Ads 468x60px

Labels

Selasa, 10 Julai 2012

Wakaf Membantu Dasar Ekonomi Baru 30%


Kebanyakan orang Melayu khususnya dan umat Islam amnya di Malaysia kini berhadapan dengan beberapa masalah besar terutama dari aspek ekonomi berbanding bangsa lain. Aset dan pemilikan modal mereka amat terhad sedangkan pada masa yang sama peningkatan kos sara hidup yang kian meningkat dan ditambah lagi dengan berlakunya kegawatan ekonomi dan kenaikan nilai hartanah dan barang-barang keperluan asas yang lain. Justeru, dalam keadaan sedemikian, tidak banyak harta yang diwakafkan oleh umat Islam, terutama melibatkan aset kekal seperti tanah, premis perniagaan, bangunan, rumah kediaman dan lain-lain. Sekiranya ada sekalipun ia melibatkan harta yang bermasalah seperti tanah yang tidak boleh dibangunkan atau tidak ekonomik.
Di dalam keadaan pemilikan harta di kalangan umat Islam yang amat terhad ini, maka suatu mekanisme yang bersifat sistematik perlu diketengahkan agar ia dapat dimanfaatkan secara holistik. Secara tidak langsung mekanisme yang diwujudkan ini mampu memberi ruang kepada sebahagian besar orang Melayu di Malaysia untuk turut sama mewakafkan harta mereka bagi meningkatkan keupayaan ekonomi dan pemilikan aset di dalam negara dan mengaplikasi sistem jaminan sosial melalui berwakaf. Sistem jaminan sosial melalui berwakaf ini perlu dilihat dari pelbagai aspek termasuk pemilikan aset negara, pembangunan ekonomi dan taraf hidup, pendidikan dan lain-lain.
Wakaf adalah salah satu bentuk sistem jaminan sosial yang bukan sahaja dapat membantu individu secara kolektif, malah meringankan bebanan kewangan negara sejak 1400 tahun yang lalu. Dalam Kongres Ekonomi Islam ke-3, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah menegaskan bahawa perhatian utama perlu diberikan kepada sektor ijtimaie (masyarakat) sebagai satu daripada sektor dalam ekonomi Islam yang sama penting peranannya dengan sektor kerajaan dan swasta. Ketua Pegawai Johor Corporation Berhad, Tan Sri Muhammad Ali Hashim juga menggesa agar dilaksanakan jihad business yang mempunyai dua matlamat besar iaitu pertama memperkaya dan memperkasakan orang Islam sehingga tercapai sasaran 65% penguasaan ekonomi negara dan, kedua menerapkan amanah sehingga menzahirkan ciri-ciri sistem ekonomi halal berlandaskan Islam bagi membendung serta menyusun ekonomi Kapitalis liar dan buas agar lebih adil dan saksama. Salah satunya ialah dengan mewujudkan wakaf korporat yang mana syarikat-syarikat kerajaan dan swasta milik milik orang Islam perlu menyumbang kepada instrumen ini. Ia juga boleh menjadi alat untuk mengumpulkan sedekah jariah orang Islam untuk membantu usahawan-usahawan Islam yang mempunyai keupayaan, kepakaran, kecekapan dan semangat keusahawanan bagi membuka dan memperbesarkan perniagaan.[1]

Kepentingan Melestari Sistem Wakaf                                                                
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                       
Usaha melestari sistem wakaf sangat penting dalam meningkatkan kemampuan ekonomi orang Melayu dan memenuhi objektif pensyariatan wakaf. Wakaf adalah pertalian antara agama dengan kehidupan ekonomi umat Islam.[2] Wakaf memainkan peranan dalam membangun insan kerana dengan mewakafkan harta yang dikasihinya untuk kepentingan umum akan mendidik jiwanya agar menjadi seorang yang berjaya mengikis sifat  bakhil dan kedekut dan menanam sifat pemurah, mengikis sifat mementingkan diri, dan menanam sifat bertimbang rasa, kasih kepada ummah, memperteguhkan persaudaraan Islam, menanam sikap kekitaan sesama Muslim, mengikis sikap terlalu kasih kepada dunia, dan menanam sikap menjadikan harta kekayaan ini sebagai jambatan yang akan menyampaikannya kepada keredhaan Allah S.W.T.[3]
Selain itu, wakaf juga memainkan peranan mendidik jiwa Muslim agar melakukan pengorbanan dalam bentuk material kepada orang lain secara berkekalan.[4]  Dalam konteks yang lebih luas, ia bukan semata-mata dilihat sebagai sumber berpotensi pembangunan ummah. Tetapi yang lebih penting melihatnya ia sebagai suatu cabaran tanggung jawab kita sesama manusia dan darjah ketaqwaan kita terhadap Yang Maha Esa.[5] Tujuan yang paling utama ialah untuk mendapat keredhaan Allah dan mendapat pahala yang berterusan daripada-Nya. Amalan ibadat wakaf menanam semangat sedia berkorban dan memupuk budaya muafakat dan kerjasama golongan yang berada dalam membangunkan sesebuah masyarakat. Semangat ini sangat penting untuk pembangunan ekonomi. Ekonomi kerjasama di kalangan ahli masyarakat adalah asas kepada kestabilan dan kemantapan ekonomi bernegara. Justeru itu Islam menganjurkan satu prinsip yang dinamik, iaitu prinsip al-‘Adl wa al-Ihsan (keadilan dan muafakat) dalam menyusun sesebuah ekonomi.[6] Motif lain yang dapat dikesan daripada sistem wakaf ialah memberikan ruang bagi orang yang tidak mempunyai anak atau waris, untuk memperbanyak kebajikan dengan mewakafkan harta milik mereka untuk manfaat umum.[7]
Selain itu juga kesedaran yang tinggi di kalangan umat Islam perlu dipupuk agar umat Islam lebih gemar melakukan ibadah sunat ini. Kajian yang dibuat terhadap warga UiTM di Zon Tengah iaitu Selangor, Perak dan Negeri Sembilan oleh penyelidik UiTM mendapati bahawa keseluruhannya tahap kefahaman respondan terhadap konsep wakaf berada pada tahap yang sederhana iaitu antara 41-65%. Persoalan-persoalan yang dikemukakan adalah berkaitan harta yang boleh diwaqafkan hanyalah tanah dan bangunan; seseorang tidak boleh memberi waqaf dalam bentuk wang, saham dan barang berharga; sesiapa sahaja boleh mengambil manfaat harta waqaf; harta waqaf tidak boleh dilaburkan; harta waqaf tidak boleh diwariskan kepada waris pewaqaf; seseorang itu boleh mewaqafkan semua harta yang dimilikinya; dan kegunaan harta waqaf hanyalah untuk membina temapt-tempat beribadah dan juga sekolah-sekolah agama.[8] 

Pemilikan Ekuiti Orang Melayu Dan Bukan Melayu Di Malaysia: Satu Perbandingan

Pemilikan ekuiti di kalangan orang Melayu pada masa kini berada dalam keadaan yang kurang memberangsangkan berbanding dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia. Sekalipun pelbagai langkah dan dasar-dasar telah digubal sama ada secara khusus atau umum bagi meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu dan Islam atau disebut juga sebagai bumiputera. Antara dasar tersebut seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional (DPN), Dasar Wawasan Negara (DWN) dan lain-lain. Namun usaha-usaha yang dilakukan ini tidak mencapai matlamat sebagaimana yang diingini. Jika dikatakan telah berjaya ia hanya melibatkan segelintir terutama dalam bidang perniagaan dan profesional dan tidak banyak perubahan yang berlaku. Kejayaan yang dilihat ini dari perbandingan dengan keadaan sosial ekonomi orang Melayu pada era 70-an sehingga 90-an. Dari segi hak milik modal saham di dalam negara Bumiputera pada tahun 1970 bagi orang Melayu hanya sekadar 4.3% dan bukan Melayu 34%. Pada tahun 1995, meningkat kepada 20.6%, berbanding bukan Melayu 40.9%. Pada tahun 1999 menurun dari tahun sebelumnya iaitu 19.1%. Ini bermakna secara umumnya, lebih daripada separuh hak milik modal dimiliki oleh orang bukan Islam. Ternyata hal ini masih lagi berterusan sehingga Rancangan Malaysia ke-8, matlamat pencapaian sebanyak 30% pemilikan kekayaan negara masih belum tercapai.[9]
Berdasarkan kepada statistik pemilikan kekayaan kaum Melayu dan Bumiputera masih tidak berubah dalam tempoh antara tahun 1990-2000, dari 19.3% pada tahun 1990 menurun sedikit iaitu 19.1% pada tahun 1999 dan terus merosot kepada 18.7% pada tahun 2002. Menurut pakar ekonomi negara al-Marhum Prof. Dato’ Dr Ismail Md Salleh menjangkakan pada tahun 2010, tren ini akan terus menurun kepada 15%.[10] Keadaan ini amat membimbangkan memandangkan orang Melayu merupakan kaum manoriti di Malaysia. Sewajarnya orang Melayu bukan sahaja menerajui bidang dalam politik, malah juga ekonomi yang menjadi tunggak kekuatan bangsa dan negara.
Dari perspektif ekonomi, statistik 2009 yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi menunjukkan pendapatan orang Melayu 37.5 peratus lebih rendah daripada orang Cina. Manakala pendapatan orang Melayu adalah 22.4 peratus lebih rendah berbanding orang India. Selepas 53 tahun merdeka, hakikatnya orang Melayu masih menjadi kumpulan etnik yang berpendapatan paling rendah di kalangan etnik utama negara ini. Pelik bunyinya bila majoriti di tanah air sendiri lebih miskin berbanding kumpulan minoriti. Apakah maknanya menjadi Melayu sebagai kumpulan yang membuat dasar dan mentadbir negara? Bukan saja kuasa ekonomi orang Melayu jauh lebih rendah daripada kaum lain, malah setiap pernyataan kita dianggap perkauman, inikan pula usaha untuk menjutawankan orang Melayu.[11]

Jadual 1: Kadar Pemilikan Saham dalam Syarikat Berhad Berdasarkan Kelompok Etnik 1970
Pemilikan
Jumlah
Pemilikan
%

Bumiputera Perseorangan &  amanah
279.6
4.3
Bukan Bumiputera
2233.2
34.0
Warga asing
4051.3
61.7

Sumber: Rancangan Malaysia Ke-8

Jadual 2: Hak Milik Modal Saham 1995 & 1999

Kumpulan Hak Milik
1995
(%)
1999
(%)
 Bumiputera
20.6
19.1
 Cina
40.9
37.9
 India
1.5
1.5
 Rakyat Asing
27.7
32.7
 Syarikat Nomini
8.3
7.9
Sumber: Rancangan Malaysia Ke-8

Jika dilihat kepada jadual 3 keadaan sosio-ekonomi negeri-negeri pula, kadar kemiskinan yang tertinggi adalah negeri yang majoritinya adalah orang Melayu/ Islam. Majoriti Melayu ini terdapat di negeri-negeri Perlis, Terengganu, Kedah dan Kelantan. Hal yang sama juga berlaku perbezaan atau jurang antara pendapatan luar bandar yang diwakili oleh orang bukan Melayu. Sebagai contoh RM1 pendapatan bagi orang Melayu berbanding RM2.3 bagi orang Cina dan RM1.8 bagi orang India.
Jadual 3: Kadar Kemiskinan Antara Negeri Tahun 1970 dan 1990

Negeri
1970
1990

W/P Kuala Lumpur
-
3.7
Selangor
29.2
7.6
P/Pinang
43.7
8.7
Johor
45.7
9.8
N.9
44.8
9.1
Melaka
44.9
12.4
Pahang
43.2
10.00
Perak
48.6
19.2
Perlis
73.9
17.4
Terengganu
68.9
31.3
Kedah
63.2
29.9
Kelantan
76.1
29.6
Sumber: Rancangan-rancangan Malaysia

Jadual 4: Jurang Pendapatan Antara Kaum 1970-2002

Nisbah
1970
1980
1990

1999
2002
Luar bandar & bandar
1:2.1
1:1.8
1:1.7
1:1.8
1:2.1
Bumiputera & Cina
1:2.3
1:1.9
1:1.7
1:1.7
1:1.8
Bumiputera & India
1:1.8
1:1.3
1:1.3
1:1.4
1:1.3

Sumber: Rancangan-rancangan Malaysia

Berdasarkan kepada statistik yang dipaparkan di atas, jelas umat Islam memerlukan suntikan roh taawun di kalangan mereka untuk menyepadukan tenaga dalam mengukuhkan ekonomi melalui pembentukan wakaf musytarak (berkelompok). Namun demikian, menurut Profesor Dr Muhammad Syukri Salleh, usaha untuk meningkatkan ekuiti umat Islam tidak akan tercapai kecuali dengan membentuk pemilikan harta/ aset dan kuasa beli di kalangan umat Islam. Namun demikian semua ini tidak akan tercapai kecuali dengan memiliki sifat Taqwa dan bukan dengan Quwwah (kekuatan lahir) semata-mata. Ini kerana Quwwah adalah natijah daripada sifat Taqwa iaitu kekuatan keyakinan, ketaatan dan penyerahan sepenuh hati kepada Allah SWT.[12]

Penguasaan Pemilikan Aset Kekal Di Kalangan Umat Islam

Kajian yang dijalankan di negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang maju dan berpendapatan tinggi, kaum bukan Melayu memonopoli hampir keseluruhan premis di pusat-pusat bandar.[13] Di negeri-negeri yang lain juga menghadapi isu yang hampir sama. Nilai hartanah dan harga pasaran semasa premis yang tinggi tidak mampu dimiliki oleh orang Melayu sama ada secara milik kekal atau sewa. Ini dapat dilihat melalui bilangan premis perniagaan yang mampu dimiliki oleh Bumiputera hanyalah 5.5% berbanding bukan Bumiputera 94.5%. Ketidakmampuan orang Melayu secara individu atau orang perseorangan untuk memiliki premis-premis perniagaan yang mempunyai nilai jutaan ringgit ini menyebabkan antara punca kemunduran ekonomi di kalangan orang Melayu. Mereka tidak mampu menyewa premis-premis yang mempunyai kedudukan yang strategik disebabkan kadar nilai sewaan yang begitu tinggi dan terpaksa bersaing dengan Bukan Bumiputera. Keadaan ini akan lebih membimbangkan kerana nilaian harga premis-premis dan kompleks perniagaan akan semakin tinggi pada masa hadapan dan sebahagian besar premis-premis ini dalam bentuk pegangan bebas.

Jadual 5: Pemilikan Premis Usahawan Bumiputera 1996-2000

Bil
Jenis Aset
Bumiputera %
Bukan Bumiputera %

1
Kompleks perniagaan
5.5
94.5
2
Rumah Kedai
8.3
91.7
3
Bangunan lain (gerai dan lain-lain)
41.6
58.4

Sumber: Seksyen Pembangunan Usahawan dan IKS Negeri Selangor, Pejabat SUK

Peranan Institusi Agama Ke Arah Mentransformasikan Ekonomi Umat Islam Melalui Dana Wakaf

Berdasarkan kepada kedudukan ekonomi semasa orang Melayu, agak sukar dan sememang terlalu jauh untuk bersaing dengan bangsa lain atau bukan Bumiputera. Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak berjaya mencapai sasaran 30% pemilikan ekuiti orang Melayu. Bagi menyamai atau mencapai peratusan tersebut Bumiputera perlu melabur RM340 bilion.[14]  Persoalannya, bagaimanakah dalam keadaan ekonomi semasa hari ini orang Melayu dapat mencapai sasaran 30% pemilikan ekuiti atau lebih daripada itu di samping mampu bersaing dengan kaum-kaum lain di Malaysia? Selain itu bagaimanakah RM340 bilion mampu dihasilkan oleh orang Melayu dan mampu memiliki premis-premis, bangunan dan rumah kediaman setaraf dengan bangsa lain?
Jika dilihat kepada sejarah pada zaman kegemilangan pemerintahan khalifah Islam, antara faktor kekuatan dan keagungan kerajaan dan umat Islam pada era tersebut kekayaan hasil negara dan umat Islam. Pada zaman khalifah Harun al-Rasyid harta milik negara mencecah 900 juta Dirham, menyamai nilai semasa pada hari ini berjumlah sekitar 1.3 trilion Dirham.[15] Jika sekiranya sejarah kegemilangan ini berulang kembali, sudah pasti orang Melayu mampu berdiri setanding, bahkan lebih daripada kaum lain di Malaysia. Orang Melayu akan menguasai sebahagian besar ekuiti kekayaan dalam negara dengan memiliki segala premis dan kompleks perniagaan, tanah dan lain-lain.
Justeru, bagi memperkasakan ekonomi umat Islam secara menyeluruh maka instrumen wakaf dilihat mampu menggembeling modal yang besar secara berkelompok. Dalam keadaan pemilikan aset negara yang terhad dan kuasa beli umat Islam yang rendah, maka beberapa mekanisme yang bersifat inovatif, kreatif dan proaktif perlu diwujudkan secara sistematik bagi menggalakkan dan memudahkan umat Islam berwakaf. Mekanisme yang diwujudkan ini mampu memberi ruang dan peluang kepada orang Melayu dan umat Islam seluruhnya untuk turut sama melibatkan diri sama ada secara pemilikan atau kuasa beli berdasarkan kepada kemampuan kewangan masing-masing. Institusi-institusi agama dan badan-badan Islam perlu memainkan peranan aktif bagi mewujudkan dana dan aset wakaf. Dalam melestarikan sistem wakaf semasa terdapat beberapa mekanisme atau pendekatan lama dan kontemporari yang cuba diketengahkan oleh beberapa institusi Islam sama ada yang diuruskan oleh pihak kerajaan atau badan-badan swasta. Antara mekanisme tersebut ialah melalui dana wakaf[16] yang boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk seperti Saham Wakaf, Wakaf Kaki, Wakaf Irsad dan Musya‘, dan konsep Istibdal.
Saham wakaf adalah salah satu mekanisme popular yang sedang giat dilaksanakan oleh beberapa Majlis Agama Islam Negeri dan institusi Islam yang lain yang dikenali juga sebagai dana wakaf. Di negeri Selangor, Johor, Pahang, Pulau Pinang dan beberapa negeri yang lain ia dikenali sebagai Saham Wakaf. Saham Wakaf atau dana wakaf adalah bertujuan untuk menyatupadukan tenaga umat Islam bagi mengukuhkan ekonomi mereka melalui pembentukan wakaf Musytarak (berkelompok). Melalui saham wakaf ini harta wakaf dapat diwujudkan dengan cara belian atau mewujudkan wakaf-wakaf lain bagi mengimarahkan wakaf yang tersedia ada dan dapat menambahkan hasil pendapatan. Sebelum ini konsep wakaf dilakukan secara perseorangan atau individu untuk manfaat secara kolektif, namun kini orang perseorang mempunyai peluang secara kolektif untuk manfaat secara kolektif. Begitu juga semua orang secara individu boleh melakukan wakaf, walaupun dalam keadaan pemilikan dan kuasa beli yang terhad mengikut kemampuan masing-masing. Dengan cara ini bentuk wakaf menjurus kepada wakaf am dan boleh dilakukan secara jamaie oleh pewakaf-pewakaf yang menyertainya melalui sumbangan wang tunai.
Pewakafan wang tunai yang dikumpul dalam bentuk saham wakaf adalah sesuatu yang agak baru dan tidak dimaklumi secara meluas dalam masyarakat pada masa kini. Pewakafan wang adalah diharuskan dengan merujuk kepada hadis nabi saw yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Nasaie beberapa pandangan lain seperti Ibn Abidin dan lain-lain.[17] Mewakafkan wang ataupun duit adalah sah meskipun fizikalnya tidak akan kekal dalam bentuknya yang asal, tetapi pengekalannya boleh direalisasikan dengan menukarkannya kepada bentuk yang lain yang bersifat kekal dan hasilnya akan disedekahkan (diwakafkan). Ini termasuk barang-barang makanan yang boleh disukat dan ditimbang sah diwakafkan di mana ia akan dijual dan wang yang diperoleh daripada jualan itu akan dilaburkan dan hasilnya boleh diwakafkan kepada tujuan-tujuan kebajikan.[18] Di Amerika Syarikat, saham wakaf telah diperkenalkan sejak tahun 1971 oleh North American Islamic Trust. Yayasan ini yang mentadbir harta wakaf untuk penduduk Islam di Amerika Syarikat dan kini telah berkembang melalui wakaf tunai dengan membeli bangunan-bangunan untuk dijadikan sekolah, kolej, masjid dan sebagainya.[19] Di Jerman pada abad ke-14 pewakafan telah dibuat dalam bentuk wang dan pewakafan dalam bentuk wang telah diiktiraf secara perundangan pada abad ke-15 dan 16M oleh kerajaan Uthmaniyah Turki. Kini ia diterimapakai di serata negara seperti India, Pakistan, Iran, Mesir dan lain-lain termasuk Singapura.[20] Di Mesir telah ia telah diperuntukkan dalam Perkara 8 Qanun bi Ahkam al-Waqf berkaitan pewakafan harta alih dan tak alih.[21]
Antara syarat yang telah digariskan bagi membolehkan mata wang dijadikan wakaf ialah:[22]

i.                    Mata wang yang diwakafkan atau wakaf tunai hendaklah ditukar menjadi aset seperti hartanah, saham atau modal yang dapat dimanfaatkan, dividen atau keuntungannya sahaja boleh digunakan
ii.                  Mata wang yang diwakafkan atau wakaf tunai hendaklah ditukar kepada harta kekal seperti tanah, bangunan dan hanya manfaatnya sahaja digunakan
iii.                Mata wang yang diwakafkan atau wakaf tunai hendaklah mata wang yang masih sah laku penggunaannya. Jika sebaliknya ia adalah tidak sah.




Kesimpulan

Amalan pengurusan wakaf di Malaysia masih belum dapat menjalankan fungsinya secara efektif dalam menggerakkan ekonomi ummah dan orang Melayu khususnya. Institusi wakaf seharusnya menjadi nadi kepada orang Melayu dalam meningkatkan keupayaan pemilikan modal kekayaan dan ekuiti mereka. Institusi ini perlu diberi nafas baru agar ia menjadi sebuah institusi terunggul yang menjana kekayaan orang Melayu dan pengagihan secara adil. Namun, jihad ekonomi ini perlu melibatkan semua pihak sama ada ahli perniagaan, pejuang politik, para alim ulamak, profesional dan inteletual, pengguna dan masyarakat amnya adalah menjadi formula ke arah memobilasikan dan memperkasakan ekonomi orang Melayu yang mampu bersaing di peringkat negara dan global. Melalui sokongan padu pihak kerajaan dan semua pihak ini instrumen wakaf diyakini mampu dapat melestarikan sistem jaminan sosial kepada orang Melayu bagi memastikan mereka tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan menjelang tahun 2020.


Bibliografi

Abdul Halem Hapiz Salihin (2009), Ke Arah Memantapkan Pengurusan Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri: Satu Perkongsian, Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2009, Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada 24-25 Jun 2009

Ahmad Zaki Hj Abd Latif, Zuina bt Ismail, Norzaidi bin Mohd Daud (2006), “Pengurusan Harta Wakaf dan Potensinya ke Arah Kemajuan Pendidikan Umat Islam di Malaysia”, (Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006, Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur, Pada 12-14 September 2006)

Ahmad Farraj Hassan (1986), Ahkam al-Wasaya wa al-Awqaf fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah, Kaherah: Dar al-Jamiah

Arifin Said (1985), “Halangan-halangan Pembangunan Tanah oleh Faktor-faktor ekonomi, Sosial dan Politik”, (Kertas Kerja Seminar Pengurusan Tanah, Anjuran Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah, di Auditorium Pusat Pembangunan Asia Pasifik, Pada 15 – 16 April 1985)

Badran, Badran Abu al-‘Aynayn (1986), Ahkam al-Wasaya wa al-Awqaf fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah. Kaherah: Dar al-Jami‘ah

Al-Bahuti, Syaykh al-Mansur b. Yunus b. Idris (1999), Al-Rawd al-Murabba‘ bi Syarh Zad al-Mustaqni‘, cet.1, Beirut:Maktabah al-‘Asriyyah,

Al-Balihi, Syaykh Saleh Ibrahim (1996), Al-Salsabil fi Ma‘rifah al-Dalil Hashiyah ‘ala Zad al-Mustaqna’, cet.1, jld.3, Riyad: Maktabah Nazar Mustafa al-Baz

Baharuddin Sayin (1994), Sistem Pentadbiran Wakaf Negeri-negeri  di Semenanjung Malaysia: Satu Kajian. Tesis Sarjana. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia

Al-Haskafi, Muhammad ‘Ala’ al-Din (t.t.), Sharh al-Durr al-Mukhtar,  jld.2, Kaherah: Matba‘ah Sabih wa Awladihi

Ibn al-Humam, Kamal al-Din Muhammad b. ‘Abd Wahid al-Siwasi al-Sakandari (1977), Sharh Fath al-Qadir, cet.1, jld.6, Beirut: Dar al-Fikr

Hamat @ Mustafa Bin Abd. Rahman, Mad Saad Hassan (1986), “Masalah-masalah yang Menghalangi Pembangunan Harta-harta Wakaf dari Sudut Pentadbiran: Perhatian Khusus di Negeri Perak”, (Kertas Seminar Pengurusan dan Pentadbiran Harta Wakaf Peringkat Kebangsaan, Anjuran Majlis Agama Islam Perak dengan Kerjasama Majlis Agama Perak dan Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Pada 24-25 November 1986)

Hishamuddin Mohd Ali, Megat Mohd Ghazali Megat A. Rahman, Asiah Othman (2006), “Pelaburan Wakaf: Stategi dan Rangka Kerja Perundangan Islam”, (Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006, Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur, Pada 12-14 September 2006)
Ibn al-Humam, Kamal al-Din Muhammad b. ‘Abd Wahid al-Siwasi al-Sakandari (1977), Sharh Fath al-Qadir, cet.1, jld.6, Beirut: Dar al-Fikr

Ismail Md Salleh (2005), Ekonomi Semasa Malaysia Wawasan Masa Depan Mendepani Globalisasi, Siri 12 Monograf Wacana Ilmiah Bersama YAB Dato’ Seri Khir bin Toyo, cet.1, Institut Perkembangan Minda (INMIND)

Kamarudin Ngah (1992), Isu Pembangunan Tanah Wakaf, cet.1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Al-Kalibuli, ‘Abd al-Rahman b. Muhammad b. Sulayman (1998), Majma‘ al-Anhar fi Syarh Multaqa al-Abhar, cet.1, jld.2, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah

Laporan Seminar Management and Development of Awkaf Properties, Jeddah, pada 4-16 Ogos 1984

Al-Maydani, ‘Abd al-Ghani al-Ghanimi (1985), Al-Lubab fi  Sharh al-Kitab, jld.1, Beirut: Dar al-Ihya’ al-Turath al-‘Arabi

Al-Mawardi, Abi al-Hassan ‘Ali b. Muhammad (1999), Al-Hawi al-Kabir fi Fiqh Madhhab al-Imam al-Syafi‘i, jld.5, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah

Mahmud Zuhdi (2010), Memperkasakan Institusi Baitulmal  di Malaysia, Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2009, Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada 24-25 Jun 2009

Megat Mohd Ghazali Megat Abd Rahman, Asiah Othman (2006), “Pembangunan Tanah Wakaf: Isu, Prospek dan Stategi, (Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006, Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur, Pada 12-14 September 2006)

Manual Pengurusan Wakaf (2006), Cet.1, Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri

Md Nurdin Ngadimon (2009), Memperkasa Peranan Baitulmal Menerusi Instrumen Pasaran Modal Islam, Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2009, Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada 24-25 Jun 2009

Mohd Daud Bakar (1999), “Amalan Institusi Wakaf Di Beberapa Negara Islam: Satu Perbandingan”, dalam Nik Mustapha Nik Hassan et. al. (ed), Konsep dan Pelaksanaan Wakaf di Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Mohd Dani Muhamad, Baharuddin Sayin (2006), “Wakaf dan Bandar Islam: Satu Perspektif Sejarah”,  (Prosiding Seminar Kebangsaan Pengurusan Harta dalam Islam,  Universiti Kebangsaan Malaysia, pada 8-9 Ogos 2006, di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS)

Mohd Bakri Ibrahim (2008), Pelaksanaan Skim Wakaf Tunai Oleh Yayasan Waqaf Malaysia, Jurnal Pengurusan JAWHAR, bil.2, No.1 2008, Jabatan Wakaf dan Haji Malaysia.

Mohd Afandi Mat Rani (2008), Fatwa Wakaf Di Malaysia: Analisis Khusus Fatwa Pengambilan Tanah Wakaf Oleh Pihak Berkuasa Negeri, (Prosiding Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf, Anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu, pada 18-19 Oktober 2008)

Mohd Afandi Mat Rani (2008), Pengambilan Tanah Wakaf Oleh Pihak Berkuasa Negeri: Analisis Menurut Hukum Syarak dan Aplikasinya di Malaysia, Tesis Doktor Falsafah, Jabatan Syariah dan Undang-undang, Universiti Malaya Kuala Lumpur

Mohd Shah Firafizal bin Abu Bakar (2005), “Dana Wakaf MAINPP: Amalan dan Pelaksanaan”, (Kerja Seminar Dana Wakaf Peringkat Negeri Pulau Pinang 2005, di Bilik Aiditorium Dewan Milenium, Kepada Batas Seberang Prai Pulau Pinang, Pada 17 Julai 2005/ 10 Jamadil Akhir 1426)

Muhammad Syukri Salleh (2005), Wakaf Sebagai Wadah untuk Meningkatkan Pemilikan Ekuiti Umat Islam di Malaysia, dalam Seminar Dana Wakaf Peringkat Negeri Pulau Pinang 2005, Pada 17 Julai / 10 Jamadil Akhir 1426, di Bilik Auditorium Dewan Milenium, Kepada Batas Seb. Perai Utara

Mohd Zain Haji Othman (1998), “Wakaf Dari Perspektif Undang-Undang Islam, Amalan Dan Permasalahannya Di Malaysia”, dalam Ahmad Ibrahim et al. (ed), Undang-undang Keluarga dan Harta Wakaf, Al-Ahkam, cet.1, jld.6, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Al-Zuhayli, Wahbah (1989), Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, cet.3, jld.8, Damsyiq: Dar al-Fikr

