Ads 468x60px

Labels

Selasa, 28 Februari 2012

Umur yang Bermanfaat



Manusia sering beranggapan bahawa umur yang bermanfaat ialah apabila usia umur tersebut panjang. Mereka berusaha sedaya upaya dan berdoa agar Allah memanjangkan umurnya untuk memperbanyakkan kebaikan dan kebajikan di dunia. Manusia yang mempunyai umur yang pendek adalah mereka yang malang dan tidak bernasib baik.  Ini kerana amal kebaikan manusia diukur pada umur seseorang. Pendeknya umur seseorang maka sedikitlah amal kebaikannya. Panjangnya umur seseorang maka banyaklah amal kebaikannya. Manusia amat takut jika usianya pendek dan bimbang tidak mencukupi masa untuk melakukan kebaikan. Sebahagian besar manusia menghabiskan sebahagian besar umurnya untuk dunia, manakala baki selebihnya atau dipenghujung kehidupannya adalah umur untuk akhirat. Maka, umur yang panjang banyak diisi dengan kelalaian dan perkara-perkara yang tidak berfaedah.


Persoalannya ialah apakah amalan kita banyak bergantung kepada faktor umur dan usia? Jika demikian, bertuahlah mereka yang umurnya panjang dan alangkah tidak adilnya Allah memanjangkan usia seseorang yang menyebabkan dirinya berjaya memasuki syurga Allah. Sebaliknya betapa rugi bagi mereka yang pendek umurnya.

Manusia yang disayangi Allah

Manusia yang disayangi Allah dan dimuliakan kehidupannya bukanlah mereka yang panjang usianya. Manusia yang mulia dan bahagia ialah mereka yang berjaya mengisi keseluruhan hidupnya dengan berbuat kebaikan. Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Syeikh Abul Abbas al-Marsi r.a waktu-waktu kami adalah keseluruhannya lailatul Qadr. Ertinya waktu-waktu di sisi mereka adalah lebih bermakna dan lebih mulia dari 1000 bulan di sisi orang lain.

Hakikat kebahagian itu bukanlah terletak pada panjang atau pendeknya umur seseorang. Namun ia terletak pada jumlah kebajikan dan kebaikan yang kita lakukan sepanjang umur yang diberikan kepada kita. Umur yang panjang tidak memberi apa-apa makna sekiranya ia tidak dimanfaatkan dengan kebaikan. Umur nabi Isa as hanya 30 tahun, namun kebaikan yang ada pada umurnya melebihi mereka yang berumur 100 tahun. Nabi saw bersabda:

Keberkatan hidup

Sesungguhnya kebahagian yang sempurna ialah sepanjang umurnya untuk taat kepada Allah.Biarlah umur kita pendek tetapi mendapat keberkatan hidup. Tidak ada maknanya hidup tanpa keberkatan daripada Allah. Keberkatan pada umur ialah setiap saat, masa dan detik dipenuhi dengan amal-amal soleh, terisi dengan kebaikan sama ada secara zahir atau batin, disibukkan dengan ilmu pengetahuan terutama yang berkaitan dengan ilmu akhirat dan makrifat kepada Allah.

Begitu juga soal solat, zakat, haji dan lain-lain bukanlah dinilai berdasarkan kepada kuantitinya tetapi kepada kualitinya. Amalan hati sekalipun dibuat sebesar zarah adalah lebih mulia daripada amal anggota yang dilakukan sebesar bukit atau gunung. Allah SWT telah memberikan nikmat kepada hambanya sama ada berupa nikmat jasmaniah ataupun nikmat rohaniah. Namun sejauhmanakah kita memahami kedua-dua nikmat tersebut sebagai suatu nikmat yang datang daripada Allah SWT. Jika kita mengetahui nikmat tersebut pula, apakah kita dapat menilai betapa tingginya nikmat Allah yang diberikan kepada kita sebagai rahmat daripadaNya.



0 ulasan:

Catat Ulasan