Ads 468x60px

Labels

Selasa, 28 Februari 2012

Untuk ApA Kita Beramal?


Segala hasil mahsul daripada pekerjaan amal ibadat yang dilakukan oleh kita bukan untuk mengejar pahala. Ini bermakna dalam melakukan apa jua amal perbuatan yang baik, pahala bukan lagi menjadi matlamat. Namun ia adalah kurniaan Allah, atau berupa hadiah daripadaNya. Persoalan penting ialah, apakah kita beribadah kepada Allah sekiranya tidak dijanjikan pahala atau imbuhan daripada Allah? Jika pahala menjadi tujuan, maka kita tidak akan beribadah kepada Allah, sebagaimana kerja tidak akan dilakukan tanpa diberikan upah yang setimpal. Apakah kita melakukan ibadah dengan harapan Allah akan memberikan rezeki yang melimpah ruah? atau kesihatan yang baik?, atau disampaikan segala hajat dan cita-cita kita? atau ingin mendapat habuan kesenangan di dunia/ atau supaya bertambah iman dan dibuka hati untuk mendalami ilmu-ilmu keagamaan.


Sekiranya dalam apa jua ibadah termasuk solat, haji, sedekah dan lain-lainya dilakukan demi mengejar pahala sebagai bekalan untuk hidup di alam Akhirat selepas kematian kita, jika inilah tujuan ibadah kita, maka kata Ibn ’Ataillah al-Askandari, ibadah yang dilakukan tidak dengan keikhlasan walaupun dirasakan ikhlas. Lebih jelas lagi seumpama Allah mengatakan kembali kepada kita, beribadah untuk mendapatkan untung, maka Allah akan memberikan kepada kita keuntungan sebagaimana yang dikehendaki oleh kita, dan tidak lebih daripada itu. Ini disebabkan oleh kita yang terlalu ”berkira” dengan Allah.

Tujuan amal ibadat yang sebenarnya ialah kita beribadah kerana untuk mencapai keredhaan Allah, maka kita lakukan dengan tidak mengharapkan pahala yang sudah pasti akan diberikan kepada kita kerana Allah Maha Mengetahui dan janji Allah tetap benar. Allah menjelaskan di dalam Surah al-Faatir ayat 5:

Ertinya: Wahai umat manusia, Sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah Syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka).
  
Pada hakikatnya Allah lebih mengetahui apakah imbuhan atau upah yang patut diberikan kepada hambaNya yang benar-benar beribadah kepadaNya tanpa kita mempersoalkan keadilan Allah. Justeru, keredhaan Allah sangat penting dalam apa jua pelaksanaan ibadah yang akan dinilai oleh Allah. Jika kita masih bergantung semata-mata kepada pahala, maka seolah-olah kita beriktikad  dengan ragu-ragu terhadap Allah dalam urusan pahala dan imbuhan yang diberikanNya. Apakah sikap yang kita lakukan ini melayakkan kita menggelarkan diri sebagai hamba yang berkhidmat kepada Allah dengan penuh keikhlasan. Begitu juga jika kita mengharapkan ganjaran, bermakna juga kita memohon daripada Allah apa yang diingini dan dikehendaki oleh kita agar Allah tunaikan. Bererti juga kita bersikap meminta-minta dengan Allah yang boleh merendahkan nilai kita. sekalipun Allah memberikan juga pahala amal kita, namun sekadar tidak lebih daripada menyelamatkan diri daripada seksaan Allah. Sebenarnya dalam urusan ibadah kita boleh mendapat jauh daripada itu, bukan sekadar pahala yang hanya nilaiannya kecil di sisi hamba yang ikhlas, bahkan kita dikatakan beribadah bukan kerana Allah, tetapi lebih kepada ganjaran di atas amal perbuatan baik kita.

Bagaimanakah caranya untuk mendapat nilaian amal yang tinggi di sisi Allah? Sebenarnya jalan yang terbaik ialah kita harus benar dalam perbuatan, perkataan dan benar pada niat ke arah tujuan yang satu, iaitu mendapat keredhaan Allah SWT. Hindarkan diri daripada berperasaan bahawa segala amal perbuatan yang kita laksanakan kerana kekuatan dan kemahuan beribadat datang daripada kita. Kita harus merasai dan menghayati bahawa semuanya itu adalah kurniaan Allah yang mesti dilaksanakan sebagai tanda kesyukuran, Allah yang bersifat dengan segala sifat Keagungan dan Kebesaran. Secara lahiriyahnya kita yang melakukan tetapi, pengendaliaannya adalah daripada Allah yang Maha Berkuasa.