Md. Nurdin Ngadimon (2006), “Pengembangan Harta Wakaf Menggunakan Instrumen Sukuk”, (Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006, Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur, Pada 12-14 September 2006)

Muhammad Syukri Salleh (2005), Wakaf Sebagai Wadah untuk Meningkatkan Pemilikan Ekuiti Umat Islam di Malaysia, (Seminar Dana Wakaf Peringkat Negeri Pulau Pinang 2005, Pada 17 Julai / 10 Jamadil Akhir 1426, di Bilik Auditorium Dewan Milenium, Kepada Batas Seb. Perai Utara)

Nazri Muslim (2006), Perlembagaan Malaysia dalam Konteks Hubungan Etnik di Malaysia, dalam Nazri Muslim dan Nasaruddin Yunus,  et. (ed) Hubungan Etnik,  Pusat Pengajian Umum: Universiti Kebangsaan Malaysia

Nik Abdul Rasyid Nik Abdul Majid (1986), “Pembangunan Harta Wakaf di Malaysia: Suatu Tinjauan Sosio-Undang-undang”, (Kertas Kerja Seminar Kebangsaan Pengurusan dan Pentadbiran Harta Wakaf, Anjuran Bersama Majlis Agama Islam Perak dan Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, di Kompleks Islam Darul Ridzuan, Pada 24-25 November 1986)
           
Nik Abdul Rasyid Nik Abdul Majid (1994), “Ke Arah Penubuhan Badan Kebangsaan Untuk Memajukan Tanah Wakaf dan Baitulmal”, (Jawatankuasa Mengkaji Tanah Wakaf, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri)

Nik Mustapha Hj. Nik Hassan (1999), “Sumbangan Institusi Wakaf Kepada Pembangunan Ekonomi; Satu Penilaian”, dalam Nik Mustapha Hj. Nik Hassan et. (ed), Konsep Dan Pelaksanaan Wakaf Di Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Al-Qurtubi (1994), Jami‘ al-Ahkam al-Fiqhiyyah, cet.1, jld.2, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah,

Sabiq al-Sayid (1992), Fiqh al-Sunnah, jld.3, Beirut: Dar al-Fikr

Al-Sarakhsi, Sham al-Din (1978), Kitab Al-Mabsut, cet.3, jld.12. Beirut: Dar al-Ma‘rifah

Siti Mashitoh Mahamood (2006), “Masalah Undang-undang Dalam Pentadbiran Harta Amanah Wakaf di Malaysia”, dalam Siti Mashitoh Mahamood et. al. (ed), Harta Amanah Orang Islam di Malaysia, cet.1, Kuala Lumpur: Universiti Malaya

Siti Mashitoh Mahamood (2005), Pembangunan Dana Wakaf dari Perspektif Syariah dan Undang-undang Serta Aplikasinya di Malaysia, (Kertas Kerja Seminar Dana Wakaf Peringkat Negeri Pulau Pinang 2005, di Bilik Aiditorium Dewan Milenium, Kepada Batas Seberang Prai Pulau Pinang, Pada 17 Julai 2005/ 10 Jamadil Akhir 1426)

Shofian bin Ahmad (2008), Wakaf Tunai: Peranan dan Keistimewaannya Dalam Sistem Ekonomi Islam, dalam (Konvensyen Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf, Anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia dan MAIDAM, pada 18-19 Oktober 2008)

Al-Syawkani, Syaykh Muhammad b. ‘Ali (t.t.), Nayl al-Awtar Min Ahadith Sayyid al-Akhbar Syarh Muntaqa al-Akhbar, jld.6, Kaherah: Mustafa al-Babi al-Halabi

Syed Othman al-Habshi (1986), “Konsep Waqaf dan Pelaksanaannya di Malaysia”, (Kertas Kerja Seminar Kebangsaan Pengurusan dan Pentadbiran Harta-harta Waqaf, Anjuran Majlis Agama Islam Perak dengan Kerjasama Majlis Agama Perak dan Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Pada 24-25 November 1986)

Suwaid Bin Tapah (1994), “Undang-undang Pentadbiran Harta Wakaf Di Malaysia”, Jurnal Syariah, jld. 2, bil.1, 1994, hlm.81.

Ridzuan Awang (1994), Undang-undang Tanah Islam: Pendekatan Perbandingan, cet.1, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.380.

Mahmud Saedon Awang Othman (1998), “Peranan Wakaf di Dalam Pembangunan Ummah”, dalam Ahmad Ibrahim et al. (ed), Undang-undang Keluarga dan Harta Wakaf, Al-Ahkam, cet.1. jld.6. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Kamarudin Ngah (1992), Isu Pembangunan Tanah Wakaf, cet.1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.vii.

