Ads 468x60px

Labels

Selasa, 28 Februari 2012

Menerima Ketentuan Allah yang Terbaik



Apabila kita mengenali Allah yang bersifat Maha Penyayang dan Maha Pengasih kepada setiap hambaNya, Allah sentiasa memerhatikan kita, maka setiap apa yang datang daripada Allah kepada diri kita adalah kebaikan. Justeru, kita tidak boleh bersangka buruk dengan Allah dengan tanggapan bahawa apa yang didatangkan Allah itu menyusah, menyukar dan membebankan. Semua yang datang daripada Allah dan segala ketentuanNya adalah baik dan menepati dengan pilihanNya. Tidak ada seorang pun di kalangan manusia yang mampu mengetahui ilmu Allah yang terkandung segala muslihat yang tersembunyi. Kata Abu Talib al-Makki seorang ulamak Tauhid dan Tasawuf manusia akan benci kepada penyakit, tidak senang dengan kefakiran, kemiskinan dan kemudratan. Namun semua ini membawa kepada kebaikan di akhirat. Sebaliknya mereka yang cintakan kepada kekayaan, kesihatan, kemasyhuran, semua ini membawa kepada akibat yang tidak baik di dunia dan akhirat.

Nikmat dan kurniaan Allah terbahagi kepada dua. nikmat yang bersifat lahir dan nikmat yang bersifat batin. Nikmat lahiriah ialah nikmat yang berbentuk kesihatan, keselamatan, ketenangan, kekayaan dan lain-lain termasuk kedudukan dan pangkat. Nikmat batin pula ialah ujian-ujian Allah dan cubaan yang berlaku dalam hidup yang biasanya tidak disebut sebagai nikmat. Namun sebenarnya ia adalah nikmat yang tersembunyi yang pada hakikatnya mengandungi nilai-nilai iman seperti keyakinan, kesabaran, menerima ketentuan Allah dengan redha dan syukur. Bahkan berlaku di kalangan para nabi dan awliya’ yang berterima kasih kepada Allah yang memberikan kepadanya kesakitan, cubaan dan halangan dalam hidup. Semua ini akan menambahkan kepadanya ingatan kepada Allah dan keyakinan bahawa semuanya adalah ketentuan Allah yang terbaik bagi dirinya. Allah yang Maha Menentu, Maha berkuasa maka sudah pasti dengan kehendak Dialah boleh berlaku dan pilihan QadarNya. Manusia yang beriman akan menerima tanpa bantahan dan persoalan, tidak sesekali menolak dengan pelbagai alasan sama ada munasabah atau tidak munasabah pada pandangannya. Mereka bergembira dan bersabar menanggung qadar dan ketentuanNya. Sebab setiap yang berlaku dengan pilihan Allah yang terbaik buatnya. Memahami maksud yang tersirat di sebalik peristiwa yang berlaku dan di dalam ilmu Allah SWT.

Sehubungan dengan itu, semua yang datang daripada Allah sama ada berupa sakit, sihat, miskin, kaya, susah dan senang adalah nikmat. Di sisi manusia sakit, miskin dan lain-lain adalah ujian dan cobaan yang tidak dianggap sebagai nikmat. Pada hakikatnya inilah yang dikatakan sebagai nikmat yang tersembunyi yang mengandungi nilai-nilai keimanan, keyakinan dan kesabaran dalam menanggung ujian Allah. Setiap bala yang datang menimpa dirinya, cubaan yang silih berganti akan menjadikan dirinya seorang hamba yang sabar, menambahkan ingatannya kepada Allah SWT, meningkatnya rasa ketakwaan kepada Ilahi, jauh sekali untuk melupai Allah setiap saat dan ketika. Inilah kaedah untuk sentiasa bersangka baik dengan Allah demi mencapai keredhaanNya. Beruntunglah mereka yang dapat memahami hakikat sesuatu. 

0 ulasan:

Catat Ulasan