Ads 468x60px

Labels

Selasa, 10 Julai 2012

WAKAF PENDIDIKAN: PENGALAMAN DI PONDOK MODEN DARUSSALAM GONTOR PONOROGO INDONESIA

 Pendahuluan

Institusi pendidikan wakaf ialah sebuah organisasi atau institusi yang ditubuhkan melalui sumbangan masyarakat Islam atau dibina atas tanah atau bangunan yang diwakafkan untuk tujuan pendidikan Islam. Matlamat utamanya ialah untuk mendapat keredhaan Allah SWT, di samping melahirkan masyarakat Islam yang soleh, mukmin dan muttaqin. (Ahmad Zaki Hj Abd Latif, 2008, hlm.84-85) Institusi pendidikan wakaf bukanlah suatu yang asing dalam Islam. Masjid merupakan antara institusi pendidikan wakaf yang menjadi tempat pendidikan awal sebagaimana yang berlaku sejak pada zaman nabi saw. Diriwayatkan bahawa pada hari pertama ketibaan Rasulullah saw di kota Madinah semasa peristiwa hijrah bersama Abu Bakar r.‘a Baginda saw  telah mengambil tanah milik Sahl dan Suhail untuk membina masjid dan tempat kediamannya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan beberapa riwayat yang lain di dalam hadith Rasulullah saw. (Al-Bukhari, Abi ‘Abdillah Muhammad b. Ismail, 1992, No.3906) Aktiviti ini diteruskan pula oleh generasi selepas baginda saw dan pada zaman kerajaan Abbasiyah (754-1258M), Ayyubiah (1171-1249M), Mamalik (1249-1517M) dan kerajaan Uthmaniyah 91299-1924M), wakaf pendidikan berkembang dengan pesatnya melalui sekolah, perpustakaan dan universiti yang berjaya melahirkan ramai sarjana Islam. (M. Jandra bin Moh. Janan, 2008, hlm.88)

            Namun demikian, selepas kejatuhan kerajaan Uthmaniyah, kegemilangan institusi Islam mula merosot. Sebagaimana juga di Malaysia, institusi pendidikan yang berorientasikan wakaf tidak begitu menyerlah dan menonjol, kecuali kewujudan sistem pengajian pondok yang masih mengamalkan secara tradisional. Justeru, penulisan ini cuba untuk memperlihatkan perkembangan kejayaan Pondok Modern Darussalam Gontor (PMDSG) yang menjadi sebuah institusi kebanggaan umat Islam di Indonesia dan umat Islam amnya. Sistem pentadbiran dan pengurusan wakaf pendidikan di PMDSG boleh dijadikan sample di samping dapat menambahbaik institusi wakaf pendidikan yang tersedia ada di Malaysia.

Pertadbiran Undang-undang Wakaf di Indonesia

Di Indonesia, kegiatan wakaf dikenal seiring dengan perkembangan dakwah Islam di nusantara. Di samping melakukan dakwah Islam, para ulamak juga sekaligus memperkenalkan ajaran wakaf. (M. Jandra bin Moh. Janan, hlm.430) Hal ini terbukti dari banyaknya masjid-masjid yang bersejarah dibina yang dibina di atas tanah wakaf. Pada masa perintahan colonial merupakan momentum kegiatan wakaf, kerana pada masa itu perkembangan organisasi keagamaan, sekolah, madrasah, pondok pesantren, masjid yang semuanya terdiri di atas tanah wakaf. Beberapa peraturan telah dibuat berkaitan wakaf antaranya seperti PP no. 28 tahun 1977 tentang pewakafan tanah milik yang tertumpu kepada kegiatan sosial keagamaan seperti masjid, kubur, madrasah dan lain-lain. Peraturan ini digunakan tanpa apa-apa perubahan sehingga tahun 2004. Badan Wakaf Indonesia (BWI) ditubuhkan yang berfungsi sebagai nazir wakaf di Indonesia. Pada penghujung tahun 2006 telah dibuat penambahan pada PP No.42/2006 tentang pelaksanaan Undang-undang Wakaf.
            Pentadbiran dan pengurusan wakaf di Indonesia agak berkembang pesat dengan wujudnya Tabung Wakaf Indonesia (TWI). Ia berfungsi sebagai pengelola wakaf atau nazir wakaf. Undang-undang Nombor 41/2004, TWI adalah berbentuk badan hukum yang melibatkan semua aktiviti wakaf di Indonesia sama ada dalam bidang sosial, pendidikan, kemasyarakatan dan keagamaan.TWI bertujuan untuk mewujudkan sebuah lembaga nazir wakaf dengan model suatu lembaga kewangan yang dapat melakukan kegiatan mobilisasi asset dan dana wakaf untuk keperluan masyarakat, sekaligus mendorong pembangunan sosial dan pembangunan ekonomi. (M. Jandra bin Moh. Janan, hlm.431) TWI menjadi satu wahana ke arah membentuk Bank Wakaf di Indonesia bagi memudahkan mana-mana pihak untuk melakukan wakaf harta mereka. Ia dapat memperkasakan dana wakaf dan menggerakkan ekonomi selaras dengan syariat Islam. Keuntungan dan hasil ekonomi ini dapat dimanfaatkan kepada masyarakat secara umum.
Dari aspek perundangan dalam bidang pendidikan, ia tidak sebagaimana di Malaysia yang banyak terikat dengan peraturan dan ko-kurikulum yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Oleh itu, sistem pengajian di PMDSG, sejak penubuhannya daripada tahun 1926 tidak berubah sekalipun berlaku perubahan pemerintah dan polisi kerajaan. PMDSG bersifat tersendiri dalam menentukan arah tuju pentadbiran dan pengurusannya serta aset wakafnya tanpa terikat dengan mana-mana peraturan pemerintah.

Sejarah Penubuhan Pondok Modern Darussalam

Pondok Modern Darussalam atau juga dikenali sebagai Pondok Gontor adalah antara ribuan pondok pasentren yang terdapat di seluruh  Indonesia. Ia telah didirikan pada 10 April 1926, bersamaan 12 Rabiul Awwal 1345 di Ponorogo, Jawa Timur oleh tiga saudara anak lelaki kepada Kiyai Santoso Anom Besari. Tiga bersaudara ini adalah KH Ahmad Sahal (9101-1977), KH Zainudin Fananie (1905-1967) dan KH Imam Imam Zarkasyi (1910-1985). Ketiga-tiga ini dikenali sebagai dengan istilah Trimurti. Setelah kematian KH Imam Zarkasyi pada April 1985, Pondok Gontor telah beralih kepimpinannya kepada generasi kedua, iaitu KH Shoiman Lukmanul Hakim, KH Abdullah Syukri Zarkasyi, M.A dan KH Hasan Abdullah Sahal. Keputusan ini dibuat melalui Badan Wakaf sebagai penaung kepada Pondok Gontor. (Abdullah Syukri Zarkasyi, M.A, 2005, hlm.87) Pada tahun 1999 kepimpinan Pondok Gontor telah diganti oleh KH Imam Badri bersama-sama dengan KH Abdullah Syukri Zarkasyi, M.A, dan KH Hasan Abdullah Sahal. Ketiga-tiga Kiyai inilah yang memimpin pondok ini sehingga sekarang.
Pondok pasentren ini telah melahirkan ramai para ulamak dan tokoh-tokoh masyarakat. Antaranya seperti M. Hidayat Nur Wahid, Ketua MPR RI , Muhammad Maftuh Basyuni, Menteri Agama, Din Syamsuddin, Ketua Umum PP Muhammadiyah, KH Hasyim Muzadi, Ketua Umum PB Nahdhatul Ulama (NU), Emha Ainun Nadjib (budayawan), Abu Bakar Basyir (pimpinan Pondok Pesantren Ngruki, Solo), Nurcholis Madjid (cendekiawan Muslim) dan lain-lain. (http://wardun.tripod.com/Yppwpm.htm) Sehingga kini, terdapat 11 kumpulan Pondok Gontor atau cawangan yang terdapat diseluruh Indonesia, dan mempunyai seramai hampir 16 ribu pelajar lelaki dan perempuan. Sistem pendidikan di PMDSG telah diiktiraf oleh beberapa institusi luar negara seperti Kementerian Pendidikan dan Pengajaran Republik Arab Mesir, Universiti al-Azhar Mesir, Kementerian Pengajaran Kerajaan Arab Saudi dan Universiti of Punjab Lahore Pakistan. Beberapa buah universiti luar negara juga mengiktiraf pengajian di  PMDSG seperti Universiti Antarabangsa Islam Islamabad, UIAM, Universiti Damaskus Syria dan beberapa universiti lain.
Pada peringkat awalnya PMDSG hanya menumpukan kepada aspek keagamaan sahaja. Ini kerana ia sesuai untuk keperluan pada masa itu, memandangkan kurangnya kefahaman dan penghayatan agama di kalangan masyarakat. Sebelum ini, ia hanya dikenali sebagai pondok Darussalam Gontor. Tanggal 19 Disember 1936, penggunaan nama “Modern” untuk pondok Gontor telah dirasmikan dan dikenali dengan nama Pondok Modern Darussalam Gontor. Selaras dengan penggunaan nama “Modern” itu, sistem pendidikan baru telah diperkenalkan iaitu Kuliyat al-Mu’allimin al-Islamiyah (KMI-Sekolah Pendidikan Guru Islam) yang menggantikan sistem al-‘Atfal dan Sullam al-Muta’allimin. Pembaharuan sistem pendidikan ini langsung tidak boleh diterima oleh masyarakat. Ini kerana ia dianggap bertentangan dengan sistem pendidikan tradisional yang diamalkan oleh kebanyakan pasentren pada masa itu. (Abdullah Syukri Zarkasyi, M.A, hlm.91-93)
Organisasi dan Pentadbiran Pondok Modern Gontor
Badan Wakaf adalah antara lembaga tertinggi dalam pentadbiran dan pengurusan di Pondok Modern Gontor. Lembaga ini merupakan badan legislatif yang bertanggungjawab secara keseluruhan sama ada dalam aspek pendidikan dan pengajaran. (Abdullah Syukri Zarkasyi, M.A, hlm.119) Lembaga ini ditubuhkan pada 12 Oktober 1958, apabila pondok Gontor ini diwakafkan kepada Umat Islam daripada bersifat milik peribadi kepada milik institusi yang akhirnya membentuk Lembaga Badan Wakaf. (Abdullah Syukri Zarkasyi, M.A, hlm.93-94) Badan ini diamanahkan kepada 15 orang alumni yang benar-benar memahami dasar dan hala tujuan PMDSG. Kepimpinan Pondok Modern Gontor adalah dipilih oleh Badan Wakaf setiap 5 tahun sekali seramai 3 orang. Kepimpinan pondok memimpin seluruh lembaga eksekutif di dalam pondok. Lembaga-lembaga ini pula bertanggungjawab kepada kepimpinan Pondok .
            Di bawah Kepimpinan Pondok terdapat 7 bahagian utama iaiti Institut Studi Islam Darussalam (ISID),  Kulliyatul al-Mu’allimin al-Islamiyah (KMI), Pengasuhan Santri, Yayasan Pemeliharaan dan Perluasan Wakaf Pondok Modern (YPPWPM),  Ikatan Keluarga Pondok Modern (IKPM), Pusat latihan Manajemen dan Pengembangan Masyarakat (PLMPM) dan Pondok-Pondok cawangan.

