Ads 468x60px

Labels

Sabtu, 31 Disember 2011

2011 Dalam Kenangan


Pendahuluan

TAHUN 2011 akan meninggalkan kita beberapa hari sahaja lagi dan akan menjelangnya 2012. Ia bermakna helaian catatan perjalanan hidup kita bagi tahun 2011 turut berlalu tanpa dapat kita pastikan apakah ia dipenuhi dengan perkara kebaikan atau sebaliknya. Ia juga bermakna usia kita semakin bertambah. Bagi seorang muslim yang prihatin, pastinya perjalanan hidup yang lalu sentiasa di muhasabah dan direnungi. Agar perjalanan seterusnya benar-benar berada di landasan yang betul dan tidak terpesong. Ia kerana jiwa manusia sangat cepat berubah, ada ketika baik dan ada ketika tidak. Malah, kecenderungan untuk melakukan perkara terlarang lebih kuat dorongannya. Justeru, menjadi suatu kemestian bagi kita yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah membuat muhasabah bagi menilai sejauh mana peningkatan diri kita khususnya di dalam melaksanakan perintah Allah dan menuruti sunnah Nabi saw.

Rabu, 28 Disember 2011

Adab Memohon Doa dengan Allah

Pendahuluan

Sesuatu yang amat ditekankan dalam hubungan antara manusia dengan manusia ialah tentang adab, sama ada ketika bercakap, bergaul dan lain-lain. Adab antara manusia dengan manusia begitu jelas dengan menjaga hubungan yang baik, dan menunaikan tanggungjawab serta hak mereka. Namun demikian, sejauhmanakah manusia menjaga adab dengan Allah SWT, sebagai tuan kepada manusia. Kita tidak hanya dituntut menjaga adab dengan manusia sahaja, bahkan juga dengan Allah SWT. Seorang wali Allah yang bernama Wahab r.a. mengatakan:

”Aku telah membaca dalam sebahagian kitab-kitab suci, bahawa Allah SWT berkata: Hambaku, patuhlah kepadaku terhadap apa yang telah aku perintahkan kepadamu, dan jangan kamu mengajar aku dengan sesuatu demi kemuslihatanmu”. Aku akan memuliakan kepada sesiapa sahaja yang memuliakan aku, sebaliknya aku akan menghina sesiapa yang merendah-rendahkan perintahku, dan Aku tidak melihat pada hak seseorang hamba sehingga hamba itu melihat pada hakKu”.

Selasa, 27 Disember 2011

Waqf Property Management and Administration

Waqf Property Management and Administration

Rabu, 14 Disember 2011

Ramadhan: Mendidik Sifat Bersabar


Pendahuluan

Sabar menurut pandangan ulamak Dzun nun al-Mishri ialah menjauhkan diri dari mengingkari, tenang ketika berhadapan bala dan tidak berhajat kepada makhluk ketika fakir dan dalam menempuh kesusahan hidup. Al-Jurjani pula menjelaskan sabar ialah tidak mengadu tentang penderitaan bala kepada selain Allah. Manakala menurut al-Asfahani, sabar ialah menahan diri terhdp apa yg dituntut oleh akal dan syarak sama ada disuruh melakukan atau dituntut agar tidak melakukannya.
           
Kelebihan Bersabar

Menurut Abdullah Ibn Salam r.a. pada hari Kiamat akan dibangkitkan orang-orang yang sabar dan diseru supaya pergi ke Syurga tanpa dihisab. Balasan ini diberikan kepada mereka yang sabar di atas ketaatan kepada Allah dan sabar daripada melakukan maksiat, serta sabar di atas segala ujian yang datang daripada Allah SWT. Allah SWT merakamkan di dalam al-Quran tentang kelebihan ini dalam firman Allah SWT:

Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang Bersabarlah sahaja akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira"

