Ads 468x60px

Labels

Isnin, 5 Mac 2012

Penyakit PhD


Sifat dengki adalah perosak kepada segala ketaatan kita. Pencetus segala kejahatan dan penyakit yang payah untuk dirawat. Menghilangkan keikhlasan dan ketenangan. Menimbulkan permusuhan dan kekacauan. Justeru itulah Rasulullah saw bersabda:

Dengki itu memakan pahala kebaikan seumpama api memakan kayu yang kering.


Ia bukan sahaja dihidapi oleh orang awam yang sahaja, bahkan juga kepada orang alim yang berilmu. Ini telah disebutkan oleh Baginda nabi Muhammad saw:
                                                                                   
Enam golongan manusia yang akan masuk neraka kerana enam sebab:

Orang Arab dengan sebab taasub kesukuannya, raja-raja dengan sebab kezalimannya, ketua-ketua dengan sebab kesombongannya, peniaga-peniaga dengan sebab khianatnya, penduduk-penduduk desa dengan sebab kejahilannya, para ulama dengan sebab hasad dengkinya

Sikap hasad akan menyebabkan penat dan dukacita tanpa faedah di samping kita hanya mendapat dosa dan maksiat. Inilah yang menyebabkan Allah SWT menyuruh kita memohon berlindung kepadaNya daripada kejahatan pendengki. Bermakna betapa perlunya kita menjauhi sifat ini. Perintah seperti ini sama sebagaimana Allah memerintahkan kita berlindung daripada syaitan. Allah SWT berfirman yang berbunyi:


Maksudnya:
Dan (aku berlindung dengan Allah) daripada kejahatan pendengki apabila ia melakukan dengkinya".


Ibn al-Samak, seorang alim yang masyhur pernah mengatakan bahawa:

”Aku tidak pernah melihat seorang yang zalim yang sama keadaannya dengan orang yang kena zalim, selain seorang pendengki.

Orang yang melakukan dengki ini akan buta hati sehingga tidak dapat memahami hukum Allah. Inilah yang dikatakan oleh Sufian alThauri bahawa:

Lazimkanlah dirimu lama berdiam diri (tidak bercakap sia-sia) nescaya kamu akan memiliki sifat wara’. Jangan kamu menjadi seorang yang haloba terhadap dunia, maka kamu akan menjadi seorang yang memelihara hukum Allah. Jangan kamu menjadi pencela, maka kamu terselamat daripada celaan lidah manusia. Janganlah kamu jadi pendengki, maka kamu akan menjadi cepat faham.

Lebih daripada itu, pendengki akan terhalang dirinya daripada kebaikan dan tidak akan mendapat pertolongan taufiq daripada Allah SWT. Ini kerana nikmat yang berada di tangan orang lain mahu dihilangkan, bagaimana Allah ingin memberikan kepadanya nikmat. Hatim bin al-’A’sam pernah berkata:

Pendendam bukan orang yang mempunyai agama, pencela bukan orang yang beribadat, pengacum bukan orang yang boleh dipercayai dan pendengki bukan orang yang mendapat pertolongan Allah.

Maka mengelak diri kita daripada bersifat dengki, Abu Yaakub mengajarkan kita doa:

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kesabaran untuk menahan perasaan dengki terhadap kesempurnaan nikmat-nikmat yang telah engkau kurniakan kepada hamba-hambaMu, elokkan hal ehwal mereka.

Wahab ibn al-Munabbih menjelaskan kepada kita tentang tanda-tanda sifat dengki. Antaranya ialah dia akan menunjukkan kasih sayang apabila di hadapan, dia mengumpat apabila kita tidak ada di hadapannya, dan dia akan bergembira apabila bala menimpa orang yang didengkinya. Inilah tiga sifat orang yang berdengki yang perlu difikirkan ke atas diri kita sekiranya kita tidak memahami sama diri kita termasuk dalam golongan pendengki.

2 ulasan: