Ads 468x60px

Labels

Khamis, 10 November 2011

Hijrah: Membangun Jiwa Kehambaan dan Khalifah


Pendahuluan

Manusia adalah gabungan antara jiwa (roh) dan raga (jasad). Dalam jiwa manusia terdapat akal dan hati, manakala pada raga manusia terdapat pancaindera. Segala input yang masuk ke dalam hati dan akal membolehkan manusia memahami, menyedari dan berfikir dengan baik serta bertindak dengan rasional. Justeru, manusia perlu mengubah jiwa mereka dan bukannya mementingkan perubahan jasad atau luaran semata-mata. Di dalam surah al-Ra’d Allah menjelaskan maksudnya:

“ Dia tidak mengubah keadaan individu itu sehingga individu itu sendiri yang mengubah apa yang ada dalam jiwa”

Jiwa Kehambaan


Manusia adalah orang kepercayaan Allah yang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian. Kita memikul tanggungjawab dan amanah membangun dan memakmurkan bumi Allah ini dengan sistem dan kehendaknya. Di dalam bahasa Arab konsep “Rabb” membawa makna yang banyak antaranya tuan punya, pemilik, ketua, pemimpin, pemerintah, pengasuh dan pendidik. Allah adalah pemimpin manusia yang mengajak kepada kehidupan Rabbani. Maka orang yang mendapat pimpinan Allah adalah mereka yang mengikuti sistem hidup yang ditentukan oleh Allah. Kejahilan tentang sistem Allah mengakibatkan kepada punca segala kerosakan dan kehancuran. Manusia sering mengejar kebendaan, namun sering kita lupa bahawa yang memberi kebendaan itu (Allah) adalah lebih penting dari segala sesuatu benda, sebagaimana antara makanan dengan yang membolehkan kita makan, manakah yang lebih penting? Antara mendapat kerja dengan yang membolehkan kita kerja? Antara berfikir dengan yang membolehkan kita berfikir? Antara pangkat dengan yang membolehkan kita pangkat? Antara berjaya dengan yang membolehkan kita berjaya?
            Apabila manusia sedar hakikat ini, maka secara jelasnya manusia sering berhajat kepada Allah selama putaran hidupnya. Manusia pada hakikatnya tidak terpisah dengan Allah walaupun sesaat. Ini kerana segala sesuatu yang dibuat oleh kita adalah dengan kehendak dan kuasa Allah SWT. Allah tersangat penting dalam kehidupan kita yang membolehkan kita dapat makan, minum, kerja dan lebih daripada itu membolehkan kita hidup dengan sempurna.

Hijrah: Menerima Bimbingan Allah

Allah adalah tuan punya ilmu dan guru kepada manusia yang membimbing akal dan hati manusia. Allah membimbing manusia dengan mendidik secara tegahan, larangan, suruhan, ancaman, peringatan, dorongan, penghargaan yang didatangkan menerusi al-Quran dan diutuskan para nabi dan RasulNya.
            Selain dari menyembah Allah, kita diseru agar memperhambakan diri kepadaNya.  Allah menciptakan dan menyediakan segala keperluan hidup bermula dari bangun dari tidur sehingga kembali semula tidur, semua ini adalah untuk memperhambakan diri, iaitu berkhidmat dan berbakti dengan penuh keikhlasan kerana Allah membangunkan harta-harta yang diamanahkan dengan penuh amanah, baik dan betul mengikut kehendakNya. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Nisa’:36 berbunyi:

Ertinya: Dan hendaklah kamu memperhambakan diri kepada Allah dan jangan kamu mensyirikkannya.

            Kesilapan besar manusia hari ini ialah menjadikan makhluk lain sebagai hamba. Apabila manusia sayang kepada harta, lalu mereka menghambakan diri kepada harta. Apabila sayang kepada anak, lalu diperhambakan diri kepada anak, akhirnya manusia secara tidak sedar menjadi hamba kepada dunia. Justeru, manusia perlu kembali kepada fitrah kehambaan yang sebenar yang membawa manusia kepada sifat-sifat taat, patuh, tidak sombong, amanah dan lain-lain. Penyalahgunaan dan penyelewengan yang dilakukan bukan sahaja buruk kepada dirinya tetapi kepada semua masyarakat.

Hijrah: Membangun Jiwa Khalifah

Setiap manusia yang lahir ke dunia memegang tangungjawab khalifah Allah di muka bumi ini. Membangun dan menguruskan bumi ini memerlukan kepada jiwa kehambaan. Jiwa ”al-’Abd” inilah yang menyebabkan manusia menjadi patuh dan tunduk kepada Yang Maha Berkuasa. Sentiasa berada dalam keadaan takut dan bimbang dengan amanah yang diterima. Jiwa kehambaan membolehkan peranan kekhalifahan berjalan dengan baik dalam kerangka fitrah kehambaan kepada Allah SWT. Keengkaran dan kedegilan manusia menyebabkan manusia bertindak melampaui batas kemanusian dan mendorong manusia melakukan kemaksiatan dan kerosakan.
            Kesimpulan, sempena kedatangan awal Muharram dan tahun baru ini, janganlah kita cemari dengan kekotoran dan noda maksiat sebagai permulaan kehidupan kita untuk menempuh tahun 2010. Marilah kita sama-sama memulakan langkah dengan azam dan tekad yang baru untuk membina dan meningkatkan kecemerlangan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Bahaya yang paling berbahaya dalam hidup bukanlah ketika gagal tapi gagal untuk mencuba lagi setelah gagal

Hadis Dhaif dan Kedudukannya Dalam Syariat Islam

Hadis dhaif atau hadis yang periwayatnya lemah berbeza dengan hadis maudu’ atau hadis yang direka-reka dan disandarkan kepada nabi saw. Terdapat beberapa pandangan ulamak tentang kedudukan hadis dhaif. Terdapat tiga pandangan para ulamak dalam hal ini, antaranya ialah:

Pandangan Pertama:
Menurut pendapat Qhadi Abu Bakar Ibn al-Arabi bahawa tidak harus secara mutlak beramal dengan hadis dhaif

Pandangan Kedua:
Menurut pendapat Abu Daud dan Imam Ahmad bahawa harus secara mutlak beramal dengan hadis dhaif

Pandangan Ketiga:
Menurut pendapat Ibn al-Mubarak, Imam al-Nawawi, al-Baihaqi bahawa beramal dengan hadis dhaif dalam perkara Fadhail al-A’mal, mau’izah (teladan), dan Qasas (cerita/ kisah).
Keharusan ini adalah bergantung kepada beberapa syarat:
  1. Hanya digunakan dalam perkara Fada’il a’mal sahaja (bab kelebihan beramal)
  2. Hadis yang digunakan tidak terlalu lemah
  3. Tidak berpegang/ beriktikad ketika beramal dengannya bahawa ia thabit/ tidak dinisbahkan kepada nabi saw tetapi secara ihtiyat (kebarangkalian) sahaja.



Kata Hatim al-Zahid: Empat perkara yang tidak difahami nilainya kecuali oleh empat:
  1. Nilai muda tidak difahami kecuali oleh orang yang telah tua
  2. Nilai kesihatan tidak difahami kecuali oleh orang yang telah sakit
  3. Nilai aman tidak difahami kecuali oleh orang yang telah terkena bala
  4. Nilai hidup tidak difahami kecuali oleh orang yang telah mati

Nasihat al-Qamah

Al-Qamah telah memberi pesanan kepada anaknya dalam membina persahabatan. Antaranya ialah:

Pertama: pilihlah sahabat yang suka melindungi diri sahabatnya. Dia adalah hiasan diri kita dan sahabat semasa senang dan susah.

Kedua: Pilihlah sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia akan menerima dengan rasa terharu. Jika ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebut-nyebut), dan menutupi segala keburukan dan keaiban yang ada pada dirimu.

Ketiga: Pilihlah sahabat yang apabila engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti dengan akan memberi. Jika engkau diam dia akan menyapamu. Jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankan serta menghiburkan dirimu.


Abu Wafa’ Ibn ‘Uqail al-Hanbali

“Aku tidak halalkan diriku mensia-siakan satu saat daripada umurku. Sekiranya lidahku terhenti daripada memberi peringatan dan pandangan mataku terhenti terhalang daripada mengkaji, aku akan tetap menjalankan fikiranku dalam keadaan aku rehat dan duduk. Kini aku dapati kegigihanku dalam mendalami ilmu ketika usia 80 tahun, adalah lebih kuat daripada kesungguhanku ketika berusia 20 tahun. Beliau dikatakan mengarang kitab kesusasteraan menjangkau 800 jilid”.

0 ulasan:

Catat Ulasan