Ertinya:  "Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!"


Matlamat ibadat juga mendidik kita agar merasai sudah mencukupi sekiranya Allah sudi menerima amal dan ibadat yang kita lakukan. Ini kerana Allah tidak menerima ibadah yang dilakukan oleh manusia yang tidak benar-benar ikhlas. Sedangkan berapa ramai di kalangan kita yang mampu melakukannya dengan sempurna sebagai yang dikehendaki oleh Allah dan rasulNya.

Allah yang mencipta dan menjadikan segala perlakuan manusia dan segala makhluk yang lain. Manusia pada lahiriyah sahaja menampakkan usaha mereka melakukan sesuatu. Namun pada hakikat adalah dikendalikan oleh Allah yang Maha Berkuasa. Sehubungan dengan itulah apakah wajar manusia meminta ganjaran dan pahala daripada Allah, sedangkan ganjaran dan pahala itu datangnya juga daripada Allah. Dalam hal ini, cukuplah bagi manusia Allah menerima amal ibadah mereka. Kesudian Allah menerima amal perbuatan kita sudah cukup untuk kita bersyukur kepadaNya dan tidak mengambil tindakan atau menghukum kita kerana tidak melakukan ibadah dengan penuh keikhlasan.

Kurniaan Allah kepada manusia sangat luas dengan menjadikan seseorang itu menjadi manusia yang taat kepadaNya dan beramal ibadah untukNya. Walaupun ketaatan itu jua datang daripada Allah, namun Allah memuliakan hambaNya untuk memilihnya menjadi orang yang bertaqwa. Begitu juga Allah menggerakkan hati manusia yang lain untuk memuji hamba itu sebagai seorang yang baik. Seorang hamba yang tawaduk akan merasakan bahawa semua kurniaan Allah ini adalah datang daripada Allah yang Maha Besar dan Maha Agung serta dengan kehendakNya. Dialah Allah yang mencipta dan menjadikan kita antara orang yang taat kepada perintahNya, dan menjauhi larangannya.

Apabila Allah memilih kita sebagai golongan yang patuh dan taat kepadaNya, maka kita hendaklah bersyukur dan sentiasa menyebut kurniaan Allah ini sebagai tanda penghargaan kita kepada Allah pemberi kurnia. Inilah tanda kurniaan Allah kepada kita dengan merasai bahawa segala amal ibadah kita kerana Allah. Allah yang menjadikan kita akhlak yang baik dan terpuji. Allah jua yang menjanjikan kepada kita dengan pahala yang besar dan menyelamatkan kita daripada azab api neraka yang sangat pedih. Allah yang menerima segala amal kebaikan kita dan memperkenankan janjiNya kepada kita. Dengan kurnia Allah kita mampu beramal dan dengan inayahNya kita mendapat perlindungan dengan sebaik-baik pelindung. Dengan taufiq Allah kita dididik dan dipimpin dengan sebaik-baik didikan dan pimpinan. Allah yang memberikan segala kemudahan sehingga kita dapat beramal kepadaNya dengan senang dan tenang. Allah yang mendekatkan diri kita kepadaNya. Allah yang mendatangkan kesenangan dan kelapangan sehingga kita dapat merasainya.

Sebaliknya janganlah pula sesekali apabila kita melakukan maksiat kepada Allah, kita menyalahkan Allah dan meletakkan kesilapan dan kesalahan kepadaNya kerana memilih kita berada dalam golongan yang melakukan maksiat.  Meletakkan kesalahan itu sebagai takdir Allah. Pastinya Allah akan memurkai kita kerana kita memilih jalan yang salah, tidak memahami kehendak Allah dan menderhakai perintah dan laranganNya. Lalu Allah akan memalingkan daripada kita  dan menjauhkan kita daripadaNya. Maka katakanlah kepada diri kita bahawa sebenarnya kita menganiayai diri kita sendiri. Kita tidak mengerti. Maka Allah akan menerima kesalahan dan mengampuninya serta menerima taubat kita. Allah akan kasih dan sayang kepada kita selagimana kita tidak sombong dengan kurniaanNya. Maka kita akan berada di bawah naungan Allah taufiq dan hidayah Allah.

0 ulasan:

Catat Ulasan