Ads 468x60px

Labels

Isnin, 5 Mac 2012

Siri 1: Kenali Alim Ulamak: Tok Selehor


Tok Selehor adalah salah seorang dari ulama’ lima serangkai yang paling masyhur di kalangan rakyat Kelantan. Ulama’ lima serangkai tersebut terdiri dari Tok Selehor sendiri (1871-1935) yang berasal dari Tumpat, Tok Kenali (1868-1933) dari Kota Bharu, Tok Bachok (1860-1953) dari Bachok, Tok Jelapang (1861- 1934) dari Pasir Mas dan Tok Kemuning (1885-1934) dari Machang. Tok Selehor yang merupakan sahabat baik Tok Kenali terkenal kerana kealimannya dalam ilmu agama. Beliau menyebarkan ilmunya kepada para pelajar dengan membina pondok di Kampung Selehor. Kini kampung tersebut dikenali dengan nama Kampung Kok Pasir. Kehebatan yang dimiliki oleh Tok Selehor dalam penyampaian dakwahnya telah menarik minat masyarakat dari penduduk tempatan dan luar khususnya dari Patani, Kemboja, Palembang, Jawa, Siak dan seluruh Tanah Melayu untuk datang menuntut ilmu dengannya.


Keluarga

Tok Selehor merupakan salah seorang ulama’ yang terkemuka di Kelantan. Tok Selehor juga terkenal
dengan nama panggilan Tok Selehong bagi kebanyakan masyarakat Kelantan. Nama penuh beliau adalah Abdul Rahman bin Usman bin Senik. Beliau dilahirkan di Kampung Lubuk Jong, Tumpat, Kelantan. Terdapat perselisihan mengenai tahun kelahiran Tok Selehor di mana ada sesetengah pengkaji menyatakan Tok Selehor dilahirkan pada tahun 1289H/1872M manakala pendapat yang lain mengatakan beliau lahir setahun lebih awal iaitu pada tahun 1871M. Dari kecil hingga dewasa, Tok Selehor dibesarkan di bawah didikan kedua ibu bapanya sendiri iaitu Haji Usman bin Senik dan Mek Wi binti Muhamad Amin (Ismail Che Daud, 2001). Sebagai seorang ulama’, Tok Selehor mempunyai keperibadian yang tinggi hasil didikan daripada kedua orang tuanya yang sangat mementingkan pendidikan agama. Tok Selehor bukan sahaja seorang yang berani, pemurah, suka beribadat dan tidak suka bercakap perkara yang sia-sia bahkan beliau dikenali ramai sebagai seorang ulama’ yang sangat zuhud, warak dan tawaduk (Tajuddin Saman & Ab. Manaf Haji Ahmad, 2005).

Tok Selehor mula mendirikan rumahtangga dengan mengahwini Wan Halimah binti Dollah ketika berhijrah ke Patani untuk menuntut ilmu di sana. Melalui perkahwinan pertama ini, beliau dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Haji Mohamad, Kalsum dan Abu Bakar. Setelah tamat pengajian di Patani, beliau pulang ke Kelantan terlebih dahulu sebelum meneruskan pengajiannya di Mekah. Di Mekah, beliau telah berkahwin untuk kali kedua dengan Hajjah Aishah binti Haji Mahmud yang berasal dari Penambang, Kota Bharu. Namun begitu perkahwinan tersebut tidak bertahan lama, Tok Selehor berpisah dengan Hajjah Aishah setelah beliau pulang ke Kelantan. Sekembalinya Tok Selehor ke tanah air, beliau berkahwin pula dengan Hajjah Mek binti Mat Saman dari Lambor, Wakaf Bharu dan dikurniakan dua orang anak perempuan iaitu Hajjah Khadijah dan Hajjah Maimunah. Kemudian Tok Selehor bertemu jodoh dengan dengan Che Bidah binti Hj. Umar yang juga berasal dari Penambang, Kota Bharu. Setelah itu beliau berkahwin pula dengan Che Chik binti Che Man. Melalui perkahwinan ini, beliau juga dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Aisyah yang kemudiannya menjadi isteri kepada Tuan Guru Haji Awang Jal (Ismail Che Daud, 2001).

