Ads 468x60px

Labels

Isnin, 5 Mac 2012

Anggota Paling Sukar Utk Dijaga


Perut adalah anggota yang paling sukar dijaga, sekalipun orang yang rajin beribadat. Perut anggota yang banyak mengeluarkan tenaga, paling besar mudarat dan kesannya. Imam al-Ghazali mengingatkan bahawa perut perlu dijaga kerana dua keadaan:
i.                    Menjaga daripada perkara yang haram dan syubhat
ii.                  Memelihara daripada berlebihan dalam perkara halal

Jauh daripada Kebaikan

Orang yang memakan makanan yang haram dan syubhat akan jauh daripada kebaikan, tidak diberi taufiq untuk beribadat kepada Allah. Ini kerana orang bersikap sedemikian tidak layak untuk berkhidmat kepada Allah. Imam al-Ghazali mengumpamakan sekiranya orang yang berhadas dan berjunub dilarang memasuki rumah Allah dan menyentuh al-Quran, sedangkan ia adalah perkara yang harus, maka memakan harta yang haram dan syubahat lebih dimurkai dan dilarang oleh Allah untuk berkhidmat kepadaNya. Lidahnya tidak layak untuk menyebut kemuliaan Allah SWT.

Yahya Ibn Muaz mengatakan bahawa ketaatan itu hanya tersimpan di dalam khazanah Allah, kunci pembukanya ialah doa, dan gigi (anak kuncinya) ialah yang halal. Jika anak kunci tanpa bergigi maka pintu yang terkunci tidak boleh dibuka. Jika pintu khazanah tidak terbuka, maka bagaimana dirinya dapat apa yang ada di dalamnya (pahala). Sabda Nabi Muhammad saw :

أَفْضَلُكُمْ عِنْدَ اللهِ تَعالى أَطْوَلُكُمْ جُوْعاً وَتَفَكُّرًا وَأَبْغَضَُكُُمْ إلى اللهِ تعالى كُلُّ أَكُوْلٍ شَرُوْبٍ نَؤُوْمٍ

Ertinya: Yang paling utama kamu di sisi Allah SWT ialah yang paling lama berlapar dan berfikir. Manakala yang paling benci kamu kepada Allah ialah banyak makan, banyak minum dan banyak tidur.

Sabda Nabi Muhammad saw :

سيِّدُ الأعَْمَالِ الجُوْعُ

Ertinya: Penghulu segala amal itu ialah lapar

Di dalam hadis yang lain Rasulullah saw bersabda:

مَا مِنْ عَمَلٍ أَحَبَّ إِلَى اللّهِ تَعَالَى مِنَ الجُوْعِ والعَطَشِ

Ertinya: Tidak ada amalan yang lebih dikasih kepada Allah daripada lapar dan dahaga.


Terhalang daripada Kebaikan

Orang yang memakan harta yang haram dan syubhat akan terhalang dirinya untuk melakukan kebaikan. Sekalipun dilakukan secara kebetulan tetapi amalan itu tidak diterima sebagai pahala kebaikannya. Amalan yang dilakukan tidak lain hanya penat dan lelah sahaja. Ibn Abbas meriwayatkan bahawa katanya: ”Allah tidak akan menerima sembahyang orang yang di dalam rongganya makanan yang haram.”
Kedua memakan makanan yang halal secara berlebihan juga menyebabkan kebinasaan bagi ahli ibadat. Imam al-Ghazali menyenaraikan 10 perkara yang merosakkan berpunca daripada makan yang berlebihan:

Pertama: Hati menjadikan keras

Makan banyak bukan sahaja menjadikan hati semakin keras, malah cahaya atau nur akan pergi dan padam.

Nabi Muhammad saw bersabda:

”jangan kamu mematikan hati kamu dengan banyak makan dan minum (yang halal), maka hati akan menjadi mati sebagaimana tanaman yang banyak disiram air.

