Ads 468x60px

Labels

Isnin, 5 Mac 2012

Jalan keluar daripada Dosa

Jalan keluar untuk melepaskan diri daripada dosa terlebih perlu kita mengetahui jenis-jenis dosa. Maka kita dapat membersihkan dosa mengikut kaedah tertentu yang berdasarkan kepada jenis dosa. Dosa-dosa ini dapat dibahagikan kepada tiga jenis:

i.                    Dosa kerana meninggalkan kewajipan terhadap Allah SWT, seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain yang termasuk dalam perkara fardhu. Maka dosa yang kita lakukan seperti meninggalkan solat, puasa dan zakat maka hendaklah dihapuskan dosa dengan mengqada’nya.
ii.          Perbuatan dosa antara kita dengan Allah seperti minum arak, makan riba dan lain-lain, maka kaedah menghapuskan dosa itu dengan kita merasa menyesal di atas perbuatan yang kita lakukan itu dan tekad untuk meninggalkannya serta tidak akan mengulangi dosa-dosa tersebut untuk selama-lamanya.

iii.                Perbuatan dosa antara kita dengan hamba atau manusia. Ia dikenali sebagai dosa antara manusia sesama manusia. Inilah dosa yang paling sukar untuk dihapuskan selagi perbuatan yang dilakukan itu tidak dimaafkan, atau harta yang diambil tidak dipulangkan, atau maruah yang tercemar tidak dibersihkan dengan kemaafan.

Dosa Antara Manusia dengan Manusia

Dosa antara manusia dengan manusia boleh dibahagikan kepada harta, diri atau nyawa, kehormatan dan agama.

Dosa kerana Harta

Harta yang diambil hendaklah wajib dikembalikan kepada empunya yang berhak, jika harta tersebut boleh dikembali. Sekiranya harta itu tidak dapat dikembalikan maka ia hendaklah diganti. Jika kita tidak mampu untuk mengganti, maka hendaklah meminta halal dengan tuannya. Sebaliknya jika tuannya telah meninggal atai tiada lagi, maka kita boleh bersedekah dipihaknya. Kalau kita tidak mampu untuk bersedekah, maka kita perlu perbanyakkan membuat kebajikan dan menyerahkan urusan itu kepada Allah SWT, berdoa agar Allah melembutkan hati empunya harta itu redha terhadap kesalahan yang kita telah lakukan pada hari Kiamat nanti. Apa yang penting ialah kita telah berusaha sedaya upaya dan dengan penuh keinsafan mengikut kadar kemampuan.

Dosa kerana Diri

Dosa yang berkaitan dengan diri seperti membunuh atau mencederakan seseorang, dosa seumpama ini dapat dihapuskan dengan kita memberi kuasa kepada tuan punya hak atau ahli warisnya menjalankan Qisas atau memaafkan.

Dosa kerana Maruah

Dosa yang berkaitan maruah seperti mengumpat, menuduh, mengeji dan lain-lain, maka dosa seperti ini akan dapat dihapuskan dengan kita membuat pengakuan dihadapan orang yang melihat atan mendengar apa yang kita perkatakan itu sebagai satu pembohongan. Selebihnya lagi kita perlu meminta halal daripada tuannya kerana kita telah mencemarkan namanya. Kalaulah kita bimbang jika membangkitkan fitnah yang telah dilemparkan kepadanya kerana perbuatan tersebut telah lama berlalu, maka kita menyerahkan kepada dengan memohon keampunan dan berdoa kepada Allah supaya Allah membuka pintu hati tuannya untuk meredhai dosa yang kita lakukan.

Dosa kerana Agama

Dosa yang berkaitan dengan agama seperti kita menuduh atau mengkafirkan orang lain, menghukumkannya sebagai sesat, bid’ah dan sebagainya, maka untuk menghapuskan dosa seperti ini agak sukar. Kita hendaklah memohon kemaafan kepada tuannya dan membuat pengakuan dihadapan orang yang mendengar apa diperkatakan oleh kita.

0 ulasan:

Catat Ulasan