Tok Selehor kembali ke rahmatullah pada usia 64 tahun iaitu pada malam Khamis, 18 Zulkaedah 1353H bersamaan 20 Februari 1935M setelah menderita sakit kepala yang berpanjangan selama lapan hari (Wahba & Hafiz Hamzah, 2007).

Latar belakang pendidikan

a. Pendidikan Awal

Pengajian al-Quran merupakan pendidikan asas yang sangat penting bagi kebanyakan masyarakat di Kelantan pada ketika itu. Bagi Tok Selehor, beliau sangat beruntung kerana mendapat pendidikan awal khususnya pengajian al-Quran dari ayahnya sendiri iaitu Haji Usman bin Senik yang merupakan seorang guru al-Quran di kampungnya. Kemudian beliau dihantar oleh ayahnya mempelajari Bahasa Arab dengan Tuan Guru Haji Abdul Malek di Sungai Pinang, Kelantan (Wahba & Hafiz Hamzah, 2007).

b. Belajar di Patani

Setelah menamatkan pengajian al-Quran dan Bahasa Arab, Tok Selehor menyambung pengajiannya di Patani untuk mendalami pengetahuan agama Islam. Di sana, beliau berguru dengan Tuan Guru Haji Abdul Rashid, Kuala Bekah. Namun begitu, pengajian tersebut terbantut apabila Tuan Guru Haji Abdul Rashid ditangkap oleh kerajaan Thai kerana dikhuatiri pengaruhnya boleh menimbulkan masalah politik di Selatan Thailand. Peristiwa tersebut tidak mematikan keazaman Tok Selehor untuk menuntut ilmu. Beliau kemudiannya menyambung pengajiannya dengan Tuan Guru Haji Abdullah Bendang Jong. Tok Selehor menuntut ilmu di Patani selama tujuh tahun. Sepanjang pengajiannya, Tok Selehor pernah berulang-alik dari
Kelantan ke Patani dengan berjalan kaki. Beliau tidak berasa takut dengan penyamun yang ada di sekitar perjalanannya kerana Tok Selehor mahir dalam ilmu persilatan (Tajuddin Saman & Ab. Manaf Haji Ahmad,
2005).

c. Menyambung Pengajian di Mekah

Setelah Tok Selehor menamatkan pengajian pondok di Patani, beliau kembali ke Kelantan. Kemudiannya beliau berhijrah ke Mekah untuk menimba ilmu agama di kota suci Mekah. Di sana Tok Selehor berguru dengan ramai ulama’. Antara ulama’ yang menjadi gurunya termasuklah ulama’ Melayu yang terkenal di Mekah iaitu Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1856M-1906M) (Ahmad Fathy al-Fatani, 2009). Beliau merupakan ulama’ yang mentashihkan dan menterjemahkan kitab al-Hikam karya Syeikh Ibnu Atha'illah al-Sakandari ke dalam Bahasa Melayu. Syeikh Wan Ahmad al-Fathani dipercayai mengajar kitab tersebut di rumahnya di Mekah dan juga di Masjidil Haram. Beliau merupakan murid kepada Syeikh Nawawi al-Bantani, seorang ulama’ Melayu yang telah mensyarahkan kitab Maulid iaitu Kitab Barzanji karya Syeikh Jaafar al-Barzanji ke dalam Bahasa Melayu di mana kitab tersebut menceritakan hari kelahiran Rasulullah s.a.w. Setelah Syeikh Wan Ahmad al-Fathani wafat, Tok Selehor mendalami ilmu-ilmu alat Bahasa Arab, ilmu fiqh khususnya fiqh Mazhab Syafi’i dan pelbagai ilmu qiraat dari bapa saudara Syeikh Wan Ahmad al-Fathani iaitu Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani (w. 1936M). Ketika Tok Selehor belajar kitab fiqh dengan Syeikh Wan Daud al-Fathani (Ahmad Fathy al-Fatani, 2009), beliau membuat catatan mengenai ilmu yang dipelajarinya sehinggakan sahabat baiknya iaitu Tok Kenali pernah meminjam catatan beliau mengenai Kitab Munyatul Musalli hasil karya Syeikh Daud al-Fathani bin Abdullah (1769M-1846M) untuk digunakan bagi mengajar pelajar-pelajarnya (Ahmad Fathy al-Fatani, 2009). Tok Selehor kembali ke tanah air pada tahun 1340H/1921M setelah menuntut ilmu di Mekah selama kira-kira lapan belas tahun.

2.3 Keistimewaannya

Tok Selehor mempunyai pelbagai keistimewaan tersendiri. Di sebalik statusnya sebagai ulama’, beliau sangat meminati binatang-binatang yang cantik seperti kuda, biri-biri jantan, ayam jantan yang memiliki suara yang merdu dan sebagainya. Beliau seringkali meluangkan masa senggangnya dengan memburu rusa dan memukat ikan. Kebiasaannya Kuala Tumpat menjadi pilihan tempat beliau memukat ikan. Uniknya, hasil tangkapan yang diperolehi Tok Selehor akan dibahagi-bahagikan kepada penduduk di sekitar pondoknya dan anak-anak muridnya. Tok Selehor juga mempunyai minat membaca buku-buku sastera lama berbentuk syair seperti Hikayat Siti Zubaidah, Dandan Setia dan sebagainya. Beliau juga turut tersohor dengan kebolehannya dalam bersyair dan mengarang syair. Tambahan pula, tiada siapapun yang dapat menandingi kepandaian Tok Selehor mengarang syair pada ketika itu. Bakat yang ada pada dirinya beserta anugerah suara yang merdu menjadikan beliau lebih dikenali ramai dengan panggilan Penyair kita. Kelebihan ini telah menarik minat penduduk tempatan dan sekitarnya untuk datang menuntut ilmu agama dengan beliau.

Selain itu, beliau turut memiliki kehebatan dalam ilmu silat. Kepandaiannya dalam ilmu persilatan menyebabkan beliau tidak takut kepada penyamun dan orang-orang jahat yang berkeliaran ketika berulang-alik menuntut ilmu dari Patani ke Kelantan (Wahba & Hafiz Hamzah, 2007).

2.4 Sumbangannya

a. Membuka Pondok

Tok Selehor memainkan peranan penting dalam memperkembangkan ilmu pengajian Islam melalui penubuhan pondok. Setelah selesai pengajiannya di Mekah pada tahun 1340H, beliau membuka sebuah pondok di atas tanah milik ayahnya di tepi Sungai Selehor (Tajuddin Saman dan Ab. Manaf Haji Ahmad, 2005). Dalam pengajarannya, beliau lebih menekankan ilmu Tasawwuf dengan menjadikan kitab Hikam Syeikh Ibnu Atha'illah al-Sakandari sebagai rujukan utama. Selepas beberapa tahun, pondok tersebut semakin dikenali dan berkembang sehingga ramai yang datang menuntut ilmu di situ. Pelajar-pelajar pondok
Tok Selehor bukan sahaja terdiri dari masyarakat tempatan, bahkan ada yang datang dari Johor, Melaka,
Pulau Pinang, Pahang, Palembang, Jawa, Siak dan sebagainya.

