuatannya ketika hidup. Sebahagian roh berada di tempat yang tinggi (mulia). Ada roh yang tertahan di dalam kubur dan roh yang tertahan di permukaan bumi iaitu mereka yang melakukan maksiat dan mementingkan duniawi.
            Menurut Imam al-Habib Allah menggambarkan kehidupan di alam rahim seumpama di alam Barzakh. Pada peringkat umur masa dalam kandungan sebenarnya itulah cara hidup yang menyamai dengan peringkat umur di alam Barzakh. Dunia yang gelap gelita dan sempit dan menunggu-nunggu saat kelahiran, sebagaimana di alam Barzakh menunggu-nunggu saat kebangkitan.


Nikmat Alam Barzakh

Alam barzakh tidak hanya sebagai tempat seksaan semata-mata. Bagi orang kafir, munafiq, murtad, fasiq dan orang yang derhaka kepada Allah hidup di alam barzakh dengan penuh seksa, takut, cemas dan sengsara. Perasaan mereka cukup lama seperti beribu-ribu tahun dan mengharapkan segera berlakunya kiamat. Malam pertama di alam barzakh amat menggerun dan menakutkan.
            Bagi orang mukmin berada di alam barzakh cuma sekadar istirehat sementara menunggu hari kebangkitan atau umur yang keempat. Malaikat menyuruhnya tidur dengan tenang dan tidak diganggunya. Kubur mereka diluas kan dan dijadikan seperti taman syurga. Setiap pagi dan petang diperlihatkan kepada mereka syurga yang akan mereka ditempatkan nanti. Mereka sedikitpun tidak berasa bosan dan waktu bertahun-tahun di alam barzakh dirasakan sebentar sahaja. Sabda Rasulullah saw:

“Kubur itu boleh menjadi sebagai taman syurga dan boleh menjadi sebagai lubang neraka”

Imam al-Ghazali membahagikan keadaan manusia kepada 3 kategori:
i.              Orang yang tenggelam dalam urusan keduniaan
ii.             Orang yang bertaubat dan mula bertaubat
iii.            Orang yang mengenal diri sendiri dan merasakan hayatnya akan berakhir
           
            Golongan yang pertama ialah mereka yang tidak mengingati kematian. Jika diingati sekalipun mereka merasa sedih dirinya akan meninggalkan harta kekayaan yang dimiliki, dan amat benci dengan kematian.
            Golongan yang kedua mereka sentiasa berada dalam keadaan cemas, takut dan bimbang akan kematian. Mereka akan menyempurnakan taubat dengan sebaik mungkin.
            Manakala golongan yang ketiga sentiasa mengingati mati setiap masa. mereka menunggu-nunggu saat kematian untuk bertemu dengan Allah seperti orang yang bercinta untuk bertemu dengan kekasihnya.
Sabda nabi saw: “Apalah yang hendak dihitung sangat dengan dunia. Umpamaku dan umpama dunia ini laksana seorang penunggang yang sedang berjalan di bawah panas terik. Tiba-tiba kelihatan sebatang pokok, lalu dia berteduh sebentar di bawah teduhannya. Kemudian dia berangkat lagi dan meninggalkannya”.

 
Kata Sayidina Umar al-Khattab
 
Sesungguhnya zuriat syaitan itu ada 9:
 
1.    Zalitun: menjaga pasar dengan menghasut supaya peniaga menipu dan mengurang timbangan
2.    Wathin: yang membuat kekacauan’
3.    A’wan: yang menjaga para pemerintah
4.    Haffaf: yang menjaga sahabat kepada pemabuk
5.    Laqus: yang menjadi sahabat kepada pemabuk
6.    Dasim: yang menjaga rumah agar berlaku pecahbelah rumahtangga. Apabila suami masuk rumah dengan tidak memberi salam serta tidak mengingat Allah, maka berlakulah pergaduhan antara suami isteri sehingga berlakunya perceraian.
7.    Musawit: yang menjadi sahabat kepada penyebar khabar dusta
8.    Walhan: yang menjadikan manusia was-was dalam sembahyang, ketika berwuduk dan ibadat yang lain
9.    Muroh: teman kepada pemuzik dan penyanyi
 

Allah telah mewahyukan kepada nabi Daud a.s:

Sesungguhnya orang yang berakal dan berilmu itu tidak sunyi daripada 4 masa:

iv.           Satu masa untuknya mengadu kepada Allah
v.            Satu masa untuk bermuhasabah diri
vi.           Satu masa untuk dirinya menemui sahabat yang soleh yang boleh menceritakan kelemahan dirinya
vii.          Satu masa untuk dimana dia meninggalkan makanan yang lazat walaupun halal

Sabda nabi saw:

يَأتِي على النَّاسِ زَمَانٌ يَتَحَلَّقُوْنَ فى مَسَاجِدِهِمْ ولَيْسَ هَمُّهُمْ إلاَّ الدُّنْيَا وَلَيْسَ للهِ فِيْهِمْ حًاجَةٌ فلا تُجَالِسُوْهُمْ


Ertinya: Akan datang suatu masa ada di kalangan manusia yang duduk berkelompok-kelompok  di dalam masjid. Mereka tidak berbicara kecuali hal-hal keduniaan. Ketahuilah bahawa Allah tidak berhajat kepada mereka, maka  janganlah kamu duduk bersama mereka

0 ulasan:

Catat Ulasan