Khamis, 8 Disember 2011

UNSUR HARAM DALAM PENDAPATAN



Mencari dan mendapatkan rezeki di bumi Allah ini adalah amat dituntut sebagai satu kewajipan. Justeru Allah SWT mengizinkan umat manusia agar menikmati apa jua rezeki yang baik di dunia ini. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Mulk ayat 15:


    Ertinya: Dialah yang menjadikan bumi ini mudah bagi kamu. Maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezekinya…”
           
Kita perlu menyedari bahawa setiap pekerjaan dan menghasilkan pendapatan yang halal, sebenarnya kita melaksanakan perintah Allah SWT di dalam ayat di atas. Ia dianggap sebagai satu ibadah dan amal soleh yang menghampirkan diri kita kepada Allah SWT. Ini bermakna ibadat kita tidak hanya dikhususkan kepada amalan solat, berzakat, haji dan lain-lain, tetapi setiap pekerjaan dan usaha sama ada sebagai pegawai kerajaan, atau bekerja sendiri tergolong sebagai ibadah, selagi niat kita untuk mendapat keredhaan Allah serta menepati dengan syarat-syarat kerjaya yang ditetapkan oleh Allah SWT dan RasulNya.
            Sehubungan dengan itu, apa-apa hasil atau pendapatan dan perbelanjaan setiap di antara kita tidak akan terlepas daripada dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat nanti. Rasulullah saw bersabda:

عن معاذ بن جبل: قال رسول الله (صلى): لا تزول قدما عبد يوم القيامة حتى يسؤل عن أربع خصال: عن عمره فيما أفناه؟ وعن شبابه فيما أبلاه؟ وعن ماله من أين أكتسبه وفيما انفقه؟ وعن علمه ماذا عمل فيه؟


Ertinya: Tidak akan bergerak kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ditanya empat perkara: umurnya ke mana dihabiskan, zaman mudanya ke mana dihabisnya, hartanya dari mana diperoleh dan dimana dibelanjakan, dan ilmunya apa yang dilakukan dengannya.

Di dalam hal ini Rasulullah saw mengingatkan umatnya bahawa antara ujian yang akan dihadapi oleh umat akhir zaman ialah harta.  Inilah juga yang amat dibimbangi dan ditangisi oleh Sayidina Umar al-Khattab ketika tentera Islam berjaya menawan Parsi dan merampas mahligai Istana Puteh. Nabi saw bersabda:
      
Ertinya: Sesungguhnya bagi setiap ummat itu ada cabaran dan ujian, ujian bagi umatku adalah harta.           
           
Islam telah meletakkan prinsip yang jelas dalam setiap urusan berkaitan dengan harta dan pendapatan agar ia tidak mendatangkan kezaliman dan penganiayaan kepada pihak lain. Ini kerana harta yang diperoleh akan memberi kesan kepada hati, akhlak dan tindak-tanduknya

Bahaya Godaan Harta Dunia

Yusuf al-Qardhawi menjelaskan bahawa manusia sering tergoda dengan harta kekayaan. Godaan harta bukan hanya pada mengumpulkan harta, menyimpan  dan mendapatkannya dalam bentuk yang halal, tetapi juga dalam bentuk yang haram sama ada disedari atau tidak, atau sengaja tidak menyedari dan mengetahui tentang haram atau syubahat harta berkenaan. Inilah sikap manusia sejak dahulu sehingga sekarang ada di kalangan mereka yang bukan sahaja tidak boleh menerima hukum-hakam yang dijelaskan kepada mereka, bahkan mempersoalkannya yang akhirnya membawa kepada hilangnya keberkatan dalam hidup.          Allah SWT merakamkan sikap manusia di dalam surah al-Qalam ayat 14-15 :
            Ertinya: Kerana dia seorang hartawan dan ramai anak-anaknya (maka ia mendustakan ugama Kami)?. apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat keterangan kami, ia berkata: " (Ini ialah) cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala".

Ingat Sebelum Terlambat

Manusia apabila berada di puncak kekayaan, mereka hilang pertimbangan tentang peraturan dan hukum-hakam yang ditetapkan Allah, apatah lagi unsur-unsur keberkatan. Manusia sering dan sengaja melupakan bahawa Allah dengan KurniaNya dan kebaikanNya menjamin rezeki hamba-hambaNya. Allah berfirman di dalam surah al-Ankabut ayat 60:
Ertinya: dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dia lah jua yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.


Pada zaman hari ini kekayaan adalah lambang kehormatan dan kemuliaan manusia di sisi manusia. Menurut Syeikh Ibn Asyur manusia perlu menyedari bahawa amal soleh dan keberkatan daripada harta adalah perlu diutamakan daripada harta yang banyak, tetapi tidak halal. Biarlah harta yang diperoleh sedikit tetapi halal dan kita tidak banyak dipersoalkan di akhirat, dan sedikit masa sahaja menunggu di padang Mahsyar.

Unsur-unsur Haram dalam Pendapatan Harta dan Kerjaya

Beberapa perkara yang perlu diketahui oleh para pekerja terutama mereka yang bekerja makan gaji. Sebahagian tindak-tanduk ini telah menjadi amalan atau kebiasaan sehingga tidak diragui keharamannya. Semua ini adalah dianggap menipu dalam pendapatan harta yang diharamkan oleh Allah SWT.

1. Menggunakan peralatan Syarikat untuk tujuan peribadi

Terdapat di kalangan pekerja yang menggunakan kertas, pen, fax, menelefon anak di rumah, rakan-rakan dan lain-lain yang tidak ada hubungan dan kaitan dengan kerjayanya. Ia adalah haram kerana menggunakan hak syarikat untuk kepentingan peribadinya.

2. Menipu Syarikat Ketika Membuat Tuntutan

Membuat tuntutan berlebihan seperti kos minyak, pembelian peralatan syarikat dengan kos tambahan sendiri, atau pekerja berjaya mendapat harga yang lebih murah. Contohnya RM1 500 tetapi menaikkannya kepada RM2000, dan bakinya RM500 diambil. Begitu juga membuat Quatation sendiri daripada syarikat yang tidak wujud untuk mendapatkan tender sesuatu barang.
Bagaimanapun jika pegawai berkenaan berterus terang dengan majikannya dan memohon sebarang intensif atas kejayaan dan kecekapannya mendapat dan mengurangkan kos syarikat dengan mencari barang yang lebih murah, maka harus mengambilnya dengan izin majikan.

3. Membuat Tuntutan Kerja Lebih Masa dengan Perancangan

Hukum haram kepada pekerja yang sengaja melambatkan kerjanya pada waktu biasa dengan niat untuk melakukan kerja lebih masa atau Over Time. Sekalipun hukum asalnya adalah harus, tetapi ia diharamkan kerana melengahkan waktu bekerja biasa dengan harapan untuk mendapat bayaran gaji yang lebih.

4. Menerima Hadiah Khas

Pegawai yang bertanggungjawab sengaja memilih syarikat tertentu mendapatkan tender kerana dijanjikan imbuhan khas. Begitu juga jika pegawai yang berkenaan sengaja memilih dan mencadangkan syarikat tertentu untuk mendapatkan tender kepada majikannya kerana mempunyai saham atau pelaburan/ perkongsian dalam syarikat tersebut. Semua aktiviti seperti ini adalah diharamkan.

5. Resit Harga Palsu

Pegawai yang bertanggungjawab membeli barang untuk kegunaan syarikat dan membuat pakatan dengan penjual barang untuk menaikkan harga barang dan ditulis di dalam resit dengan harga yang lebih tinggi daripada harga sebenar. Pihak pembekal juga berdosa kerana bersyubahat dengan membuat resit palsu.
            Begitu juga jika penjual enggan bekerjasama maka pegawai berkenaan mencipta resit palsu. Semua ini adalah diharamkan di dalam Islam.

