Ads 468x60px

Labels

Isnin, 5 Mac 2012

Siapa Musuh Kita ...?

Selain cabaran daripada dunia dan nafsu, makhluk juga menjadi salah satu faktor penghalang kepada manusia sama ada untuk mengubah sikap atau ibadat secara khususnya. Ramai di kalangan kita yang gagal dalam kehidupan disebabkan oleh faktor  mereka yang terdekat dengan kita. Gagalnya seorang suami disebabkan oleh isteri dan anak-anak, atau sebaliknya. Gagalnya kita disebabkan oleh pengaruh kawan yang terhampir dengan kita. Jiran yang baik akan membentuk kita menjadi orang yang baik. Begitulah negara yang baik, akan melahirkan masyarakat yang baik. Inilah yang dikatakan oleh Imam al-Thauri bahawa kejahatan dan kebencian kita terhadap seseorang adalah ramainya dari kalangan yang hampir dan dekat dengan kita serta kita kenali. Al-Thauri menjelaskan lagi bahawa untuk melepaskan diri daripada gangguan dan halangan orang yang terdekat dengan kita terlalu sukar dan payah.

Wahai Ibn Mas’ud jika umur kamu panjang, maka kamu akan menemui suatu zaman ramai pemidato, tetapi sedikit dari kalangan ulamak, ramai golongan peminta, tetapi sedikit pemberinya. Pada zaman tersebut hawa nafsu menjadi pemimpin ilmu. Maka harith Ibn Umairah bertanya kepada Ibn Mas’ud: Bilakah zaman yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw? Jawab Ibn Mas’ud, Rasulullah saw telah menjawabnya di dalam sabda Baginda yang berbunyi:

إذَا أُمِيْتَتِ الصَّلاةُ وقُبِلَتِ الرِّشَا ويُبَاعُ الدِّيْنُ بِعَرَضٍ يَسِيْرٍ من الدنْيَا, فَالنَجَاءَ النَّجَاءَوَيْحَكَ ثُمَّ النَّجَاءَ

Ertinya: Apabila sembahyang telah dimatikan, Rasuah menjadi kebiasaan dan agama dijual dengan sesuatu harta benda  dunia yang sedikit. Maka bersegeralah mencari keselamatan. Kasihan sungguh. Kamu terdedah kepada kebinasaan. Kemudian bersegeralah mencari keselamatan.

Apa yang diperkatakan oleh Ibn Mas’ud ini pada hakikatnya telah berlaku pada zaman kita pada hari ini. Justeru, kaedah yang terbaik pada zaman ini ialah kita jangan terlalu banyak menghabiskan masa dengan orang ramai. Kurangkan pergaulan dan menghadkan daripada mengenali ramai orang yang belum kita kenali. Ini menepati dengan saranan Imam al-Ghazali bahawa kita perlu banyak mengasingkan diri daripada masyarakat yang boleh merosakkan diri kita. Yusuf Ibn Asbat mengatakan bahawa beliau pernah mendengar Sufian al-Thauri menghukumkan halal beruzlah pada zamannya (awal kurun ke2 Hijrah). Jika pada zaman beliau telah dihalalkan beruzlah, maka apatah lagi pada zaman kita hari ini. Maka tidak hairanlah pada zaman Imam al-Ghazali beliau menghukumkan dirinya beruzlah daripada masyarakat ramai.

Sayidina Umar Ibn al-Khattab r.a telah berkata:

فى العُزْلَةِ رَاحَةُ من خُلَطَاءِ السُّوْءْ

Ertinya: Pada beruzlah itu adalah kerehatan daripada kawan-kawan pergaulan yang jahat.

            Nasihat ini juga telah diceritakan oleh Sufian Bin ‘Uyainah daripada al-Thauri. Kata ‘Uyainah: “Pesanlah kepada aku apa-apa pesanan”. Kata Sufian: “ Hendaklah kamu kurangkan berkenalan dengan orang ramai.
Zaman ini adalah zaman yang ditakuti oleh para sahabat yang dipohon oleh nabi saw agar mereka berlindung dengan Allah daripada menemui dan tidak sempat hidup pada zaman tersebut. Zaman yang kebenaran sukar untuk diterima. Orang yang baik ditolak, manakala orang yang zalim dan jahat dijadikan teman baik dan disanjung. Zaman orang yang buta dan tuli agama. Fitnah-memfitnah menjadi lumrah kehidupan dan mudah tersebar di kalangan orang awam, orang mula berpaling daripada urusan agama, janji menjadi bahan mainan, orang alim diherdik, urusan agama dibelakangkan
Daud al-Tha’ie (Abu Sulaiman) mengatakan pada zaman ini hendaklah kita melarikan diri daripada orang  ramai sebagaimana kita melarikan diri daripada singa. Inilah perumpamaan zaman yang cukup menakutkan.[1] Abu ‘Ubaid menambah lagi, beliau tidak menganggap seseorang itu orang yang baik kecuali dia tidak menjadikan dirinya dikenali di kalangan ramai orang. Orang yang seperti ini akan dianugerahkan kemuliaan oleh Allah Taala.
Thalhah ibn ’Ubaidillah r.a berkata: Sesiapa yang ingin menghindari aibnya diketahui oleh orang lain, hendaklah ia tinggal dirumahnya. Sesiapa yang bergaul secara berlebihan tanpa memilih dari kalangan orang yang baik atau jahat dengan manusia, maka agamanya telah dirampas sedangkan dia tidak menyedarinya.[2]
Mengasingkan diri daripada masyarakat ramai juga dapat mengelakkan ibadat kita daripada dirosakkan oleh orang ramai sama ada daripada kita sendiri iaitu riya’ atau mengharapkan pujian orang lain. Oleh yang demikian, para alim ulamak terdahulu amat bimbang dirinya terjerumus ke lembah riya’ dan menunjuk-nunjuk. Terdapat suatu kisah tentang Sulaiman al-Khawwas yang tidak datang ke majlis menemui Ibrahim Adham. Maka ada orang bertanya kepada dirinya: Kenapakah kamu tidak pergi menemui Ibrahim Adham. Maka beliau menjawab:” Sesungguhnya daripada aku berjumpa dengan Ibrahim, lebih baik aku menemui syaitan yang jahat. Kata-kata Sulaiman ini menimbulkan kemarahan orang ramai kepadanya. Lalu beliau menjelaskan:” Sesungguhnya aku bimbang apabila aku berjumpa dengan Ibrahim, akan timbulnya riya’, tetapi jika aku berjumpa dengan syaitan, nescaya aku dapat menahan diri daripada tipu daya syaitan”.
Peristiwa seperti ini juga telah diceritakan juga oleh Abu Bakar al-Warraq, guru kepada Imam al-Ghazali dalam satu perjumpaan dengan seorang ahli ilmu. Kedua-dua mereka ini berbincang dan berdailog dalam tempoh yang agak lama. Maka Abu Bakar al-Warraq mengucapkan rasa bangga kerana berpeluang duduk bersama dengan ahli ilmu tersebut dalam suatu majlis yang dianggap paling bertuah dan amat ditunggu-tunggu. Majlis ini dirasakan antara yang terbaik yang diadakan selama ini. Namun jawapan yang diberikan oleh ahli ilmu itu jauh berbeza dengan jawapannya. Ahli ilmu itu menjelaskan:” Inilah majlis yang paling aku takuti. Kamu telah menunjukkan ketinggian ilmu yang ada padamu, begitu juga aku di hadapan khalayak ramai. Maka dikala itu datang perasaan riya’ dalam diriku. Mendengar penjelasan ahli ilmu itu, Abu Bakar terus menangis dan jatuh pengsan.
Kisah yang sama juga berlaku antara al-fadhil dengan Sufian ketika dalam suatu majlis muzakarah. Tiba-tiba kedua-duanya menangis. Maka Sufian berkata kepada al-Fadhil:” Wahai Abu Ali, semoga inilah majlis yang terbaik buat kita. Maka al-Fadhil menjawab, inilah majlis yang beliau paling aku takuti, kerana kedua-duanya menunjukkan kebolehan dan kekuatan masing-masing. Mendengar jawapan itu Sufian menangis.
Al-Fadhil Ibn ‘Iyadh menasihatkan kita pada zaman ini agar memelihara lidah daripada banyak bercakap yang sia-sia, yang tidak memberi manfaat dunia dan akhirat. Menyembunyikan diri ditempat ibadat, mengubati hati dengan penawar iman dan mengingati Allah (zikir). Ambillah apa yang kita tahu tentang kebaikan dan tinggallah apa yang mendatangkan keburukan. Zaman yang melalaikan kita daripada beribadat dan banyak menumpukan kepada dunia yang sia-sia. Kehidupan seharian yang banyak ditumpukan kepada urusan dunia, sehingga kita dilekakan oleh orang ramai tanpa kita sedari. Lebih daripada itu segala ibadat yang kita laksanakan langsung tidak terselamat daripada kerosakan dan kecacatan. Maka zaman ini kita bermohonlah kepada Allah agar kita dijauhkan daripada terperangkap dengan pujuk rayu orang ramai untuk bersama-sama mereka. Mohon agar Allah melindungi kita daripada segala kejahatan dan kita dilimpahi limpah kurnia dan rahmatNya.
            Sesungguhnya apabila kita telah jemu kepada makhluk, kerana merasai bahawa mereka itu tidak bermanfaat kepada kita. Bahkan ada kalanya ia membawa bahaya kepada kita. Maka disaat itulah kita merasa jinak dan senang dengan Allah.[3] Ibn ’Ataillah menjelaskan lagi bahawa manusia yang kemuncaknya lalai terhadap Allah, maka jiwa dan raganya sangat terpengaruh oleh pancaindera, sehinggakan hilang kerohanian. Maka ia melihat segala bantuan dan pertolongan yang datang kepadanya adalah daripada makhluk, dan sama sekali bukan daripada Allah SWT. Akhirnya mereka meyakini sekiranya tidak kerana makhluk dia tidak menjadi kaya, berpangkat, berkedudukan dan lain-lain.


[1] Al-Ghazali Abu Hamid Muhammad (1999), op. cit., hlm.165
[2] Abdun Nafi dkk (1999), op. cit., hlm.38
[3] Syeikh Ibn ‘Athaillah (2007), op. cit., hlm.135

0 ulasan:

Catat Ulasan