Ads 468x60px

Labels

Rabu, 9 November 2011

Pemuda Harapan negara


Pendahuluan

Sejarah Islam menyaksikan kebangkitan Islam dan kekuatan ummah adalah apabila barisan pemuda berada di hadapan. Golongan ini mempunyai kekuatan fizikal dan mental, ketinggian semangat, dan mempunyai cita-cita dan idealisme. Runtuhnya zaman jahiliyah pada zaman nabi saw adalah hasil sokongan padu golongan pemuda yang menyahut seruan dakwah nabi saw. Kejayaan ini dapat dilihat di awal kebangkitan Islam di Makkah.
            Pemuda adalah kelompok yang terbesar yang menerima dakwah  nabi saw dan amat disayangi Baginda.  Nabi saw dilantik menjadi Rasul dan nabi ketika berumur 40 tahun, iaitu puncak kematangan umur seorang pemuda. Semasa di Makkah, Baginda dikelilingi oleh orang-orang muda yang tidak berbelah bagi dalam memberi sokongan kepada Baginda. Rakan terdekat dengan nabi saw, Abu Bakar berusia 38 tahun, Sayidina Umar ketika memeluk Islam berumur 27 tahun, Talhah bin Ubaidillah berusia 16 tahun, Mus’ab bin Umair berusia seawal 20an. Manakala al-Arqam bin Abi Arqam berumur 16 tahun. Begitulah juga sebahagian besar nama-nama besar sahabat yang lain adalah pejuang-pejuang muda yang hidup dengan penuh suka dan duka bersama nabi saw, seperti Ali Bin Abi Talib Ammar bin Yassir, Khabab al-Arrat dan lain-lain.

            Golongan muda ini berhadapan dengan Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Suffian bin Harb, Umayyah bin Khalaf, Syaibah bin Rabiah dan lain-lain adalah golongan tua yang angkuh dan sombong yang menjadi pemimpin-pemimpin Makkah. Usamah bin Zaid juga antara panglima muda dalam usia 20-an telah diberi kepercayaan memimpin angkatan tentera Islam bersama para sahabat yang lebih dewasa.
            Keadaan yang sama juga berlaku di Madinah. Golongan pemuda jugalah yang membela nabi saw dan Islam.  Merekalah yang membawa panji-panji Islam dalam mana-mana medan peperangan. Antaranya dalam perang Badar al-Kubra yang berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke-2H, Sayidina Ali, Ubaidah al-Harith dan lain-lain. Abu Jahal yang digelar sebagai “Firaun kepada Ummat Nabi Muhammad saw” telah tewas di tangan anak muda Abdullah bin Mas’ud. Begitu juga dalam perang Uhud, seorang anak muda Anas bin nadhar sanggup menjadi dirinya sebagai perisai untuk menyelamatkan diri Baginda, beliau syahid dengan 80 tikaman di seluruh badannya. Ditengah-tengah nabi saw terkepong muncul Abu Dujanah yang menyelamatkan nabi dan akhirnya beliau syahid di kaki Baginda saw.

Kemuncak Kemenangan Islam

Pada zaman Khulafa al-Rasyidin keperkasaan pemuda semakin terserlah apabila berhadapan dengan ancaman kuasa besar Rom di Balqa, peperangan al-Riddah. Demikian juga apabila Islam berjaya menguasai 2/3 dunia dan tersebarnya Islam ke mata dunia pada zaman Sayidina Umar al-Khattab adalah hasil tangan orang-orang muda sehingga Islam menjadi kuasa besar dunia, disegani kawan dan lawan. Sejarah yang sama turut berulang pada zaman kegemilangan empayar Islam Turki, seorang pemuda yang berusia 23 tahun, Sultan Muhammad al-Fateh telah berjaya menawan Kota Konstantinopel.
            Secara umumnya, dapat dirumuskan bahawa kekuatan, kejayaan dan keagungan umat terdahulu adalah disebabkan oleh tenaga pemuda yang membarisi barisan hadapan, menjadi tonggak kekuatan negara dan menjadi generasi harapan. Semua ini bertitik tolak daripada pemantapan akidah yang jitu dan amalan syariat yang konsisten.

Pemuda Hari Kini...