Kedua: Menimbulkan fitnah kepada anggota badan

Apabila perut kita kenyang yang berlebihan akan menambahkan kecerdasan kepada anggota badan yang lain. Anggota lain akan bergerak cergas melakukan perkara yang tidak bermanfaat dan mensia-siakan. Mata akan menjadi liar, telinga akan mendengar yang sia-sia, lidah akan banyak berkata-kata, seterusnya semua anggota kaki, tangan, dan lain-lain akan bergerak cergas.
Namun cuba kita lihat, apabila perut yang lapar semua anggota lain akan tenteram, tenang dan tidak bernafsu untuk melakukan perkara yang haram dan sia-sia. Semua anggota menjadi lemah, tidak cergas disebabkan oleh tiadanya ransangan makanan. Benarlah apa yang diperkatakan oleh Abu Jaafar:

”Sesungguhnya perut itu merupakan satu anggota. Jika perut lapar maka anggota lain menjadi kenyang (diam), maka anggota lain tidak akan meminta-meminta kepada kita sesuatu. Sebaliknya jika  perut kenyang, maka anggota lain menjadi lapar.

Begitu juga setiap perbuatan yang keluar daripada diri kita adalah bergantung kepada apa yang kita makan dan minum. Jika kita memasukkan makanan yang haram ke dalam perut kita, maka keluarlah sama ada perbuatan atau percakapan kita yang haram. Maka jika kita berlebihan dalam makan dan minum, maka akan keluarlah daripada lidah kita, mulut, telinga dan perbuatan anggota badan yang lain secara berlebihan. Seolah-olah segala apa yang kita makan itu adalah benih kepada perbuatan dan percakapan kita yang tumbuh mengikut kualiti dan kuantiti benih yang disemai.

Ketiga: Melemahkan Fikiran

Orang yang banyak makan akan menjadikan fikiran menjadi lemah, lembab dan tidak bertenaga. Apabila anggota lain menjadi lemah, secara tidak langsung fikiran dan minda menjadi lemah. Inilah yang dikatakan oleh syair Arab bahawa akal yang sihat berada pada badan yang sihat. Makanan yang berlebihan melemahkan ingatan, melambatkan hafalan dan memadamkan apa yang disimpan dalam ingatan, seterusnya menghilangkan kecerdikan.
Abu Sulaiman Abdul Rahman Al-Darani mengatakan bahawa apabila kita menginginkan sesuatu, maka jangan kita makan sehingga apa yang kita ingini berhasil. Ini kerana dengan makan boleh mengubah fikiran kita.

Keempat: Mengurangkan Ibadat

Perut yang berlebihan kenyang akan menjadi badan semakin berat dan terbeban untuk bergerak cergas. Mata akan menjadi mengantuk, kaki, tangan dan anggota lain menjadi lesu dan perlu kepada kerehatan. Akhirnya kita akan tertidur dengan nyenyaknya. Benarlah ada sesetengah orang mengatakan apabila perut kenyang maka anggaplah diri kita telah ditimpa penyakit lumpuh.
Terdapat suatu kisah tentang nabi Yahya a.s dengan Iblis yang datang kepadanya bersama dengan alat penyangkut. Lalu nabi Yahya bertanya kepadanya: ”Apa ini?. Jawab Iblis:”ini adalah keinginan nafsu yang syahwat yang akan aku sangkutkan kepada anak Adam. Maka nabi Yahya bertanya: ”Adakah diriku ini boleh disangkut oleh penyangkutmu”. Jawab Iblis:” Tidak, kecuali ada suatu malam ketika kamu sedang kenyang, maka kami memberatkan dirimu untuk mendirikan solat”. Maka kata Yahya: ”Selepas ini dan selama-lamanya aku tidak mahu kenyang lagi. Kata Iblis pula: ” selepas ini dan selama-lamanya aku tidak mahu menasihati seseorangpun.

Kelima: Menghilangkan Kemanisan Beribadat

Sayidina Abu Bakar pernah mengatakan bahawa dirinya tidak pernah merasai kenyang semenjak daripada beliau memeluk agama Islam agar dirinya mendapat kemanisan beribadat. Dirinya tidak pernah puas minum dengan harapan untuk bertemu Allah. Berbeza dengan diri kita yang tidak pernah lapar semenjak memeluk agama Islam dan tidak pernah merasai dahaga. Sembahyang yang dilakukan dalam keadaan kenyang yang berlebihan tidak mendatangkan khusyuk. Maka sebab itulah salah satu Allah mewajibkan ibadat berpuasa sebagai salah satu latihan fizikal agar kita mendapat kemanisan beribadat.
Oleh itu, al-Darani mengatakan: ”Rasa ibadat yang paling manis ialah apabila perutku kempis melekat dengan belakangku”.

Keenam: Terdedah Kepada Perkara Syubhat dan Haram

Makan yang berlebihan mudah terdedah dan terjerumus kepada syubhat dan haram. Menurut Imam al-Ghazali makanan yang halal itu hanya datang kepada kita sekadar untuk menjadi makanan berdasarkan kepada hadis nabi Muhammad saw:

Sesungguhnya rezeki yang halal itu tidak datang kepada kamu, melainkan sekadar untuk menjadi makanan, dan yang haram akan datang kepada kamu bertimbun-timbun.

            Peringatan ini cukup jelas kepada kita bahawa harta yang syubhat dan haram itu banyak dan mudah diperolehi. Bahkan kadang-kadang datang secara tiba-tiba tanpa bersusah payah, berusaha keras, tanpa penat dan lelah, tanpa masa yang lama dan tanpa diduga oleh kita. Namun harta yang halal dan bersih lagi suci itu sedikit dan sukar diperoleh. Memerlukan masa yang panjang, berhasil dengan penat dan lelah. Maka tidak hairanlah zaman hari ini ramai yang cepat untuk menjadi kaya, malah dirinya sendiri tidak percaya dengan kedudukan kekayaan hartanya disebabkan oleh mudah dan dalam masa yang singkat yang akhirnya menjadikan dirinya lupa, lalai, sombong, kedekut dan lain-lain.

Ketujuh: Menyibukkan Hati Dan Badan

Manusia sentiasa sibuk dan resah apabila memikirkan tentang makanan untuk mengisi perut. Masa yang banyak dihabiskan untuk menumpukan kepada makan dan minum. Bermula memikirkan tentang apa yang ingin dimakan, kemudian difikirkan pula soal penyediaannya sehinggalah selesai. Imam al-Ghazali memikirkan begitu banyak manusia menghabiskan usia kerana makan, apatah lagi cara penyediaan makanan hari ini dengan pelbagai menu sehingga masa berjam-jam lamanya. Berbeza kalau dilihat pada bulan Ramadhan, suasana pada siang harinya tenang, masing-masing tidak menyibukkan diri dengan memikirkan jenis makanan yang akan dimakan. Imam al-Ghazali mengingatkan kita agar sentiasa berwaspada dan tidak berlebih-lebihan sehingga masa dihabiskan begitu sahaja.

Kelapan: Bebanan Urusan Akhirat

Rasulullah saw bersabda:

”Sesungguhnya kesusahan menghadapi sakarat al-maut bergantung kepada kadar kelazatan yang dinikmatinya di dunia”.

Pesanan yang berupa amaran daripada Rasulullah saw ini menggambarkan seseorang yang menikmati kelazatan dunia yang berlebihan akan menerima banyak halangan, kesusahan dan kepayahan semasa sakarat al-maut dan di akhirat. Kelazatan di akhirat akan berkurang mengikut kadar kelazatan yang dihabiskan di dunia. Justeru Rasulullah saw mengingatkan dalam sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. bahawa dunia ini dianggap sebagai penjara bagi orang mkmin dan syurga bagi kafir. Sekiranya di dunia dihabiskan masa dengan kemewahan, kesenangan, keseronokan maka pastinya banyak sekatan, tapisan yang akan dihadapi untuk menuju ke syurga. Di akhirat nanti akan melambatkan urusan untuk ke syurga. Proses pengadilan di padang Mahsyar akan mengambil masa yang lama dan tertahan untuk menunggu pengiraan (hisab) amalan.
Maka berhati-hatilah kita agar tidak terjerumus ke lembah syubhat dan haram yang menyebabkan kita menerima azab Allah SWT. Jadikan amalan dengan sedikit makan yang halal sekadar persiapan untuk beribadat kepada Allah semoga kita dipercepatkan tempoh menunggu di padang Mahsyar. 

0 ulasan:

Catat Ulasan