Ads 468x60px

Labels

Ahad, 26 Februari 2012

Rukun Wakaf: Lafaz Wakaf


2.1.3    Lafaz Wakaf (Sighah)


Lafaz wakaf adalah perlu bagi memperjelaskan bahawa pewakaf benar-benar ingin menyerahkan hartanya untuk dijadikan wakaf. Ini bermakna seseorang yang ingin mewakafkan hartanya untuk kegunaan umum, maka dia hendaklah melafazkan seperti: Aku mewakafkan rumah ini untuk fakir miskin di kampung ini. Dengan lafaz ini maka terlaksanalah wakaf  tersebut. Pernyataan lafaz wakaf boleh dilaksanakan secara lisan, tulisan ataupun melalui isyarat yang boleh difahami sebagaimana kehendak pewakaf. Lafaz wakaf itu terbahagi kepada dua, iaitu lafaz soreh dan lafaz kinayah. Lafaz soreh adalah lafaz yang dilakukan secara nyata dan jelas dengan menggunakan kalimah wakaf. Manakala lafaz kinayah ialah disebut dengan pelbagai kalimah seperti kata: Aku kekalkan rumah ini untuk orang miskin. Cara kinayah ini boleh diterima seandainya disertakan dengan niat.


Para fuqaha bersependapat mengatakan bahawa Wakaf Am iaitu pewakafan harta kepada pihak yang tidak ditentukan (umum) seperti fakir miskin, masjid dan sebagainya tidak memerlukan kepada lafaz penerimaan sebagai syarat dalam sighah wakaf.[1] Namun mereka berselisih pendapat tentang lafaz wakaf yang ditentukan (ta‘yin) kepada seseorang individu. Menurut pandangan ulama mazhab Hanafi dan Hanbali, wakaf sudah terlaksana dengan ijab (penawaran) daripada sebelah pihak iaitu pewakaf sahaja, meskipun ia telah ditentukan kepada individu tertentu secara khusus. Sebaliknya ulama yang sealiran dengan mazhab Maliki dan Syafi‘i serta sebahagian ulama mazhab Hanbali berpendapat bahawa ijab dan qabul diperlukan apabila mewakafkan kepada individu tertentu.[2]

Ulama mazhab Maliki menegaskan bahawa Implikasi wakaf adalah bergantung sepenuhnya kepada ijab pewakaf dan apa yang dikehendakinya. Jika pewakaf hanya mewakafkan manfaatnya sahaja maka penggunaan ‘ayn wakaf itu tidak lebih daripada manfaatnya sahaja tanpa memiliki sepenuhnya ‘ayn yang diwakafkan. Sebagai contoh jika pewakaf hanya mensyaratkan rumah yang diwakafkan hanya sekadar manfaatnya sahaja, maka harta wakaf berkenaan tidak boleh dijual atau disewa kepada pihak yang lain.[3]

2.1.4    Syarat-syarat Sighah Wakaf

Hukum syarak teleh menetapkan beberapa syarat berkaitan Sighah atau lafaz wakaf seperti berikut:

A)        Berkekalan Atau Berterusan (Ta’bid)

Jumhur ulama selain Maliki berpendapat wakaf tidak sah jika ditentukan kepada suatu tempoh tertentu. Ini kerana objektif wakaf itu adalah semata-mata bertujuan untuk mendekatkankan diri kepada Allah SWT[4] Oleh itu, ulama mazhab Hanafi mensyaratkan harta yang hendak diwakafkan itu adalah terdiri daripada harta kekal, kerana ia dapat memberikan manfaat yang berterusan. Menentukan tempoh adalah sama seperti menafikan hukum wakaf yang disyariatkan untuk disedekahkan secara berterusan. Maka harta alih tidak boleh dijadikan harta wakaf, kecuali harta ini berada bersama-sama dengan harta kekal atau ia terdapat di dalam nas atau ia tergolong sebagai ‘urf.[5]

Mazhab Syafi‘i mensyaratkan berkekalan sebagai syarat yang mutlak tanpa terikat dengan masa. Namun terdapat di kalangan sesetengah daripada ulama mazhab Syafi‘i, Hanafi dan Zahiri berpendapat bahawa wakaf yang bertempoh adalah sah tetapi syaratnya sahaja yang terbatal.[6] Menurut ulama mazhab Maliki, berkekalan atau berterusan adalah tidak menjadi syarat utama dalam urusan pewakafan harta, sekalipun melibatkan wakaf masjid. Tempoh wakaf diharuskan sama ada setahun atau lebih, sehingga waktu yang diketahui. Ini kerana tidak terdapat dalil yang menegah daripada menentukan tempoh.

Amalan kebaikan tidak disyaratkan sama ada bertempoh atau berterusan. Selepas berakhirnya tempoh tertentu,  hak pemilikan itu akan dikembalikan kepada pewakaf atau ahli waris. Tujuan tidak ditentukan tempohnya adalah supaya menggalakkan lagi orang ramai mewakafkan harta mereka.[7] Undang-undang Wakaf Mesir (No.48) 1946[8] telah mensyaratkan bahawa wakaf adalah diharuskan secara berterusan dan sementara, kecuali wakaf masjid mestilah disyaratkan berterusan. Bagi wakaf Ahli (sebelum dibatalkan) mestilah disyaratkan sementara.

B)        Tidak Terdapat Syarat Yang Boleh Membatalkan Urusan Pewakafan Harta

Syarat batil ialah apa yang terkeluar daripada syarat asal wakaf atau menafikan hak pewakafan. Antaranya seperti pewakaf mensyaratkan harta wakafnya itu untuk dijual, digadai, dihadiah atau akan diwakafkan selepas kematiannya. Ini adalah pendapat mazhab Abu Hanifah. Contohnya apabila seseorang itu berkata: “Aku mewakafkan rumahku sebagai sedekah dengan syarat bahawa aku akan menjualkannya atau dengan syarat aku akan membelanjakan apabila aku kehendaki, atau mensyaratkan kepada salah seorang yang berhak.” Syarat ini adalah terbatal menurut pendapat yang rajih dalam mazhab Hanafi.[9]

Terdapat pengecualian hukum pada sighah wakaf yang berhubung dengan hak pelepasan pengawalan seperti seseorang yang berkata: “Apabila tibanya bulan Ramadhan, rumah ini akan aku jadikannya sebagai masjid”. Sighah jenis ini adalah sah menurut pendapat ibn Raf‘ah.[10]  Ini kerana wakaf masjid tidak memberi apa-apa implikasi terhadap syarat yang membatalkan wakaf.  Wakafnya tetap sah, tetapi  syaratnya  sahaja  terbatal.[11]

C)          Tidak  Berkait Dengan Perkara Yang Tidak Wujud Pada Waktu Akad

Perkara yang berkemungkinan wujud pada masa hadapan,[12] seperti apabila seseorang berkata:  “Rumah ini disedekahkan sebagai harta wakaf kepada pelajar miskin jika aku dapat memilikinya”. Sighah wakaf seperti ini tidak sah, dan rumah tersebut tidak akan disifatkan sebagai harta wakaf walaupun ia dimiliki selepas itu kerana perkara yang diingininya itu tidak wujud semasa  hendak diwakafkan. Seolah-olah seperti dia berkata: “Sekiranya aku memiliki rumah ini, ia akan dijadikan harta wakaf, jika sebaliknya maka ia tidak diwakafkan”.[13]

Jika sighah yang dikaitkan selepas kematian pewakaf, maka wakaf itu akan bertukar menjadi wasiat secara mutlak dan mengambil tempat hukum wasiat dan harta itu akan dibahagikan kepada ahli waris untuk diuruskan, apabila pewakaf meninggal dunia sebelum merujuk kembali syarat itu. Sebagai contoh apabila seseorang itu berkata: “Apabila aku meninggal dunia maka tanah aku ini akan aku sedekahkan sebagai wakaf kepada pihak tertentu”. Maka apabila ia dikaitkan dengan kematian setelah setahun atau sakit, instrumen wakaf  itu akan terbatal.[14]

D)        Sighah Wakaf  Yang Diucapkan Itu Hendaklah  Muktamad (Ilzam).

