Zuhud pada yang halal pula di sisi para wali juga
menyamai zuhud yang pada yang haram. Dunia tidak lebih daripada bangkai. Mereka
tidak mengambilnya melainkan sekadar keperluan sahaja. Maka perkara yang
diharamkan dirasakan umpama api. Tidak terlintas sedikitpun di hatinya untuk
mengambilnya sama ada ketika darurat atau tidak darurat.
Sayidina Ali bin Abi Talib Kwjh ada meriwayatkan
bahawa nabi saw bersabda:
Apabila Allah tidak memberkati harta
seseorang manusia itu, ia dapat dilihat bagaimana harta itu dihabiskan seumpama
menakung air di tanah. Ia tidak meninggalkan apa-apa kesan sekalipun.
Inilah yang dimaksudkan dengan kedinginan terhadap
dunia. Ia akan memutuskan seseorang untuk cinta kepada dunia serta merasa jijik
dengan dunia. Maka akan hilang dan tidak tertinggal sedikitpun di dalam hati
dan perasaannya untuk berusaha mendapatkan habuan dunia yang jijik. Semua ini
tidak mustahil akan berlaku jika kita berusaha menolak kehendak dunia. Sesiapa
yang dikurniakan Allah dengan taufiq yang khas/ khusus dan merasa yakin dengan
kebinasaan dunia dan isinya, mudah sahaja bagi dirinya menolak kelazatan dan
nikmat dunia. Golongan ini diberikan anugerah oleh Allah melihat apa yang tidak
terjangkau dilihat oleh manusia biasa dengan mata hati dan ilmu. Perkara yang
haram itu seumpama racun yang boleh membunuh. Mereka hairan melihat orang yang
mencintai dunia, apatah lagi melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah.
Justeru itu, Hasan al-Basri pernah ditanya:[1]
Wahai Abu Said, siapakah manusia yang
paling keras teriakannya pada hari Kiamat? Beliau menjawab: ” Orang yang
dikurniakan nikmat, tetapi digunakan untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT.
Zuhud dunia tidak bermakna kita menolak sepenuhnya
dunia yang kita miliki. Zuhud dunia bermakna tidak mengutamakan dunia daripada
akhirat atau tidak berlebihan pada mengejar dunia. Dunia yang diperlukan hanya
untuk beribadat kepada Allah SWT, dan bukanlah untuk berseronokan atau
bermewah-mewahan. Sesungguhnya seringan-ringan hukuman Allah terhadap orang
alim yang condong kepada keduniaan, maka Allah akan mencabut daripadanya
kelazatan bermunajat kepada Allah.[2]
Saad bin Abi Waqqash r.a. berkata: ” saya
mendengar Rasulullah saw bersabda bahawa setiap hari dua malaikat yang
menyeru dan dapat didengar oleh semua
makhluk kecuali manusia dan jin. Wahai manusia kembalilah kepada Tuhan,
sesungguhnya yang sedikit tetapi mencukupi itu lebih baik daripada yang banyak
tetapi menyesatkan”.[3]
Sebagai kesimpulannya, jika kita berkeinginan
untuk tidak menuntut kepada dunia dan bercita-cita untuk berzuhud, tetapi diri
kita tidak mampu dan masih berkeinginan kepada dunia, maka kita niatkanlah
untuk beribadah kepada Allah, bukanlah untuk memuaskan hawa nafsu syahwat. Maka jika ini yang kita lakukan, maka
tuntutan dan keinginan kita ini adalah suatu kebaikan dan menjadi bekalan
akhirat.
0 ulasan:
Catat Ulasan