1.      ISID: Pada tahun 1996, kampus Institut Studi Islam Darussalam (ISID) telah dibuka di Demangan, Siman Ponorogo di atas tanah seluas 6 hektar. Ia ditubuhkan untuk mengelola kegiatan pendidikan perguruan tinggi. Ini adalah sebagai langkah strategik dan cita-cita untuk mendirikan universiti Islam yang bermutu sebagaimana yang diamanatkan oleh pengasas PMDSG dan piagam pewakafan. Jumlah mahasiswa adalah seramai 1316 dengan 96 orang tenaga pengajar. Seterusnya pada tahun 1998, Ijazah Kulliyat al-Mu’allimin al-Islamiyyah (KMI) mendapat pengiktirafan daripada Departmen Agama RI, tanpa mengubah apa-apa dalam sistem pendidikan pondok yang ada. (Abdullah Syukri Zarkasyi, M.A, hlm.97-98)
2.      KMI: Telah didirikan pada 19 Disember 1936. Lembaga ini bertanggungjawab mengajar pada peringkat menengah selama 6 tahun
3.      Pengasuhan Santri: Lembaga yang menguruskan segala kegiatan ko-kurikulum tambahan peringkat menengah (KMI) dan perguruan Tinggi (ISID). Kegiatan diperingkat menengah merangkumi aktiviti yang diselenggarakan oleh Organisasi Pelajar Pondok Modern (OPPM) dan diperingkat ISID ia dikelolakan oleh Dewan Mahasiswa (DEMA).
4.      YPPWPM: Lembaga ini bertanggungjawab mengurus dan mengembangkan aset wakaf yang dimiliki oleh PMGDS.
5.      IKPM: Menguruskan kegiatan alumni yang berada diseluruh Indonesia dan di luar negara.
6.      PLMPM: Lembaga kemasyarakat iaitu, Pusat latihan Manajemen dan Pengembangan Masyarakat yang ditubuhkan pada tahun 1988 di Desa Sambirejo, Mantingan Ngawi. Tujuan penubuhannya adalah untuk membekalkan para alumni
Gontor dengan kecekapan dan ketrampilan diri dalam bidang dakwah dan keusahawanan agar mereka lebih bersiap sedia untuk berhadapan dengan masyarakat tanpa bergantung hidup kepada orang lain.

Metod Pendidikan di Pondok Modern Gontor Darussalam

Metod pendidikan di PMDSG adalah berasaskan kepada prinsip: “ al-Muhafazah ‘ala al-Qadim al-Salih wa al-Akhzu bi al-Jadid al-Aslah menjadi pegangan dalam pendidikan dan pengajaran. Penekanan kepada kedua-dua aspek ilmu agama (revealed knowledge) dan ilmu kauniyah (acquired knowledge) berjalan secara beriringan. Maka pembaharuan ko-kurikulum di PMDSG adalah bersifat integrasi dan ilmu al-Kauniyah tidak terkeluar daripada dasar dan nilai agama. Inilah kekuatan dan kelebihan PMDSG berbanding pasentren lain yang hanya mementingkan aspek agama dan mengetepikan ilmu-ilmu lain yang bersifat akademik. Maka penggunaan bahasa Inggeris menjadi satu kemestian di PMDSG. Kombinasi kedua-dua ilmu ini memperlihatkan PMDSG sebagai sebuah institusi yang menepati dan sejajar dengan perkembangan semasa dalam pelbagai bidang dan teknologi.
            Selain itu, ko-kurikulum pendidikan di PMDSG mencakupi semua kegiatan dalam pelbagai bentuk. Semua ini merupakan satu kesatuan ko-kurilulum yang tidak berpisah yang mengatur keseluruhan hidup pelajar dan mahasiswa/wi bagi mencapai tujuan dan objektif pendidikan dan pengajaran yang digariskan. Nilai pendidikan ini diterjemahkan daripada falsafah pendidikan PMDSG iaitu: “ Apa yang dilihat, didengar, dirasa dan dialami oleh para pelajar adalah untuk pendidikan”, dan “Hidup sekali, hiduplah yang bererti”.
Apa yang menarik perhatian di PMDSG, bahasa pengantar yang digunakan adalah bahasa Arab dan Bahasa Inggeris sama ada di dalam dan di luar bilik darjah. Bahasa Arab dan bahasa Inggeris digunakan secara rasmi setiap dua minggu. Para pelajar yang menggunakan selain dari dua bahasa utama ini akan dikenakan denda, berbentuk pendidikan dan bukan hukuman fizikal. Contohnya, pelajar dikenakan hukuman mengelilingi kampus, berdiri di atas kerusi, mencukur sebahagian rambut dan keseluruhannya mengikut bentuk kesalahan. (Temubual: En. Zaki, Mahasiswa Tahun akhir dan guru di Gontor 1)
Maka penguasaan bahasa Arab dan Inggeris di kalangan para pelajar PMDSG tidak boleh dipertikaikan. Para pelajar perlu menghabiskan pengajian di PMDSG selama 6 tahun. Pada tahun yang ke7, pelajar dikehendaki menjadi tenaga pengajar selama setahun. Setelah itu mereka akan dianugerahkan sijil untuk meneruskan pengajian diperingkat yang lebih tinggi sama ada di dalam atau di luar negara, atau kekal sebagai tenaga pengajar di PMDSG. Melalui sistem ini pelajar dilatih untuk menjadi seorang tenaga pengajar dan menimba pengalaman sebagai seorang pendidik. Konsep keilkhlasan telah diterapkan kepada para pelajar sejak dibangku sekolah lagi. Mereka tidak dibayar gaji, tetapi keperluan hidup seperti makan, tempat tinggal dan wang saku diberikan. Konsep ini menepati dengan falsafah:” Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat bagi sesamanya, dan berjasalah tetapi jangan minta jasa”.
Antara nilai yang ingin dilahirkan ialah nilai keikhlasan, iaitu melakukan sesuatu bukan kerana didorong oleh keinginan untuk mendapatkan keuntungan atau kepentingan peribadi. Para guru dan kiyai tidak dibayar gaji secara tetap, bahkan segala pekerjaan yang dilakukan berasaskan kepada niat semata-mata ibadat. Para kiyai ikhlas dalam mendidik, pelajar ikhlas dididik dan mendidik diri sendiri, dan para pembantu kiyai ikhlas dalam membantu menjalankan proses pendidikan.
Dari aspek kepimpinan, para pelajar diasuh dan dididik untuk bersedia memimpin dan dipimpin. Ini menepati dengan nilai, falsafah, visi dan misi PMDSG untuk melahirkan pelajar yang mempunyai jiwa berdikari. Mereka dilatih berdikari sanggup belajar dan berlatih mengurus segala kepentingan diri sendiri, tetapi PMDSG juga harus sanggup berdikari dan tidak menyandarkan kelangsungan hidup kepada mana-mana pihak lain, atau mengharapkan bantuan daripada kerajaan atau pihak lain. Falsafah PMDSG menekankan “Pondok Modern Gontor berdiri di atas dan untuk semua golongan, pondok adalah lapangan perjuangan dan bukannya tempat mencari penghidupan”. Diperingkat pengajian lagi, pelajar-pelajar senior akan dilantik untuk menjadi pemimpin kepada pelajar-pelajar junior. Maka tidak hairanlah, segala aspek pentadbiran dan pengurusan PMDSG diurustadbir oleh pelajar sendiri tanpa melibatkan guru atau pensyarah. Guru hanya bertindak sebagai pemerhati dan lebih tertumpu kepada pendidikan dan pengajaran.

Badan Wakaf Sebagai Nadi penggerak Pendidikan Wakaf Pondok Gontor
Sebagaimana yang telah dimaklumi bahawa pasentren Gontor pada asalnya adalah milik kiyai atau keluarga kiyai sebagai pemilik tunggal dan diwarisi oleh ahli warisnya setelah kematian kiyai. Kemudian ia diwakafkan pada tahun 1958 kepada umat Islam dan dikelolakan oleh Badan Wakaf. Anggota badan ini dipilih dari kalangan mereka yang benar-benar layak untuk menerajui PMDSG yang terdiri seramai 15 orang. Anggota ini juga akan memilih anggota lain jika berlaku kematian anggota atau anggota yang tidak aktif. Badan inilah yang menentukan keseluruhan perjalanan pengurusan dan pentadbiran PMDSG sama ada dari aspek pendidikan, sosial, keagamaan dan lain-lain.
Setelah diwakafkan kini PMDSG berubah dari status pemilikan peribadi kepada milik institusi. Maka ahli warisnya tidak lagi berhak untuk mewaris harta dan segala aset yang lain. Dengan perubahan status ini PMDSG akan menjadi hal milik kekal umat Islam, berbanding sebelum ini. Status wakaf ini telah memberi kelebihan kepada PMDSG dan umat Islam keseluruhannya. Ini kerana kebanyakan pasentren yang dimiliki oleh kiyai atau keluarganya tidak akan kekal lama bertahan. Antara faktor kepupusan pasentren di Indonesia disebabkan oleh tidak ada ahli keluarga yang layak untuk mengurus dan mentadbir pasentren, selain masalah kewangan. Pihak lain tidak banyak membantu dan timbulnya juga masalah kepimpinan. Hal inilah yang menjadi faktor utama kepada mundur dan runtuhnya sebuah pasentren.
Badan Wakaf  bertindak merencanakan program-program dan bertindak sebagai pemerhati ke atas setiap laporan Pimpinan Pondok. Perencanaan ini boleh dibahagikan kepada beberapa bidang, antaranya ialah:

i.                    Pendidikan dan pengajaran
ii.                  Pergedungan (prasarana dan sarana)
iii.                Khizanatullah (Dana)
iv.                Kaderisasi (Kepimpinan)
v.                  Kesejahteraan

Semua program ini dijalankan oleh pimpinan pondok melalui lembaga-lembaga sebagai koordinator. Pelaksaaan program dikawal selia oleh pimpinan pada setiap akhir semester. Semua lembaga akan membentangkan laporan tentang program yang dilaksanakan. Laporan tersebut selanjutnya menjadi bahan laporan pertanggungjawaban Pimpinan Pondok kepada Badan Wakaf. Begitu juga aspek kewangan, setiap lembaga dan organisasi hendaklah melaporkan laporan kewangan mereka kepada pimpinan secara telus dan cermat. Hukuman yang berat dikenakan kepada pihak yang melakukan penyelewengan. Badan Wakaf akan menerima laporan kewangan pada akhir setiap semester. Pimpinan Pondok tidak hanya menyampaikan laporan kewangan dan pelaksanaan program kepada Badan Wakaf  sahaja, malah kepada seluruh pelajar secara terbuka. Semua laporan program dan kewangan PMDSG akan dimuatkan dalam Jurnal laporan akhir tahun yang dikenali sebagai WARDUN (Warta Dunia Pondok) dan ia diedarkan kepada semua pelajar dan orang ramai.
            Sistem wakaf yang diamalkan di PMDSG mampu bertahan lama sejak dari tahun 1958 sehingga kini 2009, sentiasa menambahbaik dalam urusan pentadbiran dan pengurusannya dalam semua aspek. Sistem yang berasaskan wakaf ini melahirkan rasa hak pemilikan bersama dan tanggungjawab semua pihak. Kelangsungan hidup PMDSG bukan lagi menjadi tanggungjawab individu, malah kepada semua umat Islam. Kelolaan PMDSG tidak lagi menjadi dominasi keluarga atau individu tertentu terutama dalam soal kepimpinan dan tujuan asal penubuhan PMDSG. Justeru, pengurusan dan pentadbirannya adalah berasaskan kepada prinsip-prinsip transparansi, akauntibiliti dan kebersamaan.
            Dari aspek yang lain, pewakafan juga membawa pengaruh yang positif kepada bidang kewangan. Ini kerana secara prinsipnya, konsep wakaf secara tidak langsung akan memisahkan antara aset pondok dengan aset peribadi yang tidak bercampur aduk. Setiap anggota yang dilantik oleh badan wakaf mampu menjiwai konsep wakaf yang lebih mengutamakan soal kebajikan dan hasil atau manfaatnya akan dikongsi oleh semua pihak. Ini berbeza dengan konsep yang ada pada hari ini yang menjuruskan bidang pendidikan sebagai bahan perniagaan yang menguntungkan kepada sebahagian pihak.
Peranan Yayasan dan Perluasan Wakaf Pondok Modern Gontor
Yayasan Pemeliharaan dan Perluasan Wakaf Pondok Modern (YPPWPM) adalah salah satu lembaga yang bertanggungjawab dalam mengatur berkaitan perekonomian, khususnya yang berkaitan dengan pengelolaan dan pengembangan tanah wakaf, sehingga dapat menjadi sumber dana yang halal dan bisa menjamin kemandirian dan kelangsungan hidup Pondok sebagaimana Universitas Al-Azhar. Seperti lembaga lainnya, lembaga ini pun secara struktural langsung dibawahi oleh Pimpinan Pondok. Untuk mencapai hasil yang optimal dalam melaksanakan tugas tersebut maka dibentuklah beberapa bahagian agar dapat lebih efektif dalam melaksanakan tugas.

Pondok Moden Gontor mempunyai tanah-tanah wakaf dalam dua bentuk iaitu tanah yang sesuai untuk didirikan bangunan dan tanah pertanian. Tanah-tanah wakaf ini diperolehi melalui pelbagai bentuk, antaranya wakaf dari individu, pembelian dan pertukaran tanah milik untuk wakaf. Di peringkat awal, tanah-tanah tersebut telah diwakafkan kepada pihak Pondok sejak tahun 1931 dan dikelolakan oleh satu badan yang diberi nama Khizanah(Khizanatullah). Pada peringkat awal Khizanah menggunakan tanah-tanah tersebut untuk mengusahakan pelbagai bentuk perniagaan seperti penternakan, pertanian dan seumpamanya. Mulai tahun 1953, ditubuhkan Koperasi Pelajar (Kopel) yang dikelolakan sepenuhnya oleh pelajar yang berfungsi menyediakan berbagai-bagai peralatan untuk kemudahan pembelajaran dan pengajaran. Kemudian mulai tahun 1954, ditubuhkan ‘kartu infaq’ bagi mengumpul dana untuk membeli tanah-tanah untuk memperluaskan Pondok Moden Gontor serta untuk menampung pembiayaan  pengurusan Pondok.  Kini lokasi tanah-tanah wakaf tersebut terletak di Pulau Jawa, Lampung di Pulau Sumtera dan di Sulawesi Tenggara. (KH. Abdullah Syukri Zarkasyi, MA, 2005, hlm.188) Lokasi secara terperinci tanah-tanah wakaf tersebut sebagaimana gambar rajah berikut:

JADUAL 1: Tanah Wakaf Pondok Modern Gontor Sehingga tahun 2004

Bil
Lokasi
Tanah pembangunan (hektar)
Tanah Pertanian (hektar)
Dusun
(hektar)
Jumlah
1
Ponorogo
29.95
22,91

53
2
Madiun
0.01
0.6

1
3
Ngawi
28.38
172.08

200
4
Nganjuk
0.16
10.2

10
5
Kediri
11.7
2.5

14
6
Trenggalek


2.031
2
7
Jombang


0.8
1
8
Jember

2.2

2
9
Banyuwangi
6.1


6
10
Magelang
3.01


3
11
Lampung
8


8
12
Konawea Sultra
19.5


20

Jumlah
109.08
211.7
2.031
320

Kini pengurusan tanah-tanah wakaf ini diletakkan di bawah pengelolaan Yayasan Pemeliharaan dan Perluasan Wakaf Pondok Moden(YPPWPM) yang telah ditubuhkan sejak 18 Mac 1959. Bagi memudahkan pengurusan tanah-tanah wakaf tersebut, pihak yayasan telah membentuk beberapa bahagian seperti berikut:

i.                    Bahagian Pemeliharaan dan Pertanian. Bahagian ini berfungsi mengusahakan dan mengelolai tanah-tanah pertanian. Contohnya tanah-tanah sawah ditanam dengan pelbagai jenis tanaman seperti padi, jagung  dan lain-lain. Pihak yayasan telah dibantu pengawas yang digelar sebagai Nazir. Para Nazir hendaklah terdiri daripada orang tempatan yang akan bertanggungjawab kepada Yayasan berkaitan usaha-usaha pertanian di tanah-tanah wakaf tersebut.
ii.                  Bahagian Perluasan dan Peralatan. Bahagian ini bertanggungjawab untuk memikirkan bagaimana memperluaskan wakaf, status hukum berkaitan dengannya dan menuruskan pentadbiran tanah wakaf.
iii.                Bahagian Bangunan. Bahagian ini bertanggungjawab untuk mendirikan bangunan-bangunan yang sesuai bagi tujuan pendidikan dan perniagaan serta bertanggungjawab untuk menguruskan bangunan-bangunan tersebut.

Dari segi penggunaan tanah-tanah wakaf tersebut, pihak Yayasan telah membahagikan sebagaimana berikut: (KH. Abdullah Syukri Zarkasyi, MA, hlm.187) Tanah-tanah kering digunakan untuk mendirikan bangunan-bangunan untuk tujuan pendidikan seperti bilik-bilik kuliah, asrama, makmal, perpustakaan, masjid, perumahan kakitangan dan lain-lain.
i.                    Tanah-tanah pertanian digunakan untuk menanam pelbagai jenis tanaman seperti padi, kelapa, buah-buahan dan lain-lain.
ii.                  Tanah-tanah kering juga digunakan untuk menempatkan kilang-kilang milik Pondok Moden Gontor seperti kilang padi, kilang percetakan Darussalam dan lain-lain.

Menurut Bapak Dr Syamsul Hadi, (Temubual: Dr Syamsul Hadi) perniagaan yang telah memberi keuntungan terbesar kepada Koperasi ialah Percetakan La Tansa. Ini tidak menghairankan kerana jumlah pelajar Pondok Moden Gontor di seluruh Indonesia telah berjumlah kira-kira 17,000 pelajar. Manakala menurut Bapak Edi Isnan Hakim, terdapat 200 ekar tanah yang telah diwakafkan oleh seorang ahli usahawan terkenal di Indonesia, dan sekarang 1/3 daripadanya telah dibangunkan untuk pembinaan kampus Gontor Puteri 1 di Ngawi. Selebihnya digunakan untuk penanaman padi dan kelapa sawit serta tanaman pokok-pokok hutan (balak). (Temubual: Bapak Edi Isnan Hakim )


Sumbangan tanah-tanah wakaf kepada Pondok Moden Gontor

Pada peringkat awal, tanah-tanah sawah yang telah diwakafkan diusahakan dalam tiga bentuk iaitu: (KH. Abdullah Syukri Zarkasyi, MA, hlm.189)

i.                    Diusahakan oleh pihak petani dan keuntungan dibahagikan secara sama rata iaitu 50:50.
ii.                  Sewaan tanah. Tanah-tanah wakaf tersebut disewakan kepada para petani dan dibayar mengikut musim tanaman.
iii.                Sewaan mengikut hasil yang diperolehi. Pihak penyewa akan membayar mengikut jumlah hasil yang diperolehi.

Daripada tiga bentuk di atas, kesannya bentuk sewaan tanah dan sewaan mengikut hasil  telah memberikan pulangan yang besar kepada pihak Pondok. Contohnya pada tahun 2003, sewa mengikut hasil telah menyumbangkan sebanyak 428 juta rupiah dan melibatkan dua kali tanaman, manakala sewaan tanah pula menyumbang sebanyak 78.7 juta rupiah. Pada tahun 2004 pula, pulangan sewaan mengikut hasil telah menjangkau 350 juta rupiah satu musim dan 78 juta rupiah diperolehi melalui sewaan tanah.Ini menunjukkan sewaan mengikut hasil telah meningkat sebanyak 2.8%.
Selain itu pihak Yayasan juga turut mengusahakan tanah-tanah wakaf tersebut dengan tanaman cengkeh yang melibatkan tanah-tanah yang terletak di Jombok dan Pule. Pada tahun 1983,  tanaman tersebut telah mengeluarkan sebanyak 1000 kg cengkeh dengan nilai 7,700 rupiah. Tanah-tanah wakaf yang boleh diusahakan untuk tujuan pertanian telah dapat memberikan pulangan kepada pihak Pondok bagi membiayai pelbagai perkara untuk meningkatkan pembelajaran dan pengajaran di pondok.


Bentuk-Bentuk Perniagaan Pondok Moden Gontor

Selain pengurusan tanah-tanah wakaf, pihak Pondok juga turut mengusahakan berbagai-bagai-bagai bentuk perniagaan bagi menampung pengurusan  Pondok. Semua bentuk perniagaan tersebut diberi nama ‘La Tansa’ yang bererti ‘jangan lupa’ . Semua bentuk perniagaan tersebut bernaung di bawah Koperasi Pondok Pesantren(Kopontren) yang telah ditubuhkan pada 29 Julai 1996 dan telah diluluskan penubuhannya oleh Badan Wakaf Pondok dalam mesyuarat kali ke 36 pada tahun 1995. (KH. Abdullah Syukri Zarkasyi, MA, hlm.177)
Koperasi Pondok Pesantren(Kopontren) diuruskan oleh pelajar-pelajar senior yang bergabung di bawah Organisasi Pelajar Pondok Moden (OPPM) dengan para guru(Gerakan Pramuka). Koperasi telah menjalankan perniagaan di kampus Induk yang terletak di Gontor, Ponorogo dan di semua kampus-kampus cawangan seluruh Indonesia yang berjumlah sebanyak 11 buah. (Temubual: Ustaz Imam Awaludin)
Pada peringkat permulaan, bentuk perniagaan adalah tertumpu kepada penyediaan keperluan asas kepada para pelajar seperti peralatan pembelajaran, makanan dan seumpamanya. Perkembangan terkini, bentuk-bentuk perniagaan telah berkembang bukan setakat memenuhi keperluan para pelajar tetapi menjangkau keperluan masyarakat. Kini, bentuk perniagaan telah berjumlah sebanyak 25 jenis. Senarai jenis-jenis perniagaan sebagaimana berikut: (KH. Abdullah Syukri Zarkasyi, MA, hlm.178-179)

JADUAL 2: Bentuk-bentuk Perniagaan Pondok Modern Darussalam 

BIL
BENTUK PERNIAGAAN
TAHUN DIASASKAN
LOKASI
1
Kilang padi
1970
Gontor
2
Kilang Percetakan Darussalam
1986
Gontor
3
Usaha Kesejahteraan Keluarga
1986
Gontor
4
Kedai peralatan bangunan
1988
Gontor
5
Kedai Buku La Tansa
1989
Pondorogo
6
Kedai alat kosmetik 1
1990
Ponorogo
7
Kedai makan Bakso1
1990
Ponorogo
8
Kedai Potostat dan peralatan tulis
1990
Bajang
9
Kedai Farmasi
1991
Ponorogo
10
Kedai talipon1
1991
Gontor
11
Kedai alat kosmetik 2
1994
Bajang
12
Kilang Ais
1996
Gontor
13
Pusat Perkulakan
1997
Gontor
14
Toserba & Pusat Grosir La Tansa
1997
Ponorogo
15
Kedai Bakso 2
1997
Ponorogo
16
Perniagaan pengangkutan
1998
Gontor
17
Kedai Sayur-sayuran
1998
Gontor
18
Pemeliharaan Lembu
1999
Gontor
19
Kedai Talipon 2
1999
Gontor
20
Kilang memproses ayam
1999
Siman
21
Pusat Penyembelihan Ayam
2003
Gontor
22
Kilang pengeluaran makanan ikan
2003
Gontor
23
Kilang roti
2003
Gontor
24
Kilang kasut
2004
Gontor
25
Kilang pengeluaran air minuman
2004
Gontor
Pengurusan Kewangan Perniagaan

Pengurusan kewangan bentuk-bentuk perniagaan dan koperasi diuruskan Bahagian Pentadbiran. Wang-wang hasil perniagaan tersebut mesti disimpan di bahagian ini sama ada pada setiap hari atau setiap tiga hari atau setiap  minggu. Keperluan perbelanjaan pengurusan  bagi setiap perniagaan hendaklah diambil terlebih dahulu dari bahagian ini. Menurut K.H.Imam Zarkasyi, setiap perbelanjaan pengurusan perniagaan hendaklah sederhana. Setiap pengeluaran wang dari bahagian ini untuk apa-apa keperluan sekalipun mestilah dengan pengetahuan Pimpinan Pondok. (KH. Abdullah Syukri Zarkasyi, MA, hlm.184)
Bahagian Pentadbiran pondok yang menguruskan kewangan perniagaan adalah terdiri daripada guru-guru senior yang berstatus mahasiswa di ISID. Guru-guru senior yang terlibat mestilah mempunyai ‘mental skill’ bukannya ‘job skill’ iaitu keikhlasan, kejujuran, amanah, tanggungjawab, kesungguhan, ketaatan dan memahami serta menghayati nilai-nilai yang diamalkan di pondok. Mereka juga tidak dibayar gaji secara khusus. Pengalaman bekerja di bahagian ini adalah sebahagian daripada bentuk pendidikan yang diamalkan di pondok ini. Manakala ‘job skill’ pula dipelajari secara tidak langsung  daripada para pelajar senior yang telah bertugas di sini. Bagi memastikan kelangsungan pengalaman dari  aspek kemahiran, pihak pondok akan sentiasa menambah para pelajar baru bersama-sama pelajar lama bertugas di bahagian ini.
Manakala jawatan Pengurus Bahagian Pentadbiran secara khususnya hendaklah mempunyai kriteria berikut:

i.                    Tidak ada hubungan kekeluargaan dengan pengurus pondok.
ii.                  Tidak berasal dari Desa Gontor
iii.                Tidak merokok.

Tujuan diadakan peraturan ini supaya tidak berlaku penyalahgunaan tugas dengan urusan peribadi. Setiap kriteria tersebut mempunyai falsafah yang tersendiri, contohnya kriteria pertama bertujuan memudahkan tindakan tegas dapat dilaksanakan sekiranya berlaku salah guna kerana tidak mempunyai hubungan kekeluargaan. Manakala kriteria kedua bertujuan supaya pengurus tidak terlalu kerap pulang kerana dekat dengan rumah dan kriteria ketiga bertujuan untuk mengelakkan sifat boros dan membazir kerana merokok adalah salah satu lambang sifat boros.
Semua bentuk perniagaan tersebut milik penuh Pondok Moden Darussalam Gontor dan bukannya milik peribadi sama ada pimpinan, guru atau para pelajar pondok. Ini bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan perniagaan untuk tujuan peribadi. Inilah salah satu bentuk pendidikan iaitu sama-sama berusaha membangunkan pondok secara mandiri serta menjaga hak-hak dan keperluan pondok secara bersama tanpa sebarang  kepentingan peribadi. Manakala latihan-latihan berbentuk keusahawanan turut diberikan dalam kelas-kelas pengajian.  Pekerja am bagi semua bentuk perniagaan boleh dipilih dari penduduk awam sekitar pondok yang tidak mempunyai pekerjaan. Pihak pengurusan pondok turut memberikan latihan kepada orang awam (karwayan) yang diambil bekerja di semua premis perniagaan tersebut.
Premis-premis perniagaan La Tansa telah berjaya membangunkan dan menghidupkan lagi harta-harta wakaf tersebut di samping dapat memberi peluang latihan secara praktikal dalam bidang keusahawan kepada para pelajar pondok sebagai bekalan bila mereka tamat belajar di pondok nanti. Selain itu pihak pondok juga telah dapat memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk yang tinggal di persekitaran pondok.

Penutup
Model wakaf pendidikan ala Gontor telah terbukti berjaya tanpa bergantung kepada kerajaan atau mana-mana agensi tertentu. Prinsip PMDSG boleh menerima sumbangan dan tajaan dari mana-mana pihak, namun tidak terikat dengan pihak penyumbang. Konsep berdikari melalui pembangunan harta wakaf dan urus tadbir yang telus dan jujur, serta mempelbagaikan bentuk perniagaan telah berjaya mengeluarkan alumni yang terbukti dari segi kemampuan intelektual dalam masyarakat Indonesia, khususnya dan umat Islam nusantara amnya. Falsafah di PMDSG telah dihayati dengan sepenuhnya iaitu ”Hidupilah Pondok, dan jangan menggantungkan hidup kepada Pondok” dan Pondok berdiri di atas dan untuk semua golongan”.














LAMPIRAN 1
DATA KELUASAN TANAH YPPWPM BAGI TAHUN 2003
YPPWPM TAHUN 2003
No
Letak
Luas (m2)
Luas (ha)
1
Ponorogo
24220.42
2.422
2
Nganjuk
3763.9
0.376
3
Ngawi
54292
5.429
Jumlah
82276.32
8.227
DATA TANAH YPPWPM TAHUN 2003
DATA TANAH YPPWPM TAHUN 2003
Daerah
Luas ( ha )
1
Ponorogo
50.110
2
Madiun
0.963
3
Ngawi
208.583
4
Kediri
17.824
5
Jombang
0.885
6
Nganjuk
5.550
7
Jember
3.026
8
Lumajang
0.072
9
Banyuwangi
6.151
10
Trenggalek
2.031
11
Magelang
1.196
12
Lampung
8.000
Jumlah
304.391





DATA HASIL PENDAPATAN PERTANIAN TAHUN 2003
No.
Masa Tanam
Jumlah
a.
Masa tanam tahap I tahun 2003
Rp.      339.219.783
b.
Masa tanam tahap II tahun 2003
Rp.      308.345.053
JUMLAH
Rp.      647.564.836
No.
Daerah
Jumlah
a.
Ponorogo
Rp.  27.578.500
b.
Jombang
Rp.    1.350.000
c.
Nganjuk
Rp.  21.000.000
d.
Pagotan
Rp.    3.410.000
e.
Jember
Rp.    9.000.000

Senarai Rujukan
Ahmad Zaki Hj Abd Latif (2008), Pengurusan Institusi Pendidikan Wakaf, dalam Marohaini Yusoff et. al (ed), dalam Wakaf Pengurusan dan Sumbangannya Terhadap Pendidikan Islam di Malaysia, Pusat Penerbitan UPENA, UiTM: Shah Alam.
Abdullah Syukri Zarkasyi, M.A (2005), Gontor dan Pembaharuan Pendidikan Pasantren, PT Raja Gafindo Persada: Jakarta
Amir Hamzah Wirsoyukarto (1996), K.H. Imam Zarkasyi di Mata Umat, cet.1, Penerbit Gontor Press: Ponorogo Jawa Timur
Abdullah Syukri Zarkasyi, M.A (2005), manjemen pesantren: Pengalaman Pondok Modern Gontor, , cet.2, Trimurti Press: Ponorogo Jawa Timur
Al-Bukhari, Abi ‘Abdillah Muhammad b. Ismail (1992), Sahih al-Bukhari, Hadith No.3906, jld.4, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
H. Haidar Putra Daulay, M.A. (2009), Dinamika Pendidikan Islam di Asia Tenggara, cet.1, PT Rineka Cipta: Jakarta
M. Jandra bin Moh. Janan (2008), Memproduktifkan Wakaf: Pengalaman Indonesia, dalam Prosiding Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf, Anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia dan MAIDAM, Pada 18-19 Oktober 2008

Temubual
Bapak Edi Isnan Hakim, Guru di Gontor Puteri 1 Ngawi Jawa Timur, Pada 27 Mei 2009, Jam 5.00 petang.
En. Firdaus, Pelajar Praktikal Sarjana Muda Pendidikan al-Quran dan Sunnah, UKM pada 26 Mei 2009, Jam 6.00 petang.
Hayrullah, Pelajar Malaysia tahun 2, di Gontor Putera 1, pada 26 Mei 2009, Jam 6.00 petang.
Dr Syamsul Hadi, di Pejabat Pimpinan Pondok Modern Gontor Darussalam, pada 27 Mei 2009, jam 9.00 pagi
En. Zaki, Mahasiswa Tahun akhir dan guru di Gontor 1, pada 26 Mei 2009, Jam 6.00 petang.

Internet
http://www.Gontor.ac.id




[1] Kertas kerja Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2009, Anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada 24-25 Jun 2009

0 ulasan:

Catat Ulasan