Ads 468x60px

Labels

Isnin, 5 Mac 2012

Saat Menghadapi Sakaratulmaut


Setelah satu persatu anggota tempat keluarnya roh maka terasa kedinginan anggota tersebut. Apabila roh sampai ke kerongkong, ia berhenti sekejap. Maka di saat ini penyesalan kita tidak lagi diterima, hilanglah pandangan kita terhadap dunia, dan bayangan alam kubur mula menjelma. Di saat inilah juga pintu taubat telah tertutup.[1] sebagaimana yang dikatakan oleh Baginda saw;

إِنَّ الله  يَقْبَلُ تَوْبَةَ العَبْدِ مَالَمْ يُغَرْغِرُ

Ertinya: Sesungguhnya Allah sentiasa menerima taubat seseorang hamba selama belum sampai saat ghargharah.



Izrail selaku ketua kepada segala Malakul Maut yang menjadi pembantunya. Roh manusia akan ditarik oleh para malaikat dan ketika berada di ubun-ubun, maka malaikat Israil menjalankan tugasnya. Roh akan keluar dan ditarik daripada tumit atau kaki, kemudian ke betis, paha, perut, dada, kerongkong, kepada dan akhirnya dicabut dari ubun-ubun, dengan diiringi oleh mata melihat ke arah ubun-ubun tersebut.
Sakaratul maut itu merupakan sebuah pertarungan yang amat dahsyat. Rasulullah saw menggambarkan kesakitan sakaratulmaut seumpama 300 kali paluan pedang. Menurut sebahagian ulamak, ia seumpama lebih daripada 1000 kali paluan pedang. Seluruh anggota menjadi lemah, lidah menjadi kelu, fikiran menjadi gelap dan tidak berupaya untuk meminta tolong, mengadu atau menyampaikan isi hati. Semua dari kalangan kita pasti dan wajib akan melaluinya, tanpa seorangpun terlepas. Masa-masa yang amat menakut dan menggerunkan ini akan dirasai sekali dalam seumur hidup di dunia. Tidak terkecuali sama ada miskin atau kaya, raja atau rakyat, doktor atau pesakit, alim atau jahil. Firman Allah Taala:

Ertinya:  Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa, dan akan kekallah zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan Kemuliaan.

(Surah al-Rahman:26-27)

Allah SWT juga berfirman:


Ertinya:  Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati.


Menurut Sheikh Daud al-Fatani,[2] ketika ini kita akan nampak sesuatu yang tidak pernah dilihat dengan mata kasar sepanjang hidup kita. Kita akan melihat bakal berakhirnya  kehidupan kita sama ada ia menggembirakan atau sebaliknya. Kenikmatan atau azab, rahmat atau kehinaan. Allah yang disediakan untuk kita, maka taubat dan penyesalan tidak berguna lagi. Inilah juga keadaan yang diterangkan oleh Allah dalam Surah al-al-Nisa’:18:

Ertinya: Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: "Sesungguhnya Aku bertaubat sekarang ini," (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. orang-orang Yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

’Amru bin al-’As r.a. merupakan seorang sahabat yang yang dikenali sebagai seorang yang cerdik dan pakar strategik sehingga beliau digelar ”Singa Arab”. Ketika disaat beliau bertarung dengan kematian, beliau ditanya oleh anaknya Abdullah:[3]

”Wahai bapaku, engkaulah orang yang paling layak untuk menggambarkan tentang kematian, Jawab ’Amru: ” Wahai anakku, Demi Allah, sesungguhnya medan kematian ini amat sakit dan menakutkan, seolah-olah semua gunung-ganang yang berada dibumi ini diletakkan di atas dadaku, dan seolah-olah sekarang aku bernafas dari lubang jarum”.

Di dalam kisah lain yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab Sahihnya di saat kematian ’Amru menangis tanpa henti, lalu Abdullah menghampiri bapanya seraya bertanya kepadanya empat soalan.

Kenapakah kamu menangis di saat kematian kamu, sedangkan kamu sudah beragama Islam, bukankah kamu telah berhijrah bersama nabi saw, bukankah kamu dilantik sebagai pemimpin panglima perang dan bukankah kamu telah berjaya menakluki negeri Mesir?

Setelah mendengar pertanyaan anaknya, suara tangisan ’Amru semakin menjadi dan memalingkan wajahnya ke dinding. Selepas itu dia menghalakan wajahnya ke arah orang ramai dan menceritakan perihal tangisannya. Dia telah melalui tiga fasa dalam kehidupannya. Semasa aku di zaman jahiliyyah, aku tidak mengenali Islam, dan orang yang paling aku benci ialah insan yang bernama Muhammad saw. Sekiranya aku mati disaat itu, sudah pasti aku temasuk penghuni neraka Jahannam. Kemudian aku memeluk Islam, Baginda Rasulullah saw memegang erat tanganku, seraya bertanya: ”Apakah yang kamu mahu ’Amru? Aku menjawab: ”Aku ingin Allah mengampuni dosaku”. Pada waktu itu orang yang paling aku sayangi adalah Rasulullah saw. Namun sayangnya, Allah tidak mengambil nyawa aku pada waktu ini, aku tidak meninggal di saat aku bersama Rasulullah saw. Jika aku mati bersama Rasulullah saw, besar kemungkinan aku menjadi penghuni Syurga. Sekarang, Rasulullah saw telah wafat, sekarang aku tidak tahu sama ada aku akan ke Syurga atau dicampakkan ke neraka. Namun aku masih memiliki kalimah yang sangat aku perlukan untuk berhadapan dengan Allah SWT. Kemudian ’Amru memegang erat tangannya seolah-olah memegang erat kalimah tauhid. Setelah dia mengucap dua kalimah syahadah, beliau meninggal dunia.
Umar al-Khattab telah ditanya oleh Kaab al-Ahbar tentang sakitnya kematian disaat roh keluar daripada badan. Beliau menggambarkan sengsara kematian itu sepertimana seseorang yang dipukul dengan sebatang pokok yang berduri tajam. Setiap duri itu akan menusuk masuk ke dalam setiap urat saraf. Sebaik sahaja ia ditarik dengan kuat, maka setiap duri akan melekat pada urat saraf tersebut dan ikut sama tercabut.
Imam al-Ghazali[4] menceritakan tentang kematian katanya, kadangkala lidah mayat menjadi berat, ketika para malaikat mengambil rohnya daripada anak jari dan hujung jarinya. Bagi orang yang baik roh akan keluar seumpama keluarnya titisan air daripada tempat minuman. Sebaliknya bagi orang yang jahat atau kafir, maka ditariknya roh itu seumpama menarik besi yang panas yang dibakar di atas api. Kadang-kadang mayat itu menyangka perutnya dipenuhi dengan duri, dan dirasa bagaikan terhimpit antara langit dan bumi.



[1] Shahrin Nasution (2006), Menyingkap Tabir Hidup Sesudah Mati, cet.1, Pustaka al-Shafa: Kuala Lumpur, hlm.35-36.
[2] Syeikh Daud bin Abdullah (2007), Misteri Alam Kubur, cet.1, Sinar Media Services: Kuala Lumpur, hlm.4-5
[3] Al-Qarni Aid bin Abdullah (2007), op. cit., hlm.18
[4] Syeikh Daud bin Abdullah (2007), op. cit., hlm.48

0 ulasan:

Catat Ulasan