Ads 468x60px

Labels

Isnin, 5 Mac 2012

Ibadah yang Sia-Sia


Di kalangan kita banyak menumpukan kepada kewajipan ibadat zahir/ syarak, namun mengabaikan kewajipan mengetahui ilmu tentang ibadat batin. Ia merupakan kerja hati yang pastinya kita wajib mengetahuinya berkaitan syukur, tawakkal, redha, sabar, ikhlas dan lain-lain. Begitu juga perkara-perkara batin yang mesti dijauhi seperti dengki, marah, riya’, sombong dan sebagainya. Semua ini adalah ilmu yang menjamin bukan sahaja perhubungan manusia dengan Allah, malah sesama manusia. Mendekatkan hubungan dengan Allah dan merapatkan ukhwah dengan masyarakat. Justeru, ibadat syarak perlu dicernakan dengan ibadat batin yang melahirkan sifat-sifat Ubudiyah dan menyelamatkan daripada sia-sia.

Ibadat syarak merupakan ibadat fardhu sebagaimana juga ibadat batin. Ilmu Tauhid, Ilmu Syariah dan Ilmu Tawasuf hendaklah diselarikan yang menyempurnakan antara satu sama lain. Ketidakseimbangan antara ilmu-ilmu ini melahirkan insan yang berilmu, tetapi diselubungi kesombongan dan takabbur, banyak beribadat syarak, tetapi luaran dipenuhi riya’ dan suka merendahkan orang lain. Semua ini merosakkan ibadat syarak dan menghilangkan pahala. Orang yang mengekali sifat-sifat akan berada sentiasa di atas maksiat batin. Akhirnya dibimbangi kita menjadi keliru dan bersangka kita seorang yang berada di atas jalan ketaatan kepada Allah SWT. Kita terlalu yakin Allah akan memberikan pahala yang besar, namun hakikatnya kita semakin jauh dengan hidayah Allah, akibat tipu daya hasil daripada beribadat tanpa ilmu.
Hendaklah kita ketahui bahawa segala amalan zahir itu mempunyai hubungan yang rapat dengan amalan batin, sama ada menambahkan kebaikan kepada kita atau merosakkan amalan zahir dengan kepenatan dan kecelakaan. Orang yang beramal tanpa ilmu, kemungkinan melakukan perkara yang merosakkan amalannya, lebih banyak daripada perkara yang mendatangkan kebaikan kepadanya. Rasulullah saw bersabda:

إِنَّ نَوْمًا عَلَى عِلْمٍ خَيْرٌ من صَلاَةٍ عَلَى جَهْلٍ

Sesungguhnya tidur dalam keadaan berilmu adalah lebih baik daripada sembahyang dalam keadaan jahil.


Muhammad bin Abil Ward[1] mengatakan bahawa manusia itu dibinasakan kerana dua perkara. Antaranya mengerjakan yang sunat dan mengabaikan yang wajib (fardhu). Manakala dalam amal perbuatan pula mementingkan amal lahiriyah, tetapi mengabaikan bahagian batin (hati).


[1] Syeikh Ibn ‘Athaillah (2007), op. cit., hlm.229

0 ulasan:

Catat Ulasan