Ads 468x60px

Labels

Selasa, 28 Februari 2012

Dunia Lambang Keindahan Sementara


Dunia adalah pentas lahiriyah yang mempesonakan. Dunia dihiasi dengan keindahan dan kecantikan sehingga manusia boleh tertipu dengan godaan dunia. Manusia sering memandang dunia dengan penuh kemuliaan dan kemegahan. Ukuran kemegahan dan kemuliaan seseorang adalah terletak pada darjat, pangkat, kekayaan, kecantikan, kepandaian, kebijaksanaan dan sebagainya. Lumrahnya manusia mendapatkan kemuliaan dan kemegahan dengan bergantung makhluk yang diciptakan Allah yang juga tidak kekal, hancur, rosak binasa dan akan lupus. Manusia seringkali tersilap dalam menilai dan mengukur ketepatan sesuatu. Justeru, pada hakikatnya kemuliaan dan kemegahan dunia hanyalah bersifat sementara sahaja. Dunia jugak adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT dan segala isinya. Orang yang melihat dunia dengan hati dan akal tidak akan tertipu dan terpengaruh dengan lahiriyah dunia sekalipun ia cantik dan menawan. Ada dan tiadanya dunia adalah sama baginya, bahkan seolah-oleh tidak ada di sisinya.


Kemegahan dan kemuliaan yang hakiki ialah sesuatu yang bersifat kekal dan abadi iaitu Allah SWT. Apabila kita bergantung kepada Allah dan mengembalikan segala sesuatu kepadaNya itulah hakikat kemuliaan yang sebenar. Mengembalikan semua urusan hidup dan mati kepada tuan yang menciptakan kita dan semua makhluk yang lain. Inilah kemuliaan yang sebenar dan kemegahan yang hakiki dan abadi. Pangkat, kedudukan, wang ringgit adalah bukanlah kemuliaan bersifat kekal abadi. Semuanya boleh datang dan pergi meninggalkan kita sebagaimana juga kita tidak akan hidup untuk selama-lamanya. Muda akan berakhir dengan tua, sihat silih berganti dengan sakit, kaya datang sesudah miskin dan kekayaan ditinggalkan apabila kita dijemput menemui Allah pemilik segala harta yang diamanahkan. Manusia yang bergantung kemulian daripada Allah tidak akan hilang akal apabila datangnya cabaran dan godaan dunia. Kemuliaan dan kemegahan yang sebenar yang akan membawa kepada kebahagian di dunia dan akhirat. Mereka tidak kalah dan kecundang dan tenggelam dalam lautan dunia dan syahwatnya.

Orang yang melihat dunia dengan hati dan akal tidak akan tunduk kepada rayuan dan pujukan dunia. Meskipun kehidupannya tidak terpisah dengan dunia, tetapi hati dan akalnya mampu memimpin dunia. Setelah hadirnya cahaya keyakinan ini yang bersinar dalam hati seseorang hamba Allah, maka jarak perjalanan di dunia yang panjang dirasakan pendek. Perjalanan ke negeri akhirat terlalu hampir. Pandangan hati dan akalnya terbuka untuk melihat keindahan negeri akhirat, hidup yang hakiki dan abadi. Pandangan hatinya mula melihat keindahan negeri akhirat dan dapat merasai negeri dunia hanya tempat persinggahan dan tumpangan sahaja. Hati dan akalnya sentiasa dekat dengan negeri akhirat. Perjalanannya tersangat hampir dan masanya semakin dekat. Giliran dan tempoh penantiannya hanya menanti hari demi hari yang pastinya akan tiba. Maka berlumba-lumbalah dirinya untuk beramal dan beribadah kepada Allah. Dirinya sentiasa mengejar waktu dan bertekad untuk tidak dikalahkan oleh waktu. Mereka ingin menguasai waktu. Putaran malam dan siang dipenuhi dengan ibadah di mana sahaja berada. Dirinya terlalu takut dengan kemuliaan dan kemegahan dunia yang boleh menghilang dan mengurangkan keikhlasan mereka dalam beramal, dikelilingi oleh riya’ dan diiringi oleh ’ujub. Bimbang hasil mahsul di dunia hanya mendapat letih dan di akhirat tidak mendapat apa-apa.


0 ulasan:

Catat Ulasan