Sudah lama laman ini tidak terisi dengan
pengisian suci lantaran batasan waktu yang mengehadkan pancainderaku untuk
menyampaikan wadah tatkala fardhu kifayah lebih mendambakan perhatian dariku.
Namun sisa-sisa waktu kurniaan Ilahi pasti ku gunakan sebaiknya agar ia tidak
terisi angan-angan kosong yang menjadi faktor kegagalan muslimin dan muslimat
hari ini.
Malam tadi, sebelumku melelapkan mata, aku
sempat membelek helaian-helaian buku yang kupinjam dari rakan seperjuanganku.
Ku lihat kulit depan buku itu sepintas lalu- "Soal Hati” hasil
karya Mohd Afendi Mat Rani. Lantas, persoalan bermain di fikiranku, "apakah
yang cuba disampaikan oleh penulis berdasarkan judul tersebut?”. Ku biarkan
persoalan itu bermain di benak fikiranku, kerna ku pasti jawapannya ada di
dalamnya. Lantas ku lihat sepintas lalu isi kandungannya. Bab 32 buku tersebut
menarik perhatianku-"Faktor Kegagalan Manusia: Panjang Angan-angan”.
Subhanallah, aku segera memuhasabahkan diri ini kerna ku rasa angan-angan
sering menjadi temanku kebosanan menjengah, sayugia kelapangan tidak terisi
tarbiyah Ilahi. Mudah-mudahan, Allah menjauhkan diri ini dari kelalaian dan
kealpaan dunia yang sementara.
"Seseorang yang mempunyai banyak
angan-angan menghalang dirinya daripada melakukan segala kebaikan dan membawa
kepada kejahatan dan fitnah” – Soal Hati, 134
Tatkala kita lebih memilih nafsu dan hati,
syaitan semakin girang mendorong kita. Angan-angan palsu menjadikan hati
manusia keras dan alpa akan kehidupan akhirat yang kekal abadi.
"Berlalulah masa yg panjang atas mereka
dengan panjang umur dan angan-angan, lalu hati mereka menjadi keras” – Surah
al-Hadid:16
Bagaimana hati ini bisa dilembutkan???
Hati manusia bisa dilembutkan tatkala sering
mengingati kematian, kubur, pahala, dosa, azab Allah dan urusan akhirat.
Sebagaimana kata-kata Imam al-Ghazali:
'Kalau kamu memanjangkan angan-angan, maka kuranglah
taat kamu kepada Allah, terlambatlah untuk bertaubat, banyaklah perkara maksiat
yg akan kamu lakukan, bertambahlah tamak haloba, keras hati dan besarlah
kelalaian kamu. Lalu akhirat akan berlalu pergi tanpa bekalan”.
Nauzubillah....
Sahabatku, mahukah kita pulang ke akhirat
tanpa bekalan? Dapatkah kita bayangkan betapa pedih dan azabnya saat nyawa
ditarik dari hujung kaki sampai ke ubun-ubun rambut? Sedangkan Rasulullah SAW
yang nyawanya ditarik dengan penuh kelembutan oleh Malik Izrael itu masih
merasakan kesakitan, inikan kita yang hanya manusia biasa, yang tidak punya
kemaksuman, yang saban hari bergelumang dosa. Apa yang bakal kita jawab tatkala
Malaikat Mungkar dan Nakir menyoal amalan kita di alam barzakh kelak? Mampukah
kita menyelamatkan jasad kita tatkala binatang-binatang berbisa: ular,
kala-jengking, lipan mengelilingi jasad kita di alam barzakh kelak? Apakah yang
akan diperakukan oleh pancaindera kita di akhirat kelak? Sesungguhnya
pancaindera kita lebih taat kepada Allah SWT, mereka adalah saksi akan
perlakuan kita di dunia ini. Kita yang seringkali mengheret mereka bersama ke
arah kelalaian dan kemungkaran ar-Rabb.
Subhanallah...
Pasti sahabat-sahabat semua mengimpikan
kesudahan yang baik, ”Khusnul Khatimah”. Oleh itu, kembalilah sahabatku,
kembalilah pada kebenaran, segeralah kita meninggalkan kebatilan dunia yang
penuh muslihat syaitan. Tinggalah segala kemungkaran, sayugia rahmat Allah
pasti sentiasa memayungi hambaNya yang bertaqwa.
Pahlawan Islam ternama, yang pertama memeluk
Islam, juga menantu kesayangan Rasulullah SAW, iaitu Saidina Ali bin Abi
Talib pernah berkata:
"Sesungguhnya yang paling aku takuti
terhadap diri kamu ada dua, panjang angan-angan dan mengikut hawa nafsu.
Ketahuilah bahawa panjang angan-angan melupakan akhirat dan mengikut nafsu akan
memalingkan drpd kebenaran. Jika fikiran dan kebanyakan urusan hidup kita
tertumpu pada percakapan dunia, sebab-sebab kehidupan, dan hal-hal urusan
persahabatan dan lain-lain, maka hati kamu akan menjadi keras”
Nauzubillah...semoga amalan kita sentiasa mencegah kita
dari bersifat demikian..
Ingatlah sahabatku, dunia ini hanya sementara,
akhirat jua yang kekal abadi, berpada-padalah dalam menguruskan hal duniawi.
Justeru, akhirat jua yang kekal abadi. Maka, kejarlah yang abadi agar kita
mendapat redha Ilahi.
Isa ibn. Maryam mengatakan mengatakan setiap
kita hanya memiliki tiga hari :
"...dunia itu hanya tiga hari sahaja.
Kelmarin yg berlalu dan tiada satu pun drpdnya yang tertinggal di tangan kamu.
Esok kamu tidak mengetahui sama ada kamu sempat dengannya atau tidak? Maka hari
ini yang kamu sedang berada padanya, maka hendaklah kamu merebut peluang
keuntungan drpdnya”.
Auf bin Abdullah pula mengatakan usia kita
hanya sehari :
"...betapa ramai orang yg sihat melalui
satu hari, tetapi dia tidak sempat menghabiskannya kerana dijemput ajal. Betapa
ramai yg menunggu esok hari tetapi tidak sempat menemuinya.”
Abu Zar al-Ghifari pula mengatakan usia kita
hanya tiga saat sahaja :
"...dunia ini hanya tiga saat sahaja.
Saat yg berlalu, saat yg kamu berada padanya dan saat yg kamu tidak mengetahui
sama ada kamu sempat dengannya atau tidak. Maka sebenarnya kamu tidak memiliki
melainkan satu saat sahaja, kerna maut itu datang drpd saat ke saat.”
Tetapi Abu Bakar al-Warraq menyatakan, kalau
usia itu tiga saat ia sebenarnya dikira panjang kerna usia manusia sebenarnya
bukan tiga hari, bukan sehari, bahkan bukan juga tiga saat, tetapi hanya tiga
nafas sahaja.
"...dunia ini hanya tiga nafas sahaja. Nafas
yang telah berlalu, nafas yg kamu kerjakannya iaitu nafas yg kamu sedang berada
padanya, dan nafas yg kamu tidak mengetahui sama ada kamu sempat dengannya atau
tidak. Berapa ramai orang yg bernafas lalu dikejutkan oleh maut sebelum sempat
bernafas yg lain. Maka sebenarnya kamu tidak memilik melainkan satu nafas
sahaja, bukan satu hari atau satu jam.”
Oleh yg demikian, kita semua haruslah
bertaubat dalam nafas yg pertama kerna mungkin kita tidak sempat untuk bernafas
pada nafas yg kedua.-Soal Hati:135.
Maut itu terlalu hampir dan paling dekat
dengan kita. Tiada yg lebih dekat melainkan maut. Justeru, sama-samalah kita
memuhasabahkan diri ini yg sering kali leka tatkala iman manusia itu seperti
roda, kadangkala di atas, kadangkala di bawah. Mohonlah pada Allah agar kita
diberi ketetapan iman dan keteguhan hati agar kita mampu memilih kebenaran dan
menolak kebatilan.
Wassalam....
P/s: Sebahagian daripada isi artikel ini
adalah petikan daripada "Soal Hati", hasil karya:Mohd Afendi Mat Rani
Bloggers with an occupation of I am a medical student..matlamatku kelak ingin mnjadi doktor muslimah yg solehah dan berbakti untuk masyarakat dan agama.. .
Nurayunie Abd Halim, Universitas Hasanuddin : Macassar, South Sulawesi : Indonesia
0 ulasan:
Catat Ulasan