Ads 468x60px

Labels

Isnin, 5 Mac 2012

Di Mana Silap Kita

Menurut Imam al-Ghazali terdapat empat perkara yang menghalang kebaikan seseorang, mencacatkan hati dan jiwa, seterusnya merosakkan dan membinasa diri. Secara realitinya inilah yang menjadi ibu segala kejahatan dan gagalnya kita dalam setiap urusan yang kita ingin lakukan. Orang yang tidak berjaya ialah orang yang terperangkap dengan empat sifat ini. Jika kita bermuhasabah terhadap diri kita, dan jika didapati ada sifat-sifat ini, walaupun tidak kesemuanya sudah cukup menjadikan kita orang yang malang. Antaranya ialah:

i.                    Panjang angan-angan
ii.                  Gopoh gapah
iii.                Hasad dengki
iv.                Takabur

Empat sifat ini akan melibatkan emosi (angan-angan), perlakuan (gopoh gapah) dan perasaan (hasad dengki dan takabur). Inilah punca segala kejahatan yang merosakkan dan membolak-balikkan hati dalam urusan ibadat secara khususnya dan pergaulan seharian amnya. Namun demikian, empat perkara ini jugalah yang membentuk sifat mulia dan juga menjadi kekuatan kepada para ‘abid dan tersusun ibadatnya menjadi baik. Justeru, kita hendaklah berusaha sedaya upaya untuk menghasilkan sifat ini iaitu:
i.                    Pendek angan
ii.                  Cermat dalam urusan
iii.                Nasihat untuk kebaikan makhluk
iv.                Tawaduk serta khusyuk

Imam al-Ghazali menggariskan beberapa kesan negatif hasil daripada empat sifat ini.

Pertama: Panjang Angan-angan

Seseorang yang mempunyai banyak angan-angan menghalang dirinya daripada segala kebaikan yang membawa kepada kejahatan dan fitnah. Antaranya:

a. Meninggalkan taat dan merasa malas padanya

Daud al-Tha’ie menjelaskan bahawa sesiapa yang takut janji siksaan Allah, maka yang  jauh menjadi dekat kepadaNya, dan sesiapa yang panjang angan-angannya nescaya amalannya menjadi buruk.            Yahya Ibn Muaz juga mengatakan angan-angan adalah pemotong yang memotong segala amal kebaikan dan tamak haloba itu penghalang segala kebaikan dan kebenaran.

b. Meninggalkan Taubat Dan Suka Menangguhkan Pekerjaan

c. Tamak Haloba Menghimpun Harta Dan Sibuk Dengan Dunia

Sekiranya kita berfikir tentang kebimbangan pada hari tua, kita tidak mempunyai harta yang mencukupi maka kita akan terus bersifat cinta kepada dunia yang berlebihan dan merasai umur kita masih panjang dan jauh daripada kematian. Angan-angan ini akan menyibukkan hati kita dengan berbagai-bagai impian yang belum kita capai. Maka umur kita akan hilang begitu sahaja dan waktu akan terbuang tanpa faedah. Akhirnya hati kita akan sentiasa dukacita, gundah gulana dengan bimbang.

c. Keras Hati Dan Lupa Kepada Akhirat
           
Kesan banyak berangan-angan ini akan menjadi hati kita keras dan melupai kehidupan Akhirat. Ini kerana berangan-angan hidup lama, menjauhkan kita daripada mengingati mati dan kubur. Firman Allah SWT:

Berlalulah masa yang panjang atas mereka dengan panjang umur dan berangan-angan, lalu hati mereka menjadi keras”
(Surah al-Hadid: 16)
Ali bin Abi Talib berkata:

”Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti terhadap diri kamu ada dua, panjang angan-angan dan mengikut hawa nafsu. Ketahuilah bahawa panjang angan-angan melupakan akhirat dan mengikut nafsu akan memalingkan daripadap kebenaran. Maka jadikan fikiran dan kebanyakan urusan hidup kita tertumpu pada bercakap tentang dunia, sebab-sebab kehidupan, dan hal-hal urusan persahabatan dan lain-lain. Maka hati kamu akan menjadi keras..”

Hati boleh dilembutkan dengan ingat kepada kematian, kubur, pahala, dosa, seksaan azab Allah dan urusan akhirat. Kata Imam al-Ghazali:

“kalau kamu memanjangkan angan-angan, maka kuranglah taat kamu kepada Allah, terlambatlah untuk bertaubat, banyaklah perkara maksiat yang akan kamu lakukan, bertambahlah tamak haloba, keras hati dan besarlah kelalaian anda. Lalu akhirat akan berlalu pergi tanpa bekalan”.
“…jika kamu memendekkan angan-angan, mendekatkan kematian pada diri kamu, mengingati teman-teman dan saudara-mara kamu yang dikejuukan oleh kematian dalam waktu yang dia tidak menyangka, kemungkinan juga kamu sama seperti mereka. Maka kamu tidak akan panjang angan-angan. Oleh itu katakanlah kepada diri kamu:Waspadalah wahai diriku yang tertipu”

Isa ibn Maryam pula mengatakan:

”...dunia itu hanya 3 hari sahaja. Kelmarin yang berlalu dan tiada satupun daripadapnya yang masih tertinggal ditangan kamu. Esok yang kamu tidak mengetahui sama ada kamu sempat dengannya atau tidak? Seterusnya hari ini yang kamu sedang berada padanya, maka hendaklah kamu merebut peluang keuntungan daripadapnya”.

Isa ibn Maryam menjelaskan setiap kita hanya mempunyai usia 3 hari sahaja dan tidak lebih daripada itu. Sekalipun usia kita menjangkau 80-90, namun hakikatnya hanya 3 hari sahaja. Walaupun dilihat 3 hari itu pendek, Auf bin Abdullah mengatakan usia kita hanya satu hari sahaja.

Auf bin Abdullah mengatakan bahawa:

“...betapa ramai orang yang sihat melalui satu hari, tetapi dia tidak sempat menghabiskannya kerana dijemput ajal. Betapa ramai yang menunggu esok hari tetapi tidak sempat menemuinya.”

Kita merasakan usia kita ini sehari sahaja, terlalu singkat dan pendek,tetapi menurut Abu Zar al-Ghifari usia kita hanya 3 saat sahaja. Kata beliau:

“...dunia ini hanya 3 saat sahaja. Saat yang berlalu, saat yang kamu berada padanya dan saat yang kamu tidak mengetahui sama ada kamu sempat dengannya atau tidak. Maka sebenarnya kamu tidak memiliki melainkan satu saat sahaja, kerana maut itu datang daripada saat ke saat”.

Abu Bakar al-Warraq pula menyatakan kalau usia itu 3 saat ia dikira panjang. Sebab usia manusia sebenarnya tidak sehari, 3 hari, atau 3 saat, tetapi hanya 3 nafas sahaja.

“…dunia ini hanya 3 nafas sahaja. Nafas yang telah berlalu, nafas yang kamu telah kamu kerjakannya dan nafas yang sedang berada padanya dan nafas yang kamu tidak mengetahui sama ada kamu sempat dengannya atau tidak. Berapa ramai orang yang bernafas lalu dikejutkan oleh maut sebelum sempat bernafas yang lain. Maka sebenarnya kamu tidak memiliki melainkan satu nafas sahaja, bukan satu hari atau satu jam”

Oleh itu kita bertaubatlah dalam nafas yang pertama, sebab kemungkinan kita tidak sempat untuk bernafas pada nafas yang kedua. Jangan terlalu tertumpu kepada rezeki sahaja, kerana mungkin kita tidak akan hidup lama yang menyebabkan kita akan berhajat kepada rezeki. Jika kita dapat mengekalkan peringatan ini secara berulang-ulang kali, maka pendeklah angan-angan kita. Maka ketika itu kita akan dapat melihat diri kita bersegera kepada taat dan cepat untuk melakukan bertaubat. Maka gugurlah maksiat daripadap kita dan kita akan berzuhud daripada dunia dan berzuhud daripada menuntut dunia yang berlebih-lebihan. Justeru, ringanlah hisab tanggungan kita di akhirat nanti dan kita akan jatuh hati terhadap mengingati akhirat dan huru haranya. Jatuh hati ini akan berterusan nafas demi nafas yang kita akan pasti merasainya bahawa kita akan kembali dan akan melalui kepayahan serta kesusahan di alam akhirat. Dengan mengingati akhirat hilanglah keras hati dan akan timbul pula kelembutan dan kejernihan. Seterusnya kita akan merasai perasaan takut dan rasa kehebatan Allah SWT. Maka kita akan beristiqamah dalam urusan ibadat kita dan akan kuat azam/ harapan kita untuk bersiap sedia menghadapi alam akhirat.
Orang yang bersungguh-sungguh dalam mengejar kekayaan, bermakna dia bercita-cita untuk hidup lebih lama. Maka dia akan mengejar kekayaan untuk hidup selama tempoh yang diinginkan. Bekerja siang dan malam, seharian hidup dengan kesibukan yang akhirnya menyebabkan dia akan merasai keresahan, kebimbangan, ketakutan dan sebagainya jika keinginan itu tidak kesampaian. Maka bagi menghilangkan resahan dan sebagainya itu, dia akan mencari maksiat sebagai pengubat ketenangan, merawat jiwa yang kosong yang akhirnya menjauhkan lagi dirinya dengan Allah.
Bermakna kalau kita sentiasa berwaspada bahawa kehidupan tidak akan kekal, mungkin saat ini, jam ini, hari ini, bulan ini atau tahun ini,kehidupan kita akan berakhir noktahnya, maka kita akan mencari rezeki bukan sekadar untuk kita semata-mata, bahkan juga untuk orang lain. Inilah yang dikatakan oleh Sayyidina Ali bahawa harta kita yang sebenarnya ialah harta kita yang diberikan kepada orang lain, dan harta yang kita miliki sekarang ini akan diwarisi kepada anak-anak setelah kita meninggal.
Seorang Tabien Zararah Bin Aufa telah ditanya: ”Amalan apakah yang paling sampai pahalanya kepada tuan? Beliau menjawab: ”Reda dengan Qada’ Qadar Allah SWT dan pendek angan-angan”.
Imam Al-Ghazali menjelaskan orang yang panjang angan-angan mereka, bermakna mereka bercita-cita dengan pasti untuk hidup lama. Ini adalah satu dosa kerana kita menghukum dengan pasti perkara ghaib yang tidak kita ketahuinya. Inilah kebanyakan yang dirasaikan oleh kita pada hari ini. Walaupun secara tidak langsung kita tidak menyebut demikian, tetapi hati kecil kita membisikkan bahawa kita masih jauh dengan kematian.

0 ulasan:

Catat Ulasan