Zaman remaja adalah zaman penilaian diri, penentuan identiti dan tempoh pembentukan diri. Ini bermakna jika tersilap langkah masa depan mereka terlalu sukar untuk dibentuk. Justeru, pemuda hari ini perlu dipupuk potensi dan kekuatan dan kecemerlangan diri agar terarah mengikut apa yang telah disyariatkan dalam Islam. Prof. Yusuf al-Qardhawi telah menegaskan bahawa: “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi muda pada hari ini”. Jelas di sini bahawa golongan pemuda hari inilah yang akan mencorak masyarakat Islam akan datang. Baik pemuda hari ini, maka baiklah generasi akan datang. Namun demikian, melihat kepada  fenomena kehidupan pemuda hari ini amat membimbangkan. Mereka bukan lagi tidak menghayati ajaran agama, bahkan jauh dan sentiasa menjauhi agama. Inilah juga fenomena sejagat yang dihadapi oleh seluruh umat Islam di mana jua mereka berada.
            Menurut Abd Qadir Awdah daripada Mesir, di sana umat Islam yang benar-benar memahami dan menghayati agama hanya 20% sahaja, dan selebihnya buta tentang Islam. Begitu juga di Indonesia, sebuah Negara terbesar umat Islam, menurut al-Marhum Prof. Hamka,menyatakan bahawa hanya 15% mereka yang benar-benar berpegang kepada nilai agama, dan 85% perlu diislamkan.
            Maka tidak hairanlah hari ini pemuda kita dilanda penyakit tegar yang sukar diubat, apatah lagi untuk dirawat. Penyakit daripada dalaman dan luaran yang sukar untuk dikawal. Para pemimpin, pemerintah dan ibu bapa hari ini mencari-cari apakah vaksin terbaik yang dapat mengembalikan pemuda hari ini kepada landasan yang sebenar. Akibatnya antara satu sama lain saling menuding jari dan tuduh-menuduh. Maka benarlah Firman Allah Taala:

 “Sesiapa yang berpaling daripada peringatan Allah, maka mereka akan diberikan kepadanya kehidupan yang sempit…”

Kenapa Pemuda Generasi Terdahulu Hebat...?

Dalam analisa terhadap faktor-faktor kekuatan umat silam, Sayid Qutb merumuskan bahawa Ruh al-Islam (The Spirit of Islam) adalah jawapan yang tepat kepada persoalan ini. Ruh al-Islam adalah kekuatan yang tercetus dalam diri seseorang mukmin, yang hati nurani, akal, budi dan seluruh peribadinya sudah diwarnai dan diresapi oleh ajaran Ilahi. Sehinggalah segala tindak tanduknya dikendalikan oleh Iman dan Taqwa yang melahirkan sifat keikhlasan, ketulusan, dan sanggup berkorban demi agama.
            Dengan kekuatan ruh inilah Bilal bin Rabah menjalani derita seksaan Quraisy, kekuatan inilah yang mencetuskan kecekalan hati pemuda Ali bin Abi Talib yang sanggup menerima pelawaan nabi sekalipun nyawa menjadi tarungan. Kekuatan inilah juga yang menjadi faktor kemenangan tentera Islam di medan Badar, bilangan 300 berhadapan dengan 1000 tentera kuffar.
            Keagungan ruh al-Islam juga dapat dilihat dalam peristiwa pemecatan Khalid bin al-Walid oleh Khalifah Umar al-Khattab. Khalid al-Walid adalah panglima berjasa yang tidak pernah tewas dalam mana-mana peperangan, panglima yang belum ada tandingan dalam sejarah yang menjadi harapan kepada seluruh umat Islam. Di saat beliau berhempas pulas bertarung nyawa demi mempertahankan Islam beliau diarahkan oleh khalifah agar meletakkan jawatan. Hati mana yang tidak terguris, perasaan mana yang tidak tercalar.
            Peristiwa ini dirasakan oleh kita amat berat untuk terima, namun rupa-rupa sedikitpun tidak menjejas perasaan Khalid al-Walid, beliau tidak pernah meratapi ke atas pangkatnya yang digugurkan, malah kepatuhannya penghormatan kepada Khalifah Umar al-Khattab semakin tinggi. Semua pihak menerima tindakan ini dengan tenang di atas dasar semangat ketaqwaan dan keimanan kepada Allah SWT semata-mata untuk mendapat Ibtigha mardhatillah.

Kembali Kepada Fitrah...

Manusia yang dilahirkan ke muka bumi Allah ini secara fitrahnya memerlukan kepada Pencipta yang memberi pedoman, batasan, amaran, prinsip, peringatan dan lain-lain untuk ditaati dan dipatuhi. Tanpa dua sifat ini, iaitu taat dan patuh manusia tidak lagi berada dalam keadaan fitrah. Dua sifat ini juga menjadikan manusia bersifat teratur dan tertib dalam pengurusan diri dan sistem kehidupan seluruhnya.
            Sehubungan dengan itu, pemuda hari ini perlu dibimbing dengan kehidupan yang terarah agar mampu untuk  memimpin diri dan orang lain. Tanggungjawab rohaniyah perlu dibangunkan dalam diri mereka yang akan memberi kesan yang amat luar biasa. Pemuda mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan.
            Akhirnya, pemuda perlu diterapkan jiwa khalifah dalam diri mereka agar memahami setiap kita yang dilahirkan memegang jawatan penting iaitu, hadis nabi saw:

”Setiap dari kalangan kamu adalah pemimpin, dan kamu akan dipersoalkan tentang kepimpinan kamu”

Hadis nabi Muhammad saw: Mengumpul harta akan ditimpa 5 kesusahan:

i.              Bekerja keras dalam mengumpulkan harta
ii.             Lupa Allah kerana sibuk menguruskan harta
iii.            Sentiasa dalam keadaan ketakutan kerana bimbang hartanya dirampas dan dicuri orang
iv.            Hampir kepada bakhil
v.             Jauh dari orang-orang soleh kerana sibuk dengan mencari harta









0 ulasan:

Catat Ulasan