Ads 468x60px

Labels

Isnin, 5 Mac 2012

Dunia Tanpa Penghujung

Buah amal di dunia ini ialah merasakan lazat manisnya amal itu. Sehingga dirasakan ia sebagai nikmat yang tidak ada tolak bandingnya. Atabah al-Ghulam mengatakan: Saya melatih diri sembahyang malam 20 tahun, setelah itu barulah aku dapat merasakan nikmat bangun malam. Begitu juga Thabit al-Bunani, beliau melatih membaca al-Quran selama 20 tahun, barulah dia dapat merasakan nikmatnya membaca al-Quran.[1]
            Ramai di kalangan kita sekarang yang beribadah, tetapi tidak menikmati rasa beribadah. Kenikmatan beribadah yang sebenar dapat berhasil apabila diri sentiasa dilatih melakukan ibadah dengan khusyuk. Abu Turrab menjelaskan jika kita bersungguh-sungguh dalam niat amal, maka kita dapat merasakan nikmat amal itu sebelum mengerjakannya lagi. Beliau menambah lagi, manisnya ibadat itu pada tiga. Jika kita belum menemuinya, ketahuilah bahawa pintunya masih tertutup iaitu ketika membaca al-Quran, berzikir dan ketika sujud.[2] Hilangnya khusyuk di dalam ibadah dihalang oleh cinta dunia. Cara untuk menolak daripadanya ialah bertajarrud kepada Allah, iaitu mengosongkan hati daripada cintakan kepada dunia dan hidup secara berzuhud.

            Yahya Ibn Muaz menyatakan bahawa:[3]
           
Aku sama sekali tidak memerintahkan kamu untuk meninggalkan dunia, tetapi aku memerintahkan kamu supaya meninggalkan dosa-dosa. Meninggalkan dunia adalah keutamaan, tetapi meninggalkan dosa adalah kewajipan. Sesungguhnya menegakkan kewajipan adalah lebih penting daripada sebuah keutamaan (yang sifatnya tidak wajib).


Dua perkara ini iaitu mengosongkan hati dan berzuhud diperlukan kerana:


a)         Supaya Ibadat Kita Mantap Dan Sempurna

Sesungguhnya kesibukan kita dengan dunia dan kasih kepadanya akan menjadikan kita seorang yang sibuk dari segi zahir dan batin. Kesibukan zahir bermaksud kita sentiasa sibuk siang dan malam dengan mencari habuan dunia yang tidak diketahui hujung dan pangkalnya. Masa yang diperuntukkan selama 24 jam dirasakan pendek dan tidak mencukupi. Masa dirasakan sempit dan sentiasa dalam keadaan kelam kabut dan tidak tenang. Manakala kesibukan batin pula bermakna kita sentiasa memendam keinginan dan kehendak yang belum tercapai. Hati sentiasa teringat kepada dunia hingga menjadi tajuk utama percakapan hati. Kedua-dua faktor inilah yang menjadi penghalang kepada ibadat. Ini kerana diri kita dan hati yang ada pada kita dua perkara yang berbeza. Apabila hati sentiasa sibuk dengan sesuatu perkara, maka hati akan terputus dengan anggota lain yang menjadi lawan kepada hati.
Dunia dan akhirat itu diumpamakan sebagai kehidupan seorang yang bermadu. Jika pasangan itu melebihkan salah satu daripadanya, maka pasti akan membangkitkan kemarahan pihak yang satu lagi itu. Dunia dan akhirat juga seumpama Timur dan Barat. Jika kita mengadap ke arah Timur, sudah tentu kita membelakangi arah Barat dan begitulah sebaliknya. Jika kita menuju ke Barat bermakna kita meninggalkan Timur.
Abu Darda’ seorang sahabat nabi saw yang alim, bijaksana lagi zuhud. Beliau berjuang bersama-sama nabi saw mengatakan bahawa:

“Aku telah mencuba untuk menghimpunkan antara ibadat dan perniagaan. Namun aku dapati kedua-dua keadaan ini tidak oleh dihimpunkan. Lalu aku menumpukan salah satunya iaitu kepada ibadat dan aku meninggalkan perniagaan.


“Sekiranya dunia dan akhirat dapat dikumpulkan antara kedua-duanya pada satu masa, sudah pasti Allah SWT akan menganugerahkan kepadaku. Ini kerana Allah memberikan kepadaku kekuatan dan kelembutan hati.

Sekiranya Sayyidina Umar seorang yang warak, zuhud dan terkenal seorang tokoh ulamak di kalangan para sahabat yang luas ilmunya, tajam fikirannya, banyak meriwayatkan hadis nabi saw, namun diri beliau tidak mampu untuk mengejar dunia dan akhirat pada satu masa. Maka jika ini keadaannya, apatah lagi diri kita sudah tentu sekali tidak mampu. Malah dalam keadaan meninggalkan salah satunya pun kadang-kadang kita kecundang, lemah dan tidak berjaya. Jika kedua-duanya dikejar dibimbangi dunia yang dikejar tidak dapat dan akhirat keciciran sebagai pepatah Melayu mengatakan apa yang dikejar tak dapat dan apa yang dikendung berciciran.
Jika inilah keadaannya, maka hendaklah kita merasai bahawa mengejar dunia akan memudaratkan diri kita dan kita hendaklah berada dalam situasi berwaspada. Pilihlah kehidupan yang selamat, nescaya kita akan mendapat kesejahteraan. Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud:
 jb
” Sesiapa yang mencintai dunia, maka ia akan memudaratkan dirinya. Sesiapa yang mencintai akhirat maka ia akan memudaratkan dunianya. Maka hendaklah kami mengutamakan kehidupan yang kekal daripada yang fana’.”

