Ads 468x60px

Labels

Rabu, 5 Oktober 2011

Aurat: Lambang Kemuliaan Wanita



Pendahuluan
Islam adalah agama yang mengembalikan kemuliaan wanita yang pada mulanya dianggap sebagai lebih rendah tarafnya berbanding lelaki. Masyarakat Arab jahiliyah meletakkan taraf wanita pada kedudukan yang paling rendah dari segi peranan dan moralnya iaitu sebagai pemuas nafsu lelaki, hamba dan harta.  Allah SWT telah memuliakan manusia terutama mereka yang beriman yang terdiri daripada lelaki dan wanita. Justeru dengan kemuliaan inilah maka manusia diberikan amanah ke atas setiap diri individu untuk menjaganya agar ia tidak tercemar.

Pengertian Aurat

Para ulamak bersepakat menyatakan bahawa aurat berasal daripada kalimah ’Arun, bermakna celaka. Ini kerana seringkali pendedahan aurat membawa kepada kecelakaan dan kerosakan. Perkataan Iryan juga membawa makna aib dan memalukan. Orang yang mendedahkan aurat adalah berkelakuan tidak sopan dan sangat buruk. Aurun pula membawa makna sesuatu yang menjijikkan. Kerana inilah juga para lelaki diwajibkan menundukkan pandangan daripada melihat kepada aurat wanita yang dianggap jijik, kerana ia termasuk dalam perkara dosa. Dosa boleh diistilahkan sebagai sesuatu yang menjijikkan jika diperlakukan.

Hubungan Aurat dengan Maruah

Maruah adalah lambang ketinggian nilai seseorang manusia. Andainya maruah seseorang itu tercemar, maka nilai dan harga diri seseorang itu sudah tidak ada lagi. Maruah juga amat berkait dengan keperibadian seseorang. Hakikat semulajadi manusia akan mempunyai perasaan malu jika bahagian tertentu daripada badan dipertontonkan kepada khalayak ramai. Mendedahkan aurat sama seperti tidak berpakaian. gejala rogol, gangguan seksual, pencabulan kehormatan dan lain-lain banyak berpunca daripada cara berpakaian yang tidak menutup aurat. Maka hukum yang menjadi peraturan dan panduan dalam Islam semuanya adalah untuk menjaga dan menjamin maruah wanita terutamanya daripada gejala yang tidak sihat berlaku.

Kemuliaan Kaum Wanita

Allah SWT menciptakan wanita dengan pelbagai keistimewaan diri, seperti kecantikan rupa paras dan fizikal, lemah-lembut, kehalusan kulit dan lain-lain berbeza dengan kaum lelaki. Sehubungan dengan itu, Allah SWT menjadi salah satu syariatNya ialah mewajibkan wanita menutup aurat.  Tujuannya adalah untuk memulia dan menghormati nilai diri setiap muslimah. Pendedahan aurat adalah sangat hodoh dan buruk  di sisi Syariat. Maka mendedahkan aurat kepada orang yang bukan mahram secara tidak langsung mencacatkan sifat dan darjat kemanusiaan yang mulia, menunjukkan akhlak yang rendah dan merosakkan masyarakat.  Wanita yang sengaja mendedahkan aurat adalah golongan yang dianggap tidak amanah terhadap diri sendiri yang diperintah Allah agar menutupnya dengan rapi dan sempurna. Allah SWT berfirman: di dalam surah al-Nur,31:

dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;

Sifat Malu: Perhiasan Bagi Wanita

Nabi saw menyifatkan malu adalah sebahagian daripada Iman. Menutup aurat dengan berpakaian yang sempurna dan timbulnya rasa malu dalam diri adalah suatu fitrah naluri keinsafan yang hanya terbit daripada jiwa manusia yang beriman. Antara tanda pergi dan hilangnya iman ialah hilangnya perasaan malu. Nabi saw bersabda: “Sifat malu dan iman itu seiringan. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang”.
            Nabi saw bersabda lagi di dalam hadis yang lain, bahawa baginda melihat kebanyakan penduduk syurga adalah orang-orang fakir, manakala penduduk neraka adalah wanita. Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan hadis ini katanya:

Penyebab sedikitnya kaum wanita yang masuk syurga adalah hawa nafsu yang mendominasi pada diri mereka. Kecenderungan mereka kepada kesenangan dunia, dan berpaling daripada akhirat kerana kurangnya akal mereka dan mudahnya mereka tertipu dengan kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk beramal.

Justeru, wanita dituntut mempunyai sifat malu terutama hal yang berkaitan dengan maksiat dan larangan Allah. Hilangnnya perasaan malu inilah yang menjerumus wanita ke kancah kehinaan. Abu Hatim menyatakan bahawa:

Apabila manusia terbiasa dengan sifat malu, maka pada dirinya terdapat faktor-faktor yang mendorong kepada kebaikan. Sebaliknya orang yang tidak tahu malu, maka dirinya tidak ada faktor-faktor yang mendorong kepada kebaikan.

Jaminan Islam terhadap Mereka yang Menutup Aurat

Allah tidak membebankan kaum wanita dengan perkara-perkara yang berat, cukup hanya dengan menunaikan rukun Islam, menjaga aurat dan mentaati suami , maka tertutup segala pintu neraka dan terbuka semua pintu syurga. Wanita boleh memasuki daripada mana-mana pintu yang ia suka. Allah tidak mewajibkan wanita berjihad, mencari nafkah dan lain-lain.
            Di dalam hadis yang lain nabi saw bersabda:” Akan datang suatu zaman kepada umatku, segolongan wanita yang berpakaian tetapi sebenarnya mereka bertelanjang tanpa pakaian. Sanggul mereka ditinggikan bagai bonggol unta. Kutuklah mereka. Sesungguhnya mereka itu terkutuk oleh Allah. Mereka tidak akan memasuki syurga dan tidak dapat mencium sedikitpun bau syurga.
            Agama Islam telah memberi jaminan terhadap umatnya yang mengambil berat tentang aurat, mereka dikelaskan sebagai umat yang terbaik yang mendapat keredhaan Allah SWT sebagaimana firmanNya:

Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).

Ibubapa: Cermin Kepada Anak-anak

Kajian yang dibuat oleh Prof. Dr Harlina daripada UKM, peratusan remaja yang hamil dan dikategorikan sebagai remaja luar kawalan ibu bapa dan penjaga adalah 45 %, dibandingkan dengan mereka yang terlanjur (biasanya antara pasangan yang sudah bertunang), iaitu 13 % dan yang diperkosa hanya 3%. Kajian ini  menjelaskan bahawa peranan ibubapa amat penting terutama dalam mencorak pemakaian dan aurat anak-anak, terutama anak-anak perempuan.  Sifat kepedulian ibubapa amat penting agar anak-anak sentiasa terdidik dengan akhlak berpakaian Islam yang menjadi pendinding kepada berlakunya masalah sosial pada hari ini.
            Kesimpulannya, pemakaian seseorang adalah mencerminkan interprestasi imannya. Allah SWT memuliakan wanita dengan menamakan surah al-Quran secara khusus iaitu ”al-Nisa’ yang membincangkan tentang perihal kaum wanita. Maka sewajarnya para wanita memelihara keperibadiannya dengan menutup aurat yang sangat tinggi dan mulia di sisi Allah dan RasulNya.




0 ulasan:

Catat Ulasan