6. Mengguna Syarikat Sendiri

Pegawai yang mempunyai kuasa untuk menawarkan tender tetapi menggunakan kuasanya sendiri membekalkan barangan jualannya daripada syarikatnya sendiri tanpa pengetahuan majikannya adalah haram. Sebaliknya jika majikan telah diberitahu dan bersetuju tanpa sebarang syarat kerana barangan yang dibekalkan berkualiti dan harga yang kompetitif berbanding syarikat yang lain, maka ia dihukumkan harus, kecuali majikannya mensyaratkan mesti memberikan kepadanya komisyen, maka ia diharamkan.
                       
(Rujukan:  Buku Wang, Anda & Islam, Tulisan al-Fadil Ust Zaharudin Abd Rahman, Pensyarah UIAM)

Hadis nabi saw: Sesiapa yang telah kami ambil mereka melakukan suatu pekerjaan dan telah ditetapkan baginya gaji atau upah, maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan)
                                                (Hadis riwayat Abu Daud)




Kata Ulamak lelaki itu terbahagi kepada 4:

1. Lelaki yang berilmu dan dia tahu bahawa dia berilmu, dia adalah orang yang alim, maka ikutilah dia.
2.   Lelaki yang berilmu tetapi dia tidak tahu bahawa dia berilmu, dia adalah orang yang tidur,  maka kejutkanlah dia.
3.   Lelaki yang tidak berilmu dan dia tahu bahawa dia tidak berilmu, dia adalah orang yang minta petunjuk, maka tunjukilah.
4.   Lelaki yang tidak berilmu tetapi dia tidak tahu bahawa dia tidak berilmu, dia adalah orang yang jahil, maka tinggalkanlah dia.





Tasawuf & Kaunseling: Ke Arah Pemantapan Akhlak Mukmin

Kedudukan Ilmu Tasawuf
Ilmu Tasawuf ialah ilmu yang membicarakan tentang pembersihan dan penyucian hati untuk sampai ke tahap ihsan dalam melaksanakan ubudiyyah kepada Allah SWT. Ilmu tasawuf dapat menyembuh manusia daripada pelbagai penyakit batiniyyah dan mengembalikan manusia kepada landasan keikhlasan dan mencapai kesucian serta kesempurnaan yang asal (fitrah). Justeru, sasaran ilmu ini adalah untuk mentarbiyah insan agar memiliki peribadi dan budi pekerti atau akhlak yang mulia.
Ramai di kalangan kita yang mementingkan ilmu Tauhid dan Fiqh, namun mengabaikan ilmu tasawuf. Kepentingan mempelajari ilmu ini telah digambarkan oleh Imam Malik yang mengatakan, seseorang yang mempelajari ilmu Fiqh dengan mengabaikan tasawwuf, dia menjadi fasiq, menghimpunkan kedua-duanya adalah berjaya merealisasikan kebenaran”. Imam Syafie pula menjelaskan:” Aku cinta tiga perkara dari dunia kamu: meninggalkan kepura-puraan, melembutkan perwatakan dengan kebaikan, dan mengikuti jalan yang dilalui oleh golongan ahli tasawuf”.
Maka untuk membangunkan masyarakat mukmin yang beriman, bertaqwa dan berakhlak mulia hendaklah mempelajari ketiga-tiga ilmu yang dinyatakan. Kemewahan hidup dan kecintaan serta lalai dengan dunia menjadikan umat Islam lupa kepada Allah dan ajaran agama yang menjamin kesempurnaan hidup dunia dan akhirat.

Selasa, 6 Disember 2011

Hijrah dan Jihad: Ke Arah Mencari Petunjuk & Agama Yang Benar

Pendahuluan

Menurut Ibn Taimiyah jihad pada hakikatnya ialah berusaha bersungguh-sungguh untuk menghasilkan sesuatu yang diredhai oleh Allah SWT dari keimanan, amal soleh dan menolak sesuatu yang dimurkai oleh Allah dari kekufuran, kefasikan dan kederhakaan. Firman Allah SWT:


“Dan orang-orang yang berusaha bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak Agama kami, Sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan kami (yang menjadikan mereka gembira serta peroleh keredhaan) dan Sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya”.