Ads 468x60px

Labels

Sabtu, 31 Disember 2011

2011 Dalam Kenangan


Pendahuluan

TAHUN 2011 akan meninggalkan kita beberapa hari sahaja lagi dan akan menjelangnya 2012. Ia bermakna helaian catatan perjalanan hidup kita bagi tahun 2011 turut berlalu tanpa dapat kita pastikan apakah ia dipenuhi dengan perkara kebaikan atau sebaliknya. Ia juga bermakna usia kita semakin bertambah. Bagi seorang muslim yang prihatin, pastinya perjalanan hidup yang lalu sentiasa di muhasabah dan direnungi. Agar perjalanan seterusnya benar-benar berada di landasan yang betul dan tidak terpesong. Ia kerana jiwa manusia sangat cepat berubah, ada ketika baik dan ada ketika tidak. Malah, kecenderungan untuk melakukan perkara terlarang lebih kuat dorongannya. Justeru, menjadi suatu kemestian bagi kita yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah membuat muhasabah bagi menilai sejauh mana peningkatan diri kita khususnya di dalam melaksanakan perintah Allah dan menuruti sunnah Nabi saw.


Sentiasa Muhasabah Diri

Dalam urusan kerja, kita sentiasa dinilai dengan penilaian prestasi kerja tahunan di dalam mencapai sasaran kerja yang ditetapkan. Dengan harapan mendapat pergerakan gaji dan juga anugerah pekerja cemerlang yang dibuat sekali setahun. Maka sepatutnya sasaran kerja dan amalan sepanjang hayat yang digariskan Allah bagi memperoleh anugerah kecemerlangan yang tiada nilainya kurang diberikan perhatian oleh kita.

Berdasarkan Imam al-Mawardi “Muhasabah ialah seorang manusia menilai dirinya pada malam terhadap apa saja dilakukannya pada siang hari. Jika ia melakukan perkara yang terpuji maka ia akan meneruskannya dan jika ia melakukan perbuatan tercela, maka ia akan meninggalkannya dan tidak akan mengulanginya lagi“.

Manakala mam Ibnu Qayyim rahimahullah pula berkata “Muhasabah ialah seorang hamba membezakan antara apa yang dibuat, sama ada mendapat pahala atau mendapat dosa, pekerjaan yang mendapat pahala akan diteruskan, manakala yang mendatangkan dosa ditinggalkan. Kerana ia umpama musafir yang bermusafir dalam perjalanan yang tidak akan kembali lagi“.

Firman Allah Taala:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan”. (Surah al-Hasyr:18).

Ayat di atas memerintahkan mukmin agar bertakwa kepada Allah Taala dan sentiasa memerhati dan mengawasi amal perbuatan mereka agar tidak menyalahi perintah Allah Taala. Setiap jiwa “diarahkan oleh Allah Taala agar memerhati amalannya untuk masa depan, sama ada baik atau jahat. Arahan itu merupakan amaran bahawa amalan yang dilakukannya itu akan dihitung sama ada baik atau jahat.
Tujuan pemerhatian itu ialah agar seseorang itu membuat persediaan yang sempurna untuk menghadapi hari yang dijanjikan dan mengemukakan amalan yang boleh menyelamatkannya dari azab seksa Allah Taala serta memutihkan wajahnya di hadapan Allah Taala. Ibnu Kathir berkata dalam menafsirkan ayat di atas:

 “Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung dan perhatikan amalan soleh yang kamu simpan untuk dirimu pada hari yang dijanjikan dan ketika kamu dihadapkan di hadapan Tuhan kamu” Dalam hadith pula, daripada Syidad bin Aus, berkata: Sabda Rasulullah s.a.w.: “Orang yang bijak ialah orang yang menundukkan hawa nafsunya dan beramal untuk hari selepas mati. Orang yang lemah ialah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan sesuatu di sisi Allah” (Riwayat Ibnu Majah dan berkata: Hadith Hasan). Maksud “menundukkan hawa nafsu” ialah menghitung diri di dunia.

Daripada Umar bin al-Khattab, berkata: “Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, timbanglah amalanmu sendiri sebelum ia ditimbangkan untukmu, dan bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya hisab pada hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah diri di dunia ini”.

Daripada Maimun bin Mehran: “Seseorang itu tidak bertakwa sehinggalah dia memuhasabah dirinya seperti mana dia memuhasabah rakan kongsinya … dari manakah makanan dan minumannya”. Ibnul Qaiyim berkata: “Sesiapa yang tidak memuhasabah dirinya di dunia, maka dia berada di dalam kelalaian”.

Al-Hasan berkata: “Sesungguhnya seseorang hamba itu dalam keadaan baik selama mana dia mempunyai penasihat dalam dirinya dan muhasabah menjadi perkara yang penting baginya”.Umar menulis kepada Abu  Musa al-Asyari: “Hitunglah dirimu dalam keadaan selesa ini sebelum waktu hisab yang ketat”.

Kepentingan Muhasabah Diri

Terdapat banyak kepentingan muhasabah diri antaranya ialah:

1. Muhasabah diri membentu individu sentiasa waspada terhadap segala tingkah lakunya. Muhasabah akan membuatkan individu muslim sentiasa mempunyai ruang menginsafi diri dan bimbang akan nasib yang akan menimpanya di akhirat kelak. Manakala akibat dari meninggalkan muhasabah menyebabkan ramai yang alpa dan terus hilang rasa bimbang akan hari penghisaban yang akan dikendalikan oleh Allah, di mana kita tidak mempunyai peluang untuk menipu dan mengelak dari soalan berkenaan dengan amalan sepanjang kehidupan kita. Mereka akan terus tenggelam dan bergelumang dengan maksiat.

2. Muhasabah akan membuka ruang kepada setiap individu mengenali kelemahan diri sendiri serta kekurangan yang ada. Kerana barang siapa yang mampu mengenali kelemahan diri sendiri pasti akan dapat memupuk sifat rendah diri dan tawaduk. Ia juga akan dapat berusaha memperbaiki diri dengan menumpukan pada kelemahan yang sudah dikenal pasti pada dirinya.

3. Muhasabah diri juga akan membuka minda kita mengenali betapa besarnya nikmat dan kurniaan dari Allah kepada setiap individu. Di samping kita akan bertemu dengan kelemahan diri kita juga pastinya akan dapat membuat perbandingan betapa besarnya kurniaan Allah Taala kepada kita seperti nikmat sihat, zuriat, harta benda, pelajaran dan sebagainya yang tidak mampu kita hitung. Ia akan menjadikan individu bermuhasabah sentiasa bersyukur dan tunduk kepada ajaran Allah.

4. Muhasabah juga dapat menyucikan diri dari sebarang sifat hati yang tercela seperti riak (suka menunjuk-nunjuk), takabbur (rasa bongkak atau besar diri), hasad (dengki) dan sebagainya. Muhasabah diri akan dapat menyedarkan kita betapa busuknya hati kita yang tidak pernah puas hati dengan rakan sekerja dan kawan-kawan. Sifat tercela ini kemudian digantikan dengan hati dan jiwa yang bersih dengan perasaan rendah diri, hormat kepada orang lain dan merasakan gembira dengan nikmat yang dikecapi oleh mereka.

5. Muhasabah diri akan dapat menghidupkan jiwa yang mati dan akan dapat menyuburkan rasa tanggungjawab kepada diri sendiri serta dapat membuat petimbangan yang teliti terhadap setiap gerak geri dan tingkah laku.

Bagaimana Kita Ingin Muhasabah Diri

Pertama; Muhasabah sebelum melakukan sesuatu pekerjaan. Iaitu apabila ingin melakukan sesuatu perkara perlu dinilai terlebih dahulu sama ada wajar ia memenuhi tuntutan syariat atau tidak.

Kedua; Melakukan sesuatu pekerjaan. Iaitu menilai sejauh mana pekerjaan yang dilakukan memenuhi tuntutan syarak atau sebaliknya. Terutama dalam perniagaan atau kita bekerjja makan gaji dan sebagainya.


Jenis Muhasabah

Antara jenis-jenis muhasabah diri ialah:

1.    Kecuaian melakukan amal ibadat dan ketaatan kepada Allah seperti solat, puasa, haji dan lain-lain kewajipan terhadap Allah dan RasulNya. Mempelajari ilmu tentang ibadah jika tidak mengetahui dan bertanya kepada orang alim yang lebih mengetahui. Merendah diri dan tidak sombong dalam menuntut ilmu.

2.    Muhasabah diri terhadap maksiat dan dosa yang dilakukan. Iaitu dengan mengajukan soalan berikut kepada diri sendiri, antaranya mengapa kita menentang perintah Allah, mengapa mengabai dan meremeh-temehkan hokum Allah dan syariatNya, mengapa kita tidak menunaikan tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah SWT dan lain-lain.

Kesimpulan

Hijrah adalah lambang perubahan dalam pelbagai aspek bagi kehidupan seorang muslim adalah berteraskan kepada muhasabah. Kerana dengan muhasabah kita mampu melihat sejauh mana pencapaian yang dilakukan dan apakah kekurangan yang menjadi punca kelemahan kita. Sabda Rasulullah saw bermaksud:
Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang menikut hawa nafsunya serta beragan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak). (Riwayat al-Tarmizi).

Justeru, sesiapa yang bermuhasabah dirinya maka dia tidak akan meninggalkan ruang dan masa untuk dirinya melakukan perkara-perkara yang batil. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan. Dia akan mencela jiwanya di atas setiap kesalahan dan kekurangan yang yang dia lakukannya terhadap Allah Taala kerana takutnya diri ini kepada kekuasaanNya. Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan.



0 ulasan:

Catat Ulasan