Ads 468x60px

Labels

Selasa, 28 Februari 2012

Bagaimana Ingin Mendekati Allah


Manusia yang telah dekat dirinya dengan Allah pasti tidak akan ditolak segala permintaannya. Bahkan Allah akan menggerakkan lidahnya untuk sentiasa berdoa dan memohon apa jua hajat kepadaNya. Lidahnya sentiasa ringan untuk memohon doa dan petunjuk Allah dengan merasai dirinya fakir, hina dan sangat berhajat kepada Allah dalam apa jua keadaan. Rasa fakir dan miskin di sisi Allah tidak akan dirasai kecuali orang yang dihidupkan hatinya oleh Allah SWT. Sifat kesombongan diri akan hilang dan yang menjelma dalam dirinya adalah sifat merendah diri, rasa kekerdilan diri dan berhajat kepada yang empunya kuasa yakni Allah SWT. Apabila kita dapat menghayati dan merasai dengan sebenar-benar pengharapan dan hajat hanya kepada Allah yang mampu menyampaikan segala hajat, maka ketika ini kita tidak akan boleh berpisah dengan Allah untuk menyampaikan hajat untuk bermohon kepadaNya. Alangkah bertuahnya orang yang digerakkan hatinya untuk hidup dengan merasai sepenuhnya hidup hanya kerana dan untuk Allah. Inilah anugerah yang diberikan oleh Allah SWT kepada insan pilihanNya.


Apabila semua ini dapat dirasai oleh kita, maka inilah tandanya Allah mengkehendaki kita untuk berdoa kepadaNya. Ini juga bermakna Allah menginginkan diri kita mendekatiNya. Ketika inilah segala hajat dan permintaan kita akan diperkenankan Allah dan Allah akan memberikan kita pilihan yang terbaik, lebih baik daripada apa yang kita inginkan. Tidak ada suatu pilihan dan keputusan yang lebih baik kecuali yang datang dari sisi Allah SWT. Sekiranya permintaan itu tidak disegerakan, maka ia akan ditangguh kepada waktu yang sesuai menurut ilmu Allah. Ada kalanya Allah akan memperkenankan di dunia dengan menghindarkannya daripada bala dan bencana sebagai gantian. Apa yang pasti doa mereka tidak akan dibiarkan begitu sahaja. Nilai doanya adalah sama dengan doa mereka yang berada dalam keadaan terdesak yang tiada tempat pergantungan harap kecuali Allah SWT. Doanya dilakukan dengan penuh khusyuk dan tawaduk kepada Allah yang maha pengasih lagi maha penyanyang. Allah telah mengilhamkan untuk berdoa kepadaNya, maka sudah tentu dengan limpahan kurniaNya, Allah akan memperkenankan doa yang dipohon.

Keadaan ini tidak sama sekiranya permintaan kita tidak dengan kehendakNya. Gambaran kecintaan dan kesayangan Allah kepada hamba yang ada hubungan yang intim dengan Nya dan diangkat martabatnya, jauh berbeza dengan kebiasaan hambaNya yang lain. Lidahnya akan terasa berat, nafsu memaksa dirinya untuk bermohon kepada Allah, kecewa dengan ketentuan Allah jika tidak menyebelahi kehendaknya. Doa yang dilakukan olehnya dalam keadaan biasa, bukan dengan dorongan ilham yang mendesak dirinya untuk berdoa kepada Allah SWT. Mereka berdoa kerana inginkan sesuatu tujuan, sama ada untuk mencapai cita-citanya atau memohon dijauhkan daripada bala. Apabila tercapai segala hajat dan kehendaknya, maka dia akan bergembira. Kegembiraan ini kerana telah berhasil apa yang dikehendaki, dan bukan gembira kerana dapat bermunajat dan berdailog dengan Allah SWT.


Permintaan yang dimakbulkan Allah adalah dengan kita bermohon kepada Allah dengan kehendak dan pilihanNya. Kita diajar oleh nabi saw dengan permohonan yang terbaik ialah agar Allah mengampunkan dosa kita, memaafkan kesalahan kita dan memberikan kesejahteraan dan keselamatan di dunia dan akhirat.

Rasulullah saw bersabda:

مَنْ أُذِنَ لهُ من الدُّعاءِ منكم, فُتِحَتْ له أبْوَابُ الرَّحْمَةِ, وما يَسْألُ اللهَ شَيئًا قَطُّ أحَبَّ إلَيْهِ من أنْ يَسْألَ العَفْوَ والعَافِيَة في الدُّنِْيَا والأخِرَة

Maksudnya: Sesiapa di antara kamu yang diizinkan oleh Allah agar berdoa kepadaNya, maka Allah akan membukakan baginya pintu-pintu rahmat. Tidak ada sesuatu permohonan kepada Allah yang dicintai oleh Allah dengan memohon kemaafan dan keselamatan di dunia dan akhirat.



Manusia yang digerakkan hati dan diringankan lidahnya untuk bermohon hajat kepada Allah, bermakna Allah sangat cinta dan menyayangi dirinya. Inilah golongan manusia yang mudah diperkenankan doa. Mereka berdoa memohon kepada Allah dengan semua anggotanya yang menggambarkan kehambaannya kepada Allah. Hatinya berdoa sebagai mematuhi tuntutan Allah di samping menyerah dan bertawakkal kepadaNya.

0 ulasan:

Catat Ulasan