Akad wakaf tidak sah jika dilakukan melalui  akad janji atau adanya pilihan bersyarat (Khiyar al- Syart). Contohnya seseorang itu berkata: “Aku mewakafkan binatang ini kepada fakir miskin dengan syarat bagiku tempoh pilihan tiga hari”. Menurut  pendapat ulama Syafi‘i,  Muhammad b. Hassan dan Hanbali, sighah yang tidak muktamad adalah terbatal seperti sighah yang berkait dengan Khiyar al-Syart[15] Namun ada juga sesetengah ulama mazhab Syafi‘i dan Hanafi mengesahkan wakaf tersebut, tetapi syaratnya terbatal.[16] Pada pendapat ulama mazhab Maliki, sighah yang tidak muktamad adalah sah. Abu Yusuf juga sependapat dengan mazhab ini, tetapi mensyaratkan sighah yang tidak muktamad itu mestilah dimaklumkan terlebih dahulu.


[1] Al-Nawawi, Abu Zakariyya Yahya (1991), op. cit., hlm.324. Al-Khinn, Mustafa Sa‘id (1992), op. cit., hlm.27. Ibn Qudamah, op. cit., hlm.187. Taqi al-Din Abi Bakr b. Muhammad al-Syafi‘i (t.t.), op. cit., hlm.198.
[2] Al-Khinn, Mustafa Sa‘id (1992), op. cit., hlm.26. Ibn Qudamah, Muwaffaq al-Din Muhammad ‘Abd Allah b. Ahmad b. Muhammad (1999), op. cit., hlm.187. Al-Maydani, ‘Abd al-Ghani al-Ghanimi (1985), op. cit., hlm.389. : Ibn Qudamah, Muwaffaq al-Din Abu Muhammad ‘Abd Allah (t.t), op. cit., hlm.188.
[3] Al-Khafif, ‘Ali (1990), op. cit., hlm.191.
[4] Abu Zahrah, Muhammad (1971), op. cit., hlm.63.  Al-Khinn, Mustafa Sa‘id (1992), op. cit., hlm. 25. Ibn Qudamah (1999), op. cit., hlm.217. Al-Nawawi, Abu Zakariyya Yahya (2000) (1991), op. cit., hlm.325.
[5] Ahmad Farraj Hassan (1986), op. cit., hlm.322. Badran, Badran Abu al-‘Aynayn (1986), op. cit., hlm.282.
[6] Al-Kubaysi, Muhammad ‘Ubayd (1977), op. cit., hlm.239-239.
[7] Al-Dardir, Abi al-Barakat Ahmad b. Muhammad b. Ahmad (1986), op. cit., hlm.98-99. Ahmad Faraj Hassan (1986), op. cit., hlm.322. Badran, Badran Abu al-‘Aynayn (1986), op. cit., hlm.282.
[8] Undang-undang Wakaf Mesir memperuntukkan tiga kategori wakaf yang mempunyai tempoh dan tidak bertempoh. Lihat: Al-Zuhayli, Wahbah (1989), op. cit., hlm.205.
[9] Ahmad Farraj Hassan (1986), op. cit., hlm.321. Ibn Qudamah (1999), op. cit., hlm.192.
[10] Al-Syirbini (1994), op. cit., hlm.537-538.
[11] Syaykh ‘Abd Allah b. Syaykh Hassan (1988), op. cit.,  hlm.422. 
[12] Badran, Badran Abu al-‘Aynayn (1986), op. cit., hlm.278.
[13] Ahmad Farraj Hassan (1986), op. cit., hlm.361.
[14] Badran, Badran Abu al-‘Aynayn (1986), op. cit., hlm.280.
[15] Ibn Qudamah (1999), op. cit., hlm.192. Al-Kubaysi, Muhammad ‘Ubayd (1987), op. cit., hlm.224. Al-Syirazi (1995), op. cit., hlm.324.
[16] Muhammad Kamal al-Din (1998), op. cit., hlm.206.

0 ulasan:

Catat Ulasan