Ads 468x60px

Labels

Isnin, 5 Mac 2012

Di Mana Kita Berada?


Imam al-Ghazali menerangkan tentang golongan yang perlu ber’uzlah dan hukumnya.

Golongan yang Pertama

Golongan yang tidak dihajati oleh orang ramai tentang ilmu dan hukum-hakam daripadanya. Golongan ini boleh melakukan ‘uzlah dengan mengasingkan diri daripada orang ramai. Hendaklah dirinya melazimi pergaulan dengan orang ramai berdasarkan keperluan tertentu sahaja atau dihajati.


Golongan yang Kedua

Golongan yang dihajati oleh orang ramai terhadap ilmu dan hukum-hakam daripadanya. Golongan ini tidak boleh melakukan ‘uzlah dengan mengasingkan diri daripada orang ramai. Golongan ini menjadi contoh kepada masyarakat dan menjadi sumber rujukan. Mereka adalah golongan pendakwah yang mengajak manusia kepada kebaikan dan kebenaran. Maka mereka wajib bersama dengan masyarakat ramai untuk mempertahan dan menegakkan agama Allah. Rasulullah saw bersabda:

إِذَا ظَهَرَ البِدَعُ وَسَكَتَ العَالِمُ فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللهِ

Ertinya: Apabila zahir perkara bid’ah dan orang yang alim berdiam diri, maka Allah akan melaknati ke atas dirinya.

Golongan yang kedua ini hendaklah bersikap sabar berdepan dengan karenah orang ramai semasa  bergaul dengan mereka. Menjauhkan diri daripada sifat marah dan hendaklah sentiasa berlemah-lembut. Mereka juga hendaklah bersikap berkecuali agar tidak terpengaruh dengan orang ramai. Hendaklah bersama mereka menasihati ke arah kebaikan dan menjauhkan mereka daripada kejahatan dan maksiat. Tidak menjauhkan diri daripada orang agar kita disayangi, dihormati dan dekat dihati orang ramai. Sentiasa bermanis muka, menghulurkan bantuan semampu yang boleh, sabar menanggung kesakitan hati. Bijak menyembunyikan rasa ketidakpuasan hati.
Ini telah dijelaskan oleh Sayidina Umar dalam kehidupannya antara tuntutan bersama rakyat dan diri sendiri. Beliau mengatakan:

إِنْ نِمْتُ اللَّيْلُ لأُضَيِّعَنَّ نَفْسِيْ, وَإِنْ نِمْتُ النَّهَارِ لأُضَيِّعَنَّ الرَّعِيَّةَ, فَكَيْفَ لِيْ بِالنَّوْمِ بَيْنَ هَاتَيْنِ 

Ertinya: sekiranya aku tidur pada waktu malam, pasti aku mensia-siakan diriku. Sekiranya aku tidur pada siang harinya, pasti pula aku menghilangkan hak rakyat. Maka bagaimanakah aku boleh tidur nyenyak antara dua waktu ini?

Abu Bakar al-Warraq memberi pesanan kepada kita katanya:”Wahai anakku, bergaullah bersama dengan orang ramai pada zamanmu dalam urusan yang haq. Janganlah mengikuti mereka dalam perkara yang batil. Beliau mengumpamakan kehidupan seperti ini sebagaimana bergaul dengan orang yang hidup  (yang Tholih atau jahat), tetapi mesti menuruti cara orang yang telah mati (yang Soleh atau baik). Beliau menjelaskan kehidupan seperti ini amat susah dan menyukarkan. Dalam hal ini, hendaklah kita bersederhana dalam pergaulan pada zaman ini. Jangan keterlaluan sehingga kita terbabas dan lupa tentang kehidupan sebenar.
Imam al-Ghazali mengajar kita bagaimana aturcara kehidupan yang sebenar untuk menjalani kehidupan dunia yang memanfaatkan kehidupan akhirat. Beliau mengemukakan tiga kaedah antaranya:

Pertama

Menghabiskan waktu kesibukan bekerja kita dengan beribadat. Tidak terlalu menumpukan urusan kerja sehingga melupakan urusan ibadat yang menjadi keutamaan. Menjadikan urusan solat berjemaah dalam waktu bekerja dan tidak menjadikan urusan ibadat sebagai sampingan. Ibn Abbas mengatakan bahawa seseorang yang mendengar laungan azan, tetapi tidak menyahutnya dengan menghadiri solat berjemaah, maka orang tersebut tidak ada tanda untuk menjadi orang yang baik.
Imam al-Ghazali menegaskan lagi bahawa seseorang yang bertemu orang ramai tanpa ada sebarang tujuan yang berfaedah, itu adalah tanda kepapaan dalam beribadat. Golongan ini dianggap sebagai seorang yang kufur nikmat kerana tidak memanfaatkan kesihatan yang baik, tubuh badan yang sihat dan masa lapang yang berharga kurniaan Allah untuk pekerjaan yang berguna.

Kedua

Tidak bergantung harap kepada orang ramai. Maka ada dan tiada orang ramai itu sama sahaja. Hati akan menjadi tenang dan tenteram.

Ketiga

Sentiasa mengingati dan mengulangi bahawa sia-sia itu adalah binasa. Sentiasa beriltizamlah, sudah pasti menjauhkan diri kita daripada bersahabat dengan makhluk, lalu menghampirkan diri kita ke pintu rahmat Allah. Maka terasa diri ini kemanisan beribadat dan hadirnya cinta dan kasih kepada Allah.

0 ulasan:

Catat Ulasan