Ads 468x60px

Labels

Isnin, 5 Mac 2012

Antara Taubat dengan Tahu Buat


Ramai di kalangan manusia yang merasakan mereka selamat daripada dosa, kerana tidak melakukan perbuatan yang membawa kepada dosa. Mereka beranggapan dosa-dosa kecil yang dilakukan tidak memudaratkan kepada dirinya dan akan terhapus dengan rahmat Allah. Sedangkan dalam hal ini antara salah satu tanda orang yang diterima taubatnya ialah merasai diri belum suci daripada dosa, sekalipun dilakukan taubat berulang-ulang kali.[1] Melewat-lewatkan taubat akan menjadikan hati kita semakin keras dan berterusan dalam melakukan dosa, kita akan ditimpa kecelakaan oleh Allah SWT. Tanda-tanda kehitaman hati itu adalah disebabkan oleh perbuatan dosa yang dapat dilihat secara zahir  tanda-tandanya. Antara alamat atau tandanya ialah hati kita tidak sedikitpun takut untuk melakukan dosa, tidak merasai nikmat kemanisan beribadat dan ketaatan kepada Allah dan akhirnya nasihat yang diberikan sedikitpun tidak mendatangkan kesan dan manfaat. Maka jangan sesekali kita memandang remeh dengan dosa-dosa kecil walaupun sedikit.

Abdullah Ibn Mas’ud mengatakan bahawa: Seorang mukmin yang melihat dosanya bagaikan bukit yang akan runtuh, sedangkan bagi orang munafiq melihat akan dosanya bagaikan lalat yang hinggap dihujung hidungnya, maka hanya diusirnya dengan tangan sahaja.[2] Selaku ahli ibadat maka kita wajib bertaubat. Taubat itu diwajibkan kerana dua perkara:

Pertama

Hasil ibadat kita mendapat taufiq untuk mengerjakan ketaatan kepada Allah. Sesungguhnya dosa-dosa yang dilakukan oleh kita menjadi penghalang untuk kita melakukan kebaikan dan ibadat. Dosa akan mengekat kita untu berkhidmat kepada Allah SWT. Segala bebanan dosa dan keberatannya mengganggu kelancaran anggota untuk beribadat. Hati pelaku dosa akan menjadi hitam, maka hati akan berada dalam kelam kegelapan, keras, tidak bersih dan kotor. Semua ini menjadi penghalang untuk kita merasai kelazatan dan kemanisan beribadat. Jika Allah SWT tidak memberi rahmat kepada kita, maka dosa-dosa ini akan mendorong pemiliknya untuk melakukan kejahatan dan kekufuran. Justeru orang yang banyak melakukan dosa akan bertambah melakukan kejahatan dan kezaliman disebabkan oleh hatinya sukar untuk merasai penyesalan. Oleh itu antara tanda orang yang diterima taubatnya ialah orang yang sentiasa menjaga lidah, bertafakur dan tetap dalam keadaan sedih dan menyesal sepanjang masa.
Justeru, bagaimanakah orang yang sentiasa berkekalan dalam maksiat untuk diajak berkhidmat kepada Allah. Apakah diri seseorang yang sentiasa berlumuran dengan najis dapat menghampirkan diri kepada Allah Taala. Lidah yang dusta tidak layak untuk berzikir dan mengingati Allah. Golongan ini tidak diberikan hidayah dan taufiq oleh Allah. Maka tubuh badannya terlalu berat untuk melakukan ibadat. Sekalipun dilakukan sebenarnya ia dilakukan secara kebetulan, dengan penuh kepayahan, kesengsaraan, tiada rasa kemanisan dan semata-mata dilakukan kerana kewajipan. Ini semua disebabkan oleh dosa-dosa yang dilakukan dan meninggalkan taubat kepada Allah.

Kedua

Sesungguhnya taubat membuatkan amalan ibadat kita diterima oleh Allah SWT. Kedudukan taubat itu seumpama hutang wajib yang belum dibayar. Manakala kedudukan ibadat pula adalah sebagai hadiah sahaja. Maka ibadat tanpa taubat adalah ditolak oleh tuan empunya hutang. Empunya hutang tidak akan menerima hadiah seadainya hutang wajib belum dibayar. Bagaimanakah kita memohon kepada Allah akan hajat kita serta kita memujiNya, sedangkan Allah murka kepada kita. Seumpama kita memuji sahabat kita, sedangkan pada masa yang sama kita menyakiti hati sabahat kita. Ini bermakna pujian itu hanya sebagai senda gurau sahaja.
Menurut Syeikh Abu Bakar al-Turtusi, guru kepada Imam al-Ghazali, bertaubat meninggalkan dosa disebabkan kerana membesarkan Allah SWT dan memelihara diri daripada kemurkaanNya.

Syarat Taubat

Taubat itu mempunyai beberapa syarat:

i.                    Meninggalkan dosa dengan pilihan sendiri serta mempunyai azam yang tekad dan membulatkan hati tidak akan mengulangi dosa sama sekali. Jika hati kita masih meragui untuk meninggalkannya, dan masih terlintas untuk melakukan perbuatan dosa tersebut, tidak mempunyai azam yang kuat, ini bermakna diri kita belum dikira bertaubat dengan sebenar-benarnya, tetapi kita hanya berhenti seketika melakukan dosa.
ii.                  Bertaubat daripada dosa yang terdahulu
iii.                Meninggalkan dosa yang yang dilakukan kerana mengagungkan Allah dan memelihara diri daripada kemurkaan Allah dan takut seksaan Allah semata-mata. Ia tidak dikaitkan dengan keuzuran dirinya atau kemiskinan dan kepentingan yang lain.


Muqaddimah Taubat

Terdapat beberapa tanda bahawa kita berada diambang taubat. Antaranya ialah:

i.                    Mengingati perbuatan dosa yang dilakukan sangat buruk
ii.                  Mengingati bahawa balasan terhadap perbuatan itu oleh Allah sangat keras dan tidak berdaya untuk ditanggung
iii.                Mengingati bahawa diri kita ini terlalu kerdil, lemah dan kurangnya di sisi Allah. Maka kita tidak tertahan dengan azab Allah

Jika kita dapat mengingati ketiga-tiga perkara yang dinyatakan ini dan diulanginya berkali-kali siang dan malam, maka ingatan ini akan mendorong kita untuk melakukan taubat nasuha. Ini bermakna taubat itu tidak memadai dengan menyesal sahaja. Jika dengan taubat ini akan menghilangkan keseronokan, kemewahan yang dinikmati selama ini, maka dia merasai menyesal dengan taubat yang dilakukan itu, maka ini belum dinamakan sebagai taubat. Kerana masih ada dihatinya untuk menikmati hasil daripada perbuatan jahat yang dilakukan.
Namun jika kita masih belum meyakini terhadap diri kita akan mengulangi perbuatan yang sama dilakukan sebelum ini, maka kita berfikir taubat yang dilakukan tidak membawa faedah kepada diri kita. Sebenarnya itu adalah tipu daya syaitan yang sentiasa memujuk kita melakukan kejahatan. Sekiranya kita mati selepas kita bertaubat maka kita mati sebagai seorang yang telah bertaubat belum sempat kembali mengulangi dosa yang lalu. Jika keadaan ini berterusan, maka kita hendaklah tekadkan dan bulatkan hati untuk meninggalkan dosa dan kita serahkan kepada Allah SWT. Mudah-mudahan dosa yang lepas itu akan diampunkan Allah. Imam Ghazali menegaskan janganlah kerana kebimbangan ini, maka kita meninggalkan taubat kepada Allah, menghalang kita untuk terus bertaubat.


[1] Ibn Hajar al-Assqalani (t.t.), Nasihat Sepanjang Hayat, Penerbitan Safa,  hlm.28
[2] Syeikh Ibn ‘Athaillah (2007), op. cit., hlm. 84

0 ulasan:

Catat Ulasan