Ads 468x60px

Labels

Isnin, 5 Mac 2012

Taqwa Permata Berharga

Imam al-Ghazali mendefinisi taqwa dengan makna menjauhkan diri daripada segala apa yang mendatangkan kepadanya kemudharatan dalam urusan agama (maksiat), dan berlebih-lebihan dalam perkara yang halal.
           Taqwa juga bermakna mensucikan hati daripada kejahatan yang belum pernah dilakukan dengan sebab kekuatan azam untuk meninggalkannya. Semuanya ini akan menjadi pemelihara antara diri kita dengan kejahatan.

Kelebihan Sifat Taqwa

Imam Ghazali menggambarkan sekiranya kita dapat memiliki sifat Taqwa, maka banyak kebaikan yang terhasil, rezeki yang melimpah ruah, kejayaan yang amat besar dan ia adalah perbendaharaan yang sangat berharga. Ia seolah-olah hasil daripada segala kebaikan yang dikumpulkan di dunia dan akhirat. Maka kerana inilah nafsu hanya dapat dikekang dengan sifat Taqwa. Imam Ghazali memaparkan 12 perkara yang terhasil daripada sifat Taqwa. Antaranya ialah:


i.                    Pujian dan sanjungan
ii.                  Pemeliharaan dan penjagaan daripada musuh-musuh
iii.                Sokongan dan pertolongan
iv.                Selamat daripada kesusahan dan diberi rezeki yang halal
v.                  Memperbaikkan amal
vi.                Keampunan dosa
vii.              Kasih sayang
viii.            Penerimaan amal
ix.                Kemuliaan dan penghormatan
x.                  Berita gembira ketika mati
xi.                Kelepasan daripada api neraka
xii.              Kekal di dalam syurga

Imam Ghazali telah menggariskan tiga perkara pokok yang berkaitan dengan hasil daripada urusan ibadat seseorang yang hanya dikhususkan bagi orang yang bertaqwa:

i.                    Mendapat taufiq dan sokongan yang kuat daripada Allah SWT
ii.                  Memperbaiki amalan dan menyempurnakan segala kekurangan
iii.                Penerimaan amal oleh Allah

Ketiga-tiga perkara inilah yang diberi perhatian oleh ahli ibadat yang sentiasa merendah diri kepada Allah SWT. Oleh itu mereka sentiasa mengejar darjat taqwa yang sering menjamin idaman dan cita-cita para ’Abid. Mereka sentiasa bermohon kepada Allah agar dianugerahkan darjat kemulian dan kebesaran ini dengan doa, antaranya:

Wahai Tuhan kami, taufiqkanlah kami untuk melaksanakan ketaatan kepadamu. Sempurnakanlah kekurangan yang ada pada kami dan terimalah segala ibadat kami.

Semua ini memberi faham kepada kita bahawa untuk beribadat kepada Allah, kita wajib mempunyai sifat taqwa, selain untuk mendapat kebahagian di dunia dan akhirat. Ini kerana segala urusan penerimaan ibadat kita bergantung kepada ketaqwaan kita kepada Allah.
           Menurut Imam Ghazali, perkataan taqwa dinyatakan di dalam al-Quran dengan tiga makna. Antaranya ialah:

i.                    Takut dan gerun:
a.      Ertinya: “Dan hanya terhadapku sahajalah maka hendaklah kamu merasa takut dan gerun.
                                                                             (Surah al-Baqarah:40)


b.      Ertinya: ”Dan takutlah (gerun) kamu suatu hari yang akan dikembalikan kamu kepada Allah”.
(Surah a-Baqarah:281)

ii.                  Taat dan ibadat:

 Ertinya: ”Wahai orang-orang yang beriman, taatlah (beribadatlah) kamu kepada    Allah dengan sebenar-benar taat (ibadat)”.
(Surah Ali-’Imran:102)

iii.                Mensucikan hati daripada dosa:

Ertinya: “ Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, dan takut kepada Allah     serta bertaqwa kepadanya, mereka adalah orang-orang yang berjaya”.
(Surah al-Nur:52)

Kisah Taqwa Para Sahabat dan Ulamak

Sayyidatina Aisyah r.a. meriwatkan bahawa: “Tidak ada sesuatu daripada dunia yang boleh mengagungkan Rasulullah saw, dan ada seorangpun yang boleh mengagungkan Rasulullah saw, kecuali orang yang mempunyai sifat taqwa. Baginda kagum dengannya.
Disebut di dalam kitab Minhaj al-‘Abidin ini beberapa kisah tentang diri para sahabat dan tabien yang mempunyai darjat taqwa. Antaranya kisah seorang tabien dan tokoh ulamak yang matanya buta ‘Amir bin Abd Qais. Disaat hampir kematiannya beliau masih menangis kesedihan, sedangkan beliau adalah seorang ahli ibadah. Diceritakan beliau mendirikan solat sunat pada setiap hari dan setiap malam sebanyak seribu rakaat. Selepas solat beliau akan pergi kepada tilamnya dan berkata: “wahai tempat perlindungan segala kejahatan, demi Allah, kerana menuntut keredhaan Allah, aku tidak meredhaimu walaupun sekenyip mata”.
Pada suatu hari ada orang melihat ‘Amir menangis keseorangan. Maka orang bertanya kepadanya: ”Apakah yang menyebabkan engkau menangis wahai ’Amir? Beliau menjawab: ”disebabkan oleh aku mendengar ayat daripada surah al-Maidah yang berbunyi:

Ertinya: Hanya Allah menerima amalan daripada orang yang bertaqwa”

Muaz r.a. pernah ditanya oleh anaknya: ” mengapakah kamu mencintai kehidupan dunia wahai ayahku? Beliau menjawab: Aku mencintai hidup hanya untuk tiga perkara, iaitu berpuasa pada siang hari, berqiyammullail pada malamnya dan pada malamnya aku berkumpul bersama ulamak dalam majlis zikir”.
Abdul Rahman bin ‘Auf adalah antara kalangan sahabat yang dikurniakan kekayaan, dan antara sepuluh orang yang dijamin masuk Syurga oleh Rasulullah saw. Suatu hari Abdul Rahman datang membawa makanan, seraya berkata:
Mush’ab ibn ’Umair telah meninggal dunia, pada hal dia lebih baik daripadaku. Tetapi semasa kematiannya tidak ada kain yang dapat dipakai untuk mengkafankannya, kecuali sehelai kain. Begitu juga Hamzah dan orang lain. Sesungguhnya aku takut jika ternyata seluruh kebaikanku didahulukan bagiku dalam hidup di dunia”, lalu beliau menangis.[1]
Inilah kisah-kisah ketaqwaan para sahabat dan tabien. Kehidupan mereka penuh dengan keberkatan dan jauh berbeza dengan kita sekarang. Mereka bukan sekadar mengetahui, malah menghayati dengan penuh keyakinan dan beramal dengan ilmunya. Benarlah firman Allah SWT bahawa yang takut kepada Allah adalah daripada kalangan orang-orang soleh dan para ulamak.
Orang-orang soleh sentiasa berkata kepada guru mereka agar berpesan kepada mereka suatu perkara. Maka guru mereka berpesan sebagaimana yang dipesan dan diingatkan oleh Allah SWT di dalam surah al-Nisa’ kepada orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dengan suatu pesanan. 
Firman Allah Taala: ”

Ertinya: ”dan sesunggunya kami telah berpesan kepada orang-orang diberikan kitab sebelum kamu dan kepada kamu, agar kamu sekalian bertaqwa kepada Allah”.    
(Surah al-Nisa’:131)

Ini menunjukkan kepada kita bahawa Allah SWT telah mengumpul semua nasihat, petunjuk, bimbingan, peringatan, didikan, pengajaran dan asuhan dalam wasiat yang disebut di dalam ayat di atas. Segala wasiat ini terkandung dalam sifat taqwa yang terhimpun segala kebaikan dunia dan akhirat. Sifat inilah yang menjadi kita akan mencapai kepada darjat yang tertinggi dalam urusan ibadat. Ini adalah jaminan daripada Allah yang lebih mengetahui tentang kebaikan untuk hambanya. Ini bermakna juga di dunia ini tidak ada sifat lain yang lebih hebat dan unggul, selain sifat taqwa. Kalau ada sifat lain melebihi sifat taqwa, sudah pasti Allah SWT tidak mewasiatkan sedemikian. Allah yang Maha Bijaksana dan Maha luas rahmatNya. Cukuplah kita dengan sifat taqwa untuk melihat nur hidayah dan mendapat petunjuk serta menjadi insan soleh.


[1] Abdun Nafi dkk (1999), op. cit., hlm.44

0 ulasan:

Catat Ulasan