Kecenderungan Tok Selehor terhadap ilmu tasawwuf dalam sistem pengajian pondok yang didirikannya adalah kerana beliau sangat menekankan penyucian hati atau dalam kata lain tazkiyyah al-nafs. Hal ini terbukti apabila beliau membina sebuah tempat beribadah kepada Allah yang khusus di kawasan perkuburan berhampiran pondoknya yang kini dikenali sebagai Tanah Perkuburan Kok Pasir. Ia merupakan tempat suluk dan dibina sama saiz dengan kubur untuk memastikan hatinya tidak menjadi sombong dan riak dengan kemasyhurannya serta untuk sentiasa mengingatkan dirinya tentang mati.

b. Mengajar Kitab Hikam

Tok Selehor sangat meminati ilmu Tasawwuf. Kecenderungan terhadap ilmu tersebut menjadikan beliau lebih suka mengajar kitab Hikam karangan Syeikh Ibnu Atha'illah al-Sakandari. Pada pandangan Tok Selehor, dengan mempelajari kitab tersebut seseorang dapat memperbaiki hati dan mendekatkan diri kepada Allah serta menjauhkan diri dari sifat-sifat yang keji. Tok Selehor sering mengingatkan murid-muridnya mengenai dosa dalam sesi pengajiannya dengan metode dakwah yang sangat berkesan. Ia terbukti apabila ada di kalangan hadirin yang menangis kerana takut dan menginsafi terhadap dosa yang telah dilakukan setelah mendengar kuliah yang disampaikan oleh Tok Selehor (Ismail Che Daud, 2001). Tok Selehor mengajar kitab Hikam di Pondok Selehor pada setiap hari Selasa. Pada hari tersebut ramai orang yang datang dari pelbagai tempat antaranya dari Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Palekbang, Kelong, Tumpat, Bunohan, Telaga Bata, Geting dan sebagainya semata-mata untuk mendengar pengajaran Tok Selehor yang menarik. Selain itu, Tok Selehor juga mengajar di tempat lain seperti di Wakaf Bharu. 

Di sana, Tok Selehor menjadikan masjid sebagai salah satu tempat pengajarannya. Dalam kuliahnya, Tok Selehor suka menceritakan kisah Israk dan Mikraj yang berlaku ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w Gaya penceritaan yang dibawa oleh Tok Selehor menjadikan seolah-olah masyarakat mesra dan dekat dengan Nabi Muhammad s.a.w, bahkan ada yang terpaksa memanjat pokok kelapa demi melihat Tok Selehor membacakan kisah Israk dan Mikraj. Kehebatan Tok Selehor dalam menyampaikan ilmu tasawwuf menjadikan ramai orang yang berubah menjadi lebih baik. Antaranya ada yang tidak solat berubah menjadi rajin untuk solat, yang mempunyai akhlak yang buruk bertukar kepada akhlak yang baik. Tok Selehor juga berjaya menghapuskan amalan masyarakat setempatnya yang suka melakukan pemujaan hantu dan amalan-amalan khurafat.

c. Mendamaikan Suami Isteri

Tok Selehor turut memberikan sumbangan dalam mengeratkan hubungan dan mendamaikan suami isteri yang berbalah. Dengan bakat yang dimilikinya dalam mengarang syair-syair dan mengalunkan bait-bait syair yang indah, beliau membantu pasangan suami isteri yang bermasalah dalam rumahtangga mereka. Bahkan ada suami yang bermasalah telah meminta pertolongan Tok Selehor menulis surat syair yang puitis untuk dihantar kepada isterinya yang merajuk. Akhirnya isteri yang merajuk kembali berdamai. Berikut adalah contoh syair yang dikarang oleh Tok Selehor bagi mendamaikan suami isteri:

Tiap-tiap malam kanda bermimpi Sedap rasanya tiada terperi
Adinda di tengah kanda di tepi Harum baunya umpama kasturi
Menghisap rokok meminum kopi Suka dan hilai senang di hati
Memeluk tengkuk mencium pipi. Kasih mesra sehingga mati.

d. Mengadakan Sambutan Maulidurrasul Secara Besar-Besaran

Sambutan Maulidurrasul yang diadakan julung kalinya oleh Tok Selehor sebenarnya telah dilakukan oleh para ulama’ terdahulu sama ada di dunia Arab mahupun dunia Melayu sejak zaman berzaman. Ulama’ terdahulu meraikan hari kelahiran Nabi s.a.w dengan pelbagai aktiviti sama ada melalui bacaan Barzanji, Burdah dan sebagainya. Barzanji ialah satu bentuk seni suara Islam yang mengandungi bacaan yang dikaitkan dengan peribadi dan sejarah hidup Rasulullah s.a.w yang dimulai dengan bacaan surah al-Fatihah, puji-pujian terhadap Nabi, selawat dan diakhiri dengan doa. Barzanji bukanlah nama sebenar bacaan tersebut, tetapi ia adalah sandaran kepada nama pengarangnya iaitu Syeikh Jaafar al-Barzanji yang berasal dari Madinah. Beliau merupakan seorang ulama’, khatib di Masjid Nabawi, sasterawan dan penyair di zamannya telah menghasilkan himpunan kisah kelahiran dan riwayat hidup Rasulullah s.a.w bagi menanamkan perasaan cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w dan disampaikan dalam bentuk gaya suara dan
irama tertentu (Jaafar al-Barzanji, 1996).

Menurut al-Marhum Wan Mohd. Shaghir Abdullah, penulis Khazanah Fathaniyah, terdapat beberapa ulama’ Melayu yang mensyarahkan kitab Maulid Barzanji antaranya ialah Syeikh Nawawi al-Bantani yang telah menghasilkan karya maulud yang berjudul Targhibul Musytaqin li Bayani Manzhumatis Saiyid Barzanji Zainal `Abidin fi Maulidil Awwalin wal Akhirin. Beliau merupakan guru kepada Syeikh Wan Ahmad al-Fathani. Syeikh Wan Ahmad al-Fathani, guru kepada Tok Selehor juga turut menyumbangkan penulisan berkaitan dengan Barzanji yang dihasilkan dalam bentuk puisi. Selain itu, sahabat baik Tok Selehor iaitu Tok Kenali telah menterjemah kitab Burdah Imam Busiri yang diberi judul Risalah al-Durr al- Manthur. Jelas di sini bahawa ketiga-tiga ulama’ tersebut yang saling mempunyai perkaitan antara satu sama lain sangat menekankan berkenaan bacaan Barzanji dengan menghasilkan penulisan berkenaan maulid Nabi.

Namun sumbangan Tok Selehor sedikit berbeza daripada guru dan sahabatnya di mana beliau membawa pendekatan dengan memberi kefahaman kepada masyarakat tentang keharusan sambutan Maulidurrasul dengan mengadakan perarakan dan bacaan Barzanji. Pendekatan berbeza yang dibawa oleh Tok Selehor tersebut telah menjadikan beliau ulama’ Kelantan yang pertama mengadakan majlis sambutan Maulidurrasul secara besar-besaran. Dalam majlis tersebut, Tok Selehor membacakan Barzanji dengan penuh perasaan dan mengadakan perarakan secara besar-besaran bagi menanam rasa cinta kepada Rasulullah s.a.w dalam kalangan masyarakat. Cara sambutan Maulidurrasul sedemikian telah mendapat kritikan dari akhbar-akhbar tempatan. Namun, Tok Selehor tetap meneruskan perarakan dan bacaan Barzanji. Hasilnya ribuan manusia menyertai majlis tersebut yang bukan sahaja datang dari sekitar Kelantan, malahan ada yang datang dari luar Kelantan.

Tulisan : Siti Aisyah Binti Yusof, Noor Hidayah Binti Kasim, Muhammad Saiful Islami Bin Mohd Taher, UiTM Kedah, dalam Seminar Ulamak Kelantan

0 ulasan:

Catat Ulasan