Ads 468x60px

Labels

Isnin, 5 Mac 2012

Berilmu Sebelum Beribadah


Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada ’Uqbah ibn ’Amir r.a:


Ertinya: Carilah ilmu sebelum lahir orang-orang yang suka
mempertikaikan nilai-nilai agama

(Hadis Riwayat Bukhari secara Ta’liq)

Ilmu agama adalah bersumberkan daripada al-Quran dan hadis nabi saw. Oleh itu kita perlu memahami al-Quran atau hadis sebagaimana cara para sahabat memahaminya. Begitu juga kita perlu mempunyai ilmu tentang ibadat ini sebagaimana berdasarkan kepada bagaimana cara yang diketahui oleh sahabat baginda. Hadis di atas menggambarkan perlu memahami ibadat yang dilakukan oleh nabi saw dan para sahabat dengan ilmu. Ramai di kalangan kita hari ini yang beramal sebelum mengetahuinya, atau belajar setelah sekian lama beramal.

Terdapat suatu hadis nabi saw yang diriwayatkan oleh Abu Waqid r.a. semasa baginda berada dalam majlis ilmu di dalam masjid, tiba-tiba baginda didatangi oleh tiga orang. Dua daripadanya terus bersama baginda dan para sahabat menyertai majlis ilmu. Orang yang perlu melihat ada tempat yang kosong, maka terus didudukinya. Manakala orang yang kedua duduk dibahagian belakang. Orang yang ketiga pula terus pergi ke tempat lain kerana malu berada di tempat orang yang ramai. Setelah selesai majlis ilmu nabi saw menceritakan tentang keadaan tiga orang yang datang itu. Kata baginda: “orang yang pertama itu bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ilmu, lalu Allah memberikan kepadanya tempat. Orang yang kedua tidak begitu bersungguh-sungguh untuk mencari ilmu, dan agak malu, maka Allah juga malu kepadanya dengan hanya memberikan sedikit sahaja ilmu. Adapun orang yang ketiga maka ia berpaling daripada Allah, maka Allah juga berpaling daripadanya.
Hadis di atas menggambarkan kepada kita ilmu perlu dicari dan digali dengan bersungguh-sungguh. Hendaklah mempunyai hati yang cekal dan kuat. Sentiasa menggunakan peluang untuk menambahkan ilmu. Maka dalam hal ini, mempelajari ilmu yang berkaitan dengan ibadat lebih diutamakan mencarinya. Imam al-Ghazali menegaskan bahawa terdapat dua sebab kenapa ilmu perlu didahulukan daripada ibadat:

Pertama

Ilmu hendaklah didahulukan daripada ibadat supaya hasil ibadat yang dilakukan itu benar-benar terselamat daripada cacat dan cedera. Maka manusia perlu mengenal tuan kepada ibadat iaitu Allah, sebelum memulakan ibadat. Apakah ibadat kita diterima, sedangkan kita tidak mengenalNya. Kenal Allah adalah melalui sifat-sifat zatNya. Apa yang wajib dan apa yang mustahil bagiNya. Kalau selama ini kita beribadat tanpa kita kenal semua ini, bermakna kita mungkin beriktikad pada yang salah. Maka hasil ibadat kita adalah sia-sia. Seumpama juga kita berbakti kepada seseorang yang tidak kita kenali. Kesudahannya ia merugikan masa dan usaha kita sahaja. Nabi Muhammad saw:

العِلمُ إِمَامُ العَمَلِ, والعَمَلُ تَابِعُهُ

Ilmu itu merupakan imam kepada amal, amal pula menjadi pengikut imam sebagai makmum

Setelah kita mengenal Allah SWT, apakah pula kewajipan syarak yang diperintahkan Allah kepada kita. Maka semua ini dilakukan dengan penuh keikhlasan, betul sebagaimana mengikut kehendak tuannya. Begitu juga dengan perintah yang dilarangNya, pasti kita menjauhinya. Kalau semua ini kita tidak tahu, bagaimana dikatakan kita patuh, tunduk dan taat kepada Allah. Inilah kebimbangan jika kita tidak menyedari yang kita lakukan selama hidup ini adalah salah, menyeleweng daripada ajaran sunnah Rasulullah saw. Ramai manusia yang mementingkan ibadat syarak, sedang hilang dan rosaknya ibadat itu disebabkan tidak memenuhi ibadat batin. Ibadat batin ditinggal yang menjadi buah kepada ibadat syarak seperti bertawakkal, bersyukur, sabar dan lain-lain. Akhirnya manusia terpesong dengan terpikat kepada habuan dunia yang bersifat segera, menumpukan perhatian kepada ilmu untuk mendapatkan kepentingan dan kesenangan duniawi. Terhapusnya pahala dan ganjaran sia-sia akibat kita berterusan melakukan maksiat batin. Bersifat takabbur, riak, sombong, angkuh, dengki dan lain-lain penyakit batin yang sukar dikenalpasti.
Lebih malang lagi, kita tidak tahu membezakan antara niat yang baik disebabkan kejahilan kita. Akhirnya kita terperangkap dalam lembah maksiat batin. Fahamilah bahawa amalan zahir ada mempunyai hubungan dengan ibadat batin yang memberi kesan dalam kehidupan kita. Jika kita tidak mengetahui kesan daripada amalan batin terhadap ibadat zahir, maka kita tidak boleh mengetahui bagaimana cara untuk memelihara diri daripada keburukan amalan-amalan batin. Maka akhirnya sedikit sekali amalan zahirnya yang terselamat. Seterusnya apa yang dapat adalah sia-sia dan penat sahaja. Nabi Muhammad saw bersabda:

إِنَّ نَوْمًا عَلَى عِلْمٍ خَيْرٌ مِنْ صَلاَةٍ جَهْلٍ

Ertinya: Sesungguhnya tidur dalam keadaan berilmu itu lebih baik daripada sembahyang dalam keadaan jahil

Apakah kita yakin bahawa amalan yang dilakukan tanpa ilmu kemungkinan kita melakukan perkara yang merosakkan amalan lebih banyak daripada kita melakukan perkara yang boleh memperbaikinya? Oleh itu para ulamak yang zuhud lagi beramal dengan ilmunya akan mementingkan dan memberi perhatian kepada ilmu. Ini bermakna urusan beribadat dan tunjang kepada ketaatan kepada Allah, Tuhan sekalian alam adalah ditegakkan di atas dasar ilmu. Maka fahamilah kita kesemua ini bahawa ketaatan itu tidak akan berhasil dalam diri seseorang hamba dan tidak akan selamat, melainkan mendahulukan ilmu dalam melaksanakan sesuatu urusan ibadat.
Dalam hal ini juga perlu diingatkan bahawa ilmu hanya diberikan kepada orang yang bersih daripada maksiat. Rasulullah saw bersabda:

إِنَّهُ يُلْهَمُهُ السُّعَدَاءُ وَيَحْرَمُهُ الأَشْقِيَاءُ

Ertinya: Sesungguhnya ilmu itu diilhamkan kepada orang-orang yang bahagia dan diharamkan kepada orang yang celaka.

Antara salah satu tanda kecelakaan ialah orang yang beramal tanpa ilmu merasakan bahawa amalan yang dilakukan dirasakan penat dan sengsara, tanpa hala dan pedoman ilmu. Ibadat yang dilakukan tidak sampai kepada hati dan amalan zahirnya yang lain. Matlamat ibadat yang akan menghubungkan manusia dengan pencipta dan melahirkan hubungan yang baik ating manusia tidak akan tercapai, malah jauh daripada hakikat ibadat yang sebenar. Selain itu ibadat yang dilakukan akan melahirkan sifat fitnah kepada orang lain, kerana amalan lahirnya tidak mencerminkan ibadat yang dilakukan. Justeru, ilmu wajib didahulukan daripada melaksanakan ibadat.

Kedua

Sesungguhnya ilmu yang bermanfaat itu membuahkan rasa takut serta rasa kehebatan kepada Allah SWT. Ini jelas sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-Faatir, Allah berfirman maksudnya:

$yJ¯RÎ) Óy´øƒs ©!$# ô`ÏB ÍnÏŠ$t6Ïã (#às¯»yJn=ãèø9$# 3
Ertinya: Sesungguhnya yang takut kepada Allah dari kalangan hambanya ialah para ulamak.

(Surah al-Faatir: 28 )

Sayidina Abdullah bin Abbas r.a. menggambarkan bagaimana darjat orang yang berilmu dari kalangan ulamak dengan katanya:[1]

لِلعُلَمَاءِ دَرَجَاتِ فَوْقَ دَرَجَاتِ المُؤْمِنِِيْنَ بِسَبْعِمِائَةِ دَرَجَةٍ. مَا بَيْنَ الدَّرَجَتَيْنِ مَسِيْرَةُ خَمْسِمِائَةِ عَامٍ

Ertinya: Bagi ulamak itu ada beberapa pangkat di atas pangkat mukminin lainya dengan 700 ratus pangkat. Antara tiap-tiap dua pangkat itu perjalanan 500 tahun.

Oleh yang demikian, kata Imam al-Ghazali, sesiapa yang tidak mengenal Allah dengan sebenar-benar makrifah, nescaya dia tidak merasai kehebatan Allah SWT. Dia tidak akan mengagungkan dengan sebenar-benar penghormatan yang ta’zim. Ilmu akan mendorongnya mengenaliNya, menggagumi dan takut terhadapnya. Justeru, jadilah ilmu itu yang akan membuahkan segala ketaatan dan menghalang daripada maksiat dengan taufiq Allah SWT. Selama mana solat yang dilakukan namun tidak melahirkan perasaan takut dan gerun, bermakna amalan ibadat yang dilakukan belum berhasil dan sempurna. Syeikh Ibn ’Ataillah mengatakan bahawa:[2]

مِنْ عَلاَمَاتِ مَوْتِ القَلبِ عَدَمُ الحَزْنِ عَلى مَافَاتَكَ مِن المُوَافِقَاتِ. وَتَرْكُ النَّدَمِ عَلى مَا فَعَلْتَهُ من وُجُوْد الزَّلاَتِ

Ertinya: antara tanda hati yang mati ialah jika tidak merasai sedih kerana tertinggalnya suatu amalan perbuatan kebaikan. Begitu juga tidak menyesal jika melakukan suatu perbuatan dosa.

Dua perkara inilah yang menjadi tujuan utama kepada pelaksanaan ibadat seseorang hamba dalam beribadat kepada Allah. Terdapat riwayat yang mengatakan bahawa Allah telah berwahyu kepada nabi Daud a.s: “Wahai Daud, pelajarilah ilmu yang bermanfaat. Maka kata nabi Daud: “Tuhanku, apakah ilmu yang bermanfaat itu? Firman Allah: “iaitu ilmu yang dapat engkau mengenal kemuliaanKu, keagunganKu, kebesaranKu dan kesempurnaan kekuasaanKu atas segala sesuatu. Maka inilah yang mendekatkan engkau kepadaKu”.
Imam al-Ghazali juga mengingatkan bahaya ilmu juga besar. Sesiapa yang menuntut ilmu untuk memalingkan muka orang ramai agar memberi perhatian kepadanya, atau untuk berdamping dengan pemerintah, atau untuk bermegah-megah dengan orang yang setanding dengannya, maka semua ini balasan neraka tempatnya. Sabda Rasulullah saw:

مَنْ طَلَبَ العِلْمَ لِيُفَاخِرَ بِهِ العُلَمَاءَ أَوْ لِيُمَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ أَوْ لِيَصْرِفَ بِهِ وُجُوْهَ النَّاسِ إِلَيهِ أَدْخَلَهُ اللهُ النّارَ

Ertinya: Sesiapa yang menuntut ilmu kerana untuk bermegah-megah dengan ulamak, atau kerana untuk berbantah dengan orang yang jahil, atau untuk memalingkan muka kepadanya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam neraka.

Abu Zaid al-Bustani r.a mengatakan “Aku telah melakukan mujahadah selama 30 tahun, maka aku tidak dapati sesuatu yang paling sukar ke atasku selain daripada perjuangan untuk mencapai ilmu dan menghindarkan dari bahayanya. Dalam perjuangan untuk mendapatkan ilmu juga terlalu sukar. Maka kerahkanlah diri kita untuk menuntut ilmu dengan ikhlas dan beramal dengan ilmu.ini kerana syaitan sentiasa membisik kepada kita kesukaran dalam menuntut ilmu, maka tinggalkanlah adalah lebih baik. Oleh itu, ramai di kalangan kita tewas dengan kesukaran ini.

Rasulullah saw bersabda semasa baginda berada di Mikraj:

أُطْلِعْتُ لَيْلَةَ المِعْرَاجِ عَلَى النَّارِ فَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا الفُقَرَاءَ. يَا رَسُوْلَ اللهِ مِنَ المَالِ؟ لاَ بَلْ مِنَ العِلْمِ

Ertinya: “Aku telah diperlihatkan di dalam api neraka pada malam Mikraj, aku melihat yang paling ramai penghuninya ialah orang fakir.maka para sahabat bertanya: “apakah mereka itu fakir harta?. Tidak, bahkan mereka itu fakir daripada ilmu.

Ini bermakna sesiapa yang tidak belajar ilmu, maka segala ibadatnya tidak akan cukup baik dan sempurna. Begitu juga hak-hak ibadat itu tidak dilaksanakan sebagaimana yang sepatutnya dilakukan. Seandainya seseorang itu beribadat kepada Allah seperti ibadatnya para malaikat di langit, tetapi jika dilakukan tanpa ilmu, nescaya dia termasuk dalam golongan ahli ibadat yang rugi di dunia dan akhirat. Justeru, bersungguh-sungguhlah kita dalam menuntut ilmu dengan mempelajari, mengkaji dan mengajarkan pula kepada orang lain setelah kita menguasai ilmu tersebut. Jauhkan daripada perasaan malas dan jemu dalam menuntut ilmu.
Untuk akhirnya, apabila kita bersungguh-sungguh memikirkan tentang dalil-dalil kewujudan Allah, maka kita akan mengetahui dan yakin bahawa kita mempunyai tuhan yang Maha Berkuasa, Maha Hidup, Maha Mengetahui, Maha Mutlak akan kehendaknya. Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Suci dari segala kecacatan dan kelemahan. Tidak menyerupai sesuatu daripada sifat makhluk. Apabila kita berfikir pula tentang makjizat Rasulullah saw, berfikir tentang tanda kenabian, yakinlah kita bahawa baginda adalah utusan Allah SWT yang menyampaikan wahyu daripadaNya. Semua ini membawa kita kepada mendekati pegangan salaful al-Soleh, semua yang berlaku adalah kehendak Allah dan ketentuanNya, jahat dan baik, manfaat dan mudarat, iman dan kufur. Sesiapa yang diberikan pahala itu adalah kurniaannya dan sesiapa yang diseksa itu adalah keadilannya. Apa yang datang daripada sohibul al-Syara’ nabi Muhammad saw tentang perkara akhirat, perhimpunan di padang Mahsyar, kebangkitan dari kubur, azab kubur, soal mungkar dan nakir, neraca timbangan, titian sirat, semuanya adalah benar. Inilah asas akidah yang dipegang dan ditanam oleh para salaf al-Soleh kepada kita.
Kemudian kita akan bangkit untuk menunaikan kewajipan syarak seperti bersuci, sembahyang, berpuasa dan lain-lain. Maka dengan ini bererti, kita telah menunaikan kefardhuan yang diperintahkan oleh Allah kepada hambaNya dengan ilmu. Kita beramal dengan ilmu bermakna kita memperbanyakkan bekalan akhirat. Jadilah kita seorang yang alim dan beramal kerana Allah atas asas kefahaman ilmu, bukan seorang yang jahil, bukan seorang yang bertaqlid membuta tuli. Kita akan dimuliakan dan dengan ilmu juga kita mempunyai nilai yang besar dan pahala yang banyak.


[1] Syeikh Abdul Samad al-Falimbani (2006), Hidayatus Salikin fi Suluki Maslakil Muttaqin, cet.1, Khazanah Banjariah dan Pustaka Suhbah: Kedah, hlm.9.
[2] Syeikh Ibn ‘Athaillah (2007), Kitab al-Hikam, Victory Agencie: Kuala Lumpur, hlm.82.

0 ulasan:

Catat Ulasan