Ads 468x60px

Labels

Isnin, 22 Oktober 2012

Timbangan ‘Amal di Hari Akhirat




Pada hari ini manusia berhadapan dengan Allah SWT yang Maha Perkasa, Maha Besar dan Maha Agung. Jika tujuh petala langit dan bumi dan segala isinya dihadapkan di hadapan Allah, maka akan cair kerana takut, malu dan hormat kepada keagungan Allah SWT. Para malaikat yang bertubuh besar saiznya dikatakan antara dua cuping telinga sejauh 700 tahun jarak perjalanan. Semuanya tunduk merendah diri kerana mengagung dan membesarkan Allah. Memperaku keagungan dan kebesaran Allah, menghormati kekuasaan Allah.


Seluruh makhluk jin, manusia, binatang dan segala makhluk Allah akan berdiri di hadapan Allah menunggu perhitungan amal daripada Allah. Mahluk ini tidak mampu lagi berbohong dengan Allah. Allah akan mempamerkan segala kebaikan dan keburukan yang dilakukan oleh makhluknya. Mereka tidak dapat melari diri dan bersembunyi. Tidak ada yang mampu menolong dan membela diri. Tangan, kaki, dan segala anggota menjadi saksi. Di saat ini mereka yang melakukan dosa mengharapkan agar dirinya menjadi bintang ternakan dan menjadi tanah, sebagaimana binatang dan burung menjadi tanah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Fussilat ayat 40:

 (Katakanlah kepada orang-orang Yang menyeleweng itu): "Buatlah apa Yang kamu suka, Sesungguhnya Allah Maha melihat akan apa Yang kamu lakukan (dan akan membalasnya)".


Mata mereka sedikitpun tidak berkelip, hatinya menjadi kosong. Hanya yang diharapkan adalah kematian, namun apa yang dikehendakinya tidak dipenuhi. Di hadapan dan dibelakangnya adalah para malaikat yang berdiri gagah, kasar dan keras dan tidak sedikitpun cuai dan lalai daripada perintah Allah. Segala perintah Allah tidak pernah dibangkangi. Di kala itu cukup dengan melihat para malaikat, manusia menjadi takut dan gerun.

Lalu manusia datang kepada Allah dengan keadaan berlutut dan merangkak. Ibn Kathir di dalam kitabnya menyebutkan bahawa keadaan ini juga berlaku kepada para nabi. Di tangan mereka buku catatan amalan masing-masing. Di dalam surah al-Kahfi Allah menjelaskan:

(
48. dan mereka tetap akan dibawa mengadap Tuhanmu Dengan berbaris teratur, (sambil dikatakan kepada mereka): "Kamu sekarang telah datang kepada Kami - (berseorangan) sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya; bahkan kamu dahulu menyangka, Bahawa Kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa Yang tertentu (untuk melaksanakan apa Yang Kami telah janjikan)".
49. dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka Engkau akan melihat orang-orang Yang berdosa itu, merasa takut akan apa Yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:" Aduhai celakanya kami, mengapa Kitab ini demikian keadaannya? ia tidak meninggalkan Yang kecil atau Yang besar, melainkan semua dihitungnya!" dan mereka dapati Segala Yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.


Dalam keadaan ini semua manusia sibuk dengan diri masing-masing dan berdoa kepada diri sendiri. Tidak seorangpun boleh berbicara dan mereka terus merangkak dalam susunan yang teratur. Mereka tidak mengetahui ke mana arah mereka akan pergi. Masing-masing hanya mampu mengikut tanpa arah dan tuju. Bagi orang Mukmin mereka tetap mengingati dosa dan kesalahan yang mereka lakukan di dunia. Mereka beranggapan bahawa disebabkan oleh dosa yang dilakukan inilah yang menyebabkan dirinya akan diseksa dan dibinasakan. Mereka hanya mengharapkan rahmat Allah. Orang yang disayangi akan dilupakan. Ibu, ayah, anak dan saudara mara akan dilupakan. Mereka yang berdusta kepada Allah di dunia akan mendapat celaan disebabkan mereka tidak percaya kepada janji-janji Allah. Sedangkan di dunia Allah mengutuskan para Rasul dan nabi memberi peringatan bahawa mereka akan dikembalikan kepada Allah. Para malaikat mengutuk dan menghina golongan ini.  Di dalam surah Hud Allah menjelaskan:

ô
18. dan tidak ada Yang lebih zalim daripada orang-orang Yang mereka-reka perkara-perkara dusta terhadap Allah! orang-orang Yang demikian sifatnya akan dibawa mengadap Tuhan mereka, dan pada hari itu akan berkatalah saksi-saksi (dari malaikat-malaikat, Nabi-nabi, dan anggota-anggota tubuh mereka sendiri): "Inilah orang-orang Yang membuat-buat dusta terhadap Tuhan mereka". ketahuilah (Sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang Yang zalim!

Golongan yang kufur dengan Allah telah mengetahui bahawa dirinya akan diseksa. Mereka memahami bahawa celaan dari Allah itu adalah tanda mereka akan dibalas dengan kehinaan. Lalu mereka saling menuduh antara satu sama lain. Masing-masing menyalahkan diri orang lain yang menyebabkan dirinya menjadi seksaan Allah. Mereka yang munafiq juga sedemikian. Di dunia mereka membohongi dirinya sendiri dengan amal perbuatan dan ibadat mereka. Sedangkan Allah lebih mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka. Allah mendatangkan azab kepada golongan ini yang tidak terfikir akan menimpa kepada mereka.


1 ulasan: