Ads 468x60px

Labels

Isnin, 5 Mac 2012

Bahaya Godaan Hawa nafsu


Hawa nafsu adalah musuh yang paling bahaya. Kalau diibaratkan sebagai penyakit, ia adalah penyakit yang paling sukar untuk dirawat dan payah untuk disembuh. Nafsu sentiasa mengajak manusia kepada kejahatan. Imam al-Ghazali mengingatkan sentiasa kita berwaspada dengan nafsu. Kita perlu memberi perhatian pada nafsu kerana dua sebab:


Pertama

Nafsu adalah musuh dari dalam, berbeza dengan syaitan musuh dari luar. Nafsu diibaratkan sebagai pencuri yang memasuki rumah kita, sukar kita menghalaunya keluar dengan pelbagai helah. Nafsu juga ibadat seekor binatang buas yang liar lagi ganas dan terlalu sukar untuk dijinakkan dan dikawal.

Kedua

Nafsu adalah musuh yang sangat dicintai oleh manusia, walaupun manusia mengetahui nafsu adalah musuhnya. Apabila diri kita menganggap semua keburukan yang dilakukan sebagai kebaikan yang lahir daripada nafsu, maka kita tidak dapat lagi melihat keaiban pada diri kita sendiri. Walaupun nafsu sudah jelas dan nyata memusuhi dan merbahayakannya. Setelah kita memerhati dan memikirkan punca segala kejahatan serta kerosakan manusia, punca datang dan berlaku fitnah, kehinaan, dosa dan kebinasaan manusia adalah berpunca daripada nafsu. Persoalannya, adakah segala kerosakan dan pelbagai punca kejahatan manusia adalah berpunca daripada nafsu semata-mata atau melalui bantuannya dan pertolongannya.
Sejarah telah membuktikan awal maksiat iaitu penderhakaan kepada Allah SWT adalah datang daripada iblis. Namun perlu diketahui yang menjadi ketetapan Allah sejak azali ialah hawa nafsu yang terhasil melalui sifat takabbur yang menjadi penyebab kepada syaitan menjadi ingkar kepada Allah SWT. Syaitan enggan sujud kepada Adam a.s. Tidak cukup dengan itu, nafsu melahirkan perasaan hasad dengki terhadap kemulian nabi Adam a.s. yang dianugerahkan Allah kepadanya. Akhirnya nabi Adam a.s. telah disesatkan oleh syaitan setelah sekian lama beribadat kepada Allah selama 80 ribu tahun. Sekalipun tidak ada dunia, makhluk dan syaitan nafsu tetap dengan sifat kejahatannya, angkuh dan sombong.
Begitu juga kisah nabi Adam a.s. dan isterinya Hawa yang telah dikeluarkan kedua-dua daripada syurga dan dicampakkan ke bumi. Adam dan Hawa disesatkan dengan memakan buah yang dilarang oleh Allah memakannya. Nafsu yang menguasai diri kedua-dua insan insan mulia ini untuk hidup kekal selama-lamanya di dalam syurga sehingga mereka berdua tertipu oleh pujukan rayu syaitan. Peristiwa ini dirakam oleh Allah SWT di dalam al-Quran:

Firman Allah SWT:
  
Ertinya: Kemudian Syaitan mewas-waskan kepadanya (dengan bisikan tipu dayanya) katanya: ”wahai Adam, adakah kamu mahu aku tunjukkan kepada kamu pohon yang menyebabkan hidup kekal selama-lamanya (bagi sesiapa yang memakan buahnya) dan kerajaan yang tidak binasa”.

(Surah Taha:120)

Ini bermakna pertolongan dan penyertaan nafsu sebenarnya yang menyebabkan Adam dan Hawa tersesat dan berjiran dengan Allah dengan tinggal menetap di Syurga Firdaus. Kedua-duanya terpaksa berpindah ke dunia yang hina. Malapetaka ini bukan sahaja menimpa Adam dan Hawa sahaja, malah semua anak cucu keturunannya telah menemui pelbagai penderitaan dan kesusahan hidup hinggalah ke hari Kiamat. Kisah pembunuhan pertama yang berlaku di dunia juga dirakamkan di dalam sejarah melalui peristiwa Qabil dan Habil disebabkan punca hasad dengki dan bakhil. Mereka berdua adalah putera kepada nabi Adam a.s. isterinya Hawa telah melahirkan anak kembar berpasangan lelaki dan perempuan. Putera lelaki dinamakan Qabil dan puterinya pula dinamakan sebagai Iqlima. Setelah dua tahun pasangan kembar kedua dilahirkan dan diberi nama Habil dan Labuda. Setelah mereka meningkat dewasa, Allah memerintahkan nabi Adam supaya mengahwinkan Qabil dengan Labuda yang kurang cantik dan Habil dengan Iqlima yang mempunyai rupa paras yang cantik. Qabil membantah keputusan nabi Adam lalu diminta daripada kedua-dua mempersembahkan korban masing-masing kepada Allah. Jika salah satu korban ini diterima oleh Allah, maka dia berhak untuk berkahwin dengan Iqlima.
Qabil seorang petani yang bakhil sifatnya dan dia memberi korban gandum yang tidak baik dan Habil pula adalah seorang penternak yang ikhlas kepada Allah. Dia memilih seekor kibas yang gemuk dan yang paling baik untuk dipersembahkan korbannya. Akhirnya pengorbanan Habil diterima oleh Allah dan Qabil telah merasa marah lalu berlakulah peristiwa pembunuhan pertama di dunia sebagaimana yang dirakamkan di dalam al-Quran surah al-Maidah.
Dalam diri manusia terdapat lima unsur penting yang merangkumi roh, Qalbu, hawa nafsu, jasad dan anggota badan. Kelima-lima unsur ini dianggap sebagai sebuah kerajaan yang memerintah. Roh diaggap sebagai raja atau pemerintah, manakala hawa nafsu adalah musuh yang sentiasa dan seringkali membangkang apa yang diperintahkan oleh pemerintah. Qalbun adalah singgahsana diraja dan jasad mewakili wilayah pemerintahan. Anggota badan yang meliputi pancaindera yang lima dianggap sebagai rakyat jelata. Rakyat yang diperintah sentiasa menyebelahi pembangkang yang menjadi musuh kepada pemerintah. Begitulah keadaan diri manusia yang sentiasa kalah dengan hawa nafsu.
Nafsu diibaratkan sebagai kenderaan dan alat penggerak bagi manusia untuk melakukan kejahatan dan kebaikan. Justeru Imam al-Ghazali memberi dua kaedah untuk mengawal hawa nafsu:

i.                    Kita mendidik nafsu dan memperkuatkannya dengan membuat segala kebajikan sekadar yang termampu ditanggung oleh kita.
ii.                  Melemah dan menahan hawa nafsu (kemahuan jahat) sekadar ia tidak melampaiu batas had.

Imam Ghazali menjelaskan lagi bahawa menurut ulamak Sufi, untuk menundukkan hawa nafsu terdapat 3 cara:

i.                    Menahan keinginan nafsu syahwat dengan mengurangkan makan.
ii.                  Memberi bebanan ibadat untuk dipikul oleh hawa nafsu.
iii.                Memohon pertolongan daripada Allah SWT dan bersifat tawaduk (merendah diri) berdoa kepadaNya supaya Allah menolong kita.

Nafsu yang diumpamakan sebagai haiwan apabila dikurangkan makan dan minumnya, maka lemahlah dirinya dan ditambahkan pula muatan di belakangnya nescaya dia akan tunduk kepada tuannya. Ini bermakna nafsu perlu dilatih dengan mengurangi makan, meningkatkan ibadat dan memohon perlindungan dan kekuatan daripada Allah, pasti nafsu dapat dikalah dan dikawal. Nafsu diperintah dan bukannya memerintah. Nabi Yusuf a.s. menjelaskan nafsu tidak berjaya  dikalahkan kecuali orang yang diberi rahmat oleh Allah SWT:

Firman Allah SWT:

Ertinya: Sesungguhnya nafsu itu amat menyuruh dengan kejahatan, melainkan orang yang diberi rahmat oleh tuhanku.

(Surah Yusuf:53)

Jika kita melakukan tiga perkara tersebut, maka nafsu liar akan menurut kemahuan yang baik dengan izin Allah SWT. Dengan ini kita akan selamat daripada kejahatan dan kerosakan dan segala godaan.

0 ulasan:

Catat Ulasan