Ads 468x60px

Labels

Isnin, 5 Mac 2012

Dilema Halal + Haram


Setengah ulamak mengatakan bahawa sekiranya kita telah yakin apa yang dimiliki itu adalah milik orang lain maka hukumnya haram. Terdapat juga ulamak yang lain mengatakan bahawa apa yang haram itu ialah sangkaan berat kita terhadap harta orang lain. Ini kerana berat sangka itu sudah membuktikan bahawa kita telahpun yakin sepenuhnya dari segi hukum syarak. Menahan daripada mengambil perkara yang haram itu adalah wajib.
Rasulullah saw bersabda tentang kedatangan suatu zaman yang manusia tidak lagi mempedulikan tentang harta, kata Baginda:[1]

يَأتِيْ عَلى النَّاسِ زَمَانٌ مَايُباَلِى الرَّجُلُ منْ أَيْنَ أَصَابَ المَالَ منْ حَلاَلٍ أَمْ حَرَامٍ

Ertinya: Akan datang suatu zaman seseorang itu tidak mempedulikan dari mana ia mendapat harta, sama ada dari sumber yang halal atau haram.


            Di dalam hadis yang lain, Rasulullah saw juga mengingatkan kita bahawa:[2]
لَيَأْتِيَنَّ على النَّاسِ زَمَانٌ لاَيَبْقَى مِنْهُمْ أَحَدٌ إِلاَّ أَكَلَ الرِّبَا فَمَنْ لَمْ يأْكُلْ أَصَابَهُ من غُبَارِهِ

Ertinya: Akan tiba suatu zaman tidak ada seorang jua pun kecuali ia terlibat dalam memaakan harta riba. Kalau ia tidak memakan secara langsung, ia akan terkena juga debu-debunya.

Namun jika kita tidak yakin dan ragu-ragu maka itu adalah syubhat. Maksudnya jika ada persamaan antara halal dan haram yang menjadikan kita syak, tidak ada dalil yang menguatkan antara satu sama lain maka ia dihukumkan sebagai syubhat. Dikatakan syubhat kerana ia dianggap syubhat kepada yang halal dan syubhat kepada yang haram dan tidak oleh dipastikan antara kedua-duanya. Syubhat akan menjadikan kita dalam kesamaran dan kekeliruan serta kita kekal dalam syak. Menahan diri daripada perkara yang syubahat adalah sebagai taqwa dan warak. Nabi saw bersabda:

دَعْ مَا يُرِيْبُكَ إلَى مَالاَ يُرِيْبُكَ
Ertinya: Tinggallah sesuatu yang meragukan kamu kepada kepada apa yang tidak meraguka kamu
(Hadis Riwayat Tarmizi dan Nasaie)

Setelah nabi saw mengatakan demikian, maka seorang lelaki bertanya kepada Baginda, bagaimana cara untuk mengetahui hak tersebut. Lalu nabi saw bersabda lagi:

إذَا فَضَعْ يَدَكَ عَلى صَدْرِكَ فَإِنَّ القَلْبَ يَضْطَرِبُ للحَرَامِ وَيَسْكُنُ للحَلاَلِ

Ertinya: apabila engkau berkehendakkan melakukan sesuatu perkara, maka letakkanlah tangan engkau di atas dada engkau. Sesungguhnya hati itu akan gelisah kepada yang haram, dan tenang kepada yang halal.

Jenis-Jenis Syubahah

Terdapat 3 jenis syubahah, iaitu:

  1. Timbul kerana ada percampuran antara yang halal dengan yang haram. Antara keduanya tidak boleh dibezakan.
  2. Syubahah disebabkan oleh halal yang berkait dengan maksiat
  3. Adanya keraguan pada sebab-sebab yang menghalalkan atau yang mengharamkan. Terbahagi kepada 3:

1.      Harta yang asalnya jelas haram, kemudian timbul keraguan berdasarkan dalil atau hujah untuk menghalalkannya. Syubhah jenis ini perlu dijauhi dan diharamkan untuk cuba menghalalkan
2.      Harta yang asalnya jelas halal, kemudian timbul keraguan berdasarkan dalil atau hujah untuk mengharamkannya. Syubhah jenis ini dihukumkan halal
3.      Harta yang asalnya jelas haram, kemudian timbul keraguan berdasarkan dalil atau hujah untuk menghalalkannya, tetapi terdapat sesuatu sebab yang mewajibkan perkara itu menjadi halal dengan sangkaan yang kuat (Ghalabah al-Dzan). Dalam hal ini ia dihukumkan halal, tetapi menjauhinya lebih diutamakan (wara’).


[1] Hadis riwayat al-Nasaie daripada Abu Hurairah r.a.
[2] Ibid.

0 ulasan:

Catat Ulasan