Al-Zayla‘i, Jamal al-Din Abu Muhammad ‘Abd Allah b. Yusuf (1996), Nasb al-Rayah Takhrij Ahadith al-Hidayah, cet.1, jld.3, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah

Perlembagaan Persekutuan
Enakmen Wakaf  Negeri Selangor, (bil.7/1999), Seksyen 9(1).
Kaedah-kaedah Wakaf 1983

Utusan Malaysia, 16/1/2009

http://www.unhchr.ch/udhr/lang/mli.htm 
http/ www.ibfim.com/index.php










[1] Utusan Malaysia, 16/1/2009
[2]Ridzuan Awang (1994), Undang-undang Tanah Islam: Pendekatan Perbandingan, cet.1, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.379.
[3] Mahmud Saedon Awang Othman (1998), “Peranan Wakaf di Dalam Pembangunan Ummah”, dalam Ahmad Ibrahim et al. (ed), Undang-undang Keluarga dan Harta Wakaf, Al-Ahkam, cet.1. jld.6. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.173.
[4] Suwaid Bin Tapah (1994), “Undang-undang Pentadbiran Harta Wakaf Di Malaysia”, Jurnal Syariah, jld. 2, bil.1, 1994, hlm.81.
[5] Kamarudin Ngah (1992), Isu Pembangunan Tanah Wakaf, cet.1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.vii.
[6] Nik Mustapha Hj. Nik Hassan (1999), “Sumbangan Institusi Wakaf Kepada Pembangunan Ekonomi; Satu Penilaian”, dalam Nik Mustapha Hj. Nik Hassan et. (ed), Konsep Dan Pelaksanaan Wakaf Di Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), hlm.5.
[7] Mohd Zain Haji Othman (1998), “Wakaf Dari Perspektif Undang-Undang Islam, Amalan Dan Permasalahannya Di Malaysia”, dalam Ahmad Ibrahim et al. (ed), Undang-undang Keluarga dan Harta Wakaf, Al-Ahkam, cet.1, jld.6, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.183.
[8] Baharuddin Sayin dll (2006), Tahap Kefahaman Warga UiTM Terhadap Konsep Wakaf: Kajian Kes di Zon Tengah (Selangor, Perak dan Negeri Sembilan), Kajian Penyelidikan UiTM Shah Alam Selangor, hlm.26
[9] Nazri Muslim (2006), Perlembagaan Malaysia dalam Konteks Hubungan Etnik di Malaysia, dalam Nazri Muslim dan Nasaruddin Yunus,  et. (ed) Hubungan Etnik,  Pusat Pengajian Umum: Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm.58
[10] Ismail Md Salleh (2005), Ekonomi Semasa Malaysia Wawasan Masa Depan Mendepani Globalisasi, Siri 12 Monograf Wacana Ilmiah Bersama YAB Dato’ Seri Khir bin Toyo, cet.1, Institut Perkembangan Minda (INMIND), hlm.4.
[11] Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pada Perhimpunan Agung UMNO 2011
[12] Muhammad Syukri Salleh (2005), Wakaf Sebagai Wadah untuk Meningkatkan Pemilikan Ekuiti Umat Islam di Malaysia, dalam Seminar Dana Wakaf Peringkat Negeri Pulau Pinang 2005, Pada 17 Julai / 10 Jamadil Akhir 1426, di Bilik Auditorium Dewan Milenium, Kepada Batas Seb. Perai Utara, hlm.8-14
[13] Ismail Md Salleh (2005), op. cit., hlm.7
[14] Ibid., hlm.36
[15] Md Nurdin Ngadimon (2009), Memperkasa Peranan Baitulmal Menerusi Instrumen Pasaran Modal Islam, Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2009, Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada 24-25 Jun 2009, hlm.4.
[16] Shofian bin Ahmad (2008), Wakaf Tunai: Peranan dan Keistimewaannya Dalam Sistem Ekonomi Islam, dalam Prosiding Konvensyen Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf, Anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia dan MAIDAM, pada 18-19 Oktober 2008, hlm.320-323. Lihat juga: Mohd Bakri Ibrahim (2008), Pelaksanaan Skim Wakaf Tunai Oleh Yayasan Waqaf Malaysia, Jurnal Pengurusan JAWHAR, bil.2, No.1 2008, Jabatan Wakaf dan Haji Malaysia, hlm.3-5
[17] Siti Mashitoh Mahamood (2005), Pembangunan Dana Wakaf dari Perspektif Syariah dan Undang-undang Serta Aplikasinya di Malaysia, (Kerja Seminar Dana Wakaf Peringkat Negeri Pulau Pinang 2005, di Bilik Aiditorium Dewan Milenium, Kepada Batas Seberang Prai Pulau Pinang, Pada 17 Julai 2005/ 10 Jamadil Akhir 1426), hlm.3.
[18] Ibid.
[19] Mohd Daud Bakar (1999), “Amalan Institusi Wakaf Di Beberapa Negara Islam: Satu Perbandingan”, dalam Nik Mustapha Nik Hassan et. al. (ed), Konsep dan Pelaksanaan Wakaf di Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), hlm.182
[20] Siti Mashitoh Mahamood (2005), Pembangunan Dana Wakaf dari Perspektif Syariah dan Undang-undang Serta Aplikasinya di Malaysia, op. cit., hlm.4
[21] Undang-undang No.48 (1946)
[22] Baharuddin Sayin (1994), Sistem Pentadbiran Wakaf Negeri-negeri  di Semenanjung Malaysia: Satu Kajian. Tesis Sarjana. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm.21-22

0 ulasan:

Catat Ulasan