Kalimah ini juga pernah diungkapkap oleh Abdullah ibn Mas’ud, kata beliau:[4]

”Sesiapa yang mengejar dunia, maka ia akan bersusah payah di akhirat. Sesiapa yang mengejar akhirat, maka ia akan bersusah-susah di dunia. Wahai kaum muslimin, bersusah-susahlah dengan yang fana’ (dunia) untuk mendapat akhirat yang kekal.

Maka jelas lagi nyata kepada kita, bahawa apabila diri kita sentiasa sibuk dengan dunia dan batin kita juga menuruti yang zahir, maka bukan mudah untuk kita menumpukan diri kepada ibadat dengan sebenar-benarnya. Kita selalu mendengar kisah-kisah di dalam masyarakat dan kadang-kadang ia berlaku kepada diri kita sendiri, sahabat handai, rakan taulan kita. Diusia muda kadangkala rezeki yang datang tidak semudah diusia tua. Semakin meningkat usia, semakin melimpah ruah rezeki yang datang. Akhirnya kita beranggapan bahawa Allah menyayangi kita. Allah sayang kepada kita sebab segala permintaan kita dimaqbulkan. Kehendak kita dipenuhi tanpa perlu bersusah payah sebagaimana sebelumnya. Lantas kita bersangka baik terhadap diri kita bahawa Allah memberkati dan meredhai hidup kita. Kesenangan dan limpahan rezeki tidak dirasakan bahawa itu adalah ujian daripada Allah sama ada kita mampu menghadapinya atau tidak. Akhirnya selama ini sembahyang yang dilakukan tepat pada waktunya semakin melewati waktu. Sembahyang yang selama ini dipenuhi dengan berzikir, bertahmid dan bertasbih, kini kita dilakukan seberapa segera kerana mengejar masa. solat berjemaah yang jarang ditinggalkan, kerana kesibukan dunia kini jarang dilakukan kerana kesempitan masa. semakin hari semakin jauh diri kita dengan Allah.
            Apabila kita mampu berzuhud pada dunia, kita berjaya mengosongkan hati zahir dan batin daripada kesibukan dunia, menghilangkan kasih dan cinta yang keterlaluan kepada dunia, maka mudahlah bagi kita untuk mendirikan ibadat. Seluruh anggota lain akan membantu kita, menolong meringankan untuk beribadat. Akhirnya kita semakin cergas untuk beribadat. Hati semakin tertunggu-tunggu dan akan hadir kemanisan dan kehebatan beribadat. Sufian al-Thauri meminta nasihat daripada Rabiah al-Adawiyah, maka Rabiah mengatakan: ” Engkau seorang yang baik, andainya engkau tidak cinta kepada dunia.[5]
            Justeru, sebaik-baik saat dalam hidup kita ialah saat kita ingat kepada Allah, dan kita merasa dan mengakui benar-benar keperluan kepadaNya. Segala yang lain tidak dapat menolong meringankan keperluan kita.[6] Riwayat daripada Salman al-Farisi r.a mengatakan bahawa:

 ”Sesungguhnya seseorang hamba yang berzuhud pada dunia, maka hatinya bersinar-sinar dengan hikmahnya dan anggota lain akan menolongnya untuk kuat beribadat”

Rasulullah saw bersabda: Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah, maka dia hendaklah melihat bagaimana kedudukan Allah di dalam hatinya. Sesungguhnya Allah menempatkan hambaNya, sebagaimana hamba itu menempatkan Allah dihatinya.[7]

Anas bin Malik r.a berkata:[8]

”Abu Musa pernah bertanya kepadaku; Wahai Anas, apakah yang menghambat manusia untu mencapai akhirat? Aku menjawab:” Syahwat dan setan”. Abu Musa berkata:” Bukan demi Allah, tetapi memang kerana dunia diutamakan bagi mereka dan akhirat di akhirkan. Andainya mereka tahu mereka tidak akan menyeleweng dan menyimpang.

b)         Memperbanyakkan nilai amalan kita serta bertambah kemuliaan
            Diri

Nilai ibadat yang dilakukan dengan penuh ketenangan dan kesempurnaan akan menambahkan nilai serta memperbanyakkan pahala beribadat. Ini sebagaimana sabda nabi Muhammad saw:

رَكْعَتَانِ مِنْ رَجُلٍ زَاهِِدٍ قَلْبُهُ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللهِ جَلَّ جَلاَلُهُ مِنْ عِبَادَةِ المُتَعَبِّدِيْنَ إِلَى أخِرِ الدَّهْرِ, أَبَدً سَرْمَدً.

Ertinya: Dua rakaat solat yang dilakukan oleh orang yang alim lagi zuhud hatinya terlebih baik dan terlebih dikasihi kepada Allah daripada ibadat orang yang tidak ada ilmu, meskipun dia beribadat sepanjang umur dunia.


[1] Syeikh Ibn ‘Athaillah (2007), op. cit., hlm.107
[2] Ibid., hlm.107-108
[3] Nik Abdul Aziz Nik Mat (2009), Tundukkan Hati: Rahsia Keikhlasan Hidup di Dunia yang Fana, cet.5, Anbakri Publika Sdn Bhd: Petaling Jaya Selangor, hlm.3.
[4] Abdun Nafi dkk (1999), op. cit., hlm.78
[5] Syeikh Ibn ‘Athaillah (2007), op. cit., hlm.126
[6] Ibid., hlm.134
[7] Imam al-Ghazali (1999), op. cit., hlm.516
[8] Abdun Nafi dkk (1999), op. cit., hlm.109

0 ulasan:

Catat Ulasan