Nur ketuhanan ini merupakan ilmu yang
datang secara langsung daripada Allah SWT. Nur inilah yang menjadikan hati
seseorang tenang, lapang dan bersihnya hati manusia. Nur inilah yang boleh dan
mampu membezakan antara yang baik dengan buruk, pahala dengan dosa, bersih
dengan kotor dan sebagainya. Hilang dan perginya cahaya Ilahi ini akan
melindung dan menghalang seseorang daripada menerima kebenaran dan segala
kebaikan yang datang daripada Allah. Hati
yang bersih daripada segala dosa dan maksiat zahir dan batin akan
mendapat cahaya Ilahi. Datangnya cahaya Ilahi juga perlu dilakukan melalui
latihan dan kesungguhan untuk tidak mengikuti hawa nafsu dan syahwat. Setelah penyakit batin ini telah diubati
maka hati kita akan bersedia untuk menerima Nur Ilahi.
Nur Ilahi adalah suatu cahaya yang dilimpahkan
oleh Allah ke dalam hati manusia yang menjadi jalan untuk mendekatkan diri
kepada Allah. Ini bermakna Nur Ilahi adalah suatu anugerah Allah kepada
hambanya yang diletakkan di dalam hati. Dengan adanya cahaya inilah kita akan
dapat melihat hakikat kebesaran dan keagungan Allah dan akan menolak segala
pandangan selain daripada Allah. Hasilnya kita tidak lagi hidup dengan
mengharap kepada manusia, atau bergantung hidup kepada manusia. Tidak ada kuasa
yang lain selain Allah dan tidak ada yang boleh ditakuti selainNya. Di saat ini
akan datang ketenangan dan kebahagian hidup yang hakiki apabila setiapa waktu,
saat dan ketika Allah berada dalam diri kita.
Peranan Nur Ilahi
Nur atau cahaya Ilahi ini berperanan menguatkan semangat kepada hati dan
melemahkan nafsu yang bersarang di hati. Kemantapan tauhid dan keyakinan yang
kuat adalah hasil daripada bantuan
cahaya Allah yang menolong hambaNya dari dorongan nafsu dan syahwat. Hasil
daripada itu juga hati tidak akan berbelah bagi dalam mengikuti ajaran-ajaran
yang diperintah oleh Allah SWT. Maka jelas bahawa jika kita cenderung untuk
mengerjakan ajaran agama, bererti kita telah mendapat bantuan Allah. Apabila
telah ada kecenderungan ini, maka segala perintah Allah yang diperintah itu
dilakukan dengan rasa gembira dan senang sekalipun ia pahit untuk dilaksanakan.
Apabila Nur ini terjatuh ke dalam hati seseorang maka berlaku dorongan yang
kuat untuk taat kepada Allah dan urusan agamaNya.
Apabila Pergi dan Hilangnya Nur Ilahi
Apabila manusia terputus dengan Nur Ilahi,
maka nafsu akan berperanan untuk mengerjakan sesuatu yang dilarang oleh agama
dan hukum syarak. Maka seseorang itu akan merasai kelazatan akibat daripada
melakukan dosa dan maksiat. Dosa dan maksiat akan menjadi sebati dalam dirinya
dan terlalu sukar untuk dijauhi daripada kedua-duanya. Hati akan terpaut dan
menyintai dan akan sentiasa berangan-angan untuk melakukan kejahatan dosa sekalipun
mengetahui bahaya dosa tersebut.
Hati
yang gelap dipengaruhi oleh nafsu yang diimamkan oleh syaitan dan iblis. Hati
tidak akan mampu untuk mencapai kepada kehendaknya, iaitu mendekatkan diri
kepada Allah tanpa bantuan daripada Allah. Ini bermakna Nur Ilahi adalah
tentera yang diutuskan Allah untuk membantu kehendak hati manusia yang sentiasa
berada di atas dua persimpangan. Manakala nafsu pula akan sampai kepada
kehendaknya. Antaranya tugas kehendaknya ialah memperoleh syahwat dan keinginan
dunia yang tidak berlandaskan kepada kehendak agama, melampaiau batas sempadan
kemanusian dan menolak segala sifat mahmudah (kebaikan).
Nur Ilahi: Berfikir dengan Matahati
Anugerah kemenangan hati adalah al-Basyirah yang menjadi cahaya atau
penglihatan kepada hati yang dikenali sebagai matahati. Keadaan ini sebagaimana
juga mata zahir tidak boleh melihat tanpa bantuan cahaya yang menyuluh kepada
jalan yang ingin dilalui. Hal yang sama juga berlaku kepada matahati, ia tidak
akan dapat melihat dan mengenali sesuatu hakikat kebenaran yang datang daripada
Allah. Matahati perlu kepada cahaya yang akan menyuluh dalam kegelapan. Allah
SWT berfirman:
Ertinya: Maka sesiapa yang Allah kehendaki
untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka
hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk
menyesatkannya, nescaya ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya,
seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya).
Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.
Kesimpulannya, Nur Ilahi tidak akan datang secara
percuma. Hasil ketekunan ibadat, sabar dan bersih daripada segala dosa besar
dan kecil dan menjauh daripada penyakit hati maka Allah pasti akan melimpahkan
Nur IlahiNya kepada kita.
0 ulasan:
Catat Ulasan