Semalam saya bertazkirah Ramadhan di Masjid Jamek ar Rahimiah Klang. Agak lama saya mencari tajuk dan mauduk yang sesuai untuk dijadikan bahan kuliah Ramadhan. al-Maklum dah ramai para asatizah yang membincangkan tentang Ramadhan. Bimbang-bimbang takut berulang dan bercakap benda yang sama. Nanti boring pulak para jemaah yang mendengar. Mulanya nak membincangkan ayat al-Taqwa dalam tafsir al-Maraghi, tapi memikirkan masa hanya 45 minit sahaja, maka saya memilih beberapa tip di bulan Ramadhan. Pertengahan bulan Ramadhan adalah dijanjikan keampunan oleh Allah SWT. Keampunan Allah tidak datang secara pemberian yang datang secara percuma. Keampunan akan diperoleh dengan melakukan taubat kepada Allah dan menyesali di atas segala perbuatan maksiat lampau yang kita lakukan. Imam al-Ghazali Syarat Taubat:
i. Meninggalkan
dosa dengan pilihan sendiri serta mempunyai azam yang tekad dan membulatkan
hati tidak akan mengulangi dosa sama sekali. Jika hati kita masih meragui untuk
meninggalkannya, dan masih terlintas untuk melakukan perbuatan dosa tersebut,
tidak mempunyai azam yang kuat, ini bermakna diri kita belum dikira bertaubat
dengan sebenar-benarnya, tetapi kita hanya berhenti seketika melakukan dosa.
ii.
Bertaubat
daripada dosa yang terdahulu
iii.
Meninggalkan
dosa yang yang dilakukan kerana mengagungkan Allah dan memelihara diri daripada
kemurkaan Allah dan takut seksaan Allah semata-mata. Ia tidak dikaitkan dengan
keuzuran dirinya atau kemiskinan dan kepentingan yang lain.
Muqaddimah Taubat
Sebelum melakukan taubat, terdapat beberapa tanda bahawa kita berada diambang taubat. Antaranya
- Mengingati perbuatan dosa yang dilakukan sangat buruk
- Mengingati bahawa balasan terhadap perbuatan itu oleh Allah sangat keras dan tidak berdaya untuk ditanggung
- Mengingati bahawa diri kita ini terlalu kerdil, lemah dan kurangnya di sisi Allah. Maka kita tidak tertahan dengan azab Allah
Jika kita dapat mengingati ketiga-tiga perkara
yang dinyatakan ini dan diulanginya berkali-kali siang dan malam, maka ingatan
ini akan mendorong kita untuk melakukan taubat nasuha. Ini bermakna taubat itu
tidak memadai dengan menyesal sahaja. Jika dengan taubat ini akan menghilangkan
keseronokan, kemewahan yang dinikmati selama ini, maka dia merasai menyesal
dengan taubat yang dilakukan itu, maka ini belum dinamakan sebagai taubat.
Kerana masih ada dihatinya untuk menikmati hasil daripada perbuatan jahat yang
dilakukan.
Namun jika kita masih belum meyakini terhadap diri
kita akan mengulangi perbuatan yang sama dilakukan sebelum ini, maka kita
berfikir taubat yang dilakukan tidak membawa faedah kepada diri kita. Sebenarnya
itu adalah tipu daya syaitan yang sentiasa memujuk kita melakukan kejahatan.
Sekiranya kita mati selepas kita bertaubat maka kita mati sebagai seorang yang
telah bertaubat belum sempat kembali mengulangi dosa yang lalu. Jika keadaan ini berterusan, maka kita
hendaklah tekadkan dan bulatkan hati untuk meninggalkan dosa dan kita serahkan
kepada Allah SWT. Mudah-mudahan dosa yang lepas itu akan diampunkan Allah. Imam
Ghazali menegaskan janganlah kerana kebimbangan ini, maka kita meninggalkan
taubat kepada Allah, menghalang kita untuk terus bertaubat.
Dosa Antara Manusia dengan Manusia
Dosa antara manusia juga menjadi penghalang kepada kita untuk mendapatkan Lailatul Qadr. Dosa antara manusia hendaklah diselesaikan dengan manusia juga. Berbeza dengan dosa dengan Allah. Allah bersifat Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Dosa dengan manusia boleh dibahagikan kepada harta, diri atau
nyawa, kehormatan dan agama.
Dosa kerana Harta
Harta yang diambil hendaklah wajib dikembalikan kepada empunya yang berhak,
jika harta tersebut boleh dikembali. Sekiranya harta itu tidak dapat dikembalikan maka ia hendaklah diganti.
Jika kita tidak mampu untuk mengganti, maka hendaklah meminta halal dengan
tuannya. Sebaliknya jika tuannya telah meninggal atai tiada lagi, maka kita
boleh bersedekah dipihaknya. Kalau kita tidak mampu untuk bersedekah, maka kita
perlu perbanyakkan membuat kebajikan dan menyerahkan urusan itu kepada Allah
SWT, berdoa agar Allah melembutkan hati empunya harta itu redha terhadap
kesalahan yang kita telah lakukan pada hari Kiamat nanti. Apa yang penting
ialah kita telah berusaha sedaya upaya dan dengan penuh keinsafan mengikut
kadar kemampuan.
Dosa kerana Diri
Dosa yang berkaitan dengan diri seperti membunuh atau mencederakan
seseorang, dosa seumpama ini dapat dihapuskan dengan kita memberi kuasa kepada
tuan punya hak atau ahli warisnya menjalankan Qisas atau memaafkan.
Dosa kerana Maruah
Dosa yang berkaitan maruah seperti mengumpat, menuduh, mengeji dan
lain-lain, maka dosa seperti ini akan dapat dihapuskan dengan kita membuat
pengakuan dihadapan orang yang melihat atan mendengar apa yang kita perkatakan
itu sebagai satu pembohongan. Selebihnya lagi kita perlu meminta halal daripada tuannya kerana kita telah
mencemarkan namanya. Kalaulah kita bimbang jika membangkitkan fitnah yang telah
dilemparkan kepadanya kerana perbuatan tersebut telah lama berlalu, maka kita
menyerahkan kepada dengan memohon keampunan dan berdoa kepada Allah supaya
Allah membuka pintu hati tuannya untuk meredhai dosa yang kita lakukan.
Dosa kerana Agama
Dosa yang berkaitan dengan agama seperti kita menuduh atau mengkafirkan
orang lain, menghukumkannya sebagai sesat, bid’ah dan sebagainya, maka untuk
menghapuskan dosa seperti ini agak sukar. Kita hendaklah memohon kemaafan
kepada tuannya dan membuat pengakuan dihadapan orang yang mendengar apa
diperkatakan oleh kita.
Justeru, sebelum kita mengejar Lailatul Qadr pastikan dosa-dosa kita dengan manusia telah selesai sama ada dengan jiran terdekat kita, rakan taulan kita. Janganlah kerana orang yang terdekat dengan kita, yang solat dibelakang, hadapan, kiri dan kanan kita menjadi penghalang kepada kita untuk mendapat Lailatul Qadr.
0 ulasan:
Catat Ulasan