Ads 468x60px

Labels

Selasa, 28 Februari 2012

Kenali Diri Kenal Allah


Manusia adalah hamba kepada Allah yang lemah, diciptakan Allah bersifat dengan segala sifat-sifat kekurangan, kepapaan dan berhajat dalam semua keadaan kepada Allah SWT yang maha berkuasa. Kita diajar agar sentiasa menghayati dalam diri bahawa setiap saat dalam hidup di dunia atau selepas kehidupan dunia setelah nyawa terpisah daripada badan agar sentiasa memerlukan Allah. Apa jua keperluan hidup manusia dalam hidup dan matinya memerlukan kepada kurniaan Allah. Berhajat kepada Allah bukan pada waktu-waktu tertentu sahaja, tetapi ia hendaklah berterusan dan berkekalan. Ini kerana sifat keyakinan dalam dirinya bahawa dirinya adalah ciptaan Allah SWT, maka dirinya ditentukan oleh Allah dalam semua hal dan keadaan. Dengan keyakinan inilah yang akan melahirkan rasa keagungan dan mengenali sifat Allah yang Maha Suci. Cahaya kebesaran Allah dan keagunganNya telah tumbuh dengan subur dan mekar di hatinya.

 Lihatlah Kehebatan Alam 

Apabila kita melihat kepada seluruh alam ini dan segala apa yang terkandung di dalamnya, semuanya bergerak dan berjalan dengan kuasa Allah. Orang yang mengenali sifat-sifat yang ada pada dirinya dengan sebenar-benar, maka dia pasti akan mengenali Allah dan sifat-sifat Allah yang ada padaNya. Justeru, dirinya akan berhajat kepada Allah tanpa bermusim. Diri manusia yang miskin, hina, cipta Allah yang lemah, dan segala hal keadaan dirinya tidak ditentukan oleh sesiapa pun melainkan Allah SWT yang Maha Berkuasa dan mempunyai sifat-sifat segala kesempurnaan yang tidak ada pada manusia. Segala yang berlaku dan apa yang diperbuat oleh manusia tidak ada yang terlepas daripada kehendak dan izinNya. Justeru, kita tidak patut melupakan Allah walaupun sesaat kerana segala sesuatu yang dilakukan sama ada yang lepas, sekarang dan akan datang, semuanya datang dengan kehendak dan keputusan Allah. Manusia yang selagi dinamakan manusia, iaitu makhluk Allah dan akalnya masih berfungsi, pasti akan berhajat kepada Allah sekalipun keperluan dunia telah mencukupi baginya.

Manusia berhajat kepada Allah bila ada keperluan yang tidak mampu dan tidak tercapai untuk mendapatkannya. Apatah lagi jika jiwanya tertekan, akal tidak mampu berfikir, fizikalnya menjadi lemah, di saat dan ketika inilah keperluan kepada kuasa Allah yang diharapkan sepenuhnya dapat membantu dan menolong dengan penuh khusyuk yang lahir daripada mata hati. Allah sangat penting di saat diperlukan dengan penuh perasaan yang terbit daripada hati dan akal yang waras. Apabila sakit yang tidak mampu diubati lagi oleh para ahli perubatan, wang ringgit tidak lagi bernilai, segala kecanggihan dunia tidak lagi dipercayai. Dirinya dirasakan terlalu kerdil, lemah dan tidak berkemampuan. Sebaliknya setelah segala keperluan telah dimaqbulkan, unsur tekanan dalam dirinya telah hilang, maka Allah SWT tidak lagi dihajati sebagaimana sebelumnya. Ini bermakna berhajat kepada Allah bukan kerana keperluan demi memenuhi naluri.

Orang yang benar-benar mengenali Allah tidak akan tunduk, tidak akan tenang dan tenteram apabila dikaitkan dengan sesuatu yang selain Allah. Sebaliknya sesuatu yang berlaku ke atas dirinya semuanya adalah tanda keagungan dan kebesaran Allah. Jiwanya akan semakin kuat, tenang, tidak gundah gulana, dan jauh daripada kebimbangan, apatah lagi untuk takut kepada yang selain Allah.

Berbezanya dengan keadaan orang awam, berhajatnya mereka kepada Allah disebabkan oleh desakan zahir yang datang daripada dirinya. Desakan ini yang mendorong dirinya berhajat kepada Allah seperti waktu sakit, miskin, di timpa kesusahan dan lain-lain. Waktu inilah mereka sangat berhajat kepada Allah. Ingatan kepada Allah tidak dilupai sama sekali dan sentiasa bermohon kepada Allah dengan penuh khusyuk, merendah diri di hadapan Allah SWT secara zahir dan batin agar diterima dan diperkenan oleh Allah apa yang dihajati. Apabila desakan itu telah hilang seperti sakitnya telah sembuh, kemiskiannya telah berakhir dengan kekayaan, kesusahan digantikan dengan kesenangan, maka di saat itu akan hilang luputlah hajat dan kepentingan Allah dalam dirinya. Ingatan kepada Allah boleh datang dan pergi begitu sahaja. Inilah yang disebut sebagai noktah iman. Mereka merasakan kekayaan, kesenangan, pangkat dan semua nikmat yang baik adalah hak miliknya. Perasaan hak milik inilah yang paling sukar untuk dibuang dalam diri manusia. Inilah kebanyakan yang berlaku kepada orang awam. Kefahaman dan kepercayaan bahawa dirinya adalah hamba kepada Allah sebagai tidak tepat. Sepatutnya mereka melihat dan menghayati dengan matahati bahawa kekuasaan Allah yang Maha Agung sentiasa ada pada setiap masa sama ada ketika dalam kesusahan atau kesenangan, kemiskinan atau kaya, sakit atau sihat.

hati yang Dekat dengan Allah 

Orang yang telah mengenali sifat-sifat Allah secara lebih dekat hatinya sentiasa mengingati Allah. Ingatan kepada Allah menjadikan hatinya tidak akan tunduk, tidak akan tenang dan tenteram apabila dirinya dikaitkan dengan selain daripada Allah. Apabila hatinya dikait dengan Allah, maka dirinya akan merasai tenang dan tenteram. Hubungan dengan Allah yang begitu murni  dan ikatan cinta di hati yang tulus antara dirinya dengan Allah menjadikannya semakin kukuh dan terjalin erat apabila semua hal keadaan dikembali kepada Allah sebagai tuan yang bersifat Maha Agung. Jiwanya akan menjadi besar, hatinya tenang dah tidak resah serta gundah gulana, berani dan tidak takut selain Allah SWT.

Telah diceritakan tentang peristiwa yang berlaku ke atas seorang ahli ibadat apabila dia membaca “ Iyyaka na’budu” ketika di dalam solatnya, pada perkiraannya perasaan dan keyakinan kepada pertolongan Allah dan benar-benar menyembah Allah. Namun dirinya terdengar suara yang mengatakan dirinya berbohong. Apa yang disembahnya adalah makhluk dan bukan benar-benar kerana Allah. Maka dirinya terus menjauhkan diri daripada manusia yang melalaikan.

Pada ketika yang lain suara itu menyatakan bahawa dirinya bukan menyembah Allah, sebaliknya menyembah isterinya. Lalu dia menceraikan isterinya. Begitu juga pada ayat yang sama di dalam solat yang lain, dirinya terdengar suara yang menyebut dirinya tidak menyembah Allah, tetapi kalinya suara itu mengatakan dirinya menyembah harta. Setelah selesai solat, maka dirinya telah mensedekahkan segala hartanya. Keadaan yang sama juga berlaku apabila dia mendirikan solat untuk kali yang seterusnya, ungkapan yang sama didengarinya, bahawa dirinya masih berbohong sebab yang disembahnya adalah pakaian. Lalu semua pakaiannya disedekahkan. Akhirnya datang suara yang mententeramkan jiwanya kerana suara itu memuji dirinya benar-benar beribadah kerana Allah. Ketika inilah dirinya termasuk dalam golongan hamba yang betul-betul beribadah dan menyembah Allah.

0 ulasan:

Catat Ulasan