Ertinya: Antara tanda manusia
yang berpegang kepada amal ialah kurangnya harapan kepada Allah ketika berlaku
kesalahan-kesalahan.
Janganlah kita bergantung kepada amal atau balasan yang dijanjikan Allah
seperti solat, haji, puasa dan lain-lain, tetapi bergantunglah dengan rahmat
Allah dan kemuliaanNya. Ibn Abbad mengatakan bahawa janganlah kita bergantung
kepada selain Allah kerana ia adalah sifat orang jahil dan lalai.
لَنْ يُدْخِلَ أحَدَكُمْ
الجَنَّةََ عَمَلُهُ قَالُوا ولا أنتَ يَا رَسُولُ اللهِ؟ قال: ولا أنا إلاَّ أن
يَتَغَمَّدَنِيَ اللهُ بِرَحْمَتِهِ
Ertinya: Seseorang itu tidak akan
dimasukkan ke dalam syurga dengan sebab amalannya. Sahabat bertanya: Walaupun
kamu ya Rasulullah? Jawab Rasulullah: walaupun saya, melainkan dengan limpahan
rahmat Allah SWT kepadaku.
(Riwayat Bukhari)
Peringkat-Peringkat
Manusia
- Tingkatan
al-’Abid: Orang yang mengerjakan suruhan agama seperti solat,
puasa, haji dan lain-lain dan pada masa yang sama menjauhi daripada
perbuatan dan amalan yang ditegah oleh agama. Mereka mengharapkan dapat
memasuki Syurga Allah dan terlepas daripada azab seksaan neraka.
- Tingkatan
al-Muridin: Orang yang beramal dan taat kepada ajaran agama dengan
tujuan untuk menemui Allah dan sampai kepadaNya. Selain itu dia
mengharapkan Allah membuka pintu hatinya dan dilimpahkan dengan segala
rahsia-rahsia Allah.
- Tingkatan
al-’Arifin: Orang yang banyak beramal kepada Allah, tetapi tidak
ada tujuan yang lain, selain mendapat redha Allah. Malah hatinya
sedikitpun tidak terbayang untuk mendapatkan selainNya.
Tingkatan yang pertama adalah orang yang melakukan ibadat dengan harapan
untuk mendapatkan pahala dan syurga Allah. Maka kesannya harapan kepada Allah
bertambah kuat apabila bertambahnya amal ibadat. Jika sebaliknya, dia
mengerjakan maksiat atau tidak melaksanakan perintah Allah, harapan kepada
Allah akan berkurang dan menurun. Harapan kepada Allah juga akan berkurang
apabila hajat dan maksudnya tidak tercapai.
Tingkatan yang kedua orang yang bergembira dengan amal ibadatnya. Amal
ibadat itulah yang menjadi penyebab atau pengantara untuk dirinya mendapat
sesuatu harapan. Harapannya kepada Allah akan bertambah dengan bertambah
ibadatnya, sebaliknya juga akan berkurang dengan berkurangnya amal ibadat yang
dilakukan.
Manusia yang berada pada tingkat yang ketiga adalah yang mulia di sisi
Allah SWT. Ini kerana amal yang dilakukan adalah atas kesyukuran dan
penghargaan terhadap Allah kerana memberikan kepadanya nikmat dan rahmat.
Ketaatannya kepada Allah bukan disebabkan kerana habuan pahala atau janji-janji
syurga. Dia telah meyakini bahawa setiap janji Allah akan pasti berlaku. Syurga
dan neraka itu terletak pada rahmat Allah. Segala sesuatu yang berlaku di atas
Qada’ dan Qadar Allah. Maka dia hanya mengharapkan redha Allah dan melakukan
ibadah kerana takutkan Allah. Tingkatan ini dianugerahkan kepada insan-insan
yang bermujahadah kepada Allah. Memerangi hawa nafsu melalui latihan-latihan,
mengingati Allah dalam setiap gerak geri, maka kita akan sampai kepada darjat
ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan