Di keheningan subuh, hatiku tiba-tiba
terpanggil untuk meluahkan isi hati ini. Sedari tadi hati ini diselaputi
kegusaran. Hanya air mata menjadi saksi, saat diri ini bermunajat dan berdoa
padamu, kerisauan kian bertandang dalam hati ini, rasa bersalah kian menebal
dalam diri seolah-olah diri ini terlalu egois kerna membiarkan sahabat-sahabat
terus leka dibuai keseronokan dunia yang penuh kepalsuan. Sayugia setelah
selesai melaksanakan fardhu subuh, kucapai kalamMu Ya Allah, dan dalam doa ku
mohon agar Engkau memberi kekuatan kepadaku agar aku bisa menyampaikan wasilah
dakwah ini. Aku sedar diri ini hanya insan kerdil lagi daif, namun ku mohon
agar sedikit sebanyak wasilah tarbiyah ini bisa menyentuh hati
sahabat-sahabatku di luar sana, ku mohon agar hati mereka masih terbuka
untuk menerima wasilah ini. Ku mohon agar kelembutan masih bersisa di dinding
hati mereka agar wasilah ini bisa menjadi antibiotik untuk hati mereka.
Mudah-mudahan sel-sel fagosit di hati mereka masih kuat untuk melawan virus
kealpaan dunia, mudah-mudahan hati mereka masih diselaputi kapsul iman, dan
semoga duktus limfa dalam badan mereka masih terlindung dari penyebaran kanser
malignan hati ciptaan syaitan yang durjana yang bisa menjejaskan seluruh
fungsi badan dan minda.
Ya Allah, aku benar-benar kesal tatkala
melihat melihat sahabat-sahabatku semakin asyik dengan dunia.
Subhanallah..betapa syaitan dan sekutunya sedang berpesta atas kemenangan
mereka, tatkala berjaya menakluk hampir keseluruhan sel-sel hati dan pemikiran
manusia. Aku tidak pernah menyalahkan sahabat-sahabatku, justeru aku tahu hati
ini begitu mudah terpedaya dengan bisikan syaitan, iman dalam diri ini persis
output pada mesin ‘elektrokardiogram’, persis denyut nadi yang seringkali naik
dan turun mengikut stimulasi dan persekitaran. Aku pasti ia benar-benar sukar
untuk menangkis serangan virus dari syaitan laknatullah kerna mereka tidak akan
pernah melupakan janji mereka kepada Allah bahwa mereka tidak akan berhenti
merosakkan akhlak manusia sehingga tibanya hari kiamat. Sayugia ku luangkan
sedikit waktu kurniaan Ilahi ini untuk meyucikan hati ini agar aku mampu
memberikan antibodi suci untuk limfosit hatiku dan sahabat-sahabat ku jua.
Justeru, sedaya upaya kucuba memberi suntikan antibiotik suci untuk minda
dan hati para sahabat sekalian agar dikau bisa membina benteng pertahanan untuk
melawan parasit yang membentuk kista dalam duktus hempedu kalian yang kelak
mengakibatkan bilirubin toksin berkumpul dan menghambat kesucian hati.
‘LINTASAN HATI’….tajuk ini ku pilih untuk
entri kali ini sempena tajuk salah satu bab dalam ‘Soal Hati’ hasil karya Mohd
Afendi Mat Rani. Semoga perkongsian ilmu ini bukan sahaja memberi keberkatan
untuk kita, sayugia penulis buku ini jua turut mendapat redha Ilahi.
Subhanallah..Allah itu Maha pemurah..sedikit sahaja yang kita lakukan, berganda
pahala yang bertandang..
Lintasan hati yang baik datangnya dari Allah
dan malaikatNya. Lintasan hati baik yang teguh dan kuat itu datangnya dari
Allah SWT, dan seandainya berlaku keraguan dan berubah-ubah, ia adalah lintasan
dari malaikat kerna hakikatnya malaikat itu senantiasa hadir ke dalam diri
manusia, memberi nasihat dan menyeru ke arah kebaikan dengan harapan hati ini
akan terpana dan rindu akan kebaikan. ~Soal Hati; 100
Jika kita benar-benar ikhlas dan
bersungguh-sungguh melakukan ibadat, pasti anugerah Allah itu hampir dengan
kita. Lintasan hati yang baik pasti menjadi tamu istemewa buat hati yang
sentiasa dahagakan cairan hempedu suci ini. Inilah janji Allah buat hambaNya
yang tekun dan tawaduq, sebagaimana firmanNya dalam surah al-Ankabut ayat 69:
Maksudnya: Dan
orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak
agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan kami
(yg menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya
(pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha
membaiki amalannya.
Hal ini selari dengan firman Allah yang
seterusnya yang bermaksud:
Dan (sebalikya) orang-orang yang
menerima petunjuk (ke jalan yg benar), Allah menambahi mereka dgn hidayah
petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.
Kita sebagai hamba yang daif di bumi Allah ini
harus sedar bahwa dunia ini hanyalah sekadar tempat persinggahan untuk kita
berteduh, perjalanan kita masih lagi jauh, dan akhirat itulah penghujung
segalanya. Anggaplah manusia ini cuma pengemis daif di dunia ini, yang hanya
mengharap simpati pencipta dan pemilik agung sekalian alam semesta, Allah SWT.Allah memberi kita kesempatan merasa nikmat
dunia kerna Ia ingin menguji hambaNya. Seandainya kita kuat, pasti firdausi jua
destinasi kita, namun andainya kita tewas, neraka jua menanti. Syurga itu pasti
bagi umat Nabi Muhammad SAW, namun perjalanan ke sana tidak semudah yang
dituturkan. Hisab Allah itu adil dan saksama. Neraca Allah (al-Mizan) itu tidak
akan pernah tersasar, bahkan, biar kebaikan mahupun kejahatan yang sebesar
zarah pun akan dihitungkan seadilnya di mahkamah Allah kelak. Tatkala itu, biar
hati kita cuba menafikan kejahatan, namun pancaindera kita tidak bisa menipu
dan merka amat taat akn penciptanya; mata, telinga, hidung, lidah; yang selama
ini menjadi saksi akan membuat pengakuan kepada pemilikNya yang abadi. Tiada
sedikit pun yang ditinggalkan.
Justeru, di sini ku ingin berkongsi sedikit
wasilah agar kita dapat memuhasabahkan diri ini dan semoga penulis ’Soal Hati”
ini memperoleh rahmat yang melimpah ruah melalui perkongsian tabiyah ini.
Mengapa hati ini mudah goyah; mengapa iman
kita sekejap di atas, sekejap di bawah; mengapa seringkali kita alpa dan leka;
mengapa kita seringkali merungut walhal nikmat Allah itu sentiasa melimpahi
kita. Jawapannya, kerna syaitan itu ada di mana-mana. Tanpa benteng pertahanan
dan tembok yang kukuh, limfosit hati ini pasti akur dengan bisikan mereka yang
sentiasa cuba menyelinap masuk ke dalam neuron-neuron akal manusia. Kenalilah
sahabatku, dan gunakanlah kebijaksanaan akal untuk membezakan antara lintasan
hati suci dan bisikan syaitan.
Sesungguhnya terdapat tujuh aktiviti syaitan
terhadap anak Adam:
i. Syaitan melarang kita daripada
membuat ketaatan kepada Allah. Jika Allah melindungi kita daripada syaitan,
maka kita akan menolak larangan Allah dan berhajat untuk melakukan ketaatan
kepadaNya sebagai bekalan menuju ke destinasi akhirat yang kekal abadi.
ii. Syaitan mengajak supaya
menangguhkan amalan kebaikan dan ketaatan kepada Allah. Jika Allah memelihara
kita daripada bisikan syaitan, kita akan menolak ajakan syaitan dan senantiasa
mengenangkan kedatangan ajal yang akan menjemput kita bila-bila masa sahaja.
Maka kita akan bersegera melakukan amalan kebaikan untuk mengejar pahala dan
rahmat Allah.
iii.
Syaitan
menyuruh kita melakukan amal dengan tergopoh-gapah. Jika Allah menjauhkan kita
daripada syaitan, maka kita akan berkata: ”Amalan yg sedikit dan sempurna itu
lebih baik daripada amal yg banyak tetapi kurang sempurna”.
iv. Syaitan mengajar manusia agar
beramal dengan iringan sifat riya’ untuk diperlihatkan kepada orang lain. Jika
Allah menjaga amal kita daripada ajaran syaitan, maka kita akan merasa malu
untuk memperlihatkan amalan kita kepada orang lain, bimbang amalan tidak
mencukupi, dan malu kepada Allah SWT.
v. Syaitan mengkehendaki kita jatuh
ke dalam kebinasaan sifat ’ujub agar kita bangga dengan pangkat dan kelebihan.
Kalaulah Allah tidak mahu kita bersama syaitan, kita akan berkata, ”Kedudukan,
pangkat dan kelebihan adalah daripada Allah, yang diberi secara sementara dan
tidak akan kekal. Allah sahajalah yang menentukan amalan kita menjadi bernilai.
Semuanya adalah nikmat Allah yang banyak berbanding amal yang sedikit, dan
maksiat kita yang banyak”.
vi. Syaitan memujuk manusia dengan
penuh kehalusan tanpa kita sedar. Kita dibisik agar mengerjakan amal secara
tersembunyi tetapi sayugia mengharapkan pujian dari orang ramai. Jika Allah
memelihara kita pasti kita berkata, ”hanya kepada Allah hambaMu menyerah segala
amal dan perbuatan ini. Sama ada zahir atau tersembunyi, hanya Allah yang
berhak menilainya”.
vii. Syaitan melahirkan keyakinan
dalam diri manusia bahwa kita dijadikan Allah sebagai seorang yang bahagia dan
baik di Loh mahfuz, maka kita akan menjadi baik sekalipun tanpa beramal.
Kalaulah Allah menyayangi kita, kita akan dijauhkan daripada syaitan, kita akan
berfikir bahawa kita adalah makhluk Allah, hamba kepadaNya, maka kita wajib
mentaati perintah dan suruhanNya. Amalan inilah yang akan memberi syafaat
sebagai ganjaran pahala dan syurga Ilahi.
0 ulasan:
Catat Ulasan