Ads 468x60px

Labels

Isnin, 19 Mac 2012

Generasi Muda Pembela Akidah


ARKIB : 01/03/2012

Utusan Malaysia
Oleh DR. MOHD. AFENDI MAT RANI



SEJARAH menyaksikan kebangkitan Islam dan kekuatan ummah adalah apabila pemuda berada di barisan hadapan. Golongan ini mempunyai kekuatan fizikal dan mental, ketinggian semangat, dan mempunyai idealisme.Runtuhnya zaman jahiliah pada zaman Nabi SAW adalah hasil sokongan padu golongan pemuda yang menyahut seruan dakwah Nabi SAW. Kejayaan ini dapat dilihat di awal kebangkitan Islam di Mekah.Pemuda adalah kelompok yang terbesar yang menerima dakwah Nabi SAW dan amat disayangi Baginda. Nabi SAW dilantik menjadi nabi dan rasul ketika berumur 40 tahun, iaitu puncak kematangan umur seorang pemuda. Semasa di Mekah, baginda dikelilingi golongan muda yang tidak berbelah bahagi dalam memberi sokongan kepada baginda. Rakan terdekat nabi SAW, Abu Bakar berusia 38 tahun, Sayidina Umar ketika memeluk Islam berumur 27 tahun, Talhah bin Ubaidillah berusia 16 tahun, Mus'ab bin Umair berusia seawal 20-an. Al-Arqam bin Abi Arqam berumur 16 tahun.


Begitulah juga sebahagian besar nama-nama besar sahabat lain adalah para pejuang muda yang hidup dengan penuh suka dan duka bersama Nabi SAW, seperti Ali bin Abi Talib Ammar bin Yassir, Khabab al-Arrat dan lain-lain. Golongan muda ini berhadapan dengan Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Suffian bin Harb, Umayyah bin Khalaf, Syaibah bin Rabiah dan lain-lain adalah golongan tua yang angkuh dan sombong yang menjadi pemimpin-pemimpin Mekah. Usamah bin Zaid juga antara panglima muda dalam usia 20-an telah diberi kepercayaan memimpin angkatan tentera Islam bersama para sahabat yang lebih dewasa. Keadaan yang sama juga berlaku di Madinah. Golongan pemuda jugalah yang membela nabi SAW dan Islam. Merekalah yang membawa panji-panji Islam dalam setiap medan peperangan. Dalam perang Badar al-Kubra yang berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2H, para pemuda seperti Saidina Ali, Ubaidah al-Harith dan lain-lain memainkan peranan mempertahankan Islam. Abu Jahal tewas di tangan seorang anak muda, Abdullah bin Mas'ud. Begitu juga dalam perang Uhud, seorang anak muda, Anas bin Nadhar sanggup menjadikan dirinya sebagai perisai untuk menyelamatkan Rasulullah. Beliau syahid dengan 80 tikaman di seluruh badannya.

Generasi muda dan kemuncak kemenangan Islam

Pada zaman Khulafa al-Rasyidin, keperkasaan pemuda semakin terserlah apabila berhadapan dengan ancaman kuasa besar Rom di Balqa dan juga peperangan al-Riddah(menentang orang murtad dan enggan bayar zakat).
Demikian juga apabila Islam berjaya menguasai 2/3 dunia dan tersebarnya Islam pada zaman Sayidina Umar al-Khattab, ia adalah hasil tangan orang muda sehingga Islam menjadi kuasa besar dunia, disegani kawan dan lawan. Sejarah yang sama turut berulang pada zaman kegemilangan empayar Islam Turki, seorang pemuda yang berusia 23 tahun, Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menawan Kota Constantinople. Secara umumnya, dapat dikatakan kejayaan dan keagungan umat terdahulu adalah disebabkan oleh tenaga pemuda yang membarisi barisan hadapan, menjadi tonggak kekuatan negara dan menjadi generasi harapan. Semua ini bertitik tolak daripada pemantapan akidah yang jitu dan amalan syariat yang konsisten.

Bagaimana pemuda kita hari ini?

Prof. Yusuf al-Qaradawi telah menegaskan bahawa: "Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi muda pada hari ini". Jelas di sini bahawa golongan pemuda hari inilah yang akan mencorak masyarakat Islam akan datang. Jika baik pemuda hari ini, maka baiklah generasi akan datang. Namun demikian, melihat kepada fenomena kehidupan pemuda hari ini amat membimbangkan. Mereka bukan lagi tidak menghayati ajaran agama, bahkan jauh dan sentiasa menjauhi agama. Inilah juga fenomena sejagat yang dihadapi oleh seluruh umat Islam di mana jua mereka berada. Maka tidak hairanlah hari ini pemuda kita dilanda penyakit tegar yang sukar diubat, apatah lagi untuk dirawat. Para pemimpin, pemerintah dan ibu bapa hari ini mencari-cari apakah vaksin terbaik yang dapat mengembalikan pemuda hari ini kepada landasan yang sebenar.

Akibatnya antara satu sama lain saling menuding jari dan tuduh-menuduh. Sedangkan Allah SWT berfirman yang bermaksud: .... Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka Sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu (janganlah Engkau khuatir Wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (al-Baqarah: 137)

Kehebatan generasi muda terdahulu

Dalam analisa terhadap faktor-faktor kekuatan umat silam, Sayid Qutb merumuskan bahawa Roh al-Islam (The Spirit of Islam) adalah jawapan yang tepat kepada persoalan ini. Roh al-Islam adalah kekuatan yang tercetus dalam diri seseorang mukmin, yang hati nurani, akal, budi dan seluruh peribadinya sudah diwarnai dan diresapi oleh ajaran ilahi. Sehinggakan segala tindak tanduknya dikendalikan oleh iman dan takwa yang melahirkan sifat keikhlasan, ketulusan, dan sanggup berkorban demi agama. Dengan kekuatan roh inilah Bilal bin Rabah menahan derita seksaan Quraisy. Kekuatan inilah yang mencetuskan kecekalan hati pemuda Ali bin Abi Talib yang sanggup menerima pelawaan Nabi sekalipun nyawa menjadi taruhan. Kekuatan inilah juga yang menjadi faktor kemenangan tentera Islam di medan Badar, bilangan 300 berhadapan dengan 1,000 tentera kuffar. Keagungan roh al-Islam juga dapat dilihat dalam peristiwa pemecatan Khalid bin al-Walid oleh Khalifah Umar al-Khattab.

Khalid al-Walid adalah panglima berjasa yang tidak pernah tewas dalam mana-mana peperangan, panglima yang belum ada tandingan dalam sejarah yang menjadi harapan kepada seluruh umat Islam. Di saat beliau berhempas pulas bertarung nyawa demi mempertahankan Islam beliau diarahkan oleh khalifah agar meletakkan jawatan. Peristiwa ini dirasakan oleh kita amat berat untuk terima, namun ia sedikitpun tidak menjejas perasaan Khalid al-Walid, beliau tidak pernah meratapi ke atas pangkatnya yang digugurkan. Malah kepatuhannya kepada Khalifah Umar al-Khattab semakin tinggi. Semua pihak menerima tindakan ini dengan tenang di atas dasar semangat ketaqwaan dan keimanan kepada Allah SWT semata-mata untuk mendapat Ibtigha mardhatillah.
Sehubungan dengan itu, pemuda hari ini perlu dibimbing dengan kehidupan yang terarah agar mampu untuk memimpin diri dan orang lain.

Tanggungjawab rohaniah perlu dibangunkan dalam diri mereka yang akan memberi kesan yang amat luar biasa. Mereka perlu diterapkan jiwa khalifah dalam diri mereka agar memahami setiap kita yang dilahirkan memegang jawatan penting sebagai mana hadis nabi SAW yang bermaksud: Setiap dari kalangan kamu adalah pemimpin, dan kamu akan dipersoalkan tentang kepimpinan kamu.


1 ulasan: