Ads 468x60px

Labels

Selasa, 28 Februari 2012

Apa Ada pada Pujian Manusia


Manusia kebanyakannya memohon kepada Allah SWT agar ditutupkan oleh Allah SWT segala kesalahan dan dosanya daripada diketahui oleh manusia lain. Mereka lebih takut kepada manusia daripada takut kepada Allah. Mereka bukanlah memohon keampunan dengan Allah supaya dihapuskan dosa, tetapi disembunyikan sehingga tidak ada seorangpun mengetahui perbuatan salah yang dilakukan. Inilah yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam surah al-Nisa’ ayat 108:


Maksudnya: Mereka menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam pada itu mereka tidak menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah. Padahal Allah ada bersama-sama mereka, ketika mereka merancangkan pada malam hari, kata-kata yang tidak diredhai oleh Allah. dan (ingatlah) Allah sentiasa meliputi pengetahuannya akan apa yang mereka lakukan.

Manusia seperti ini sering mengharapkan kepada pujian dan suka dipuji. Mengharapkan orang ramai memandang baik terhadap dirinya dan tidak suka atau sangat benci jika dirinya dicela. Apabila mereka melakukan maksiat dan melanggar hukum Allah SWT, hatinya tidak akan tersentuh, tidak merasai cemas dan takut. Oleh itu, mereka sangat bimbang dan takut jika perbuatan jahat yang dilakukan diketahui oleh orang yang sudah pasti akan memandang rendah dan tidak menghargainya lagi. Andainya orang ramai mengetahuinya maka orang ramai tidak akan menghormati dan membencinya. Perlakuan seperti ini termasuk dalam golongan yang melakukan syirik secara sembunyi.

Jangan Salah Anggap

Golongan yang beriman akan memohon dengan Allah agar diampunkan segala kesalahan dan memohon agar Allah menghilangkan terus kesalahan itu daripada pandangannya dan sedikitpun tidak terlintas di hatinya untuk mengingati dan mengulanginya lagi. Mereka tersangat takut dan bimbang jika maksiat yang dilakukan itu masih terbayang di hati. Golongan ini tidak mengharapkan pujian orang lain terhadap diri mereka. Mereka memohon agar Allah menutup maksiat itu dari pandangan mata dan hatinya agar tidak terlintas dan terbayang sedikitpun dosa yang telah dilakukan. Golongan ini akan ditutupkan oleh Allah SWT daripada segala kesalahan yang telah dilakukan yang menyebabkan manusia mencintai dan menyukai antara satu sama lain. Mereka menghormati dan memuliakan satu dengan yang lain. Allah telah memaksa makhluk-makhluknya menghormati dan memuliakan golongan ini dan menutup keaiban daripada dilihat dan diperkatakan oleh orang lain. Justeru, janganlah kita menyangka dan beranggapan bahawa orang lain yang tidak mengetahui kesalahan dan dosa yang kita lakukan maka mereka menghormati dan memuliakan kita. Sedangkan Allah jua yang menutup keabaikan dan digantikan serta diperlihat kepada orang lain dengan kebaikan-kebaikan diri kita. Maka sepatutnya kita bersyukur dan memuji Allah SWT yang menjaga maruah dan diri kita daripada diketahui keaiban dan dosa yang telah kita lakukan. Ini bermakna pada hakikatnya kemuliaan, penghormatan yang diberikan oleh manusia terhadap kita adalah datang daripada Allah.

Jika kita memuji orang lain kerana mereka memuliakan dan menghormati kita, pada masa yang sama kita melupakan Allah maka kita termasuk dalam golongan orang yang kufur dengan nikmat Allah. Maka janganlah kita lupa agar sentiasa memuji Allah kerana telah memperlihatkan kecantikan pada zahir kita.

Apabila kita dimuliakan oleh orang lain, dipuji dan dihormati maka kita tidak boleh memandangnya sebagai seorang yang layak dan berhak mendapat pujian dan penghormatan. Jika kita telah terpengaruh dengan pujian dan penghormatan tersebut, bermakna kita masih belum mengenali diri kita lagi. Ini kerana manusia tidak sunyi daripada keaiban dan kekurangan.

 Adab Bersama Allah

Orang yang dapat mendekatkan diri dengan Allah akan menjaga adab dengan Allah merangkumi adab zahir dan batin. Beradab secara  lahir ialah dengan melakasanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Manakala beradab secara batin ialah melakukan sesuatu dengan ikhlas kepada Allah dan malu kepadaNya. Malu dengan Allah bermaksud malu apabila kita mengerjakan larangan Allah sedangkan Allah melihat dan mengetahuinya. Sabda nabi saw:

إستَحْيُوا من اللهِ حقَّ الحَيَاءِ, قالوا إنا نَسْتَحْيِي والحمدُللهِ. قال لهم: الحياءُ من اللهِ حَقَّ الحياءِ, أنْ تَحْفَظَ الرَّأسَ وما حَِوَى, والبَطْنَ وماوَعَى وتَذكُرَ القَبْرَ والبِلَى. فمن فَعَلَ ذلك فَقَدِ اسْتَحْيَا من اللهِ حَقَّ الحياءِ

Maksudnya: Hendaklah kamu merasa malu dengan benar-benar malu terhadap Allah SWT. Para sahabat menjawab: Sesungguhnya kami, alhamdulillah merasa malu kepada Allah. Nabi saw menerangkan kepada mereka: Malu kepada Allah dengan dengan benar-benar ialah hendaklah kamu pelihara kepala kamu dan yang terkandung di dalamnya. Pelihara perut kamu dan yang terkandung di dalamnya. Dan hendaklah kamu mengingati kubur dan cubaan-cubaannya. Sesiapa yang melakukan yang demikian itu, bererti dengan malu dengan sebenar-benar malu terhadap Allah.

Allah adalah teman yang sebenar-benar kerana yang lebih mengetahui tentang kekurangan diri kita. Apabila Dia yang mengetahui kekurangan diri kita, maka Allah membimbing dan mendorong kita kepada kebaikan dan jalan keselamatan dunia dan akhirat. Dialah yang menutup segala keaiban dan kekurangan kita apabila kita menderhakaiNya. Dialah pula yang memberikan kemaafan ketika kita memohon keampunan kepadaNya. Inilah kasih sayang Allah terhadap manusia tanpa ada tujuan yang lain supaya manusia berada dalam keredhaan dan kasih sayangNya. Maka Allah lah teman yang sebenar-benar bagi makhlukNya. Allah tidak pernah lupa dengan mengurniakan rahmat dan nikmatNya. Allah menjadi teman kepada orang yang beriman dan jua kepada orang yang tidak beriman.



0 ulasan:

Catat Ulasan