Ilmu Tasawuf ialah ilmu yang membicarakan tentang pembersihan dan penyucian
hati untuk sampai ke tahap ihsan dalam melaksanakan ubudiyyah kepada Allah SWT.
Ilmu tasawuf dapat menyembuh manusia daripada pelbagai penyakit batiniyyah dan
mengembalikan manusia kepada landasan keikhlasan dan mencapai kesucian serta
kesempurnaan yang asal (fitrah). Justeru, sasaran ilmu ini adalah untuk
mentarbiyah insan agar memiliki peribadi dan budi pekerti atau akhlak yang
mulia.[1]
Ramai di kalangan kita yang mementingkan ilmu
Tauhid dan Fiqh, namun mengabaikan ilmu tasawuf. Kepentingan mempelajari ilmu
ini telah digambarkan oleh Imam Malik yang mengatakan, seseorang yang
mempelajari ilmu Fiqh dengan mengabaikan tasawwuf, dia menjadi fasiq,
menghimpunkan kedua-duanya adalah berjaya merealisasikan kebenaran”.
Imam Syafie pula menjelaskan:” Aku cinta tiga perkara dari dunia kamu:
meninggalkan kepura-puraan, melembutkan perwatakan dengan kebaikan, dan
mengikuti jalan yang dilalui oleh golongan ahli tasawuf”.[2]
Maka untuk membangunkan masyarakat mukmin yang beriman, bertaqwa dan berakhlak
mulia hendaklah mempelajari ketiga-tiga ilmu yang dinyatakan. Kemewahan hidup
dan kecintaan serta lalai dengan dunia menjadikan umat Islam lupa kepada Allah
dan ajaran agama yang menjamin kesempurnaan hidup dunia dan akhirat.
Maka ilmu tasawuf dapat membimbing manusia kepada
perhambaan diri kepada Allah, dengan mengerjakan segala perintah dan meninggalkan
segala laranganNya. Jiwa manusia perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum
menghambakan diri kepada Allah.[3]
Tanda yang membuktikan diri seseorang itu ada ”dirinya” ialah adanya sifat
takabbur, sombong, riya’, tamak haloba, ujub, kasih kepada yang lain selain
Allah dan lain-lain lagi. Diri inilah yang mesti dibunuh dan sebagai gantinya
timbullah Allah yang berdiri dalam hati dan perasaan seseorang. Maka barulah
dia menyedari dan merasai dirinya hampir dengan Allah yang Maha Agung di
sisinya.[4]
Ilmu tasawuf dianggap sebagai memperakukan ilmu Tauhid dan ilmu Fiqh, dan juga
sebagai buah yang berguna kepada kedua-dua ilmu tersebut.[5]
Ilmu dan akhlak dua perkara yang berbeza. Orang yang berilmu tidak bermakna ia
berakhlak. Orang yang mengamalkan ilmunya adalah dianggap sebagai orang yang
berakhlak. Menurut Said Hawa, sifat sombong merupakan penyakit yang sangat
cepat berjangkit kepada para ulamak. Mereka merasai kemuliaan ilmu, keindahan
ilmu dan kesempurnaan ilmu, sehingga dia merasakan dirinya mulia, sempurna dan
memandang rendah kepada orang lain.[6]
Ibn ’Umar pernah
mengatakan, seseorang itu tidak akan mendapat mencapai tingkatan ilmu yang
mantap, sehingga dia tidak lagi dengki dengan orang lain yang lebih tinggi ilmu
darinya, tidak menghina orang lain yang ilmunya lebih rendah. Tidak
mengharapkan ganjaran harga tertentu atas ilmu yang diajarkan.[7]
[1] Mat Saman Kati Mokhtar Petah (1997), Ilmu
Tasawuf, cet.1, Pustaka Nusa Sdn Bhd: Kuala Lumpur, hlm.29.
[2] Zakarian Stapa (1995), Akhlak dan
Tasawwuf Islam, cet.1, Berita Publishing Sdn Bhd: Kuala Lumpur, hlm.27
[3] Mat Saman Kati Mokhtar Petah (1997),
op. Cit., hlm.57.
[4] Husin Nasir bin Mohd (2008), Siri
Ilmu Tasawuf: Qatrul Ghasiah, cet.2, Perniagaan Jahabersa: Johor Bharu, hlm.3
[5] Ibid., hlm.10-11
[6] Said Hawa (2005), Tazkiyah al-Nafs:
Intisari Ihya’ ‘Ulumiddin, (ter), Penerbit Darussalam: Jakarta, hlm.252
[7] Ibid., hlm.130
terima kasih
BalasPadam