Ads 468x60px

Labels

Selasa, 28 Februari 2012

Serahlah Urusan Hidup Kepada Allah


Seseorang yang tidak menyerahkan segala urusan hidupnya kepada Allah, bermakna dirinya tidak mendapat inayah daripada Allah SWT. Dirinya ditolak dan dijauhkan oleh Allah, ditutup pintuNya. Dalam keadaan ini, maka nafsu berperanan ke atas dirinya dan menguasai segala tindak-tanduknya. Akibat nafsu akan merenggangkan hubungannya dengan Allah. Jiwanya menjadi keras, hatinya tertutup untuk menerima kebenaran. Dirinya sering menghadapi kekejian Tidak ada lagi amal perbuatan dan kata-katanya menjadi ibadah. Inilah akibatnya kepada manusia yang menolak inayah, taufiq dan hidayah Allah. Justeru, mohonlah kepada Allah agar Allah mudahkan segala urusan hidup dan rezeki kita. semoga Allah memelihara kita daripada segala kesulitan dalam mencari rezeki. Janganlah Allah jadikan kita berada dalam kesusahan dan menjadi manusia yang bakhil disebabkan kurnia rezeki Allah kepada kita. Pohonlah kepada Allah semoga rezeki yang dikurniakan kepada kita menjadi sebab untuk kita melaksanakan ketaatan kepadaNya, dan menjalankan tugas-tugas kehambaan. Doakan agar Allah membuka pintu mata hati kita untuk melihat hukum-hakam Allah dan janganlah Allah menyerahkan urusan hidup kita kepada diri kita sendiri.


Inayah Allah Pendorong Kebaikan

Apabila Allah mengurniakan kepada kita nikmat inayahNya kepada kita, maka Allah akan mementingkan segala urusan hidup kita dalam semua urusan hidup di dunia ini. Allah akan membantu dan menolong kita dalam setiap urusan besar atau kecil, berat atau ringan, mudah atau payah. Allah akan mencurahkan segala kemurahannya kepada kita. Maka apa jua yang kita hadapi dalam hidup ini akan menjadi baik, indah dan bermakna. Inilah yang dikatakan sebagai berada di bawah keredhaan Allah. Hamba yang dapat merasai kurniaan ini tidak akan putus-putus memuji Allah SWT, dan tidak akan terhenti daripada melakukan amal kebaikan kerana Allah memilih kita berada dekat dengan pintu rahmat dan nikmatNya. Inilah juga tanda kita berada di bawah naungan payung taufiq dan petunjuk Allah.

Kita adalah makhluk yang dicipta oleh Allah yang bersifat dengan sifat kehambaan dan tidak boleh melebihi atau melampaui daripada sifat tersebut. Adanya manusia kerana Allah yang mengadakannya. Ini juga bermakna diri kita bukanlah hak milik kita, tetapi ia adalah hak milik Allah. Allah mengajar kita mendakwa sesuatu yang bukan milik kita dan bukan kepunyaan kita. Maka kita seharusnya tahu dan menyedari hakikat diri ini adalah makhlukNya dan hambaNya. Antara sifat kehambaan ialah kefakiran, kehinaan, kelemahan dan ketidakmampuan. Manakala sifat-sifat ketuhanan antaranya ialah Maha Kaya, Maha Megah, Maha Kuasa, Maha Kuat. Berdasarkan kepada hakikat inilah manusia hendaklah bergantung kepada sifat-sifat Allah.

Jangan Lupa Diri

Manusia yang sombong dan bermegah dengan ilmu, kekayaan, keilmuan, kekuatan adalah sifat-sifat membesarkan diri dengan sifat-sifat Allah yang tidak sepatutnya menjadi milik kita. Kepandaian, kekayaan dan sifat-sifat yang dikurniakan Allah kepada kita. Berilmunya kita kerana Allah yang memberikan kita ilmu. Kayanya kita kerana Allah yang memberikan kekayaan kepada kita. Manakala kita dikatakan orang kaya, orang berilmu dan sebagainya itu adalah sebutan manusia yang pada hakikatnya bukanlah hak milik kita. Manusia yang mengaku dengan sebenar-benar bahawa kekayaan, kepandaian dan lain-lain lagi adalah hasil ciptaannya adalah menjadi dosa kerana menyamakan taraf sifat Allah dengan sifat manusia. Dirinya termasuk dalam golongan manusia yang menyombong diri dan sememangnya tidak layak untuk kita menyatakan demikian. Begitu juga jangan sesekali kita membayangkan bahawa itu adalah hasil usaha dan tangan kita. Dengan memahami keadaan ini, maka akan berhajat kepada Allah agar Allah memberikan pertolongan kepada kita. Keadaan ini seumpama kita karam di dalam lautan yang luas dan bergelombang yang besar membadai. Waktu itu tidak ada yang mampu membantu dan menolong kita melainkan Allah yang dapat menyelamatkan diri.

Jika kita bergantung kepada yang lain selain Allah, dan mengharapkan bantuannya, maka ia tidak memberi apa-apa makna dan tidak berguna. Saat ini tidak ada dalam ingatan kita selain mengharapkan bantuan yang sememangnya dapat membantu kita. Ini kerana kita memang mengetahui daya kekuatan dan kelemahan diri kita. Yang pastinya kita tidak mampu menyelamatkan diri kita sendiri. Kita berkeyakinan sepenuhnya bahawa jika kita tidak diselamatkan atau dibantu, maka kita berhadapan dengan kematian. Perasaan iman seperti inilah yang dikehendaki oleh Allah dan dikatakan sebagai seorang yang mempunyai iman yang mantap. Apabila perasaan mengharap seperti ini yang pastinya diterima oleh Allah jika kita memohon sesuatu kepadaNya. Inilah kunci rahsia Allah dalam menerima dan menolak permintaan hambaNya.


0 ulasan:

Catat Ulasan