Hati manusia mempunyai dua keadaan. Iaitu hati yang dipenuhi dengan cahaya
tauhid Allah dan hati yang dipenuhi dengan kegelapan dan syirik serta keraguan
kepada Allah. Hati yang dipenuhi dengan cahaya akan bertambahnya pemantapan
tauhid dan keyakinan kepada Allah yang kuat. Cahaya inilah yang membawa kita dekat dengan
Allah dan langsung mendapat bimbinganNya. Hati yang gelap tidak terpimpin
dengan ajaran agama. Hatinya dimiliki oleh nafsu ammarah yang menjadi raja
dalam dirinya dan akhirnya membawa kepada tabiat-tabiat kemanusiaan yang jauh
daripada keredhaan Allah. Orang
yang mendapat bimbingan Allah akan dimenangkan hatinya oleh Allah berbanding
nafsunya. Allah akan memberikan bantuan kepada hati dan akalnya iaitu melalui
cahaya Ilahi. Allah akan menambahkan kekuatan dalam agamanya dan berpegang kuat
kepada ajaran-ajaranNya. Dilimpahkan Allah dengan kekuatan tauhid dan keyakinan
sehingga dalam diri kita tidak ada yang berkuasa selain Allah. Allah akan memutuskan
segala bantuan kepada nafsu yang boleh memperkuatkan kedudukan hawa nafsu.
Begitulah sebaliknya, Allah akan memperteguhkan nafsu dan tidak dimantapkan
tauhid. Maka hati menjadi lemah dan tidak berdaya untuk menentang nafsu lagi.
Apabila hati cenderung untuk melakukan kebaikan itu tandanya hati kita
telah mendapat bantuan daripada Allah SWT. Dengan cahaya Ilahi inilah kita
mampu mengerjakan segla perintah Allah sekalipun sukar dan payah. Demikianlah
jika nafsu cenderung untuk melakukan kejahatan, maka terasa kelazatan dan
kemanisan setiap perbuatan dan tindakannya. Hati sentiasa berperang dengan nafsu untuk
mendahului antara satu sama lain. Jika hati cepat mendapat bantuan cahaya
Ilahi, maka hati akan menolak kehendak nafsu dan mempertahankan kehendak hati. Dorongan
untuk melakukan ketaatan kepada Allah berlaku dengan kuat sehingga hilangnya
ragu-ragu serta was-was. Hati kejahilan akan pergi, keraguan dan ketidakpastian
akan meninggalkan kita, maka terasa nikmatnya kurniaan Allah dengan
bertambahnya keyakinan dan keteguhan hati kepadaNya.
Apabila Allah melimpahkan cahaya IlahiNya maka pintu hati manusia akan
terbuka untuk melihat perkara-perkara ketaatan kepada Allah dan melihat
kekejian dan buruknya yang dilarang Allah. Inilah yang dikenali sebagai
Basyirah iaitu penglihatan matahati. Penglihatan hati adalah yang paling benar.
Hati seumpama anggota fizikal yang lain mampu melihat apabila adanya cahaya
yang menyuluh dan meneranginya. Hati yang mempunyai basyirah mampu melihat
dengan terang dan jelas. Cahaya atau basyirah itu adalah berupa ilmu-ilmu yang
dilimpah oleh Allah SWT ke dalam hati seseorang. Setelah hati dapat melihat
kebaikan sesuatu yang dilihatnya, maka hati akan menghadap kepada Allah SWT,
lalu diperintah anggota yang lain untuk melaksanakannya. Begitulah sebaliknya
jika hati tidak dapat melihat sesuatu kebaikan, maka hati akan membelakangiNya
dan anggota lain turut sama membelakangi sebagaimana hati.
Sekiranya cahaya Ilahi yang ada pada hati masih berkurangan, maka
penglihatan matahati juga akan menjadi kabur dan sering membuat sesuatu dengan
tidak tepat dan adakalanya tidak betul. Justeru, hati akan menjadi mengadap
sesuatu yang pada hakikatnya tidak baik, tetapi disangkanya baik dan
dibelakanginya. Inilah hakikat hati jika ia dipenuhi dengan cahaya-cahaya Ilahi
maka penglihatannya adalah tepat. Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat
125:
Ertinya: Maka sesiapa yang Allah kehendaki
untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya
(membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk
menyesatkannya, nescaya ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya,
seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya).
Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.
Di dalam ayat yang lain, Allah berfirman lagi:
Ertinya:
Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk
menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari
Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput
kederhakaan)? maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu
hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. mereka yang
demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.
0 ulasan:
Catat Ulasan