Ads 468x60px

Labels

Selasa, 28 Februari 2012

Kenal Allah Tak Bermusim


Apabila seseorang itu telah kenal dengan Allah, maka dirinya akan berhajat dan memerlukan kepada Allah pada setiap saat dan masa. Keperluan kepada Allah bukanlah mengikut waktu dan masa tertentu sahaja, bahkan sentiasa berkekalan dan terus menerus. Ini kerana hambanya mengenali Allah, pasti akan mengenali hakikat diri dan sifat dirinya sendiri. Dirinya seorang hamba yang papa dan berhajat kepada Allah dalam segala hal kehidupan. Dirinya adalah makhluk yang diciptakan Allah dan ditentukan dalam semua perkara oleh Allah SWT. Kekuatan dirinya hanya bergantung kepada kekuatan Allah, lantas dirinya mempunyai kekuatan setelah bangkit daripada kelemahan.


Allah berada tersangat hampir dengan hambaNya, lebih dekat daripada nyawa dan hati manusia. Sekalipun Allah terlebih hampir dengan manusia, tetapi Allah meminta kepada manusia memohon dan berdoa kepadaNya. Inilah gambaran Allah agar manusia dapat memperhambakan diri kepadaNya. Rasa kehinaan dan rendah diri, tawaduk, rasa kefaqiran di sisi Allah. Maka dapatlah kita fahami bahawa permintaan Allah kepada manusia bukanlah untuk memberikan hasil apa yang dimohon, tetapi sebaliknya adalah untuk mendatangkan rasa kehambaan dan Allah itu adalah tuhan kita. Kita berdoa kepada Allah sebagai tanda kita adalah hambaNya dan memperakui Allah sebagai tuhan yang bersifat Maha Esa, Maha Pemurah, Maha Kuasa, Maha Kaya dan segala sifat keagunganNya.

Allah itu bersifat Maha Mengetahui segala kehendak dan permintaan manusia yang sekarang atau yang akan datang. Justeru, kenapakah perlunya manusia memohon lagi dengan Allah sedangkan Allah telah mengetahui. Pada masa yang sama Allah juga meminta manusia memohon kepadaNya segala hajat dan permintaan hambaNya. Ini bermakna sebenarnya kita memohon dengan Allah adalah semata-mata ibadah dan sifat ’Ubudiyyah (kehambaan) kita dengan Allah, bukan kerana ingin mendapatkan hasil kurniaan Allah. Inilah yang sepatutnya difahami dan dihayati oleh kita sebagai hamba. Nabi saw bersabda:

الدعاءُ مُخُّ العبادةِ
Maksudnya: Doa itu adalah otak ibadah

Pada hakikatnya doa bukanlah penyebab kepada berhasilnya apa yang kita doakan, tetapi jika Allah ingin memaqbulkan doa kita maka diperkenankan. Semuanya adalah dengan dan kerana kurniaan Allah dan kasih sayangNya. Ketentuan Allah telah ada sebelumnya dan mendahului doa yang kita pohonkan. Allah mempunyai hak sama ada untuk memperkenankan doa kita atau sebaliknya. Sekiranya Allah memperkenankan doa kita, maka bersyukurlah kita dengan kurniaanNya. Jika Allah tidak dan belum memperkenankan doakan kita, maka kita telahpun menunaikan tanggungjawab terhadap hak Allah. Penerimaan doa oleh Allah bukanlah menjadi persoalan kepada kita sebagai hambaNya, sebab itu bukannnya urusan manusia. Apa yang terlebih penting ialah kita tidak meninggalkan doa kerana ia adalah ibadat. Sekiranya diterima sekalipun doa kita, ada waktunya hasil doa yang diterima tidak sebagaimana yang dipohon. Justeru, wajib kita berdoa kepada Allah dengan lidah kita, dan hati kita boleh menerima segala apa yang dikehendaki oleh Allah SWT. Doa akan menjadikan seseorang itu terlebih hampir dan dekat dengan Allah dan sentiasa berkhidmat dengan Allah. Waktunya dihabiskan dengan kesibukan mengingati Allah. Keadaan inilah yang menjadikan dirinya merasai Allah sentiasa bersamanya dan Allah juga memperhatikan setiap gerak gerinya. Seluruh kehidupan dan tindak tanduknya adalah disusun atur oleh Allah SWT.

Tidak ada sesuatu yang lain dalam dirinya kecuali Allah. Maka setiap keputusa yang datang sama ada baik atau buruk, manfaat atau tidak, akan diterima dengan hati yang lapang dan terbuka kerana meyakini itu semua adalah datang daripada Allah. Keyakinan inilah juga yang boleh melahirkan kita sebagai orang yang gembira dengan nikmat Allah dan menghargai pemberi nikmat dan tidak pernah dilupakan. Berbeza dengan kebanyakan orang apabila menerima nikmat yang berupa kebaikan disukai, tetapi lupa kepada yang memberi nikmat. Sebaliknya apabila datangnya nikmat yang berupa keburukan, maka dia akan kecewa dengan pemberi keburukan (Allah). Sedangkan kebaikan dan keburukan kedua-dua tidak lain semuanya datang daripada Allah SWT. Orang yang lalai tidak akan memahami kehendak Allah terhadap dirinya. Maka mereka tidak mengharapkan dan bergantung kepada Allah dengan melaksanakan ketaatan kepada Allah. Kalaupun dilakukan ketaatan hanya pada zahirnya sahaja.
  
Orang yang hatinya tunduk dan patuh kepada Allah SWT akan berada dalam 3 keadaan:

  1. menyerahkan diri kepada Allah terhadap sesuatu tujuan dengan harapan Allah lebih mengetahui segala hajat dan permintaan hambaNya;
  2. bertawakkal kepada Allah dan menghadapkan diri kepadaNya serta tidak berpegang kepada selainNya;
  3. menerima dengan penuh kerelaan dan redha dengan segala apa yang diputuskan oleh Allah SWT, sama ada Allah memperkenan atau tidak. Jika Allah memperkenan maka kita akan bersyukur dengan kurniaanNya. Sebaliknya jika Allah tidak perkenan kita terima dengan baik tanpa ragu-ragu.

0 ulasan:

Catat Ulasan