Ads 468x60px

Labels

Isnin, 5 Mac 2012

Apa ada Pada Mata?


Mata adalah penyebab kepada segala fitnah dan kerosakan manusia. Maka wajib kita menjaga dan memelihara mata sebagai anugerah Allah untuk melihat kepada kebaikan. Ayat al-Quran yang menjelaskan larangan adalah berdasarkan Surah al-Nur:
  
Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan mereka memelihara kemaluan mereka. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui terhadap apa yang mereka kerjakan.
(Surah al-Nur:30)

Merujuk kepada ayat ini, Imam al-Ghazali menjelaskan terdapat 3 pengertian yang menjurus kepada pendidikan, peringatan dan ancaman.


a.         Pendidikan

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram)

Ayat di atas secara jelasnya didatangkan dalam bentuk mendidik agar kita menundukkan pandangan dan penglihatan kita daripada melihat perkara-pekara yang diharamkan kita melihatnya.

b.         Peringatan:

Ayat yang seterusnya: 

Ertinya: Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka

Ayat ini membawa dua pengertian. Antaranya:

i.                    Suci itu adalah hati, bermakna: ”Yang demikian itu adalah suci bagi hati mereka”. Manakala perkataan Azka atau zakat bermaksud al-Taharah iaitu bersih suci
ii.                  Lebih bertambah kebaikan, bermakna: ”Yang demikian itu adalah lebih bertambah kebaikan mereka”. Perkataan al-Zakat adalah bermaksud al-Numuwwu, iaitu pertambahan.

            Kesimpulannya, ayat ini menyatakan orang-orang yang menundukkan pandangannya dapat mensucikan hatinya dan akan menambahnya ketaatan serta kebajikan. Maka sebaliknya orang yang tidak menjaga dan menundukkan matanya dianggap tidak suci, hatinya menjadi sibuk dan sering diganggu. Jika mata tidak melihat perkara yang diharamkan, kita akan menjadi tenang, lapang dan boleh beristirehat.

c.         Ancaman

Ayat yang terakhir di dalam surah al-Nur:

Ertinya: Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui terhadap apa yang mereka kerjakan.

Ayat ini berupa ancaman kepada manusia bahawa mereka tidak boleh menyembunyikan apa yang mereka lakukan di hadapan mahkamah Allah suatu hari nanti. Bagi orang yang bertaqwa, ayat ini sudah cukup membuatkan mereka takut kepada ancaman Allah.
Seterusnya perlu difikir dan direnung untuk apakah anggota ini digunakan dan apakah yang sewajarnya untuk dilakukan? Maka apabila direnungi kita akan dapat menjaga dan memelihara mata kita daripada maksiat. Mata adalah pancaindera untuk melihat kepada tuhan sekalian alam yang Maha Suci. Tidak ada suatu kemuliaan yang terlebih agung kecuali dapat melihat Allah. Untuk mencapainya kita perlu menjaga, mengawal, memelihara agar tidak dicemari dengan maksiat.

0 ulasan:

Catat Ulasan