Ads 468x60px

Labels

Khamis, 8 Disember 2011

Tasawuf & Kaunseling: Ke Arah Pemantapan Akhlak Mukmin

Kedudukan Ilmu Tasawuf
Ilmu Tasawuf ialah ilmu yang membicarakan tentang pembersihan dan penyucian hati untuk sampai ke tahap ihsan dalam melaksanakan ubudiyyah kepada Allah SWT. Ilmu tasawuf dapat menyembuh manusia daripada pelbagai penyakit batiniyyah dan mengembalikan manusia kepada landasan keikhlasan dan mencapai kesucian serta kesempurnaan yang asal (fitrah). Justeru, sasaran ilmu ini adalah untuk mentarbiyah insan agar memiliki peribadi dan budi pekerti atau akhlak yang mulia.
Ramai di kalangan kita yang mementingkan ilmu Tauhid dan Fiqh, namun mengabaikan ilmu tasawuf. Kepentingan mempelajari ilmu ini telah digambarkan oleh Imam Malik yang mengatakan, seseorang yang mempelajari ilmu Fiqh dengan mengabaikan tasawwuf, dia menjadi fasiq, menghimpunkan kedua-duanya adalah berjaya merealisasikan kebenaran”. Imam Syafie pula menjelaskan:” Aku cinta tiga perkara dari dunia kamu: meninggalkan kepura-puraan, melembutkan perwatakan dengan kebaikan, dan mengikuti jalan yang dilalui oleh golongan ahli tasawuf”.
Maka untuk membangunkan masyarakat mukmin yang beriman, bertaqwa dan berakhlak mulia hendaklah mempelajari ketiga-tiga ilmu yang dinyatakan. Kemewahan hidup dan kecintaan serta lalai dengan dunia menjadikan umat Islam lupa kepada Allah dan ajaran agama yang menjamin kesempurnaan hidup dunia dan akhirat.

            Ilmu tasawuf dapat membimbing manusia kepada perhambaan diri kepada Allah, dengan mengerjakan segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya. Jiwa manusia perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum menghambakan diri kepada Allah. Tanda yang membuktikan diri seseorang itu ada ”dirinya” ialah adanya sifat takabbur, sombong, riya’, tamak haloba, ujub, kasih kepada yang lain selain Allah dan lain-lain lagi. Diri inilah yang mesti dibunuh dan sebagai gantinya timbullah Allah yang berdiri dalam hati dan perasaan seseorang. Maka barulah dia menyedari dan merasai dirinya hampir dengan Allah yang Maha Agung di sisinya. Ilmu tasawuf dianggap sebagai memperakukan ilmu Tauhid dan ilmu Fiqh, dan juga sebagai buah yang berguna kepada kedua-dua ilmu tersebut

Berilmu Tidak Bermakna Berakhlak

Ilmu dan akhlak dua perkara yang sangat berbeza. Orang yang berilmu tidak bermakna dia seorang yang berakhlak. Orang yang mengamalkan ilmunya adalah dianggap sebagai orang yang berakhlak. Menurut Said Hawa, sifat sombong merupakan penyakit yang sangat cepat berjangkit kepada para ulamak. Justeru, semakin tinggi ilmu seseorang, sebenarnya semakin dekat dirinya dengan syaitan. Orang yang jahil tenggelam dengan kejahilannya tanpa bantuan syaitan. Syaitan menjadi diri orang alim dengan mereka merasai kemuliaan ilmu, keindahan ilmu dan kesempurnaan ilmu, sehingga dia merasakan dirinya mulia, sempurna dan memandang rendah kepada orang lain. Maka tidak hairanlah ada di kalangan para alim yang sukar untuk menerima pandangan orang lain sekalipun pandangannya tidak diterima ramai dan menyalahi. Inilah ujian yang pasti akan dilalui oleh para alim, dan sekiranya ia tidak disedari dan dijauhi membawa kepada sifat sombong, riya’ dan sebagainya.
Ibn ’Umar pernah mengatakan, seseorang itu tidak akan mendapat mencapai tingkatan ilmu yang mantap, sehingga dia tidak lagi dengki dengan orang lain yang lebih tinggi ilmu darinya, tidak menghina orang lain yang ilmunya lebih rendah. Tidak mengharapkan ganjaran harga tertentu atas ilmu yang diajarkan.

 Kenapa Ilmu Tasawuf Tidak Ada Pada Zaman Nabi Saw dan Sahabat

Ramai di kalangan masyarakat yang mempersoalkan kenapa ilmu tasawuf ini perlu dipelajari, sedangkan ia tidak wujud dan tidak tersebarnya ilmu ini pada permulaan Islam, kecuali selepas zaman sahabat dan tabien? Maka ilmu ini tidak dianggap penting dan tidak dipelajari oleh  masyarakat, kecuali sedikit sahaja.
            Pada zaman permulaan Islam, para sahabat tidak berhajat kepada ilmu tasawuf.  Ini kerana masyarakat atau sahabat pada zaman nabi saw mereka adalah ahli taqwa dan wara’ serta ahli ibadat yang sentiasa berlumba-lumba untuk mencontohi akhlak baginda saw. Keadaan ini diperakui oleh Baginda saw dalam sebuah hadis: ”Sebaik-baik kurun adalah kurunku ini, kemudian yang selepasnya dan selepasnya. Maka ilmu tawasuf pada zaman ini tidak menjadi satu keperluan, sebagaimana orang yang ahli bahasa Arab, mereka tidak perlu lagi mempelajari ilmu nahu, balaghah dan lain-lain.

Bila Ilmu Tasawuf Wujud...?

Selepas berlalunya zaman nabi saw dan sahabat, maka bermulanya zaman fitnah, kejahilan berleluasa, kemungkaran bermaharaja lela, yang alim berlagak sombong, ahli ibadat pula berlagak riya’ dan ’ujub. Kepentingan dunia menjadi keutamaan, sehinggakan urusan agama telah diduniakan atau diperniagakan.
            Maka atas keprihatinan para alim dan waliyullah inilah, maka mereka memikirkan perlunya satu ilmu yang dinamakan Usul al-Thariqah (jalan asas). Ilmu ini dapat memandu manusia kepada mendekati Allah SWT, dan mencontohi akhlak nabi saw dan para sahabat baginda, mengutamakan kehidupan akhirat daripada cinta yang terlampau kepada dunia yang tidak kekal.
Sekalipun ilmu tasawuf ini tidak ada pada zaman nabi saw dan para sahabat, namun prinsip ilmu ini telah diterangkan dengan sejelas-jelasnya dalam banyak hadis-hadis baginda yang menganjurkan kepada kebaikan akhlak dan membersihkan hati, dan bertaqwa kepada Allah SWT yang terhasil daripada sifat-sifat Zuhud, Qana’ah dan sebagainya.

Kenapa Penting Mempelajari Ilmu Tasawuf...?

Secara jelasnya hukum syarak yang dipertanggungjawabkan kepada manusia terbahagi kepada dua. Antaranya ialah hukum yang berkaitan dengan amalan zahir dan kedua berkaitan dengan batin. Amalan zahir berkait dengan badan manusia dan amalan batin berkait secara langsung dengan hati manusia. Kesempurnaan amalan zahir ditentukan dengan terhasilnya kepada pada amalan batin. Begitulah sebaliknya, bahawa kedua-duanya saling berkait antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan. Sekalipun kedua-duanya sama penting di sisi hukum syarak, namun demikian bahagian yang kedua yang berkaitan dengan hati itu dianggap lebih penting dibandingkan dengan yang pertama. Ini kerana yang batin (berkaitan dengan hati), adalah asas kepada yang zahir serta menjadi sumbernya. Amalan batin juga menjadi punca amalan zahir dan kerosakan dan kecacatan amalan batin mengurangkan kualiti amalan zahir. Justeru itulah Imam Ibn ’Ata’ al-Askandariyah di dalam kitabnya al-Hikam menyebut bahawa ilmu tasawuf adalah antara ilmu yang lebih besar daripada semua ilmu dari segi nilai dan kemuliaannya yang menjadi inti kepada ilmu Syariat. Ia menjadi pokok kepada segala ilmu dan syarat penerimaannya. Ini kerana tidak ada ertinya sesuatu ilmu dan amal kecuali semuanya untuk mendapat redha Allah. Pertalian antara ilmu Tasawwuf dengan ilmu-ilmu yang lain seumpama roh dengan badan yang tidak boleh dipisahkan.
Ilmu Tasawwuf membicarakan tentang hal-hal yang berkaitan dengan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Ia bukan sahaja berkait dengan soal akhlak dan peribadi manusia malah lebih daripada itu menyentuh soal akidah ketuhanan. Para sahabat nabi saw yang memiliki akhlak yang terpuji lahir dan batin, mereka diibaratkan seperti kapal yang besar namun sentiasa tenang walaupun menghadapi gelora dan gelombang yang besar, kerana mereka diberi rahmat dan nikmat Allah yang tidak dipengaruhi oleh sifat-sifat duniawi. Keadaan ini berbeza dengan para awliya’ yang bukan sahabat nabi saw, kadang-kadang dunia masih lagi mempengaruhi mereka. Jika demikian berlaku kepada para awliya’, maka sudah pasti orang awam lebih-lebih lagi terpengaruh dengan duniawi.
            Keelokan dan kebaikan manusia berkait rapat sebenarnya dengan keelokan hati yang menjadi tempat terbitnya. Ini kerana Hati adalah anggota yang paling besar bahayanya. Paling berpengaruh dan paling sukar untuk memperbaikinya. Anggota lain yang terkena kotor akan nampak secara jelas dan mudah untuk disuci dan dibersihkan dengan air. Penyakit yang dihadapi oleh anggota lain juga mudah untuk dikesan dan dirawat oleh ahli perubatan dalam masa yang cepat.
            Justeru, mendidik hati dan mendidik diri adalah antara sepenting-penting fardhu ’Ain dan sewajib-wajib suruhan Ilahi. Manusia sememangnya berhajat kepada ilmu Tasawwuf pada setiap masa dan saat kerana ia menyentuh secara khusus hubungan dengan Allah dan sesama manusia tentang akhlak dan budi pekerti yang baik. Imam Jalaluddin al-Suyuti r.a mengatakan: ”Adapun ilmu tentang hati serta mengetahui penyakit-penyakit yang terdiri daripada hasad dengki, ujub, riya’ dan lain-lain, kata Imam al-Ghazali bahawa ia adalah Fardhu ’Ain. Ini kerana perkara yang paling dibimbangi ilmu dosa atau kesalahan yang dilakukan secara berterusan tanpa disedari sehingga luput segala pahalanya. Imam al-Syadzili mengingatkan bahawa:

”Sesiapa yang tidak terlibat dengan ilmu Tasawwuf dan tidak berada di atas landasan yang benar,, maka orang itu mati dalam keadaan membawa dosa-dosa besar dan dia tidak menyedarinya”.

Sehubungan dengan itu, sejajar dengan perkembangan manusia hari ini yang semakin jauh menyimpang akidah ketauhidan mereka dengan Allah dan ketempangan akhlak agama mereka, maka sewajarnya ilmu tauhid dan tasawwuf tidak boleh dikesampingkan.

Faktor Kerosakan dan Kecacatan Ibadat

Secara umumnya terdapat tiga keadaan yang menghalang ahli ibadat untuk mencapai matlamat ibadat menuju kepada Allah Azzawajalla.

Pertama: Keadaan yang menghalang kita untuk mula bergerak yang dinamakan sebagai ’awaiq (عوائق). Ia meliputi dunia, makhluk, syaitan dan nafsu.
Kedua: Keadaan yang melambatkan atau sekatan dalam perjalanan menuju kepadaNya yang dinamakan sebagai ‘awaridh (عوارض). Ia meliputi rezeki, halangan diri sendiri dan halangan daripada Qada’ Allah.
Ketiga: Keadaan yang merosakkan dan membatalkan perjalanan kita yang dinamakan sebagai qawadih .(قوادح) Ia meliputi sifat mazmumah takabbur, riya’, ‘Ujub, sum’ah dan syuhrah (ingin dikenali)

Kata Ahmad bin Abu Hawary:
Sesiapa yang gemar supaya orang mengetahui sesuatu kebaikan yang ada padanya dan supaya kebaikan itu disebut-sebut orang, bererti seseorang itu telah mengongsikan ibadatnya itu dengan orang lain. Ini kerana orang yang benar-benar melakukan ibadat kerana kecintaan Allah SWT, orang tersebut sama sekali tidak menyukai bahawa ibadatnya itu diperlihat selain yang dicintainya


Daripada Said al-Khudaripadai r.a katanya:
”Seseorang anak Adam apabila berjalan maka semua anggota lain akan berpesan kepada lidah. Kata anggota lain:” Wahai lidah, kami memohon kepada Allah agar kamu berlaku lurus. Jika kamu berlaku lurus, maka jika kamu berlaku lurus kami juga turut akan berlaku lurus. Sebaliknya jika kamu berlaku bengkuk, kami juga berlaku demikian



0 ulasan:

Catat Ulasan