Ads 468x60px

Labels

Selasa, 28 Februari 2012

Di mana Kita Berada...?


Manusia pada hakikatnya terbahagi kepada 2:

Manusia yang lalai ialah mereka yang lupa kepada Allah disebabkan oleh kurangnya fahaman terhadap tauhid dan penghayatannya terhadap qada’ dan qadar Allah. Lintasan hati adalah tanda utama dan asas dalam menentukan kita lalai atau sebaliknya dengan Allah. Sejak dirinya bangun daripada tidur dia merasakan semua tindakannya adalah kerana kemampuan dan kehebatan dirinya tanpa sedikitpun dikaitkan dengan kekuatan itu datang daripada Allah. Ia seolah-olah perbuatannya dengan Allah tidak ada hubungan dan pertalian. Maka dia tidak mengharapkan bantuan dan sokongan daripada Allah. Allah telah menyerahkan sepenuhnya kepada dirinya untuk melakukan apa jua yang dikehendakinya. Orang yang berfikiran begini juga akan menganggap bahawa ibadah yang dilakukan kerana kesungguhan dan ketekunannya. Dirinya lupa bahawa yang mengjadikan dirinya bangkit beribadah adalah kerana hasil daripada bimbingan Allah iaitu taufiqNya, serta kerana kasih sayang Allah yakni rahmatNya sehingga ibadahnya berhasil dengan baik dan sempurna. Orang yang lalai banyak berpegang kepada usaha dan perbuatannya, tetapi bukan berpegang kepada Allah.


Apabila sesuatu permintaannya tidak dan belum ditunaikan oleh Allah, dirinya akan mudah goyah, jiwanya tidak tenteram, hatinya tidak aman selagi tidak diqabulkan permintaan yang dihajati. Inilah akibat dan hasilnya orang yang berpegang kepada amal dan perbuatannya. Berbeza dengan orang yang beramal kerana Allah dan ikatan serta hubungan yang teguh dengan Allah. Setelah dirinya berusaha dan beramal sedangkan ia belum berhasil, maka dia akan bersyukur kepada Allah kerana Allah belum mengizinkan lagi permintaannya untuk dimaqbulkan cita-citanya. Dirinya sentiasa berpegang bahawa Allah tidak mengizinkan lagi kerana ada kebaikan dan hikmah yang tersembunyi yang hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Dirinya sentiasa menggali segala hikmat yang tersembunyi itu.

Siapa Orang Berakal 

Orang yang berakal pula ialah manusia yang sentiasa ingat dan tidak pernah lupa dengan tauhid dan syariat Allah, bahawa setiap sesuatu berlaku sejajar dan sekehendak dengan qada’ dan qadar Allah. Apabila dirinya bangun daripada tidur hatinya akan teringat kepada Allah. Tidak ada sesuatu yang berlaku pada hari tersebut tanpa izin dan kehendak Allah. Segala perancangan dan jadual yang dilalui sepanjang kehidupan pada hari itu adalah seiring dengan iradah Allah. Hatinya sangat mengharapkan Allah membimbingnya dan memberi dorongan kepadanya. Dirinya sentiasa memohon agar Allah mengizinkan dan memberi keredhaan atas segala permohonan yang baik kepada dirinya. Dihindarkan daripada sebarang mala petaka yang bahaya menimpa. Semoga usaha dan amalnya diterima oleh Allah.

Orang yang berakal akan melaksanakan perintah Allah sekalipun ia mendatangkan masalah kepada dirinya. Ini kerana apa jua yang berupa perintah Allah, maka dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Demikianlah keyakinan hati dan keteguhan jiwa orang yang berakal dalam menghadapi perintah-perintah dan suruhan Allah. Begitulah juga dengan urusan duniawi yang lain dilakukan selagimana ia tidak bertentangan dengan hukum Allah dan batas-batas syariat. Dirinya diingatkan agar tidak melupakan Allah, maka setiap hasil daripada pekerjaannya adalah datang daripada Allah. Ia adalah kehendak Allah dan bukan kehendak dirinya sendiri. Lantas dirinya dapat merasai kasih sayang Allah yang memperkenankan cita-cita dan kemahuannya selaras dengan kehendak dirinya. Jika sekalipun Allah tidak memperkenankan permintaannya, dia juga akan bergembira kerana meyakini Allah akan menganugerahkan kepadanya sesuatu yang lain dan lebih baik daripada apa yang dipintanya, malah membawa akibat yang lebih baik daripada sebelumnya. Meyakini bahawa keputusan Allah adalah sebaik-baik keputusan. Pemberian Allah lebih berharga dan bernilai daripada apa yang diminta olehnya. Inilah orang yang berakal akan sentiasa redha dengan segala ketentuan Allah. Diri dan jiwanya akan sentiasa tenang dan bahagia di dunia. Inilah yang dikatakan syurga dunia apabila hati sentiasa berhubungan dengan Allah, Tuhan yang memberi, melindung, menjaga, memimpin, menguat, melemah, menghidup dan mematikan makhluk yang diciptanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan