Allah SWT berfirman Ertinya:
Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk
menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari
Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput
kederhakaan)? maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu
hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. mereka yang
demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.
Berdasarkan kepada ayat ini apabila Allah melimpahkan kepada kita cahayaNya
dalam hati, maka akan terang dan terbukalah dada kita untuk melihat kebenaran
agar didekati dan melihat kejahatan untuk dijauhi. Inilah yang dikatakan kita
telah mendapat petunjuk Allah dan pimpinanNya. Limpahan cahaya ini akan kita
peroleh hasil daripada ketekunan usaha amal ibadah kita, membersihkan diri
daripada dosa besar dan kecil dan segala penyakit hati. Apabila diri dapat
dibersihkdan daripada semua ini, maka kita akan dikurniakan limpahan cahaya.
Matahati akan dapat menerima ilmu yang bermanfaat dan menghadapkan kepada
sesuatu yang baik secara pasti.
Inilah saat-saat kegembiraan yang dilalui oleh seorang hamba yang taat
kepada Allah. Kegembiraan ini disebabkan oleh beberapa keadaan, antaranya
ialah:
Gembira kerana telah melaksanakan ketaatan kepada Allah dan mengharapkan
pahala serta takut dengan seksaan Allah jika tidak melaksanakannya. Kegembiraan
ini dianggap tidak baik kerana kita beramal untuk mengharapkan pahala dan takut
kepada siksa api neraka. Namun jika diamati, sebenarnya kita masih bergantung
kepada pahala untuk menyelamatkan diri daripada seksaan api neraka dan bukan
bergantung sepenuhnya kepada Allah sebagai penyelamat. Selamatnya daripada api
neraka kerana pahala yang ada padanya, bukan kerana Allah. Sifat takut kepada
Allah setelah kita mengamalkan perintah-perintah Allah dan beramal ibadah
kepadaNya dan menjauhkan larangan Allah SWT. Namun jika sebaliknya, maka kita
tidak beribadah dan beramal serta hilangnya harapan kita kepada Allah.
Gembira dalam taat kerana kita berusaha melaksanakannya. Kegembiraan yang
kedua ini kurang baik kerana ia boleh membawa kepada sifat sombong dan ’ujub.
Ketaatan kita kepada Allah adalah hasil usaha dan daya kekuatan kita sehingga
berjaya bangkit melaksanakan ibadah. Kita bangga dengan usaha yang telah
berjaya kita laksanakan. Ini bermakna taatnya kita kepada Allah atas usaha
sendiri, sedangkan orang yang tidak berusaha dia gagal mentaati Allah dan
beribadah kepadaNya. Keadaan ini juga melahirkan kita berperasaan ’ujub bahawa
aku telah beramal dan tergolong dalam golongan yang baik.
Gembira dengan taat disebabkan kita dapat merasai nikmat kurniaan Allah dan
dengannya kita dapat melakukan ketaatan kepadaNya. Kegembiraan ini adalah yang
terbaik kerana ia mengingatkan diri kita bahawa berjayanya kita beribadah bukan
kerana yang lain kecuali dengan taufiq dan nikmat Allah. Tanpanya kita tidak
mungkin berjaya melakukan ketaatan kepada Allah. Kita adalah ciptaan Allah,
maka apa jua yang dilakukan juga adalah datang daripada Allah. Tidak ada yang terkecuali semua yang
datang daripada Allah adalah nikmat. Maka hendaklah kita bersyukur dan gembira
dengan pemberian Allah dan KurniaNya. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
Ertinya: Katakanlah (Wahai Muhammad)
"kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata Dengan limpah kurnia Allah dan
kasih sayangNya, maka Dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka
bersukacita (bukan Dengan Yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa Yang
mereka himpunkan dari Segala benda dan perkara Yang tidak kekal)".
(Surah Yunus:58)
Hakikat ini dapat kita fahami bahawa orang yang beramal untuk mendapatkan
pahala dan takut seksaan api neraka adalah mereka yang lalai. Kelalaian kepada
Allah kerana syurga dan neraka Allah bergantung kepada nikmat dan rahmat yang
diberikanNya. Kita dituntut supaya bergembira dengan kurniaan Allah dan kasih
sayangNya, sehingga dengan sebab itulah kita tidak melupakan perintah Allah
SWT, tidak mengerjakan laranganNya. Ini hakikat terima kasih kita kepada Allah.
0 ulasan:
Catat Ulasan