Ads 468x60px

Labels

Selasa, 28 Februari 2012

Jangan Lupa Hakikat Diri



Dua nikmat yang sering dilupakan oleh manusia, iaitu nikmat ciptaan Allah dan nikmat kelangsungan hidup. Jika kita tidak diciptakan oleh Allah SWT, maka kita tidak ada di dunia ini. Kemunculan kita di alam ini adalah kerana kita adalah pilihan Allah yang telah ditentukan akan lahir ke muka bumi.  Hakikatnya kita pada mulanya tidak ada kemudian Allah yang mengadakan kita. Apabila kita bernama makhluk, maka sesuatu itu tidak terjadi tanpa dijadikan oleh yang Maha mencipta iaitu Allah SWT.


   
Ertinya: Sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu, sedang Engkau pada masa itu belum ada sebarang apapun."

(Surah Maryam:9)

Manusia yang lalai sering melupa dua nikmat dan rahmat Allah terutama apabila manusia berada dalam keadaan sihat, kaya, berpangkat dan sebagainya. Semua ini membawa kita kepada lupa asal usul dan permulaan datangnya kita. Jika kita dapat memahami dan menghayati nikmat ijad (ada) ini betapa bersyukurnya kita kerana dengan kehendak dan iradah Allah maka kita ada di bumi Allah dan dapat meneruskan kelangsungan hidup (amdad). Tanpa bantuan, pertolongan dan sokongan Allah kita tidak mampu hidup. Justeru, hamba yang dekat dengan Allah menerima ujian dan cobaan daripada Allah dengan hati yang lapang, malah bergembira menghadapinya kerana lebih mendekatkan lagi dirinya kepada Allah. Semua ini mengingatkan dirinya kepada firman Allah SWT:

  Ertinya: (oleh kerana Allah Menguasai segala-galanya, maka) Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam Segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. Jika ia mahu, nescaya ia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yang baharu. dan (perlaksanaan) yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah.

                           (al-Fathir:15-17)

Allah mendatangkan dengan pelbagai cabaran dan ujian dalam hidup di dunia tidak lain dan tidak bukan agar manusia mengingati bahawa apa jua dalam hidup datangnya daripada Allah. Kesusahan, kesenangan, sihat, sakit dan sebagainya adalah ujian Allah. Semua ini menunjukkan bahawa kebergantungan hidup kita kepada Allah tidak ada waktu dan saat yang memisahkan kita denganNya. Namun dengan sifat kasih dan sayang Allah menjadikan kita tidak lupa terutama di mana kita berada dan dalam keadaan apa sekalipun yang kita lalui. Firman Allah SWT di dalam surah al-Zumar ayat 49:

Ertinya: Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): "Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).
  
Memahami tiga persoalan daripada mana, berada di mana dan ke mana kita sangat penting untuk menjalani kehidupan sebagai hamba. Jika kita inginkan Allah dekat dengan kita, Allah memimpin kita, merahmati dan meredhai kita, maka hendaklah kita memahami hakikat ijad dan imdad ini. Daripada jutaan benih yang keluar menuju kepada ovari hanya terjadi dan terbentuk adalah satu. Satu-satunya itu adalah pilihan dan ketentuan Allah yang memilih dengan sebaik-baik pilihan. Daripada jutaan yang dipercayai oleh Allah, namun satu-satunya itu adalah yang paling dipercayai oleh Allah sehingga kita dilahirnya untuk menjadi khalifah di muka bumi Allah. Ini merupakan nikmat dan kurniaan Allah yang bermula sejak kita dilahirkan seterusnya jugalah kurniaan Allah sepanjang hidup hinggalah kita bertemu Allah SWT. 

0 ulasan:

Catat Ulasan